Anda di halaman 1dari 5

Minyak kelapa sawit adalah minyak yang terhasil daripada buah kelapa sawit atau nama saintifiknya

Elaeis guineensis, yang asalnya dari Barat Daya Afrika. Anggaran jumlah minyak yang dihasilkan
daripada 100kg buah kelapa sawit adalah 23kg minyak kelapa sawit.

Malaysia adalah di antara negara pengeluar minyak kelapa sawit yang utama di dunia. Oleh kerana
pengeluaran minyak daripada buah kelapa sawit adalah banyak berbanding sumber lain, maka
minyak kelapa sawit menjadi sumber minyak makan utama di dunia .

Minyak kelapa sawit mempunyai titik asap (smoke point) yang tinggi dan stabil pada suhu tinggi. Ia
sangat sesuai sebagai minyak masak utama dalam pemakanan seharian kita. Ia juga banyak
digunakan dalam industri makanan di seluruh dunia .

Minyak kelapa sawit yang tidak ditapis atau dalam bentuk asalnya mempunyai warna kemerahan
jingga dan di panggil ‘minyak kelapa sawit merah’. Ia kaya dengan bahan karotenoids dan anti
oksidan. Pengambilan cuma 2 sudu minyak kelapa sawit merah setiap hari boleh memberikan
khasiat kesihatan yang baik.

KELEBIHAN MINYAK KELAPA SAWIT MERAH

1. MENGAWAL KERADANGAN DAN KOLESTEROL

Kajian menunjukkan punca masalah pengerasan saluran darah atau atherosklerosis adalah kerana
masalah keradangan yang tinggi yang juga di manifestasi dengan paras kolesterol yang tinggi
terutama jenis trigliserida dan LDL. Kajian menunjukkan koleterol LDL yang teroksida akan
menyebabkan masalah keradangan ini.

Kajian menunjukkan minyak kelapa sawit merah yang kaya dengan beta karotin dan anti oksidan
yang lain akan mengurangkan pengoksidaan LDL ini dan membantu mengurangkan risiko penyakit
jantung. Kajian yang di terbitkan dalam Journal of Nutrition menunjukkan kesan minyak kelapa
sawit, minyak soya, minyak kacang dan minyak babi (lard) kepada paras kolesterol trigliserida dan
LDL. Hasil kajian ini menunjukkan minyak kelapa sawit menurunkan 13.1% LDL teroksida dan 6.7%
paras trigliserida di kalangan peserta kajian berbanding minyak yang lain.

Satu lagi kajian yang di jalankan pada tahun 2016 di Columbia menunjukkan minyak kelapa sawit
mempunyai kesan ke atas keradangan dan paras kolesterol yang sama seperti minyak zaitun ekstra
dara dengan menurunkan paras trigliserida dan LDL.
Pengambilan minyak ikan, mengawal pengambilan gula dan mengambil serat secukupnya dalam
pemakanan akan juga membantu mengawal keradangan dan kolesterol dalam tubuh secara
semulajadi.

Kandungan Omega 9 sebanyak 30% di dalam minyak kelapa sawit merah juga menjadikan ianya
bersifat anti keradangan dan sangat baik untuk kesihatan jantung.

2. MEMBANTU MASALAH PENYAKIT JANTUNG

Kajian juga menunjukkan pengambilan minyak kelapa sawit akan membantu melambatkan
kemelaratan penyakit jantung koronari.

Kajian melihat kepada kesan minyak kelapa sawit kepada penyakit jantung koronari.

Selepas 18 bulan pengambilan minyak kelapa sawit, didapati 28% pesakit yang mempunyai masalah
penyakit jantung menjadi bertambah baik dan 64% menjadi stabil iaitu tidak melarat.

Bagi peserta kajian yang tidak mengambil minyak kelapa sawit pula di dapati tiada seorangpun
menjadi bertambah baik manakala 40% menjadi bertambah teruk penyakit nya. Ia adalah kerana
kandungan minyak kelapa sawit yang tinggi anti oksidan, beta karotin, vitamin E, Co Enzim Q10,
squalene didalamnya yang membantu mengawal keradangan dalam tubuh dan membantu dalam
pemulihan penyakit jantung.

Pemakanan yang sihat dan gaya hidup sihat adalah kunci utama mengawal penyakit jantung dan
pengambilan minyak sihat seperti minyak kelapa sawit merah adalah kaedah terbaik untuk
pemakanan yang berkhasiat dari sumber minyak makan.

3. BAIK UNTUK KESIHATAN OTAK MANUSIA

Minyak kelapa sawit merah yang kaya dengan vitamin E tokotrienol mempunyai sifat anti oksidan
yang kuat dan ampuh akan menyokong fungsi kesihatan otak. Ia akan membantu dalam masalah
nyanyuk atau dementia.

Kajian pada tahun 2017 yang di terbitkan dalam jurnal perubatan The Journal of Alzheimer’s Disease
menunjukkan tokotrienol akan menambah baik fungsi kognitif dalam tikus makmal yang dikaji.

Satu lagi kajian pada tahun 2011 yang di terbitkan dalam jurnal Stroke menunjukkan 121 orang
dengan masalah ketumbuhan otak yang di berikan suplemen minyak kelapa sawit merah 1 sudu 2
kali sehari akan membantu menghalang ketumbuhan itu dari membesar.
Oleh kerana itu boleh dikatakan minyak kelapa sawit merah adalah makanan kesihatan untuk otak di
samping makanan lain seperti buah blueberri, brokoli, sayur berdaun hijau dan ikan salmon.

4. MENINGKATKAN PARAS VITAMIN A TUBUH

Minyak kelapa sawit merah adalah sumber yang sangat kaya dengan beta karotin iaitu sejenis
karotenoid yang akan menjadi vitamin A dalam tubuh. Vitamin A adalah satu nutrien yang sangat
penting kesihatan seperti penglihatan dan kekuatan fungsi sistem imuniti tubuh. Kekurangan vitamin
A boleh menyebabkan masalah mata kering, jangkitan kuman yang kerap dan kebutaan .

Minyak kelapa sawit merah selalu di gunakan sebagai suplemen untuk meningkatkan status vitamin
A dalam kelompok yang mempunyai risiko kekurangan vitamin A. Kajian oleh National Institute of
Nutrition, Indian Council of Medical Research di India menunjukkan wanita yang hamil yang
diberikan minyak kelapa sawit merah untuk akan meningkatkan paras vitamin A dalam ibu dan anak
yang dalam kandungan.

Satu lagi kajian yang menunjukkan kesan minyak kelapa sawit merah kepada pesakit ‘cystic fibrosis’
iaitu satu penyakit yang melibatkan ‘kelenjar sekretori’ dalam usus yang akan menyebabkan
gangguan kepada penyerapan vitamin larut lemak seperti vitamin A. Pengambilan suplemen 2 ke 3
sudu setiap hari selama 8 minggu di dapati meningkatkan paras vitamin A dalam tubuh mereka.

Untuk mengekalkan paras vitamin A yang optimum dalam tubuh kita dan mencegah kesan
kekurangan vitamin A maka pengambilan minyak kelapa sawit merah adalah kaedah yang baik di
samping mengambil sumber makanan lain yang kaya beta karotin seperti karot, keledek, kuning
telur, betik, mangga dan labu.

5. MENGURANGKAN STRES OKSIDATIF TUBUH

Radikal bebas adalah bahan yang sangat reaktif di dalam tubuh kita yang terhasil akibat masalah
stres, pemakanan tidak sihat, pendedahan kepada pencemaran dan toksin. Radikal bebas akan
berkumpul dan menjadi lebih tinggi jumlahnya semakin lama tempoh berlalu dan menjadi punca
kepada masalah stres oksidatif, keradangan kronik, kerosakan sel dan penyakit kronik. Anti oksidan
adalah bahan yang akan meneutralkan radikal bebas yang merbahaya untuk mencegah kerosakan
sel-sel tubuh.
Minyak kelapa sawit merah adalah minyak yang sangat kaya dengan bahan anti oksidan yang telah
terbukti secara saintifik mengawal keradangan dan tekanan oksidatif yang di sebabkan oleh
serangan radikal bebas.

Kajian yang di jalan di Malaysia pada tahun 2013 untuk untuk melihat aktiviti anti oksidan ekstrak
daun kelapa sawit (OPLE) dalam tikus yang ada diabetes. Selepas hanya 4 minggu, terdapat
penambahbaikan kepada fungsi buah pinggang diabetes dan masalah fibrosis yang berkait dengan
masalah diabetes nefropathi. Kajian ini juga menunjukkan berlaku penurunan penanda untuk stres
oksidatif dan keradangan juga.

Pengambilan makanan yang kaya dengan anti oksidan akan melawan stres oksidatif dengan minyak
kelapa sawit merah di samping pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, kunyit, halia, coklat gelap
dan kekacang .

6. BAIK UNTUK KESIHATAN KULIT DAN RAMBUT

Pemakanan adalah juga penting untuk kesihatan kulit dan rambut. Pengambilan minyak kelapa sawit
merah boleh membantu kesihatan kulit dan rambut kerana kandungan anti oksidan dan vitamin E
nya yang tinggi. Ia boleh memperbaiki keadaan parut dan membantu dalam masalah jerawat.

Satu kajian yang diterbitkan dalam The Journal of Research in Medical Sciences melaporkan bahawa
pengambilan vitamin E selama 4 bulan memulihkan simptom alahan kulit (atopic dermatitis)
berbanding dengan plasebo.

Kajian lain juga menyokong bahawa pengambilan vitamin E secukupnya dalam pemakanan dan
suplemen adalah sangat berguna dalam rawatan luka, ulser tekanan dan penyakit kulit psoriasis.

Minyak kelapa sawit merah adalah baik untuk pertumbuhan rambut yang sihat kerana kandungan
vitamin E tokotrienolnya. Kajian pada tahun 2010 yang melibatkan 37 peserta yang mengalami
masalah rambut dan kebotakan menunjukkan pengambilan tokotrienol selama 8 bulan
meningkatkan jumlah rambut kepada 34.5% berbanding dengan kumpulan plasebo yang hanya
mengalami 0.1% pengurangan jumlah rambut di hujung kajian. Vitamin E juga ada dalam makanan
seperti minyak zaitun, kuaci bunga matahari, avocado, badam (almond) dsbgnya.

Berdasarkan kajian-kajian yang ada di laporkan dalam jurnal-jurnal perubatan, ternyatalah bahawa
minyak kelapa sawit merah ini adalah minyak sihat yang boleh kita amalkan setiap hari untuk
kesihatan yang lebih baik.

Insyaallah
Dr Norman Mohd Norawi

MBBS (Manipal), MScAARMMA (UCSI)

MNM (ACNEM), FAGE (MAHE)

Anda mungkin juga menyukai