Anda di halaman 1dari 1

2.

KEBAIKAN AMALAN GOTONG-ROYONG DALAM MASYARAKAT

Dalam era tanda pagar atau “hastag’’ ini, semangat gotong-royong semakin pudar
dalam kalangan masyarakat. Suatu ketika dahulu, amalan gotong-royong telah menjadi budaya
masyarakat kita yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Namun lama-kelamaan,
amalan ini terhakis dalam masyarakat terutamanya masyarakat bandar yang terlalu sibuk
membanting tulang empat kerat untuk mencari sesuap nasi bagi menunaikan tanggungjawab
terhadap keluarga. Fenomena ini akan melunturkan semangat gotong-royong dalam kalangan
masyarakat. Oleh itu, satu prakarsa perlu diambil secara efektif lagi drastik agar dapat
menyuburkan semula amalan gotong-royong dalam kalangan masyarakat moden.
Aktiviti membersihkan kawasan kediaman boleh diadakan secara gotong-royong
dengan jiran tetangga sesuai dengan peribahasa jiran sepakat membawa berkat. Dengan cara
ini kawasan kediaman menjadi bersih dan cantik serta menceriakan suasana persekitaran
seterusnya memberi keselesaan pada kita dan jiran tetangga terutama pada tetamu yang hadir
ke rumah. Oleh itu, amalan gotong-royong dapat memastikan kawasan kediaman menjadi
bersih, cantik dan ceria serta melambangkan asas keimanan seperti yang dinukil daripada hadis
nabi, sesungguhnya kebersihan itu separuh daripada iman.
Selain kawasan perumahan menjadi bersih dan cantik, masalah penyakit bawaan
unggas dan haiwan juga dapat kita hindari dengan melakukan aktiviti gotong-royong di
kawasan perumahan yang terbabit. Penyakit berjangkit seperti H1N1 atau selesema burung
adalah disebabkan kebersihan reban ayam yang tidak dijaga dengan baik. Keadaan ini
menyebabkan penyakit tersebar lalu menjangkiti manusia. Masalah ini hanya akan dapat
diselesaikan dengan aktiviti pembersihan secara gotong royong dengan skala yang lebih besar.
Dalam isu ini, tindakan tegas perlu diambil sebelum keadaan menjadi teruk sesuai dengan
peribahasa cegah sebelum parah.
Amalan gotong-royong juga dapat memupuk nilai murni dalam kalangan masyarakat.
Mereka yang terlibat dalam aktiviti gotong-royong sebenarnya tanpa disedari telah memupuk
nilai keikhlasan dalam melakukan pekerjaan ibarat kata tangan kanan memberi tangan kiri
tidak mengetahui. Mereka melakukan aktiviti ini tanpa mengharapkan pujian atau wang
upahan. Malah mereka turut dipupuk dengan nilai bekerjasama dalam masyarakat ketika
melakukan aktiviti gotong-royong. Hal ini bertepatan dengan pepatah Melayu yang menyebut,
bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Jiran tetangga bekerjasama
melakukan aktiviti gotong-royong demi kepentingan bersama dan bukan kepentingan diri
sahaja.
Sudah terang lagi bersuluh, semangat kejiranan dapat dipupuk melalui aktiviti
bergotong-royong. Sebagai contoh, program membakar lemang yang diadakan secara gotong-
royong ini akan dibahagi kepada beberapa kumpulan untuk melaksanakan tugasan. Ketika
aktiviti ini berlangsung, mereka akan saling berkenalan, berbual-bual dan bergurau senda.
Walaupun kepenatan, namun jiran-jiran berasa seronok apatah lagi aktiviti ini berakhir dengan
sambutan perayaan sesuai dengan peribahasa yang menyebut berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing. Hasil daripada amalan gotong-royong ini, lahirkan jiran yang sepakat kerana
sesungguhnya jiran sepakat membawa berkat.
Intihanya, amalan bergotong-royong merupakan amalan yang telah tersemai dalam
budaya bangsa. Tanpa amalan ini, banyak agenda kemasyarakatan tidak dapat dicapai kerana
tiada kesepakatan dalam membuat keputusan. Oleh itu, semua pihak perlulah menjadikan
amalan mulia ini sebagai satu gaya hidup dalam masyarakat agar kita dapat meneruskan
kesinambungan demi membina Malaysia yang gemilang. Jika amalan ini terpinggir daripada
arus pemikiran masyarakat moden nescaya manusia akan hidup dengan penuh sifat keegoan
dan kesombongan yang menjadikan mereka terus lalai di bumi Tuhan.

Anda mungkin juga menyukai