Anda di halaman 1dari 13

MODEL TINGKAH LAKU PENGUNDIAN DALAM KAJIAN PILIHAN RAYA DI

MALAYSIA: SATU TINJAUAN AWAL


Mohd Jalaluddin Hashim, Mohd Fuad Mat Jali & Junaidi Awang Besar

Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Email: mjalaluddin@gmail.com

ABSTRAK

Golongan pengundi adalah merupakan salah satu kompenan yang penting dalam pilihan raya.
Memahami perlakuan, tingkah laku dan corak pengundian oleh pengundi akan membantu pihak-
pihak yang bertanding memenangi sesuatu pilihan raya. Pelbagai faktor yang dikaitkan
bagaimana corak pengundian ini berlaku seperti faktor geografi, sosiologi, psikologi, etnik, kelas
dan sebagainya. Kajian mengenai tingkah laku pengundian ialah bidang yang cukup popular di
Barat. Beberapa sarjana di Barat telah mencadangkan beberapa model tingkah laku pengundian
bagi mengambarkan interaksi pengundi terhadap pilihan raya di sana. Model-model tersebut
adalah model Michigan, model Columbia dan model Downs. Model Michigan mencadangkan
terdapat pengaruh identifikasi parti dalam tingkah laku pengundian, model Columbia
mencadangkan terdapat pengaruh sosiologi seperti latar belakang keluarga, latar belakang
pendidikan, taraf sosio-ekonomi dan lokaliti tempat tinggal dalam tingkah laku pengundian
manakala model Downs pula mencadangkan pengundi melakukan pengundian berdasarkan
pilihan rasional iaitu memilih calon dan parti berdasarkan keuntungan dan faedah yang bakal
mereka perolehi. Kertas ini akan cuba membuat sorotan tentang model-model tingkah laku
pengundian tersebut serta tinjauan awal model tingkah laku pilihan raya di Malaysia.

Kata kunci: tingkahlaku pilihan raya, pilihan raya umum Malaysia, identifikasi parti,
pilihan rasional, sosiologikal

VOTING BEHAVIOUR MODEL FOR MALAYSIA'S ELECTION STUDY:


A PRELIMINARY STUDY

ABSTRACT
One of the election main components is the voters. By understanding voters behaviour,
behavioural and voting pattern, any party will have the chance to win an election. There are
many factors that determine how the voting patterns sketch out for instance geography,
sociology, psychology and others. In Western, voters behaviour study is a popular course. A few
academician have suggested a few model in order to define the voters interactions towards
election there. The models are Michigan, Columbia and Rochester. Michigan Model said that
there is a party identification clout that contributes toward voting behavioural while Columbia
Model thinks that there is sociology influence such as family background, education background,
socioeconomic standard and house locality in determining the voters behavioural. Downs Model
however state that voters are voting the party and candidates which is will give more benefit to
them. This paper will carry on a further study about these models and determine which model
that is suitable for Malaysia environment.
Keyword: electoral behavioural, Malaysia’s general election, party identification, rational
choice, sociological

PENGENALAN

Pilihan raya merupakan salah satu elemen penting bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem
demokrasi. Negara yang mengamalkan demokrasi ialah negara yang menyerahkan urusan
membentuk kerajaan kepada rakyat melalui pilihan raya. Melalui pilihan raya, rakyat diberi hak
dan peluang untuk memilih kerajaan pilihan mereka sendiri. Ini bermakna, kerajaan yang
bercorak demokrasi ialah kerajaan yang tertakluk kepada persetujuan rakyat dan menjalankan
tugas-tugas dan dasarnya untuk melaksanakan kehendak rakyat (Mohd Salleh Abas, 1997).

Menurut K. Ramanathan (1998), pilihan raya adalah satu cara memilih wakil dan cara
ampuh untuk membuat keputusan mengenai sesuatu dasar kerajaan. Pilihan raya adalah suatu
cara membuat pilihan politik melalui undian. Ia digunakan untuk memilih pemimpin dan untuk
menentukan satu isu. Melalui pilihan raya pengundi boleh memilih calon yang dikemukakan
kepada mereka untuk menyelesaikan isu-isu masyarakat.

Pilihan raya turut diertikan sebagai satu proses di mana mereka yang diperintah itu
menentukan, melalui cara-cara pemilihan tertentu, wakil-wakil yang kepadanya diserahkan
mandat untuk membuat keputusan, dasar dan undang-undang masyarakat; atau dalam perkataan
yang lebih mudah, pilihanraya ialah satu proses di mana ahli masyarakat memilih dan
mengesahkan wakil-wakil untuk membuat dasar dan keputusan politik (Syed Ahmad Hussein,
1994).

Pilihan raya di Malaysia adalah menggunakan sistem first-past-the-post di mana parti-


parti politik dikehendaki menghantar calon bertanding di sesuatu kawasan pilihanraya dan
pemenang akan ditentukan dengan undi terbanyak walaupu mempunyai kelebihan satu undi
sahaja iaitu dengan mengambil kira majoriti mudah. Negara yang mengamalkan sistem ini
adalah seperti UK, New Zealand dan Kanada. Ini berbeza dengan negara yang menggunakan
sistem perwakilan bernisbah di mana penentuan jumlah kerusi di parlimen adalah berdasarkan
peratusan undi yang diperolehi. Negara-negara yang mengamalkan sistem ini adalah seperti
Indonesia, Ireland, Turki dan Amerika Syarikat.

Pilihan raya merupakan proses yang memerlukan rakyat untuk turut serta melalui
pengundian di peti undi. Pengundi perlu memilih parti dan calon yang diingini dengan
memangkah parti dan calon tersebut. Pelbagai faktor yang dipertimbangkan oleh pengundi
sebelum membuat keputusan memilih dan seterusnya memangkah sesuatu parti dan calon.
Persoalannya apakah faktor-faktor tersebut? Adakah pengundi akan kekal dengan sesuatu parti
dan calon buat selama-lamanya? Jika beralih undi, apakah faktor-faktor yang menyebabkan
peralihan undi tersebut? Persoalan-persoalan ini adalah menarik untuk dikaji dan merupakan satu
disiplin kajian di dalam bidang geografi pilihan raya iaitu tingkah laku pengundian.
Menurut Holland (1992), tingkah laku pengundian adalah bidang yang cuba memahami
perkara asas pertimbangan pengundi dalam membuat keputusan mengundi atau tidak dan calon
yang hendak dipilih. Memahami tingkah laku pengundian oleh pengundi adalah perkara penting
yang perlu diketahui oleh parti-parti politik yang bertanding dalam usaha memenangi sesuatu
pilihanraya. Dengan memahami tingkah laku pengundian, ianya membolehkan parti dan calon
bertanding mengatur strategi pilihan raya dan kempen dan seterusnya berusaha memenangi hati
pengundi untuk meyokong dan memberi undi kepada mereka.

Secara umum, terdapat tiga model tingkah laku pilihan raya yang telah dilakukan
pengkaji-pengkaji di Barat iaitu model sosiologikal, model identifikasi parti dan model pilihan
rasional. Artikel ini akan menghuraikan ketiga-tiga model tersebut secara komprehensif dan cuba
untuk membuat tinjauan awal mengenai model tingkah laku pengundian di Malaysia.

MODEL TINGKAH LAKU PENGUNDIAN

Model Columbia
Model yang berasaskan bidang sosiologi ini mula diperkenalkan oleh Paul Lazarsfeld, Bernad
Berelson dan Hazel Gaudet (1944) di Universiti Columbia. Buku The People’s Choice
merupakan hasil kajian mereka di dalam pilihan raya presiden 1940. Selepas itu mereka juga
telah menghasilkan buku Voting terbitan tahun 1954 dan Personal Influence pada tahun 1955.
Kumpulan penyelidik Universiti Columbia ini telah menggunakan instrumen soal selidik sebagai
metodologi utama mereka untuk mendapatkan data dalam pilihan raya presiden. Menurut Barne
dan Kasse (1979), kajian oleh Lazarsfeld dan rakan-rakan pada tahun 1940 tersebut adalah kajian
yang pertama menggunakan instrumen soal selidik dalam kajian pilihan raya presiden Amerika.

Dalam kajian tersebut, seramai 600 pengundi di negeri Ohio telah dipilih untuk dijadikan
panel temubual. Setiap daripada mereka telah ditemubual sebanyak tujuh kali sepanjang tujuh
bulan kempen pilihan raya presiden berjalan. Sebelum kajian lapangan dilakukan, hipotesis
utama Lazarsfeld dan rakan-rakan (1940) adalah pengundi akan dipengaruhi oleh media
sepanjang waktu kempen berlangsung. Walau bagaimanapun mereka mendapati hipotesis
mereka adalah bertentangan dengan dapatan kajian iaitu pengaruh media terhadap tingkah laku
pengundi adalah berada dalam tahap minimum sahaja. Majoriti responden yang ditemui telah
menetapkan pilihan parti mereka sejak awal kempen lagi.

Akhirnya mereka membuat kesimpulan bahawa tingkah laku pengundian di kalangan


pengundi Amerika adalah berkait rapat dengan kumpulan sosial iaitu status sosio-ekonomi,
agama dan persekitaran tempat tinggal. Mereka membuat andaian bahawa kumpulan-kumpulan
sosial ini berkongsi kecenderungan yang sama dan ini menyebabkan corak pengundian adalah
berasaskan kumpulan-kumpulan sosial tersebut. Sebagai contoh, dari segi agama, pengundi yang
bermazhab Protestant lebih cenderung mengundi kepada parti Republikan berbanding pengundi
bermazhab Katolik (Lazaresfeld et al., 1940).

Dalam kajian seterusnya dalam pilihan raya presiden pada tahun 1948 yang kemudiannya
diterbitkan buku Voting (Berelson, Lazarsfeld & McPhee, 1954), selain daripada faktor sosio-
ekonomi, agama dan persekitaran tempat tinggal, kumpulan pengkaji Universiti Columbia ini
turut menambah faktor kelas sosial, etnik dan ekologikal juga memainkan peranan penting dalam
aspek tingkah laku pengundi. Selain itu, mereka turut menjelaskan bahawa agen sosialisisi
persekitaran tempat tinggal yang mempengaruhi pendapat politik dan tingkah laku pengundi
adalah keluarga, rakan-rakan dan jiran-jiran.

Hasil kajian kumpulan pengkaji daripada Universiti Columbia ini telah merintis beberapa
kajian seperti jurang sosial terhadap prestasi parti-parti politik di Eropah (Lipset & Rokken,
1967), kemunculan kelas pertengahan dan tingkah laku pengundian mereka (Health et al., 1991),
jurang agama dalam tingkah laku pengundian di Amerika (Campbell, 2002) dan pengaruh
mazhab agama terhadap sokongan parti (Dalton, 2006).

Model Michigan
Model Michigan ini telah diperkenalkan oleh sekumpulan pengkaji daripada University of
Michigan di Amerika semasa mereka melakukan kajian semasa pilihan raya Presiden Amerika
sejak tahun tahun 1948 lagi. Dapatan dan analisa kajian tersebut kemudianya dibukukan oleh
Campbell dan Khan (1952) melalui The People Elect at President. Hasil dapatan kajian pilihan
raya Presiden pada 1952 pula dibukukan oleh Campbell, Gurin dan Miller (1954) melalui The
Voter Decides manakala buku The American Voter adalah hasil kajian dalam pilihan raya tahun
1956 yang lebih komprehensif. Buku ini ditulis bersama oleh Campbell, Miller dan Stokes
(1960).

Kajian lapangan yang dilakukan Campbell dan rakan-rakan beliau telah dibuat melalui
Survey Research Centre di University of Michigan. Kini pusat berkenaan dikenali dengan
American National Electoral Studies (ANES) merupakan satu pusat setempat kajian pilihan raya
nasional yang sering menjalankan kajian pendapat awam di Amerika.

Campbell et al. (1960) membuat kesimpulan bahawa pengundi tidaklah membuat


pengundian secara rasional iaitu selari dengan apa yang mereka mahukan. Mereka berpendapat
bahawa sebahagian pengundi tidak mempunyai maklumat dan kepekaan politik yang tinggi
untuk membuat pilihan yang terbaik di peti undi. Mereka mendapati pengundi mempunyai
kesetiaan yang berpanjangan terhadap sesuatu parti seterusnya mempengaruhi sikap dan tingkah
laku politik di samping berterusan mengundi parti berkenaan setiap pilihan raya diadakan.

Sehubungan itu, Campbell et al. (1960) telah memperkenalkan satu model berasaskan
psikologi iaitu model identifikasi parti. Model ini menyatakan bahawa seseorang pengundi itu
memilih sesuatu calon dan parti adalah berasaskan ikatan dan kesetiaan seseorang itu terhadap
parti tersebut. Kadar ikatan dan kesetiaan ini menurut teori ini, semakin lama seseorang itu
mengundi, semakin kuat ikatan dan kesetiaan terhadap parti yang dipilihnya. Ikatan dan
kesetiaan ini dibentuk melalui pelbagai kaedah dan cara. Yang paling berpengaruh mengikut
model ini ialah proses sosiolisasi politik melalui keluarga. Sebagai contoh, jika ibu bapa adalah
merupakan penyokong kuat Parti Demokrat, maka kebiasaannya pendirian politik mereka akan
diwarisi oleh anak-anak mereka.

Dalam model identifikasi parti, terdapat tiga pemboleh ubah utama iaitu parti, calon dan
isu. Menurut Campbell et al. (1960), selain pemboleh ubah parti yang menjadi asas kepada teori
identifikasi parti, dua faktor lain yang turut mempengaruhi tingkah laku pengundi adalah
pemboleh ubah calon dan isu. Kedua-dua faktor ini menurut Campbell et al. (1960 adalah hanya
merupakan faktor jangka masa pendek sahaja dan tidak menjejaskan kesetiaan dan identifikasi
seseorang pengundi ke atas parti berkenaan. Bilangan yang mengundi di atas dua faktor ini
adalah kecil sahaja kerana sebahagian besarnya akan terus setia mengundi sesuatu parti.

Model Downs
Pengemuka model ini adalah seorang ahli ekonomi iaitu Anthony Downs (1957) melalui
bukunya yang terkenal, An Economic Theory of Democracy. Model ini lebih dikenali dengan
rational choice atau model pilihan rasional dengan premis bahawa pengundi akan memilih
sesuatu parti dan calon berasaskan keuntungan yang akan didapatinya hasil daripada pilihan
tersebut.

Downs menerangkan bahawa pengundi akan membuat perbandingan antara mengekalkan


parti pemerintah sedia ada atau memilih parti pembangkang untuk dijadikan kerajaan mereka
yang baru. Asas pilihan ini adalah berdasarkan pengundi mempunyai maklumat tentang isu-isu
dasar dan polisi parti-parti yang bertanding dan membuat perbandingan secara rasional untuk
memilih parti yang mendatangkan faedah dan keuntungan lebih kepada mereka.

Seterusnya model ini juga membuat andaian bahawa sekiranya pengundi merasakan
pengundian tersebut tidak akan mendatangkan sebarang faedah dan keuntungan kepada mereka,
maka mereka tidak akan keluar mengundi. Andaian ini berdasarkan pertimbangan ekonomi iaitu
pengundi tidak akan mengeluarkan kos sama ada dalam bentuk masa, tenaga atau wang untuk
mengundi sekiranya mereka merasakan pengundian tersebut tidak mampu memberikan mereka
faedah dan keuntungan yang lebih besar daripada kos tersebut.

Model yang dikemukan oleh Downs ini telah membuka jalan kepada seorang pengkaji
terkemudian iaitu Fiorina (1981) yang memperkenalkan model retrospective voting (pengundian
berasaskan pengalaman lalu) iaitu model yang diubah suai daripada model pilihan rasional.
Fiorina menyatakan bahawa pengundi yang rasional akan mengundi berdasarkan penilaian
pengundi terhadap prestasi parti pemerintah dalam penggal pemerintahan mereka. Jika semasa
pemerintahan mereka berjalan dengan baik dan memberi faedah kepada pengundi, maka
pengundi akan lebih cenderung untuk mengekalkan pemerintahan mereka dan sebaliknya berlaku
jika pemerintahan mereka tidak berjalan tidak baik dan tidak memberi faedah kepada pengundi.
Antara pemboleh ubah menurut Fiorina ialah dasar-dasar atau polisi-polisi yang diperkenalkan
dan prestasi ekonomi.

Model pengundian di Malaysia

Umumnya di dalam konteks Malaysia, model pengundian yang menjadi asas perbincangan dan
analisa politik dan pilihan raya Malaysia adalah model pengundian sosiologikal yang
menyatakan wujudnya pengaruh kumpulan-kumpulan sosial seperti etnik, agama, kelas dan
persekitaran tempat tinggal dalam tingkah laku pengundian. Pengaruh kumpulan sosial etnik
adalah pendekatan popular yang sering digunakan oleh para pengkaji pilihan raya dalam
menganalisa keputusan pilihan raya Malaysia (lihat McGee 1962; Ratnam 1965; R.K. Vasil 1965
dan 1971; Ratnam & Milne 1970; Ismail Kassim 1979; Crouch et al. 1980; Rizal & Jummat
2002; Brown 2005; Balasubramaniam 2005 dan 2006; Mohd Fuad et al. 2011).
Misalnya seorang sarjana geografi politik, McGee (1962) dalam kajian pilihan raya
pertama Malaysia pada tahun 1959 menyatakan bahawa etnik merupakan angkubah terpenting
dalam proses pilihan raya di Malaysia. Kewujudan parti politik berasaskan etnik seperti UMNO,
MCA, MIC dan PAS membuktikan realiti tersebut. Perkiraan etnik ini menurut McGee adalah
disebabkan wujudnya multi etnik yang mendiami negara ini dan seterusnya membentuk
kawasan-kawasan parlimen yang berasaskan etnik. Kawasan-kawasan yang mempunyai majoriti
etnik tertentu akan diletakkan calon daripada etnik yang sama oleh parti-parti yang bertanding.
Menurut beliau lagi jika parti politik yang meletakkan calon etnik yang berbeza dengan etnik
majoriti di kawasan pilihan raya, maka parti tersebut akan menghadapi risiko kekalahan.

Ratnam (1970) yang mengkaji pilihan raya umum 1969 menekankan faktor kumpulan
etnik yang tinggal secara berasingan telah membentuk latar belakang kawasan pilihan raya yang
bersifat communal votes. Brown (2005) juga bersetuju bahawa kelakuan pengundian di Malaysia
sejak pilihan raya pertama lagi pada tahun 1959 sehingga 2004 adalah dicorakkan oleh faktor
etnik sebagai asas sokongan kepada parti politik. Kawasan-kawasan yang mempunyai majoriti
Melayu akan memberi sokongan kepada BN manaka kawasan majoriti Cina lebih cenderung
kepada pihak pembangkang.

Walau bagaimanapun, beberapa pengkaji menyatakan pilihan raya umum 1999


merupakan permulaan politik baru dalam lanskap politik dan pilihan raya Malaysia apabila
faktor perkauman atau etnik semakin berkurangan (Shamsul 1999; Rizal & Jumaat 2002; Yusof
& Azlan 2002). Hal ini menurut mereka pengundi mula berani mengalihkan undi mereka
daripada parti pemerintah kepada parti pembangkang. Berbeza dengan politik lama, politik baru
adalah lebih berasaskan kepada isu atau kepentingan umum dan kurang berasaskan politik
perkauman dan kelas (Shamsul, 1999).

Selain daripada pengaruh etnik, faktor kewilayahan dan dikotomi bandar-luar bandar juga
mendapat perhatian pengkaji. Misalnya Fuad & Sabihah (2002) menyatakan sokongan politik
adalah dipengaruhi oleh faktor kawasan dan wilayah. Di wilayah utara yang mempunyai majoriti
pengundi Melayu memberi sokongan yang kuat kepada Barisan Nasional manakala wilayah
pantai timur pengundi memberi sokongan kepada PAS. Pengundi Cina yang kebanyakkan
bertumpu di wilayah pantai barat terutama di kawasan-kawasan bandar pula memberi sokongan
kepada DAP manakala wilayah Sabah dan Sarawak yang rata-ratanya pengundi berada di
kawasan luar bandar dan pendalaman, mereka memberi sokongan yang kuat diberikan kepada
Barisan Nasional. Dikotomi bandar-luar bandar pula menyatakan bahawa pengundi bandar akan
memberi sokongan yang kuat kepada DAP manakala pengundi kawasan luar bandar adalah
penyokong setia Barisan Nasional (Sankaran & Hamdan 1988).

Walaupun demikian, terdapat juga beberapa sarjana tempatan yang telah menyentuh
tentang dua model pengundian yang lain iaitu model identifikasi parti dan pilihan rasional.
Antaranya ialah Ghazali Mayuddin (1999) yang mengulas tentang identifikasi parti dan
pengundian dengan menggunakan data agregat pilihan raya umum 1982, 1986, 1990 dan 1995
bagi menggambarkan identifikasi parti berlaku di Malaysia. Kajian beliau bertumpu kepada data
perbezaan peratusan undi dan kerusi yang diperolehi oleh Barisan Nasional dan pihak
pembangkang di negeri Kedah dan Pulau Pinang. Beliau mengambil data keputusan agregat
parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) dua negeri berkenaan untuk dianalisa perbandingan
identifikasi parti. Dua negera berkenaan dipilih kerana pengundi Melayu merupakan majoriti di
Kedah manakala pengundi Cina adalah majoriti di Pulau Pinang.

Ghazali (1999) mendapati bahawa sokongan pengundi Melayu terhadap BN adalah stabil
pada empat kali pilihan raya umum berkenaan berbanding sokongan pengundi Cina yang turun
dan naik di Pulau Pinang. Beliau juga mendapati terdapat perbezaan yang ketara antara sokongan
undi di peringkat DUN dan parlimen di Pulau Pinang. Sebagai contoh, dalam pilihan raya umum
1995, DAP memenangi tiga parlimen (Bagan, Tanjong dan Jelutong) yang ditandingi di Pulau
Pinang namun tewas kesemuanya di peringkat DUN yang berada di bawah parlimen tersebut.
Corak pengundian sedemikian menurut Ghazali menunjukkan pengundi Cina mahupun kerajaan
negeri kekal dikuasai oleh Barisan Nasional namun mereka mahukan suara pembangkang yang
kuat di peringkat Dewan Rakyat melalui memberi undi kepada DAP di peringkat parlimen tetapi
memberi undi kepada Barisan Nasional di peringkat DUN. Justeru, beliau membuat kesimpulan
bahawa model tingkah laku pengundi Melayu lebih kepada identifikasi parti manakala model
tingkah laku pengundi Cina lebih kepada model pilihan rasional.

Walau bagaimanapun, Nidzam Sulaiman dan Bilcher Bala (2002) pula dalam kajian
pilihan raya 1999 mendapati kawasan pilihan raya parlimen yang mempunyai identifikasi parti
yang kuat kepada Barisan Nasional telah berubah kepada pakatan pembangkang. Walau
bagaimanapun perubahan tersebut tidak menyeluruh dan hanya menumpu kepada pengundi
Melayu di kawasan bandar sahaja. Begitu juga oleh Rizal Yaakop dan Jumaat Abd. Moen
(2002) dalam kajian pilihan raya umum 1999, mereka mendapati peratusan kesanggupan
pengundi Bumiputera (Melayu, Kadazan, Dayak) untuk menukar kerajaan (dalam erti kata lain
mengundi parti lain) adalah tinggi berbanding pengundi Cina dan India.

PERBINCANGAN

Dalam menganalisa model tingkah laku pengundian di Malaysia, keputusan agregat pilihan raya
umum yang pertama kali iaitu pada tahun 1959 sehingga 2008 digunakan untuk mendapatkan
corak dan tingkah laku pengundian yang berlaku (Rajah 1 dan Rajah 2). Dalam sejarah 12 kali
pilihan raya umum diadakan, pengundi memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional
apabila memperolehi majoriti 2/3 kerusi parlimen dalam setiap pilihan raya kecuali pilihan raya
umum 1969 dan 2008. Walaupun berlaku bias antara kerusi yang dimenangi dengan peratusan
undi yang diperolehi, sokongan pengundi kepada Barisan Nasional secara umumnya adalah
stabil dan kuat.

Rajah 1 dan Rajah 2 juga memperlihatkan sokongan yang diperolehi Barisan Nasional
dan pihak pembangkang adalah berbentuk zig zag atau turun naik tetapi stabil. Dalam teori
identifikasi parti, walaupun seseorang pengundi sudah membentuk identifikasi dengan sesuatu
parti, ini tidak bermakna undi pengundi adalah tetap kepada parti berkenaan.

Pengundi kemungkinan beralih undi kepada parti lain jika tidak puas hati dengan parti
berkenaan namun ianya adalah bersifat sementara sahaja dan dalam pilihan raya berikutnya,
pengundi berkemungkinan besar akan kembali mengundi parti asal mereka (Ghazali 1999).
Kerusi BN % Kerusi Pem %

87.6 90.8
85.5 83.7 85.7 83.6 84.3
76.6
71.1 71.6
63.0
59.0

23
17.3 19.1
12.5 13.6 14.1 15.0
8.6 5.8 9.0 8.3 8.2

1959 1964 1969 1974 1978 1982 1986 1990 1995 1999 2004 2008

Rajah 1: Peratusan kerusi yang dimenangi oleh BN dan pembangkang dalam pilihan raya
di Malaysia, 1959-2008

Undi BN % Undi Pem %

65.1 63.8
58.5 60.7 60.5
57.4 57.2 56.6
51.7 53.5 53
44.9

34.4 36.5
32.8 34.0
27.7 28.9
24.3 25.2
21.2 19.3
18
14.6

1959 1964 1969 1974 1978 1982 1986 1990 1995 1999 2004 2008

Rajah 2: Peratusan undi yang dimenangi oleh BN dan pembangkang dalam pilihan raya di
Malaysia, 1959-2008

Situasi ini dapat diterangkan dengan merujuk kepada Jadual 1. Data yang digunakan
adalah kerusi parlimen yang mempunyai dua per tiga majoriti pengundi Melayu (peratusan 66.7
peratus ke atas) dengan menggunakan data agregat keputusan parlimen dalam pilihan raya umum
1986 sehingga 2008.
Dalam pilihan raya umum 1986, sokongan pengundi Melayu kepada Barisan Nasional
adalah 63.0 peratus sebelumnya ianya jatuh kepada 55.9 peratus dalam pilihan raya umum 1990
dan kembali kepada 60.8 peratus dalam pilihan raya umum 1995. Kemudian ianya jatuh kepada
49.8 dalam pilihan raya umum 1999 peratus namun dalam pilihan raya umum 2004 pengundi
Melayu kembali menyokong Barisan Nasional dengan undi sebanyak 60.3 peratus. Ghazali
(1999) mengaitkan beberapa isu yang menyebabkan pengundi Melayu beralih kepada pihak
pembangkang dalam pilihan raya 1990 dan 1999.

Menjelang pilihan raya 1990 telah berlaku beberapa isu yang melibatkan orang Melayu
iaitu perpecahan UMNO sehingga membawa penubuhan Parti Semangat 46 yang diketuai oleh
Tengku Razaleigh Hamzah. Ini menyebabkan berlaku sokongan adalah Pengundi Melayu
memberikan sokongan kuat kepada pihak pembangkang dalam pilihan raya umum 1999 adalah
disebabkan simpati mereka terhadap isu pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana
Menteri.

Ini dapat disimpulkan bahawa corak pengundian yang dilakukan oleh pengundi Melayu
ialah mereka pada dasarnya mengidentifikasi dengan Barisan Nasional namun apabila timbul
beberapa isu yang melibatkan orang Melayu, maka sebahagian mereka menunjukkan protes
kepada Barisan Nasional dengan mengundi parti pembangkang.

Selain itu, dapat digambarkan juga bahawa peralihan undi ini bukanlah disebabkan oleh
kekuatan yang dimiliki oleh pihak pembangkang, tetapi disebabkan oleh masalah dalaman yang
dihadapai oleh Barisan Nasional. Undi peralihan atau undi protes ini adalah bersifat sementara
sahaja dan mereka akan kembali mengundi Barisan Nasional dalam pilihan raya berikutnya. Ini
dapat dibuktikan dalam pilihan umum 1995 dan 2004.

Jadual 1: Bilangan dan peratusan kerusi dan undi menang bagi pihak Barisan Nasional
dan pembangkang bagi kawasn majoriti etnik Melayu dalam pilihan raya umum 1986
sehingga 2008

Bil. Barisan Nasional Pembangkang


kerusi Kerusi Kerusi Undi Undi Kerusi Kerusi Undi Undi
Tahun
majoriti Menang, Menang, Menang, Menang, Menang, Menang, Menang, Menang,
Melayu N % N % N % N %
1986 52 51 98.1 860,546 63.0 1 1.9 499.354 36.2
1990 52 37 71.2 923,324 55.9 15 28.8 725,878 43.9
1995 57 43 75.4 1,046,416 60.8 14 24.6 670,258 38.9
1999 58 27 46.6 964,619 49.8 31 53.4 971,602 50.2
2004 68 59 86.8 1,431,127 60.3 9 13.2 935,196 39.4
2008 71 46 64.8 1,467,609 54.3 25 35.2 1,288,025 47.7

Sumber: Diubahsuai daripada laporan Suruhanjaya Pilihan Raya tahun 1986, 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008

Dalam konteks corak pengundian yang dilakukan oleh pengundi Cina pula, sokongan dan
undi mereka adalah kepada pihak pembangkang apabila peratusan undi kepada pihak
pembangkang adalah melebihi 50 peratus (rujuk jadual 2). Hanya dalam pilihan raya 1995, 1999
dan 2004 sahaja sokongan pengundi Cina terhadap pihak pihak pembangkang berada di bawah
aras 55 peratus dengan pilihan raya lainnya berada di aras sokongan 66 peratus ke atas. Menurut
Ghazali (2006) pilihan raya 1995 boleh dikaitkan dengan prestasi dan pertumbuhan ekonomi
yang memberangsangkan maka sebahagian besar pengundi Cina memilih Barisan Nasional untuk
mengekalkan kestabilan ekonomi ini.

Bagi pilihan raya 1999 pula, pengundi Cina melihat kerjasama DAP dengan PAS pada
waktu itu boleh mengancam kedudukan mereka maka mereka mengundi Barisan Nasional
walaupun pada waktu ketika itu pengundi Melayu sudah beralih kepada pihak pembangkang.
Perkiraan ini adalah berdasarkan pilihan rasional yang mana menurut perkiraan mereka,
kerjasama tersebut boleh menjejaskan kepentingan kaum Cina. Walau bagaimanapun, secara
asasnya sokongan kaum Cina terhadap pihak pembangkang adalah stabil dan kuat maka boleh
dibuat kesimpulan bahawa mereka pada dasarnya mengidentifikasi terhadap parti pembangkang
iaitu DAP.

Jadual 2: Bilangan dan peratusan kerusi dan undi menang bagi pihak Barisan Nasional
dan pembangkang bagi kawasan majoriti etnik Cina dalam pilihan raya umum 1986
sehingga 2008

Bil. Barisan Nasional Pembangkang


kerusi Kerusi Kerusi Undi Undi Kerusi Kerusi Undi Undi
Tahun
majoriti Menang, Menang, Menang, Menang, Menang, Menang, Menang, Menang,
Cina N % N % N % N %
1986 9 0 0.0 126,154 32.5 9 100.0 257,465 66.3
1990 9 0 0.0 130,502 32.7 9 100.0 268,310 67.3
1995 10 4 40.0 215,230 47.1 6 60.0 240,116 52.7
1999 12 5 41.7 276,446 48.7 7 58.3 567,612 50.7
2004 13 3 23.1 274,956 47.6 10 76.9 301,715 52.2
2008 13 0 0.0 181,515 28.7 13 100.0 450,672 71.3

Sumber: Diubahsuai daripada laporan Suruhanjaya Pilihan Raya tahun 1986, 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008

Adakah politik etnik mempengaruhi tingkah laku pengundian di Malaysia?

Secara umum, politik etnik dalam tingkah laku pengundian boleh membawa erti seseorang
pengundi itu memilih parti atau calon berasaskan etnik yang sama. Di dalam konteks parti,
seseorang pengundi cenderung untuk mengundi parti yang mewakili kaum masing-masing.
Sebagai contoh pengundi Melayu lebih cenderung untuk menyokong UMNO atau PAS,
pengundi Cina cenderung menyokong MCA atau Gerakan atau DAP, manakala pengundi India
leboh cenderung menyokong MIC.

Dalam konteks calon pula, politik etnik bermaksud pengundi lebih cenderung mengundi
calon yang seetnik dengan mereka. Ini bermaksud jika berlaku pertembungan antara calon-calon
yang bertanding berlainan etnik, maka pengundi lebih cenderung untuk mengundi calon yang
seetnik dengan mereka walau apapun parti yang mereka wakili. Perkiraan ini timbul kerana oleh
kerana calon itu adalah seetnik, maka pengundi calon tersebut akan lebih lebih memahami
aspirasi dan keperluan mereka berbanding calon yang tidak seetnik. Perkiraan ini juga yang
menyebabkan kebiasaannya parti akan meletakkan calon daripada etnik yang sama dengan
majoriti etnik pengundi di sesuatu kawasan pilihan raya. Persoalan yang timbul, adakah
pengundi memilih calon berdasarkan etnik tanpa menghiraukan parti yang diwakili oleh mereka?
Bagaimana pula corak pengundian oleh pengundi di kawasan-kawasan bercampur iaitu tiada
etnik yang menjadi majoriti?

Justeru, dalam menilai tanggapan bahawa pengundi memilih berdasarkan etnik, beberapa
keputusan pilihan raya parlimen semasa pilihan raya umum 2004 dan pilihan raya umum 2008 di
analisa untuk melihat tanggapan tersebut.

Jadual 3: Kawasan majoriti etnik pengundi yang melibatkan pertembungan antara dua
calon etnik yang berbeza

Bil Kawasan Parlimen Majoriti Calon BN Calon Calon Menang dan


Etnik Pembangkang Majoriti
1 Bukit Gantang (2004) M: 63% Tan Lian Hoe Lo’Lo’ Ghazali Tan Lian Hoe
C: 27% (BN-GRM) (PAS) (6,702)
I: 10%
2 Grik (2008) M: 73% Tan Lian Hoe Mohd Noor Abdul Tan Lian Hoe
C: 18% (BN- GRM) Rahman (PAS) (5,573)
I: 8%
3 Hulu Selangor (2004) M: 51% G. Palanivel (BN- Ismail Kamus (PAS) G. Palanivel
C: 29% MIC) (14,483)
I: 19%
4 Hulu Selangor (2008) M: 54% G. Palanivel (BN- Zainal Abidin Zainal Abidin
C: 27% MIC) Ahmad (PKR) Ahmad (198)
I: 19%
5 Kota Raja (2004) M: 49% S. Vigneswaran Siti Mariah S. Vigneswaran
C: 21% (BN-MIC) Mahmud (PAS) (8,239)
I: 28 %
6 Kota Raja (2008) M: 48% S. Vigneswaran Siti Mariah Siti Mariah Mahmud
C: 23% (BN-MIC) Mahmud (PAS) (20,751)
I: 28 %

Jadual 3 di menunjukkan perbandingan keputusan kawasan pilihan raya pada tahun 2004
dan tahun 2008 yang melibatkan pertandingan dua calon yang berbeza etnik. Perbandingan
kawasan no. 1 dan no. 2 adalah melibatkan kawasan yang ditanding oleh Tan Lian Hoe iaitu di
kawasan Parlimen Bukit Gantang pada 2004 dan Gerik pada 2008. Kedua-dua kawasan ini
merupakan kawasan majoriti Melayu namun BN meletakkan calon bukan Melayu daripada
Gerakan untuk bertanding di situ bagi menunjukkan permuafakan di dalam Barisan Nasional.
Keputusan menunjukkan Tan Lia Hoe menang kedua-dua kerusi tersebut walaupun ditandingi
oleh calon Melayu daripada parti pembangkang. Ini menunjukkan bahawa pengundi Melayu di
kawasan tersebut tidak melihat faktor calon yang bukan seetnik dengan mereka sebagai
penghalang untuk mereka mengundi calon Barisan Nasional.

Dalam kes pertembungan calon bukan Melayu daripada Barisan Nasional dengan calon
Melayu daripada pihak pembangkang, pengundi Melayu di dalam kawasan berkenaan
kebiasannya tetap mengundi Barisan Nasional walaupun calon tersebut bukan seetnik dengan
mereka. Hal ini kerana mereka melihat bahawa UMNO yang mendominasi dan tonggak Barisan
Nasional. Maka soal asalkan calon daripada Barisan Nasional, mereka beranggapan undi mereka
tetap kepada UMNO.

Walau bagaimanapun ini berbeza keputusan kawasan pilihan raya Parlimen Hulu
Selangor pada tahun 2004 dan 2008. Keputusan menunjukkan G. Palanivel daripada BN yang
menentang calon Melayu daripada parti pembangkang memenangi kerusi pada 2004 dengan
majoriti besar namun tewas kepada parti pembangkang pada 2008. Begitu juga dengan kawasan
Parlimen Kota Raja menunjukkan Dr Mariah Mahmud daripada parti pembangkang memenangi
kerusi pada 2008 dengan majoriti yang besar. Walaupun kedua-dua kawasan ini mempunyai
majoriti bukan Melayu yang besar, namun ianya tidak menghalang mereka untuk mengundi
calon Melayu pada 2008.

Ketiga-tiga contoh ini menunjukkan bahawa pengundi pada asasnya mengundi


berdasarkan faktor parti berbanding calon walaupun calon tersebut bukan seetnik dengan
mereka. Ini dibuktikan penemuan kajian seperti Jadual 4.

Jadual 4: Kriteria pemilihan calon dalam pilihan raya oleh pengundi

Kriteria Peratus
Bakat/kepimpinan 31.9
Etnik/Bangsa 7.5
Ideologi 19.0
Parti yang calon wakili 41.7

Jumlah 100
Sumber: Rizal & Jumaat (2002)

Dapatan kajian lapangan oleh Rizal dan Jumaat (2002) dalam pilihan raya umum 1999
menunjukkan bahawa etnik etnik adalah bukan kiteria pengundian utama oleh responden.
Responden lebih menitik beratkan faktor parti yang diwakili oleh calon yang bertanding dan
kepimpinan calon tersebut berbanding etnik.

KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan di atas, model identifikasi parti adalah masih dominan berbanding
model pengundian lain di Malaysia. Pengundi lebih memilih parti berbanding faktor calon dan
dan faktor isu. Faktor calon yang seetnik juga bukan merupakan faktor utama pemilihan dalam
pengundian. Pengundi secara umumnya telah mengidentifikasi dengan parti-parti tertentu.
Namun begitu didapati juga jumlah pengundi yang tidak mengikat dengan mana-mana parti dan
cenderung kepada model pilihan rasional dan model retrospektif juga semakin membesar dan
menjadi faktor penentu di kawasan-kawasan pilihan raya tertentu.
RUJUKAN

Berelson, B., Lazarsfeld P.F. and McPhee W.N. 1954. Voting: A Study of Opinion Formation in
a Presidential Campaign. Chicago: The University of Chicago Press.
Brown, G.K. 2005. Playing the (non) ethnic card: The electoral system and ethnic voting patterns
in Malaysia. Ethnopolitics. 4/4: 429-445.
Campbel,A., Converse, P.E., Miller,W.E.and Stokes, D.E. 1960. The American Voter. New
York. Jown Wiley.
Campbell, D.E. 2002. The young and the realigning, a test of the socialization theory of
realignment. Public Opinion Quarterly. 66: 209.234.
Clarke, H.D., Sanders, D., Stewart, M.F. and Whiteley, P. 2004. Political Choice in Britain.
Oxford: Oxford University Press.
Crouch, H. 1980. Malaysian Politics And The 1978 Election. New York: Oxford University
Press.
Dalton R.J. 2006. Citizen politics, public opinion and political parties in advance industrial
democracies. Washington: CQ Press.
David Butler & Dennis Kavanagh. 2002. The British General Election of 2001. New York:
Palgrave.
Downs, A. 1957. An Economic Theory of Democracy. New York: Harper and Row.
Fiorina, M.P. 1981. Retrospective Voting in American National Elections. New Haven: Yale
University Press.
Ghazali Mayudin. 1999. Teori Sains Politik Pilihan: Aplikasinya Dalam Konteks Malaysia.
Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Harrop, M. & Miller, W.M. 1987. Elections and voters. London: MacMillan.
Health, A., Jowell R. & Curtice, J. 1985. How Britain votes. Oxford: Pergamon
Johnston, R.J., Shelley, F.M. & Taylor, P.J. 1990. Development in Electoral Geography.
London: Routlegde.
K.J Ratnam. 1967. The Malayan Parliamentary Election of 1964. Singapore: University of
Malaya Press.
Lipset, S.M. & Rokkan, S. 1967. Party systems and voter alignments: cross national
perspectives. New York: Free Press.
McGee, T.G. 1962. The Malaysian election of 1959: A study in electoral geography. The Journal
of Tropical Geography. 16:70-99.
Mohd. Fuad Mat Jali & Sabihah Osman. 2002. Politik wilayah dan politik nasional dalam pilihan
raya umum 1999. Dalam Mohd Yusof Kasim & Azlan Ahmad. ed. Politik Baru Dalam
Pilihanraya Umum. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
Mohd Yusof Kasim & Azlan Ahmad. 2002. Politik Baru Dalam Pilihanraya Umum. Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
Ratnam, K.J. 1965. Communalism and the political process in Malaya. Singapore: University of
Malaya Press.
Rizal Yaakop & Jumaat Abd. Moen. 2002. Politik etnik dan perkembangan politik baru. Dalam
Mohd Yusof Kasim & Azlan Ahmad. ed. Politik Baru Dalam Pilihanraya Umum. Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Anda mungkin juga menyukai