Anda di halaman 1dari 3

MENGENDALIKAN MAKLUMAT DIHUJUNG JARI

Manusia moden sarat dengan data dan maklumat. Bayangkan berbilion


halaman maklumat yang boleh diperolehi melalui enjin carian Google. Setiap
hari 400 juta tweet dihantar oleh manusia. Pada masa ini 1.4 bilion manusia
mempunyai akaun Facebook. Sebuah buku baharu lahir setiap 30 saat. Kita
diasak dengan jutaan data dan maklumat setiap masa melalui pelbagai
sumber, lebih-lebih lagi melalui Internet.

Satu ketika dahulu, maklumat datang merangkak. Hari ini segala-galanya


boleh didapati dengan pantas dalam sekelip mata. Perpustakaan dan arkib
bukan lagi sumber mendapatkan ilmu dan maklumat. Ensiklopedia yang
mahal dan tebal dianggap tidak relevan lagi. Hari ini Wikipedia memberikan
laluan mudah untuk kita mendapat apa sahaja yang diperlukan. Maklumat kini
di hujung jari.

Komputer saya yang pertama pada awal 80-an namanya Commodore 64 –


sesuai dengan namanya hanya mempunyai 64 bit. Ini bermakna ia boleh
menyimpan paling banyak lima fail untuk rencana seperti ini. Hari ini,
BlackBerry boleh memuatkan maklumat sejuta kali lagi banyak. Ada yang
meramalkan menjelang 2025, kita akan mempunyai komputer yang boleh
memproses maklumat seperti otak manusia. Pada tahun 2045, komputer itu
boleh mempunyai keupayaan memproses enam bilion otak.

Apakah kita berada dalam keadaan ‘sarat maklumat’? Dalam bahasa Inggeris,
ungkapan yang tepat ialah ‘information overload’. Ada juga yang
melabelkannya ‘infobesity’ atau ‘infoxication’. Apakah keadaan ini baik untuk
manusia? Atau menjadikan kita terlalu bergantung pada maklumat atau data?

Nampaknya begitulah, kita berdepan dengan tsunami maklumat –


sebahagiannya berguna, banyak juga sekadar sampah sarap yang tidak
bermanfaat. Apakah manusia menjadi lebih cerdik dengan teknologi di
tangannya?

Ledakan maklumat perlu dimanfaat

Belum tentu! Cara kita mengendalikan media sosial bertentangan dengan


matlamat asalnya. Maklumat yang sepatutnya menguntungkan kita menjadi
musuh utama kita. Ruang siber yang sepatutnya digunakan secara baik untuk
tujuan ilmu dan penyebaran maklumat menjadi gelanggang caci mencaci,
melepas geram malah menghina orang lain.

Apakah maklumat yang kita perolehi itu kita manfaatkan dengan baik? Dan
apakah kita menilainya dengan betul, berhemah dan saksama? Atau kita
sekadar menjadi tukang sebar dan edar apa sahaja fitnah, kebencian dan
dendam orang lain?
Inilah sebenarnya cabaran utama era maklumat hari ini – menjadi manusia
yang bertanggungjawab dalam mengendalikan maklumat. Keadaan sarat
maklumat bermakna input atau kemasukan maklumat lebih daripada
kemampuan kita memprosesnya.

Manusia lebih keliru

Satu waktu dahulu Marshal McLuhan menggunakan istilah ‘global village’


untuk menunjukkan bagaimana dunia menjadi kecil oleh runtuhnya tembok-
tembok akibat ledakan maklumat. Hari ini globalisasi dan keadaan sarat
maklumat telah mengubah dunia. Sayangnya kepantasan dan banyaknya
maklumat tidak semestinya bermakna manusia lebih bermaklumat atau
‘informed’, sebaliknya lebih keliru.

Keupayaan memproses, mengurus dan menyebar maklumat bukan mudah.


Selalunya manusia menjadi mangsa keadaan sarat maklumat – mereka tidak
tahu apa yang perlu dilakukan, malah menjadikan mereka bingung dan keliru.
Ini ada kaitannya dengan batas kemampuan manusia biasa menyimpan
maklumat itu sendiri.

Manusia sentiasa berdepan dengan masalah mengendalikan peralatan


teknologi. Dua puluh tahun yang lalu telefon ‘mobile’ masih terlalu baharu.
Sistem pesanan ringkas (SMS) muncul bersama telefon mudah alih. Hari ini
SMS mencorakkan perhubungan kita. Whatsapp kini memudahkan proses
menulis teks di telefon pintar. Setiap masa kita menunggu datangnya teks
yang dihantar. Di tangan kita letaknya peralatan yang sebenarnya menjadikan
kita dilalaikan oleh teknologi. Malah merenggangkan nilai kekeluargaan dan
sosial.

Jangan sampai teknologi mencorakkan hidup kita sebaliknya kitalah yang


sepatutnya mengendalikan teknologi. Kita harus membuat pilihan sepanjang
masa memetik keperluan daripada gelombang data dan maklumat sedia ada.
Satu ketika dahulu tamadun dicorakkan oleh tradisi ilmu, kesarjanaan dan
penerbitan buku. Hari ini kita menjadi hamba teknologi. Kemanusiaan sudah
dicorakkan oleh kepantasan, keadaan sarat maklumat dan kecanggihan
peralatan teknologi.

Kita harus menerima hakikat keadaan sarat maklumat sebenarnya belum


tentu memguntungkan manusia. Malah ada bukti bahawa ia menjejaskan
produktiviti serta menyebabkan kita membuat keputusan yang salah. Proses
membuat keputusan menjadi lebih rumit dan membebankan.

Jadikanlah maklumat kawan dan bukan lawan. Manfaatkanlah data dengan


betul bukan dengan semberono. Kita tidak akan menjadi lebih berilmu, lebih
celik dan terbuka semata-mata dengan maklumat yang banyak.

Berita Harian, 19 Febuari 2012


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/
Mengendalikanmaklumatdihujungjari/Article/

Anda mungkin juga menyukai