Anda di halaman 1dari 4

ANAK-ANAK adalah kurniaan dan anugerah Allah SWT yang amat bermakna dalam

sesebuah keluarga. Kelahirannya adalah suatu amanah yang akan


dipertanggungjawabkan bagi semua yang bergelar ibu dan bapa. Justeru, dalam
masyarakat bukan hanya wujud istilah anak derhaka yang tidak patuh dan taat
kepada kedua-dua orang tuanya bahkan wujud juga situasi ibu bapa yang gagal
melaksanakan tanggungjawab mendidik dan membesarkan anak-anak dengan
sempurna menurut panduan syariat.

Daripada sudut pandangan Islam, anak-anak bukan sahaja anugerah dan amanah
daripada Allah SWT kepada pasangan suami isteri, tetapi juga menjadi saham
akhirat yang berterusan kepada ibu bapa sekiranya dididik dengan ajaran al-Quran
dan Sunah. Sabda Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah hadis yang bermaksud:
"Apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya
kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan
anak soleh yang mendoakan untuknya." (Hadis riwayat Muslim)

Oleh kerana anak-anak adalah anugerah yang amat bernilai daripada Allah SWT,
maka mereka perlu dibelai, disayangi dan dihargai dengan sebaik-baiknya. Ibu bapa
yang sentiasa berusaha untuk mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya sehingga
menjadi anak yang soleh, taat kepada perintah Allah SWT dan berbakti kepada ibu
bapa dijanjikan jaminan rezeki daripada Allah SWT. Sebaliknya jika ibu bapa lalai dan
alpa dalam mendidik anak-anak, ia boleh mendatangkan musibah kepada ibu bapa
itu sendiri.

Di dalam hal ini, amat wajar untuk kita menghayati pesanan daripada Luqman al-
Hakim kepada anaknya seperti yang dirakamkan Allah SWT di dalam al-Quran yang
boleh dijadikan panduan bagi ibu bapa agar mendidik anak-anak dengan iman, ilmu
dan akhlak.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah Luqman ayat 13 yang bermaksud: "Dan
(ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat
kepadanya: "Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah
(dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu
kezaliman yang besar."

Manakala dalam surah yang sama ayat 16-19 Allah berfirman yang bermaksud:
'(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku,
sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun
seberat bijih sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di
bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalas-Nya); kerana
sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuan-Nya; lagi Amat Meliputi akan segala
yang tersembunyi. Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah
berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan
bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang
demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat
melakukannya. "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang
rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak
sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong
takbur, lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan,
juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk
suara ialah suara keldai."

Asas tarbiyah dan pendidikan kepada anak-anak hakikatnya bermula daripada


keluarga seperti dinyatakan oleh Abdullah Nasih 'Ulwan bahawa ketauladanan
adalah pendekatan yang berkesan dalam membentuk anak-anak secara moral,
spiritual dan sosial yang bermula daripada ibu bapa dan keluarga dalam menghayati
cara hidup Islam.

Justeru, bagi kedua-dua ibu bapa, peliharalah amanah Allah SWT ini dengan
memberikan pendidikan dan perlindungan yang sempurna. Jangan pula diperlakukan
kepada anak-anak dengan tindakan yang tidak baik walau apapun masalah dan ujian
hidup yang melanda. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-An'am ayat
151 yang bermaksud: "Katakanlah: 'Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah
diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan
Allah sesuatupun dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa dan
janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya)
Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka dan janganlah kamu
hampiri kejahatan- kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi
dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya)
melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak). Dengan yang
demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.'"

Isu penderaan dan pengabaian anak-anak seringkali dilaporkan berlaku dalam


masyarakat semenjak dahulu hingga kini. Dalam situasi hidup yang semakin
mencabar terutama di dalam tempoh pandemik wabak Covid-19 yang melanda dunia
semenjak setahun yang lalu, ia menuntut lebih banyak kesabaran ibu bapa dalam
mendidik anak-anak terutama dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebahagian ibu bapa mengalami situasi kehilangan pekerjaan namun masih perlu
berikhtiar membesarkan anak-anak. Anak-anak pula lebih banyak menghabiskan
masa di rumah dan sebahagiannya terpaksa mengikuti sesi pembelajaran di rumah
secara dalam talian. Ibu bapa juga sebahagiannya mempunyai lebih masa bersama
anak-anak kerana bekerja dari rumah. Kesempatan masa bersama yang lebih kerap
di antara ibu bapa dan anak-anak ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan
namun jika gagal diurus dengan baik akan mengakibatkan tekanan dan keresahan
melayan pelbagai karenah anak-anak. Keadaan tersebut boleh mendorong kepada
pelbagai tindakan di luar kewarasan serta mengakibatkan kesan tidak baik kepada
mental dan fizikal sama ada ibu bapa mahupun anak-anak.

Allah SWT menjanjikan ganjaran bagi ibu bapa yang bersabar dalam mendidik anak-
anak. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Zumar ayat 10 yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad, akan firman-Ku ini, kepada orang-orang yang
berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertakwalah kepada
Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh
kebaikan (yang sebenar di akhirat) dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah
sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang
akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira."

Allah SWT juga memuji ibu bapa yang mendidik anak-anak sebagaimana Allah
memuji Nabi Ismail kerana usaha baginda dalam mendidik anak menjadi anak yang
soleh. Firman Allah SWT dalam surah Maryam ayat 55 yang bermaksud: "Dan adalah
ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang dan memberi zakat dan ia pula
adalah seorang yang diredai di sisi Tuhannya." Di dalam sebuah hadis dinyatakan
bahawa ibu bapa yang mendidik dan membesarkan anak perempuan dengan
sempurna, anak tersebut akan menjadi penghalang daripada diseksa api neraka.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barangsiapa diuji dengan anak perempuan,
lalu dia membesarkannya dengan baik (menjaga hak-haknya), maka anak-anak
tersebut akan menjadi perisai buatnya daripada api neraka." (Hadis riwayat Ahmad)

Ajaran Islam harus dijadikan panduan dalam mendidik anak-anak agar keluarga
sentiasa terpelihara. Marilah kita berdoa seperti maksud ayat al-Quran surah al-
Furqan ayat 74 yang bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah
orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh
daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara yang menyukakan hati
melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertakwa."

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Anda mungkin juga menyukai