Anda di halaman 1dari 4

CIRI-CIRI

Aktiviti bercerita adalah sesuai dilaksanakan semasa proses PdP untuk membantu
meningkatkan lagi pengetahuan murid.

Sebuah aktiviti yang baik adalah mampu mencerna daya kreatif dan imaginasi murid.
Aktiviti bercerita sememangnya dapat membantu murid menjadi lebih kreatif dan membantu
meningkatkan daya imaginasi mereka dengan adanya jalan cerita yang menarik serta watakwatak yang sesuai dengan cerita.

Di samping itu, aktiviti ini juga dapat melatih murid dalam pelbagai jenis kemahiran dan
kecekapan dalam bahasa. Semasa menjalankan aktiviti bercerita, kemahiran bahasa mereka
terutama sekali kemahiran mendengar dan bertutur sebenarnya dilatih dengan lebih berkesan
kerana murid sudah pasti akan mendengar cerita yang disampaikan lalu menjalani aktiviti soal
jawab dengan guru selepas itu.

Ciri yang seterusnya ialah aktiviti bercerita menggalakkan murid berinteraksi dengan
lebih berkesan. Di sini, murid akan lebih terlatih untuk berinteraksi ataupun berkomunikasi
dengan lebih berkesan dari segi sebutan, nada, intonasi dan ekspresi muka. Ini kerana, tidak
kiralah sama ada guru mahupun murid yang bercerita, murid akan belajar bahasa badan dan
bahasa yang sesuai semasa penyampaian cerita berlangsung.

Selain itu, aktiviti cerita juga mampu meluaskan pengalaman dan pengetahuan murid.
Jalan cerita yang pelbagai dapat membantu meluaskan lagi pengalaman murid yang berkaitan
dengan kehidupan seharian mereka. Ini kerana pengajaran menggunakan cerita adalah lebih
kepada pendekatan kontekstual dan banyak berkait rapat dengan kehidupan seharian kita.

Aktiviti cerita dapat menggalakkan murid mendengar dengan kritis. Ini kerana semasa
murid sedang mendengar cerita yang disampaikan, mereka banyak menggunakan pemikiran
kritis mereka untuk lebih berfikiran matang dan berketrampilan dengan adanya jalan cerita yang
menarik dan bukan setakat pengajaran guru biasa yang mendatar sahaja.

PRINSIP PELAKSANAAN
Terdapat beberapa prinsip yang perlu difahami dan dipatuhi oleh guru dalam melaksanakan
sesuatu aktiviti bercerita supaya proses PdP yang menggunakan teknik ini dapat berjalan
dengan lancar.

Soal jawab

Memilih
cerita yang
sesuai

Guru
menghafaz
isi penting

Menyediaka
n ABM

Kesediaan
murid

Interaksi
mata dan
suara yang
jelas dan
berintonasi

Guru pertama sekali perlu memilih jalan cerita yang sesuai dengan minat, keupayaan,
tahap umur dan pengalaman murid serta objektif pelajaran. Ini kerana jalan cerita yang sesuai
serta memenuhi aspek-aspek tersebut akan dapat menarik perhatian dan minat murid terhadap
tajuk pelajaran. Sesuatu cerita perlu mengambil kira peredaran masa di mana ianya memenuhi
citarasa murid pada masa kini. Di samping itu, guru juga perlu peka di mana cerita yang dipilih
perlulah mempunyai nafas baharu dan bukannya cerita yang selalu didengar contohnya cerita
Arnab yang sombong. Oleh itu, guru perlu bijak dalam memilih cerita supaya murid tidak
berasa bosan dan akan lebih berminat untuk mengikuti pelajaran.

Selain itu, guru juga perlulah menghafaz isi-isi penting dalam sesebuah cerita sebelum
menjalankan aktiviti bercerita. Penting bagi guru untuk menghafaz isi cerita supaya sesi
bercerita tidak mendatar dan bosan. Guru juga perlu memahami jalan cerita dan kenal pasti
watak yang terdapat dalam cerita supaya guru tidak membuat rujukan semasa melakukan
penceritaan kerana apabila guru melakukan rujukan semasa bercerita, ini dapat menunjukkan
guru tidak bersedia dan boleh menyebabkan perhatian murid terganggu. Guru perlu faham di
mana sesi penceritaan adalah melibatkan penyampaian isi-isi penting sahaja untuk
memudahkan murid memahami cerita yang ingin disampaikan oleh guru.

Guru boleh menghasilkan alat bantu mengajar (ABM) seperti kad gambar, kad
perkataan, topeng atau patung untuk membantu dalam penceritaan guru dan seterusnya
menarik perhatian dan minat murid. ABM seperti ini dapat membantu penceritaan guru lebih
berkesan serta pemahaman murid terhadap cerita yang disampaikan. Ini kerana penting untuk
menarik minat murid terlebih dahulu sebelum ingin menyampaikan mesej dan isi pelajaran yang
ingin disampaikan melalui cerita tersebut.

Seterusnya, sebelum memulakan aktiviti bercerita, guru perlu pastikan murid-muridnya


bersedia untuk mendengar cerita. Perkara ini penting kerana apabila murid menumpukan
perhatian yang sepenuhnya semasa sesi penceritaan, murid akan faham akan isi-isi penting
yang ingin disampaikan. Elakkan terdapat gangguan di dalam bilik darjah seperti murid yang
membuat bising ataupun bunyi-bunyi bising yang boleh menggangu sesi bercerita. Ini kerana
pemahaman murid terhadap isi-isi yang ingin disampaikan melalui cerita penting supaya aktiviti
yang seterusnya juga dapat dilaksanakan dengan lancar.

Di samping itu, guru juga perlu melihat murid-muridnya dengan melakukan pandangan
terus ke muka semasa penceritaan berlangsung. Interaksi mata penting supaya hubungan
dapat diwujudkan di antara guru dengan murid. Semasa aktiviti bercerita, suara juga
memainkan peranan penting di mana suara guru perlu jelas dan kuat. Kepelbagaian dari segi
nada suara dan intonasi mengikut watak dalam cerita akan dapat mewujudkan suasana yang
lebih menarik. Selain itu, guru juga perlu menyampaikan isi cerita dengan lebih spontan melalui
gerak-geri yang semulajadi dan bukannya melalui lakonan. Dari situ, murid akan lebih selesa
dan akan mengikuti sepanjang cerita yang disampaikan oleh guru lalu meningkatkan
pemahaman terhadap cerita tersebut.

Semasa penceritaan berlangsung, guru perlu memastikan perkataan dan ayat yang
digunakan adalah sesuai dengan tahap murid. Ini kerana objektif aktiviti bercerita bukanlah
untuk mengajar perkataan yang sukar tetapi untuk menyampaikan isi. Apabila guru
menggunakan bahasa yang tinggi dan sukar, maka sukar untuk murid faham dan ini akan
menghilangkan tumpuan mereka terhadap cerita tersebut. Oleh itu, penggunaan bahasa yang
mudah difahami oleh murid akan membantu mereka memahami isi-isi penting yang ingin
disampaikan.

Akhir sekali, apabila aktiviti bercerita selesai, guru perlu mengadakan aktiviti susulan
daripada cerita tersebut. Guru boleh mengadakan aktiviti seperti soal jawab berkaitan dengan
tema ataupun nilai murni yang terdapat dalam cerita tersebut. Selain itu, guru juga boleh
menyediakan beberapa ABM seperti topeng kepada murid untuk menjalankan aktiviti lakonan.
Dari situ, pembelajaran akan menjadi lebih berkesan kerana murid berasa seronok dan akan
membantu dalam pemahaman mereka serta objektif pelajaran juga akan tercapai.

Anda mungkin juga menyukai