Anda di halaman 1dari 5

Lirik Lagu NILAM

Membaca dan belajar amalan hidup mulia,


Jadikanlah panduan wawasan anda,
NILAM program membaca memberikan semangat,
Membaca dengan jaya budaya kita.

Bina tabiat membaca matlamat NILAM kita,


Ganjaran yang diberi tidak terhingga,
Jadi Rakan Pembaca juga capai Jauhari,
Pembaca yang bestari anugerah diberi.

NILAM NILAM anugerah NILAM,


Menerangi Jalan suram,
NILAM NILAM anugerah NILAM,
Idaman pembaca jaya.

Membaca dan belajar amalan hidup mulia,


Bina tabiat membaca matlamat NILAM kita,
Dunia indah sekali pasti lebih berseri,
Amalan membaca menjana minda bestari.
Kebaikan Amalan Membaca Kepada Masyarakat

Pendahuluan
Dalam meniti era globalisasi ini, amalan membaca dalam kalangan masyarakat
terutamanya generasi muda semakin pudar. Terdapat kajian yang menyatakan
purata pembacaan buku oleh setiap rakyat Malaysia hanya dua buah buku
sahaja setahun. Angka ini adalah rendah untuk sebuah negara yang sedang
pesat membangun dan mempunyai visi untuk bersaing dengan negara maju
yang lain. Pelbagai inisiatif seperti Program NILAM di peringkat sekolah dan
penganjuran pesta buku telah diadakan tetapi ia seperti mencurahkan air ke
daun keladi. Kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat untuk
menjadikan amalan membaca sebagai tabiat kehidupan akan merugikan kita.
Justeru, kita perlu kupas kebaikan yang diperoleh sekiranya kita mengamalkan
budaya membaca.
Isi 1

Faedah paling utama dalam mengamalkan budaya membaca ialah ia akan


meluaskan pengetahuan setiap individu. Rata-rata, falsafah pendidikan
dimulakan dengan kemahiran membaca, menulis dan mengira. Maka, apabila
kita sudah mahir membaca, kita akan mendapat pelbagai maklumat dan
informasi. Saban hari, makin banyak hasil penulisan dan terjemahan yang
boleh kita baca bagi menambah pengetahuan kita terhadap sesuatu perkara
dan memahami tentang sesuatu perkara tersebut. Apabila minda kita dibuka
dengan pembacaan daripada sumber yang sahih dan dipercayai, proses
pemikiran kita tentang kehidupan harian akan berlainan dan menjadi lebih
bijak serta matang untuk membuat keputusan yang betul.
Isi 2
Selain itu, amalan membaca merupakan amalan terbaik untuk dilakukan
seseorang dalam mengisi masa lapang. Pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di
waktu senggang seseorang tetapi adalah digalakkan untuk kita melakukan
aktiviti yang bermanfaat seperti bersukan dan membaca. Sebagai contoh,
sukan membantu diri kita dalam penjagaan kesihatan diri secara fizikal dan
secara spiritual, amalan membaca dapat membantu kita untuk menjadi insan
yang lebih baik serta berguna berbanding diri kita yang dahulu. Justeru,
membaca di masa lapang adalah suatu perkara yang perlu menjadi tabiat kita
kerana masa itu emas.
Isi 3
Amalan membaca juga dapat membantu menambah perbendaharaan kata
yang mungkin kita tidak pernah tahu sebelum ini. Tidak dinafikan bahawa
ketika kita membaca, kita akan menjumpai perkataan yang tidak pernah kita
lihat sebelum ini. Perkara ini akan membuatkan kita mencari definisinya untuk
mengetahui maknanya dengan lebih lanjut. Tambahan pula, pada era ledakan
sains dan teknologi ini, penguasaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris
amatlah penting untuk menjamin kehidupan yang lebih baik pada masa
hadapan. Oleh itu, pembacaan buku-buku berbahasa asing dapat
meningkatkan kosa kata dalam bahasa tersebut sekali gus mendorong kita
untuk menguasai bahasa tersebut. Seperti peribahasa Melayu, sehari selembar
benang, lama-lama menjadi kain.
Isi 4
Akhir sekali, membaca membantu meningkatkan pencapaian bahasa
seseorang. Terdapat lebih 2000 bahasa yang digunakan di seluruh pelusuk
dunia dan daripada setiap bahasa tersebut, pasti terdapat nilai atau ilmu yang
boleh kita pelajari. Pelbagai karya yang boleh dibaca termasuk terjemahan bagi
memudahkan kita untuk memahami karya yang dihasilkan oleh penulis. Maka
dengan pembacaan yang meluas kita akan berfikiran lebih terbuka dalam
menilai setiap aspek dalam kehidupan. Membaca dapat mengelakkan kita
menjadi seperti katak di bawah tempurung. Peribahasa Melayu tersebut
membawa maksud kita hanya hidup dalam linkungan yang kita tahu sahaja dan
tidak mengambil langkah untuk berkembang dan bertambah maju.

Penutup
Konklusinya, pelbagai faedah yang boleh didapati daripada membaca
terutamanya dalam kalangan masyarakat. Nilai pengetahuan akan bertambah
dan begitu juga gaya pemikiran yang lebih luas, mampu memacu negara ke
arah kemajuan sejagat. Dengan generasi yang berpendidikan baik dan
bijaksana, kita mampu menyaingi negara-negara maju yang lain dalam
menghadapi masa hadapan ibarat kata pepatah Melayu, duduk sama rendah,
berdiri sama tinggi. Semoga rakyat kita mampu menjadikan amalan membaca
sebagai budaya yang menjadi kebiasaan kepada generasi-generasi yang akan
datang.
"Ruangan tanpa buku seperti tubuh tanpa jiwa." - Cicero

"Hari ini seorang pembaca, besok seorang pemimpin." - Margaret Fuller

Anda mungkin juga menyukai