Anda di halaman 1dari 6

TEKS UCAPAN GURU BESAR

PROGRAM AMALAN ADAB ABC, AMALAN ADAB ANAK YANG BAIK LAGI
CERDIK
SESI 2023/2024
SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN CENDANA
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Malaysia
Madani

Yang dihormati,
Cikgu Mohd Halim bin Basrin, Guru Penolong Kanan Pentadbiran
Cikgu Izzhari bin Ismail, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
Cikgu Siti Haidah binti Sukrani, Guru Penolong Kanan Kokurikulum
Cikgu Sharifah Zainab binti Syed Sulaiman, Guru Penolong Kanan Program Pendidikan
Khas Integrasi (PPKI)
Seterusnya semua guru-guru yang dedikasi dan murid-murid dikasihi sekalian

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan izin-
Nya kita diberi kesempatan untuk berkumpul pada pagi yang berbahagia ini bagi
menjayakan majlis perasmian Program Amalan Adab ABC, Amalan Adab Anak Yang Baik
Lagi Cerdik Peringkat Sekolah Kebangsaan Taman Cendana. Selawat dan salam kepada
junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. penghulu segala Rasul, pembawa rahmat
sekalian alam.

Untuk pengetahuan murid-murid sekalian, Adab ABC telah dirancang dan


dilaksanakan pada bulan Disember 2022 untuk seluruh sekolah di negeri Johor bagi
menyokong pendidikan holistik JPNJ agar dapat menyediakan murid-murid dengan nilai-
nilai sahsiah terpuji pada masa akan datang. Tujuan perlaksanaan Adab ABC ini adalah
untuk memastikan setiap murid memiliki sifat baik, akhlak dan sahsiah terpuji melalui
amalan nilai murni yang dipupuk dan menjadi budaya sekolah. Bukan itu sahaja, murid
boleh menjadi contoh serta membimbing rakan-rakan yang lain. Perlaksanaan Adab ABC ini
juga diharap dapat memupuk budaya saling menghormati antara satu sama lain bagi
menjamin keharmonian SK Taman Cendana.

Murid-murid yang dikasihi sekalian,

Terdapat 10 amalan Adab ABC yang akan diterapkan oleh semua murid di sekolah.
Antaranya amalan tersebut adalah mengucapkan salam, sapaan, menyusun kasut, berbahasa,
beratur, membantu, berterima kasih, hormat-menghormati, menjaga kebersihan, dan
menggunakan alatan dan kemudahan di sekolah. Setiap murid akan dibimbing untuk
memahami dan melaksanakan semua amalan Adab ABC tersebut. Hal ini demikian kerana
amalan Adab ABC ini adalah teras kepada murid-murid untuk membentuk akhlak dan
sahsiah yang terpuji. Untuk pengetahuan semua, terdapat empat tahap skor bagi setiap
amalan Adab ABC iaitu skor 0 (tahap lemah), skor 1 (tahap baik), skor 2 (tahap cemerlang)
dan skor 3 (tahap terpuji).
Di peringkat SK Taman Cendana, amalan Adab ABC telah dilaksanakan pada minggu
pertama persekolahan. Guru-guru telah menerapkan semua amalan Adab ABC kepada
murid-murid terutamanya berkaitan dengan pemahaman Adab ABC dan perlaksanaannya.
Murid-murid juga telah didedahkan dengan terperinci bagi setiap amalan Adab ABC. Saya
percaya bahawa semua murid SK Taman Cendana mampu menerapkan amalan ini dengan
sebaik mungkin serta mencapai skor pada tahap tertinggi iaitu terpuji. Saya juga yakin
dengan penerapan amalan ini, murid-murid dapat mencorak tingkah laku yang murni dalam
kehidupan seharian.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan penghargaan kepada semua guru-
guru yang terlibat terutamanya kepada minggu pertama kerana telah menjayakan penerapan
amalan Adab ABC dalam kalangan murid. Terima kasih juga diucapkan kepada barisan
pentadbir dan guru-guru yang berpengalaman kerana telah menjadi nadi untuk penerapan
amalan Adab ABC bermula pada minggu pertama sehingga ke akhir sesi persekolahan. Juga
tidak dilupakan kepada semua murid kerana telah berusaha bersungguh-sungguh untuk
menerapkan amalan Adab ABC. Harapan saya terhadap perlaksanaan amalan ini adalah
semoga setiap murid dapat menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara. Saya
akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun.

Pergi Mendaki Gunung Daik,


Hendak Menjerat Kancil Dan Rusa,
Adab ABC Amalan Yang Baik,
Elok Diamalkan Setiap Masa.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Program Amalan


Adab ABC, Amalan Adab Anak Yang Baik Lagi Cerdik Peringkat Sekolah Kebangsaan
Taman Cendana sesi 2023/2024. Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatu.

Anda mungkin juga menyukai