Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN GURU BESAR SEMPENA MAJLIS LAMBAIAN KASIH

SANJUNGAN BUDI CIKGU MUNAWAR BIN MOHAMED, CIKGU SULAILI BINTI


TIMYATI & CIKGU RIZAL BIN SULEHAN

18 NOVEMBER 2021

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,
Terima kasih, saudari pengacara majlis,

 Yang Berusaha, Cikgu Mohd Jaafar bin Hussin, Pengerusi KEBIRUS,


 Yang dihormati, Encik Roslan bin Bidin, Yang dipertua PIBG, SK LKTP Batu 27,
 Yang Dihormati,Encik Khairol Azwan bin Aris, Pengurus Felda Lenga.
 Yang diraikan, Cikgu Munawar bin Mohamed,
 Yang turut diraikan, Cikgu Sulaili binti Timyati,
 Juga, Yang diraikan, Cikgu Rizal bin Sulehan,
 Guru-guru Penolong Kanan, Ahli-ahli jawatankuasa.PIBG, seterusnya guru-guru
SK LKTP Batu 27 yang dikasihi.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana


dengan keizinan-Nya, kita dapat berkumpul dalam majlis yang penuh bermakna
pada petang ini bagi meraikan mantan barisan pentadbir SK LKTP Batu 27 yang
telah bertukar dan menggalas tanggungjawab masing-masing di sekolah baharu.
Tahniah diucapkan kepada Cikgu Sulaili dan Cikgu Rizal atas kenaikan pangkat.
Tahniah juga diucapkan kepada Cikgu Munawar kerana dapat bertukar ke sekolah
yang lebih hampir dengan tempat tinggal.

Terima kasih kepada semua yang dapat hadir pada petang ini. Tidak lupa juga
terima kasih tidak terhingga atas kesudian Cikgu Munawar, Cikgu Sulaili dan Cikgu
Rizal untuk hadir ke majlis ini. Saya bagi pihak sekolah memohon maaf kerana
walaupun sudah hampir 5 bulan, cikgu-cikgu berpindah, sehinggalah pada hari ini,
baru dapat mengadakan majlis. Hal ini bukanlah disengajakan, tetapi kerana
kekangan pandemik yang melanda negara kita.
Hadirin sekalian,
Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan, setiap yang bermula pasti akan
berakhir. Setiap yang hidup pasti akan mati. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan.
Itulah kehidupan. Mahu atau tidak, perkara tersebut tidak mungkin dapat dielakkan.
Dalam dunia pekerjaan, lebih-lebih lagi penjawat awam,pertukaran tempat kerja itu
pasti akan berlaku. Namun walau di mana kita ditempatkan, Tanggungjawab yang
diamanahkan tetap akan kita laksanakan seperti peribahasa ‘Di mana bumi dipijak,
di situ langit dijunjung’.

Hadirin sekalian,
Sepanjang tempoh perkhidmatan barisan pentadbir ini di sekolah ini, pastinya
telah banyak menyumbang jasa terhadap kemajuan, perkembangan dan
pembangunan sekolah sama ada dari segi akademik, kokurikulum , keceriaan dan
pembinaan modal insan.
Pengorbanan Cikgu Munawar yang terpaksa berulang-alik sejauh lebih 50km
sehari selama hampir 3 tahun bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Beliau juga sentiasa mementingkan pendidikan dan sentiasa memikirkan hala tuju
sekolah. Prasarana sekolah sentiasa diutamakan agar murid-murid dapat belajar
dalam suasana yang kondusif.
Begitu juga dengan Cikgu Sulaili yang menggalas tanggungjawab GPK Hem.
Beliau sentiasa memastikan kebajikan murid terjaga, sahsiah murid terpelihara bagi
memastikan kemenjadian murid yang diharapkan oleh pihak sekolah dan keluarga
terlaksana.
Manakala Cikgu Rizal pula, banyak kejayaan dalam bidang kokurikulum yang
dicapai sepanjang beliau bergelar GPK Kokurikulum di sekolah ini. Antaranya,
menaikkan nama sekolah dalam bidang sukan olahraga di peringkat daerah dan
juga penglibatan murid di peringkat negeri dalam Unit beruniform. Satu hal yang
tidak boleh dilupakan ialah hasil sentuhan seni Cikgu Rizal yang kekal di dinding
sekolah menambahkan keceriaan dan pastinya memukau mata yang memandang.

Saya amat berterima kasih atas jasa-jasa yang telah ditaburkan untuk
sekolah ini sepanjang perkhidmatan cikgu-cikgu di sini. Insya-Allah , saya dan
barisan pentadbir yang baharu akan cuba menggalas tanggungjawab yang
diamanahkan kepada kami dengan sebaik mungkin. Saya juga berharap dan berdoa
agar cikgu-cikgu juga dapat melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan
dengan jayanya.

Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada semua warga SK LKTP
Batu 27 yang telah melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan cemerlang
dalam menjalankan persiapan bagi menjayakan Majlis Lambaian Kasih Sanjungan
Budi pada petang ini.

Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Yang diraikan Cikgu
Munawar, Cikgu Sulaili dan Cikgu Rizal yang sudi hadir bersama-sama kita pada
petang ini.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalammualaikum warahmatullahi


wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai