Anda di halaman 1dari 2

SEIKAT BAGAI SIRIH, SERUMPUN BAGAI SERAI

Seikat bagai sirih, serumpun bagai serai merupakan peribahasa yang acapkali
berlegar-legar di halwa telinga kita. Peribahasa ini bukan membawa maksud hidupan flora
kurniaan Tuhan seperti yang kita sangkakan sebaliknya membawa maksud tersirat yang amat
mendalam. Madah kata-kata indah tersebut membawa erti seia sekata dan bersatu padu dalam
segenap perspektif kehidupan tidak kira suka atau duka. Peribahasa ini juga boleh didefinisikan
sebagai sesebuah organisasi yang hidup saling bermuafakat dan tidak berpecah belah
menghadapi apa jua dugaan. Sehubungan dengan itu, peribahasa seikat bagai sirih , serumpun
bagai serai jelas menunjukkan nilai murni yang wajar diimplementasikan oleh seluruh rakyat
Malaysia dalam membendung isu penularan wabak Covid-19 yang telah melanda seantero
dunia.

Pertama-tamanya, bersatu padu dalam menentang wabak penyakit Covid-19 perlulah


dititikberatkan dan diambilkira bermula daripada sekecil-kecil aspek kekeluargaan. Ahli keluarga
haruslah prihatin terhadap semasa sendiri dengan cara saling ingat-mengingati mengenai
penjagaan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dan memberi bantuan dari segi kewangan
kepada saudara-mara yang memerlukan. Contohnya, kita perlulah kerap menghubungi nenek
dan atuk yang berada di desa untuk bertanya khabar kerana pepatah ada mengatakan
walaupun jauh di mata, dekat di hati. Ukhuwah yang baik sesama jiran tetangga tidak mengira
agama dan bangsa juga perlu dijaga kerana mereka merupakan orang yang paling hampir
untuk meminta pertolongan ketika ditimpa kecemasan. Jika kenalan kita seperti ahli keluarga,
guru-guru atau jiran tetangga dijangkiti penyakit Covid-19, kita tidak seharusnya memberi
tomahan atau cacian kepada mereka sebaliknya memberi sokongan yang positif daripada segi
mental dan fizikal. Kita haruslah mengelakkan sikap mementingkan diri bagai enau dalam
belukar melepaskan pucuk masing-masing di dalam situasi genting sebegini demi nyawa orang
yang tersayang.

Di samping itu, institusi pendidikan juga perlu bersatu padu demi mengekalkan taraf
pendidikan pelajar di negara kita walaupun berada dalam wabak penyakit ini. Tidak boleh
bersemuka bukanlah penghalang atau alasan untuk kita mengetepikan pembelajaran kerana
dimana ada kemahuan, di situ ada jalan. Guru-guru di Malaysia telah bersatu padu demi
membantu murid-murid berjaya hingga ke menara gading dengan menyediakan banyak bahan
pembelajaran di semua platform digital semasa Pembelajaran dan Pengajaran dari Rumah
dilaksanakan. Kemudahan pembelajaran seperti komputer riba dan internet juga disediakan
oleh kerajaan kepada pelajar bagi memudahkan sesi menimba ilmu. Walaubagaimanapun,
sikap bersatu padu bukan hanya perlu dipraktikkan oleh para guru malahan para pelajar. Setiap
insan yang bergelar pelajar wajarlah memupuk semangat bersatu padu dalam diri dengan cara
membantu rakan-rakan yang mempunyai kekangan menghadapi pembelajaran dalam talian
walaupun mereka berbeza bangsa dan agama. Hal ini dapat membendung sikap rasisme dalam
diri pelajar sejak di bangku sekolah. Sebagai pelajar yang berperikemanusiaan, kita haruslah
menghargai pengorbanan guru yang setia berbakti melahirkan generasi yang berintegriti
walaupun sedang menghadapi masalah global yang semakin serius ini.
Sementelahan pula, petugas barisan hadapan tanah air juga telah memaparkan sikap
bersatu padu yang cukup baik ketika menghadapi wabak Covid-19. Doktor, jururawat, polis,
askar, pemandu teksi dan penghantar makanan yang berbeza budaya, agama dan bangsa
sentiasa bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menjaga keselamatan rakyat dan
melaksanakan tugas mereka dengan penuh amanah dan wibawa. Misalnya, doktor-doktor di
hospital yang tidak pernah mengenal erti penat lelah merawat pesakit dan askar yang sentiasa
bersiap siaga di sempadan di seluruh pelusuk negara bagi mengawal pergerakan keluar dan
masuk seseorang individu. Sikap bersatu padu yang ditonjolkan oleh wira tanah air ini telah
menyedarkan kita betapa pentingnya amalan bersatu padu dalam kehidupan demi mencapai
sesuatu matlamat. Oleh hal yang demikian, kita wajarlah mencontohi sikap bersatu padu yang
diterapkan oleh petugas barisan hadapan ini demi menanam jati diri dan membangun modal
insan.

Akhir sekali, masyarakat berbilang kaum di Malaysia wajarlah hidup bersatu padu dengan
mematuhi segala arahan kerajaan. Tugas kita sebagai rakyat hanya perlu patuh dan akur demi
kesejahteraan bersama. Kita haruslah mendapatkan saluran info yang betul dari portal rasmi
kerajaan dan tidak menyebarkan berita palsu. Berita palsu yang disebar oleh individu yang tidak
bertanggungjawab boleh mempengaruhi golongan yang tidak berpendidikan untuk bertindak
secara melulu. Rakyat malaysia yang bersatu padu wajarlah membendung penyebaran berita
palsu dengan membuat aduan kepada pihak berkuasa dan menyebarkan maklumat yang sahih.
Sebagai contoh, pelajar universiti yang mengambil jurusan biologi sentiasa berkongsi maklumat
yang tepat tentang vaksin covid-19 di media sosial. Kesannya, kita boleh mengubah pemikiran
golongan anti-vaksin yang tular sejak akhir-akhir ini. Kita wajarlah menggunakan platform media
massa dengan bijak kerana media massa membawa pengaruh yang sangat besar pada era
globalisasi ini.

Sudah terang lagi bersuluh, kejayaan sesebuah negara menentang wabak durjana ini
bukan hanya bergantung pada rakyat tetapi tindakan kerajaan yang menjadi tonggak utama
untuk menentukan masa depan negara. Pemimpin dan rakyat umpama pohon dan akarnya.
Tidak teguhlah sebatang pokok itu jika akar dan pohon tidak bersatu.Sikap bersatu padu
perlulah disemai di dalam jiwa dan raga insan yang bergelar warganegara Malaysia demi
mencapai taraf negara maju. Dalam meniti arus kemodenan ini , kita sudah tidak perlu
menghunus senjata di medan perang tetapi kita hanya perlu menyemai sikap bersatu padu
dalam segala hal agar dapat membanteras wabak penyakit Covid-19. Pemimpin progresif dan
rakyat berintelektual yang memegang utuh prinsip bersatu padu bukan sahaja boleh
mewujudkan negara yang bebas penyakit malahan boleh menghadapi apa jua halangan yang
bakal tiba pada masa akan datang. Bak kata pepatah melayu,seikat bagai sirih, serumpun
bagai serai.

(847 patah perkataan)


–faarahirdina

Anda mungkin juga menyukai