Anda di halaman 1dari 3

Teknik Bercerita bermaksud menggunakan cerita untuk mengajar sesuatu kepada murid.

Teknik ini pernah digunakan oleh orang-orang kita sewaktu menyampaikan sesuatu
pengajaran kepada anak-anak mereka. Biasanya murid-murid akan lebih cepat menumpukan
perhatian di samping menjadikan pembelajaran itu berlaku dalam keadaan yang
menyeronokkan. Proses pendidikan memerlukan lebih banyak cara penyampaian
mengikut kesesuaian subjek pelajaran. Dalam pengajaran bahasa, komitmen guru secara lebih
kreatif sangat dituntut dalam berkomunikasi. Salah satu komunikasi ialah melalui teknik
bercerita. Bercerita merupakan salah satu sumber pendidikan yang amat rapat dengan dunia
kanak-kanak. Bercerita semacam satu budaya yang sangat hidup dalam masyarakat.
Pendidikan awal tidak formal kanak-kanak banyak diperolehi melalui komunikasi bercerita.
Melaluinya informasi diperolehi begitu cepat kerana dalam proses bercerita komunikasi lebih
satu hala wujud. Pencerita bercerita, yang mendengar akan menyoal dan bertanya pada waktu
tertentu. Inilah sebenarnya yang diperlukan dalam dunia pendidikan. Pendidikan itu hidup
dalam suasana harmoni dan komunikasi tidak tertekan. Dalam pendidikan secara
formal, teknik bercerita itu mempunyai banyak tujuan yang telah digariskan oleh beberapa
tokoh pendidikan. Ee Ah Meng (1993: 143) menggariskan 12 tujuan bercerita dan Mook
Soon Sang (1993: 107) menggariskan lapan tujuan. Dengan merumuskan secara singkat,
antara tujuannya ialah a. Ia memotivasikan murid-murid untuk minat belajar dalam
suasana yang menggembirakan. b. Pembelajaran yang berlaku melalui cerita
adalah lebih kekal dan diingati lebih lama. Oleh itu, nilai-nilai murni boleh diterapkan ke
dalam cerita-cerita tersebut. c. Setengah-setengah cerita dapat melibatkan murid-
murid secara aktif. Dengan itu, bercerita boleh menjadi suatu strategi pengajaran yang
memusatkan kepada murid-murid. d. Cerita yang bertema moral dapat membantu
murid-murid menghayati nilai- nilai murni. Ini adalah kerana murid-murid belajar melalui
peniruan watak- watak baik yang ditonjolkan dalam cerita. e. Cerita dapat
mengurangkan masalah disiplin secara tidak langsung. Ini adalah kerana murid-murid
yang tertarik kepada cerita ingin mendengar dengan teliti dan dengan itu tidak mungkin akan
menimbulkan masalah disiplin; f. Ia dapat memperluaskan pengalaman murid
jika cerita itu dapat dikaitkan dengan kehidupan seharian. g. Ia meningkatkan lagi
kemahiran mendengar murid dan daya kreativiti murid-murid. h. Melatih murid
menyusun idea secara teratur sama ada secara lisan atau tulisan bagi aktiviti selanjutnya.
Secara tidak langsung, merek boleh menambahkan bahan-bahan untuk menulis karangan.
Ada beberapa aspek yang perlu diambil kira bagi menentukan keberkesanan cerita. Suara
amat penting. Suara itu sebenarnya aset yang sangat dituntut dalam dunia pendidikan. Suara
bukan sahaja memainkan peranan yang amat penting yang menentukan keberkesanan sesuatu
cerita, malah sangat penting untuk semua aspek penyampaian pengajaran yang lain. Dalam
bercerita, suara itu mempunyai disiplin. Intonasi suara perlulah jelas dan lantang supaya
dapat didengar oleh semua pendengar. Nada suara tidak terlalu mendatar. Pencerita perlu
menunjukkan emosi melalui nada suara yang sesuai seperti sedih, cemas, marah dan gembira.
Variasi suara dan kecekapan bercerita perlulah sesuai dengan situasi episod cerita. Sebutan
mestilah jelas. Di samping suara, bahasa juga satu keperluan yang mesti diambil kira.
Melalui bahasalah pengajaran bercerita itu dapat disalurkan. Oleh itu penggunaan bahasa
perlu sesuai dengan tahap kebolehan pendengar. Sebelum istilah-istilah baru diperkenalkan,
kanak-kanak perlu telah faham asas-asas bahasa yang boleh dijadikan titik tolak semasa
bercerita. Pergerakan bahasa mestilah bergerak dari yang konkrit kepada yang abstrak. Apa
yang penting cerita itu dapat difahami dengan jelas dan memberi kesan kepada murid-murid.
Aspek lain yang dapat menambah keberkesanan cerita itu ialah gerak badan dan memek
muka. Gerak badan dan memek muka perlu sesuai dan tepat. Memek muka yang berlebihan
boleh menukar 'mood' murid-murid dan ini perlu dielakkan. Oleh itu hubungan guru dan
murid itu mesti sentiasa terjalin semasa bercerita. Guru boleh menukar haluan jika didapati
konsentrasi dan emosi murid tidak seperti yang diharapkan. Teknik bercerita ini
sebenarnya boleh dipraktikkan secara bebas oleh guru. Secara asasnya teknik bercerita itu
hanya perlukan cerita, penyampai dan audiennya. Bagaimanapun dalam dunia pendidikan
formal, teknik bercerita dapat dimodifikasi dan dimanipulasi mengikut kesesuaian dalam
bilik darjah, bahan pengajaran dan teknologi pendidikan yang ada. Dengan itu lahirlah
pelbagai metod yang boleh digunakan dalam menjayakan teknik bercerita ini.
Antaranya ialah bercerita sambil bersoal jawab. Sebelum guru memulakan cerita, murid-
murid diarah untuk mendengar dan mengikuti jalan cerita dengan sepenuhnya, termasuk juga
aspek-aspek pengajaran dan nilai yang terdapat dalam cerita tersebut. Sambil guru bercerita,
guru akan berhenti bercerita dan menyoal murid-murid mengenai apa yang telah diceritakan.
Kemudian guru menyuruh murid-murid meramal cerita seterusnya dan setelah itu
menyambung kembali ceritanya. Ini bertujuan supaya murid-murid akan terus mengikuti
cerita itu dan memahami cerita yang disampaikan. Teknik ini boleh digunakan untuk
pengajaran kefahaman, karangan, kosa kata dan sebagainya. Teknik bercerita juga
boleh disampaikan terus melalui buku. Guru menyampaikan cerita kepada murid-murid
melalui bacaan daripada buku cerita. Sementara itu murid-murid mendengar, memahami,
menghayati dan kemudian diminta menceritakan kembali cerita yang didengar itu. Guru
mestilah menghayati cerita yang dibacakan dan menyampaikannya dengan gaya dan intonasi
yang boleh menarik minat murid untuk mengikuti cerita sehingga selesai. Menerusi teknik ini
pengajaran bahasa seperti kemahiran bertutur, membina ayat, kefahaman, karangan, kosa kata
dan sebagainya boleh diajarkan. Teknologi moden dapat menambah variasi
penyampaian. Murid-murid akan diperlihatkan dengan gambar-gambar slaid melalui OHP
atau 'Power Point' komputer. Kemudian murid-murid diminta untuk memerhati gambar-
gambar slaid yang ditayangkan dan seterusnya mengikuti cerita yang akan diperlihatkan dari
slaid tadi. Menerusi slaid murid-murid dapat mengikuti urutan atau jalan cerita dengan
mudah dan cerita itu akan lebih menarik. Pita rakaman juga masih berkesan jika digunakan
kerana ia dapat membantu kemahiran mendengar murid-murid. Murid-murid diperdengarkan
kepada rakaman yang mengandungi urutan beberapa peristiwa dan mereka diminta
mengimaginasikan peristiwa tersebut. Jika guru berupaya untuk
mewujudkan teater pembaca maka ia akan lebih baik dan berkesan dalam menyampaikan
ceritanya. Teater pembaca adalah satu aktiviti drama yang boleh melibatkan semua murid
dalam sesebuah bilik darjah. Sebahagian daripada mereka akan membaca sebuah cerita
dengan penghayatan dan intonasi yang betul sehingga menimbulkan suasana cerita yang
menarik dan mudah difahami. Ini bertujuan untuk membantu penonton memahami,
menghayati dan merasakan seolah-olah cerita itu sedang berlaku di hadapan mata mereka.
Pembaca hanya dikehendaki menggunakan suara, gerak badan dan memek muka. Namun
begitu, teknik ini perlu perancangan yang rapi agar pengajaran dapat berjalan dengan lancar
dan murid-murid dalam keadaan yang terkawal. Bercerita menggunakan pelbagai seni
bahasa itu sangat mendukung perkembangan kosa kata dan kepekaan murid kepada seni
bahasa dan budaya mereka. Syair, pantun, sajak, seloka, gurindam, hikayat dapat digunakan
untuk menambah variasi pengajaran dan pembelajaran. Guru boleh mereka sebuah syair yang
berbentuk cerita umpamanya riwayat hidup seseorang, kisah-kisah sejarah yang bersesuaian
dan sebagainya. Syair yang berbentuk cerita hendaklah disampaikan dengan penuh
penghayatan. Ini akan menimbulkan minat di kalangan murid-murid lebih-lebih lagi mereka
jarang mendengar syair. Bercerita menggunakan kad gambar atau gambar bersiri,
gambar kartun, keratan akhbar dan keratan majalah juga dapat digunakan dalam mencari
suasana baru dalam bercerita. Melaluinya murid-murid dibimbing membina cerita sendiri
berdasarkan bahan-bahan rangsangan seperti gambar kartun dan keratan akhbar. Dengan
menggunakan gambar-gambar kartun atau keratanakhbar murid-murid disuruh memerhati
dan kemudian menceritakan mengenai gambar atau keratan akhbar itu. Mereka akan bercerita
kepada guru dan rakan-rakan sedarjah. Cerita tidak perlu panjang. Murid-murid dapat dilatih
menyampaikan maklumat dengan berkesan secara bersahaja. Ini membolehkan murid-murid
berkomunikasi dengan lebih berkesan. Dengan ini, kemahiran berbahasa murid-murid dapat
dipertingkatkan. Kesimpulannya, dengan menggunakan teknik bercerita banyak
aspek-aspek bahasa, yang boleh diajarkan umpamanya empat kemahiran asas iaitu kemahiran
mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Begitu juga dengan memasukkan isi-isi
pelajaran ke dalam cerita simpulan bahasa, perkataan berlawan, cakap ajuk, cakap pindah
selain dari pengajaran karangan, fahaman, tatabahasa, kosa kata dan sebagainya. Di samping
itu, guru juga seharusnya menyerapkan nilai-nilai murni melalui cerita. Dengan ini, prinsip
bahasa merentas kurikulum dapat dipraktikkan. Di samping mereka seronok mendengar
cerita mereka juga memperolehi pelajaran dan lebih memahami pengajaran cerita yang ingin
disampaikan.

Anda mungkin juga menyukai