Anda di halaman 1dari 2

SUMBER pembacaan dalam arus digital yang begitu banyak tanpa sekatan menjadi gelanggang untuk

menyebar berita palsu dan kandungan yang merosakkan masyarakat. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad berkata, sehubungan itu usaha serta program pembudayaan amalan membaca perlu disusun
secara sistematik dan harus diperluas kepada segenap lapisan masyarakat di seluruh negara. “Salah satu
cabaran yang kita hadapi hari ini untuk menggalakkan budaya membaca ialah pengaruh digital ke atas
masyarakat.

“Pengaruh digital begitu besar sehingga sumber pembacaan tradisional seperti surat khabar dan buku
semakin diketepikan, malah banyak syarikat akhbar terpaksa menggulung tikar kerana jualan merosot
manakala buku tinggal mengumpul debu di perpustakaan atau atas rak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan di seluruh negara
bermula pada 2021 hingga 2030 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, hari ini. Beliau yang
juga pemangku Menteri Pendidikan berkata, bagaimanapun, pengaruh digital itu tidak bermakna rakyat
sudah berhenti membaca berikutan yang berubah hanya sumber pembacaan.“Hari ini hampir semua
akhbar mempunyai versi digital dan buku juga diterbitkan secara digital." “Pembacaan masih kekal
sebagai satu budaya kerana membaca adalah amalan asas kepada pemerolehan dan pengukuhan ilmu
pengetahuan,” katanya.

Menurutnya, amalan membaca boleh menyebabkan seseorang bukan saja kaya dengan pelbagai ilmu
pengetahuan malah berkebolehan menyampaikan ilmu pengetahuan dengan baik dan
berkesan.“Daripada segi sains, amalan membaca menjadi salah satu kaedah senaman dan latihan minda
yang berkesan di samping berkeupayaan memperkuat rangkaian otak manusia serta mampu merangsang
pembinaan rangkaian saraf yang baharu.“Pembacaan yang banyak juga dapat mempertingkatkan
kecerdasan emosi (emotional intelligence atau EQ) dan tahap kecerdasan intelektual (intelligence
quotient atau IQ) seseorang. Kedua-dua unsur kecerdasan ini amat penting bagi membolehkan
seseorang itu menguasai pelbagai keadaan dan merebut peluang yang ada bagi pembangunan diri,”
katanya.

Menurutnya, majlis Dekad Membaca Kebangsaan antara kesungguhan kerajaan menjadikan amalan
membaca satu budaya yang pastinya bertujuan membentuk masyarakat berpengetahuan, berilmu dan
bermaklumat. “Usaha serta program pembudayaan amalan membaca perlulah disusun secara sistematik
dan diperluas ke segenap lapisan masyarakat di seluruh negara.

“Untuk mencapai tujuan ini, kita perlu memastikan industri buku di negara kita berdaya saing dan dapat
memenuhi kehendak pembaca khususnya sebagai persediaan kita mengharungi Revolusi Industri 4.0.
“Bagi membudayakan amalan membaca, usaha untuk menerbitkan bahan bacaan yang berkualiti dan
memenuhi keperluan negara memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak terutama golongan
penulis, editor dan penerbit buku perlu dilibatkan secara aktif dalam inisiatif ini.“Daya beli dalam
kalangan masyarakat juga perlu diambil kira dalam usaha kita mewujudkan pasaran buku yang kompetitif
yang mampu dibeli oleh rakyat Malaysia dan memastikan kebolehcapaian masyarakat kepada bahan
bacaan ini,” katanya.
Dr Mahathir menyeru semua rakyat Malaysia menjadikan amalan membaca sebagai suatu budaya
walaupun berada di mana saja bagi mendukung aspirasi Rakyat Membaca Malaysia berjaya.

Anda mungkin juga menyukai