Anda di halaman 1dari 2

Aktiviti membaca seharusnya menjadi amalan masyarakat kerana bangsa membaca bangsa

yang berjaya. Jelaskan kepentingan-kepentingan amalan membaca kepada masyarakat.

Membaca jambatan ilmu merupakan peribahasa yang menunjukkan kepentingan


amalan membaca. Namun budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah.
Kajian menunjukkan bahawa secara purata rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku
setahun. Negara kita yang sedang pesat membangun memerlukan rakyat yang
berpengetahuan tinggi untuk maju setanding dengan negara maju di dunia ibarat duduk
sama rendah, berdiri sama tinggi. Persoalannya, adakah rakyat Malaysia sedar akan pelbagai
faedah yang bakal diperoleh apabila mereka membaca? Sebenarnya sudah terang lagi
bersuluh bahawa terdapat pelbagai manfaat apabila seseorang mempraktikkan budaya
membaca.

Pada hemat saya, amalan membaca boleh dijadikan sebagai penyuluh kehidupan
seterusnya dapat menambahkan pengetahuan. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui
pembacaan seseorang dapat mengetahui isu-isu semasa sama ada yang berlaku di dalam
negara atau di luar negara. Oleh hal yang demikian mereka tidak akan menjadi seperti katak
di bawah tempurung. Selain itu, melalui pembacaan, pembaca berpeluang mempelajari
sejarah dan budaya masyarakat dunia. Umpamanya mereka dapat mempelajari tamadun
Mesopotamia, Indus, Hwang Ho, Mesir Purba dan lain- lain. Pembaca juga dapat
mengetahui budaya masyarakat dunia yang sangat unik dan berbeza di negara yang
berlainan. Oleh itu, untuk memupuk budaya membaca ini, kita perlulah menggalakkan anak-
anak ke perpustakaan dan membeli bahan bacaan yang bersesuaian untuk mereka kerana
banyak membaca luas pengetahuan dan membaca ialah jendela ilmu.

Selain itu, amalan membaca juga dapat menambah perbendaharaan kata dalam
kalangan pelajar. Dasawarsa, ramai pelajar lemah dalam kertas Bahasa Melayu kerana
mereka kurang menguasai kosa kata. Pelajar juga kurang cekap berbahasa Inggeris kerana
kekurangan kosa kata bahasa tersebut. Hal ini menghalang kejayaan pelaksanaan program
MBMMBI iaitu usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh
bahasa Inggeris ke arah menguasai pelbagai ilmu pengetahuan pada peringkat globalisasi.
Tabiat ini juga boleh menyumbang kepada penemuan perkataan-perkataan dan istilah
baharu terutamanya dalam bidang sains dan teknologi. Sehari selembar benang, lama-lama
menjadi kain, begitulah keadaannya apabila membaca, kosa kata seseorang itu sentiasa
bertambah dan khazanah bahasa seperti peribahasa dan ungkapan menarik serta bunga-
bunga bahasa semakin dikuasainya.

Di samping itu, tabiat membaca juga berkepentingan sebagai pemangkin kemajuan


negara Hal ini demikian kerana kemajuan sesebuah negara tidak dilihat pada pembangunan
fizikal semata- mata tetapi juga diukur pada kemajuan intelektual rakyatnya. Rakyat berilmu
mencerminkan kemajuan sesebuah negara. Sekiranya negara kita dapat mengurangkan
kadar buta huruf secar tidak langsung, taraf pendidikan di negara kita turut meningkat
dalam usaha melahirkan rakyat bertamadun tinggi. Sejarah telah membuktikan bahawa
pembangunan tamadun keintelektualan manusia bermula daripada buku. Sebagai
misalannya, kemajuan Kota Baghdad telah muncul sebagai pusat penyebaran ilmu yang
unggul di dunia suatu ketika dahulu disebabkan ledakan ilmu menerusi penulisan dan
penterjemahan pelbagai buku dari seantero dunia. Tuntasnya, melalui tabiat membaca, kita
dapat melahirkan modal insan bertaraf dunia.

Natijahnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa tabiat membaca amat signifikan
untuk membangunkan intelektual rakyat negara ini. Oleh itu, amalan membaca ini haruslah
dijadikan budaya dalam kehidupan agar terus kekal dalam sanubari masyarakat tanpa
perlunya diadakan kempen kesedaran. Kesedaran ini harus timbul dalam diri seseorang
untuk berubah menjadi lebih baik. Sesungguhnya semua pihak harus berganding bahu bagai
aur dengan tebing untuk meningkat budaya membaca dalam kalangan masyarakat kerana
tamadun kebendaan tidak pernah kekal tetapi tamadun ilmu boleh merentas zaman.

Anda mungkin juga menyukai