Anda di halaman 1dari 5

BIODATA PERSARAAN DATIN HAJAH NORSHIMAH BINTI SALLEH

Cantik berseri puteri mahkota,


Dimahkotakan dalam majlis yang meriah,
Izinkan saya membacakan biodata,
Didahului dengan lafaz Bismillah.

Bismillahirrahmanirrahim.....

Dilahirkan pada tanggal 11 November 1962 di negeri Perak iaitu sebuah negeri
di utara Semenanjung, merupakan anak kepada pasangan Encik Salleh bin Abas
dan Pn Sapiah bt Awang. Norshimah binti Salleh nama diberi, pengikat kasih ayah
dan bonda. Dibesarkan dalam sebuah keluarga yang kecil kerana beliau merupakan
permata hati tunggal pasangan bahagia ini justeru, segala kasih dan sayang ayah
bonda tumpah kepada beliau seorang.
Mendapat pendidikan awal di SK Kuala Kurau Perak, iaitu dari tahun 1969
hingga 1975. Seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah di
SMK Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar, Perak dari tahun 1976 hingga 1981.
Seterusnya Datin Hajah Norshimah meneruskan perjuangan mencari ilmu dengan
menyambung persekolahan ke tingkatan 6 di sekolah yang sama selama dua tahun.
Tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Datin Norshimah terus melangkahkan kaki ke
menara gading apabila beliau telah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di
Universiti Utara Malaysia dalam bidang Pengurusan Pentadbiran selama empat
tahun iaitu dari tahun 1984 hingga tahun 1988.

Apalah guna memasang pelita,


Jika tidak dengan sumbunya,
Apalah guna bermain mata,
Jika tidak dengan sungguhnya.

Ambil gendang di Kampung Kandis,


Ditabuh ramai ditingkah biola,
Makin dipandang semakin manis,
Dilabuh hati menyala cinta.
Puteri bongsu memetik melati,
Tumbuh mewangi ditengah malam,
Gerak laku pancaran budi,
Baiknya pekerti hati tertawan.

Begitu indahnya pantun Melayu yang tersimpan pelbagai maksud yang


tersirat dan tersurat. Benar jugalah kata pepatah, “Kalau jodoh tak kemana...”.
Akhirnya dua hati bersatu dengan ijab dan kabul dengan restu seluruh ahli keluarga
tercinta, justeru bertautlah kasih berpautlah ikatan sayang antara Datin Hajah
Norshimah dan pasangan sehidup semati, Datuk Sulaiman bin Yahaya pada 28
April 1989.
Bertautnya kasih di Jabbar Rahmah,
Adam dan hawa menyulam rasa,
Anak-anak itu amanah Allah,
Pengikat kasih dan sayang keduanya.

Pucuk pegaga tumbuh melata,


Jadi ulaman penambat selera,
Anak itu seumpama permata,
Sejuk di mata damai di jiwa.

Hasil perkongsian hidup, Datin Hajah Norshimah dan Datuk Sulaiman telah
dianugerahi Ilahi dengan kehadiran empat orang cahaya mata, iaitu 3 orang puteri
dan seorang putera. Anak sulung pasangan ini, Nur Syazwani Ilya, diikuti putera
tunggal Mohd Firdaus, ketiga Nur Syazwana, dan yang bongsu Nur Syamimi.
Ketiga-tiga anak pasangan ini berjaya dalam bidang masing-masing dan mempunyai
kerjaya yang boleh dibanggakan. Manakala anak bongsu pasangan ini masih
menuntut di pusat pengajian tinggi. Tahniah diucapkan. Semoga kebahagiaan yang
dimiliki oleh keluarga ini akan terus berkekalan dan berpanjangan hingga ke
akhirnya. Aameen Ya Allah.

Sebelum memulakan kerjaya sebagai seorang pendidik, Datin Hajah


Norshimah terlebih dahulu berkhidmat sebagai seorang editor buku di mana beliau
ditugaskan untuk menyunting buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka
bermula tahun 1989 sehingga tahun 1992. Minat yang mendalam terhadap bidang
Bahasa mendorong Datin Hajah Norshimah menyambung pengajian apabila beliau
mengikuti Kursus Latihan Lepasan Ijazah (KPLI) dalam bidang Bahasa selama
setahun. Bermula dari sini, beliau mula melangkah dengan lebih yakin dan berani
untuk menempuhi segala dugaan dan ujian dalam arena pendidikan yang penuh
mencabar. Kata orang, “alah bisa tegal biasa” dan “genggam bara api biar sampai
jadi abu”, begitulah semangat yang dimiliki oleh Datin Hajah Norshimah, GKMP
Bahasa yang sangat dihormati dan disayangi.
Bermula tarikh melapor diri pada tahun 1993, Datin Hajah Norshimah telah
berkecimpung dalam dunia pendidikan selama 25 tahun. Sepanjang tempoh
tersebut Datin Hajah Norshimah telah berkhidmat di empat buah sekolah.
Memulakan tugas pertama beliau sebagai seorang pendidik di negeri yang terkenal
dengan nama jolokan Pulau Mutiara, beliau mencurahkan ilmu di SMK Sx Xavier,
Pulau Pinang selama setahun. Seterusnya pada tahun 1994 sehingga tahun 1999,
beliau telah berkhidmat di SMK Dato’ Onn, Butterworth. Semasa berkhidmat di SMK
Dato’ Onn beliau telah dianugerahkan sebagai Guru Inovatif Pulau Pinang iaitu pada
tahun 1995.
Selama 6 tahun menabur bakti di bumi Pulau Mutiara, akhirnya Datin Hajah
Norshimah memulakan tugasnya di negeri Selangor Darul Ehsan. Sekolah pertama
yang mendapat sentuhan beliau adalah SMK Kelana Jaya, bermula pada tahun
2000 sehingga tahun 2004. Setelah berkhidmat selama 4 tahun di SMK Kelana
Jaya, akhirnya beliau telah berpindah ke Sekolah Menengah Seksyen 7 yang
dikasihi ini pada tahun tahun 2005 sehingga tamat perkhidmatan beliau. Beliau juga
telah dianugerahkan Munsyi Dewan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun
2007 ekoran kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang bahasa Melayu.
Dalam tak sedar beliau telah berkhidmat mencurah bakti di SMK Seksyen 7
selama 13 tahun yang mana sekolah ini merupakan sekolah yang paling lama beliau
berkhidmat. Justeru, warga SMK Seksyen 7 akan kehilangan sebutir mutiara yang
begitu berharga dan tiada ganti. Selepas ini warga SMK Seksyen 7 tidak lagi dapat
melihat kelibat Datin Hajah Norshimah yang sopan santun, lembut tutur kata, dan
berdedikasi….yang tinggal hanyalah kenangan bersama beliau.
Bak kata bidalan Melayu, ‘benih yang baik, dilempar ke mana-mana pun tetap
memberikan hasil’, begitulah juga dengan Datin Hajah Norshimah. khidmat bakti
beliau sentiasa ditagih lantaran ilmu yang dimiliki dalam diri beliau serta pengalaman
beliau terutamanya dalam bidang bahasa Melayu serta semangat beliau yang
sentiasa membara dan tidak pernah mahu mengalah. Dan apa yang pasti beliau
begitu prihatin terhadap anak-anak didiknya malah sentiasa mengutamakan mereka
dalam banyak hal. Tidak pernah jemu dan mengalah dalam usaha memberikan
pendidikan yang terbaik kepada semua anak didiknya, Sesungguhnya, terlalu
banyak jasa dan sumbangan beliau yang pastinya tidak akan dilupakan terutama
sekali ketika beliau bertugas di sini. Sama-samalah kita berdoa semoga beliau terus
berbahagia dalam menjalani kehidupan baru alam persaraan beliau selepas ini.
Insha allah.

Tinggi bukit gilang-gemilang,


Air laut tenang-tenangan,
Budi sedikit tidakkan hilang,
Ia menjadi kenang-kenangan.

Tenanglah tenang air di laut,


Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik rasa nak junjung.

Demikianlah serba sedikit biodata Datin Hajah Norshimah bt Salleh, Guru


Kanan Mata Pelajaran Bahasa, yang akan menamatkan perkhidmatan beliau pada
hari ini. Segala jasa bakti beliau akan dikenang sepanjang hayat kita dan hanya
Allah swt sahaja yang dapat membalasnya.

Terang bulan di malam hari,


Indah gemerlap bintang bercahaya,
Kasih dan sayang ikhlas terpatri,
Rindu bertaut sepenuh jiwa.

Indah gemerlap bintang bercahaya,


Semilir berhembus berpuput mesra,
Rindu bertaut sepenuh jiwa,
Mesra terjalin indah terasa.
Raut wajah damai dan tenang,
Tiada terkalam kasih dijunjung,
Jasa baktimu tetap dikenang,
Budi baikmu tetap disanjung.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai