Anda di halaman 1dari 3

PERDEBATAN ABU SUFYAN DAN HERACLIUS MEMBUKTIKAN ISRAK DAN MIKRAJ

Enam tahun selepas peristiwa Israk dan Mikraj iaitu sekitar 628 M, Rasulullah saw telah mengutus
salam diplomatik dan dakwah kepada Maharaja Heraclius.

Heraclius adalah maharaja yang memerintah Rom Byzantine dari 610 hingga 641 M. Rasulullah saw
telah mengirim surat yang menimbulkan seribu tanda tanya kepada pemimpin itu.

Dalam surat tersebut jelas menunjukkan Rasulullah saw mengajak Heraclius dan rakyatnya untuk
memeluk Islam. Rasulullah saw juga menyatakan baginda adalah Rasul yang diutus Allah swt seperti
Isa as.

Heraclius yang terkenal sebagai seorang yang arif tentang Injil telah terkesima. Secara rahsia, beliau
telah mengutuskan orang suruhannya untuk merisik apakah benar Muhammad itu utusan Allah.

Utusan Heraclius segera mencari seseorang daripada Mekah yang berdagang di Syam. Akhirnya,
mereka menemui Abu Sufyan bin Shakhr bin Harb berserta rakan-rakannya dan dijemput datang ke
Istana Maharaja.

Selepas itu, terjadilah perdebatan hebat berkisar tentang kerasulan Nabi Muhammad saw sehingga
membuatkan Heraclius kagum dan hampir sahaja terdetik hatinya memeluk Islam.

Seusai perdebatan hebat itu, maka terjadi pula perdebatan lain antara Heraclius dan Abu Sufyan.

Abu Nu’aim al-Ashabani (wafat 430 H) meriwayatkan dalam kitab "Dalaa-ilun Nubuwwah" daripada
Muhammad bin ‘Umar al-Waqidi...

Selesai perdebatan yang melibatkan pertanyaan-pertanyaan hebat Heraclius kepada Abu Sufyan
seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dalam sahih mereka, maka terjadi
pula penawaran Abu Sufyan untuk menceritakan mengenai Israk dan Mikraj.

“Demi Allah, tidak ada yang menghalangku untuk mengatakan sesuatu yang dapat menjatuhkan
Muhammad di matanya, kecuali aku tidak ingin berdusta di hadapannya, yang mana dapat
menyebabkan namaku tercoreng, lalu baginda tidak akan percaya lagi padaku.”

Abu Sufyan melanjutkan lagi, “Sampai akhirnya aku teringat akan kisahnya (Muhammad), ketika di-
israkkan dan di-mikrajkan.”

Aku pun berkata kepadanya, “Wahai raja, sudikah aku khabarkan kepadamu tentang suatu berita
yang engkau sendiri akan memastikannya sebagai sebuah kebohongan?”

“Berita apakah itu?” tanya Heraclius dengan penuh tanda tanya.


“Sesungguhnya Muhammad telah mengaku kepada kami bahawa dia telah keluar daripada Mekah
pada satu malam, lalu tiba di masjid kamu ini, iaitu Masjid Iliya (nama lain bagi Masjdil Aqsa di
Baitul Maqdis). Kemudian, pada malam itu juga, dia kembali ke tengah-tengah kami sebelum tiba
waktu Subuh.”

Lalu mencelah seorang panglima Maharaja Heraclius yang berada di sisi Heraclius. Dia adalah
panglima daripada Jerusalem dan tahu benar apa yang terjadi sekitar berlakunya Israk dan Mikraj.

Panglima itu berkata, “Aku tahu apa yang berlaku pada malam itu.”

Sambil memandang kepada panglimanya, Heraclius bertanya, “Apa yang kamu ketahui tentang
peristiwa itu?”

Panglima itu terus menyahut tanpa ragu-ragu, “Sesungguhnya aku tidak tidur pada malam hari
sehingga aku mengunci seluruh pintu masjid. Namun pada malam itu seluruh pintu masjid telah ku
kunci kecuali satu pintu yang tidak dapat aku tutup.”

“Maka aku meminta orang bawahanku serta orang yang berada di sana untuk menutupnya. Namun
ajaibnya, kami tidak dapat langsung menggerakkannya, seakan-akan kami sedang menggerakkan
sebuah gunung.”

"Lalu aku telah memanggil seseorang yang bijak dalam bangunan. Setelah memeriksanya, dia
mengatakan,

Pintu ini telah dijatuhi nijaf (bangunan di atas pintu) dan kami tidak dapat menggerakkannya kecuali
pada pagi keesokkannya kerana kami harus melihat terlebih dahulu di mana kerosakannya.”

Panglima kepada Heraclius itu terus melanjutkan pembicaraannya dengan berkata,

“Maka aku pun pulang dan membiarkan pintu itu terbuka. Keesokkan harinya aku pergi untuk
melihat kembali pintu tersebut. Ternyata batu yang ada di sebelah masjid telah berlubang dan di situ
aku menemui bekas tempat mengikat tunggangan.”

Aku berkata pada teman-temanku, “Hanya seorang Nabi pintu ini tidak dapat ditutup, dan Nabi itu
solat di masjid kita ini.”

Pengalaman yang diceritakan oleh panglima kepada Heraclius ternyata besar maknanya kepada umat
Islam. Malah Heraclius sendiri kagum dengan pengalaman tersebut.

Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj memang benar-benar berlaku dan kita tidak boleh
pertikaikannya. Daripada peristiwa Israk dan Mikraj, terkandung kisah-kisah yang wajib diambil
pengajaran.

Isu perjalanan kerohanian Rasulullah saw sama ada melalui alam roh mahupun jasad tidak perlu
dijadikan isu perdebatan. Yang penting adalah pengajaran daripada peristiwa tersebut.

Sumber: Kitab Sahih Ibnu Kathir Jilid 5

Anda mungkin juga menyukai