Anda di halaman 1dari 4

(*) maknanya kakak tak faham ape yang ayah tulis

Ini adalah kisah benar yang diceritakan sendiri oleh ayah saya tentang pengalamannya menaiki
kereta api KTMB. Al kisah peristiwa ialah pasa awal tahun 1975, setelah tamat tingkatan 5 dengan
mendapat gred 2, ayah saya telah ditawarkan Kursus Perguruan di Maktab Perguruan Teknik,
Cheras, Kuala Lumpur. Sebagai orang kampung yang hidup susah kais pagi makan pagi, kais petang
makan petang dan tinggal pula di pedalaman sudah tentu ini suatu berita yang amat mengembirakan
satu keluarga. Ayahku pula, dua tiga hari sebelum bertolak tidak dapat tidur lena kerana terlalu
gembira berpeluang belajar di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia. Selama ini hanya diketahui
melalui catatan di dalam buku teks dan dari cerita-cerita orang kampung. Banyak persoalan yang
bermain difikiran ayah saya dan yang paling menarik sekali ialah ayah tidak pernah menaiki keretapi
sebelum ini. Pernah juga terserempak melihat keretapi yang sedang bergerak perlahan di Batu
Gajah. Kata ayahku bercerita lagi, dia cuba malu-malu melambai tangan ke arah penumpang di
dalam keretapi tersebut. Alangkah seronoknya melihat lambaian dibalas dengan bersungguh-
sungguh oleh penumpang-penumpang yang duduk di bahagian tingkap. Peristiwa itu telah
menimbulkan perasaan mendalam kepada ayah yang tiba-tiba terlalu ingin merasai menaiki
keretapi. Mungkin ini adalah antara penyebab yang ayahku tidak dapat tidur lena menunggu tarikh
yang istimewa itu, iaitu mendapat pengalaman menaiki keretapi.

Stesen keretapi yang terdekat dengan kampung ayah ialah di Batu gajah yang jauhnya 30 kilometer.
Pada zaman itu walaupun jalan berturap sudah ada bagi menggantikan jalan batu merah tetapi
perkhidmatan kenderaan awam satu satu yang ada ialah Perkhidmatan Bas Perak Roadways, orang
kampong memanggilnya Bas Tajudin. Perkhidmatannya pula hanya setakat pekan Tanjong Tualang,
tujuh kilometer dari kampong. Oleh itu atok saya telah menempah sebuah teksi yang dipanggil
‘prebet sapu’, iaitu sebuah teksi yang tidak berdaftar dengan JPJ. Ayah juga masih ingat akan
keunikan teksi tersebut kerana gearnya dipasang pada stearing kereta. Apabila teksi dihidupkan gear
tersebut akan menggeletar macam orang kena demam malaria.

Selepas subuh, atuk menemani ayah saya ke Stesen Batu Gajah sampai tepat jam 8.00 a.m. Dengan
berbekalkan lima ketul cucur bawang dan 2 biji telur rebus serta sebuah beg pakaian yang
sederhana, ayah dan atok menunggu dengan penuh kesabaran akan ketibaan kereta api yang
dijangka akan sampai di stesen pada pukul 10.30 pagi. Oleh kerana datuk saya ada urusan lain, maka
dia telah pulang lebih awal dengan teksi tersebut. Sebelum itu atok telah membelikan satu tiket ke
Kuala Lumpur yang berwarna jingga cair kelas biasa berharga RM6.60 untuk ke Kuala Lumpur.

Setelah sekian lama ayah saya menunggu dengan penuh debaran, akhirnya kereta api sampai
terlewat 10 minit mengikut jadual. Ayah terus memeriksa tiket yang dibeli oleh datuk tadi dan
mendapati tiket tersebut ialah tiket kelas ketiga. Orang ramai mula berjalan menghampiri keretapi
apabila bergerak perlahan menghampiri stesen. Mereka berebut-rebut naik dan ada yang
mencampakkan beg masing masing masuk melalui tingkap. Kaum lelaki yang berkaki panjang mereka
terus sahaja melompat masuk melalui tingkap macam aksi ‘stunt man’. Suasana kelihatan sangat
panik dan cemas, akhirmya ayah berjaya juga naik ke gerabak yang terakhir. Alangkah terkejutnya
ayah apabila mendapati semua gerabak penuh sesak dengan penumpang yang berbagai ragam. Ada
makcik yang membawa beg yang sarat berisi sayur sayuran dan barangan dapur. Ada seorang apek
pula membawa sangkar buluh yang dipenuhi ayam dan itik. Ada juga yang membawa sangkar jerat
tikus yang baru dibeli di pekan Batu Gajah, yang paling menarik sekali ialah seorang pakcik
membawa 4 biji durian yang besar terikat kemas, habis satu gerabak berbau durian, tetapi peliknya
tiada siapa yang ambil pusing akan hal-hal tersebut, masing-masing dengan urusan hal peribadi
sendiri. Ramai penumpang yang berdiri kerana semua tempat sudah penuh. Ada juga terus duduk di
lantai kerana semua tempat duduk sudah berpenghuni.

Mujur beg yang dibawa sederhana sahaja dan tidak seberat beg bagasi penumpang yang lain, empat
helai baju kemeja , tiga helai seluar lama dan satu yang baharu dibeli di kedai tiga hari sebelumnya.
Oleh itu, dengan penuh semangat ayah saya telah mengantungnya di bahu membawanya ke sana ke
mari dalam usaha mencari tempat duduk yang selesa.

Semasa berjalan terhuyung hayang mengikut gerakan keretapi yang tidak stabil dari satu gerabak
ke gerabak yang lain, ayah dapat melihat pelbagai ragam penumpang keretapi. Pelbagai bangsa
seperti melayu, cina, india dan Punjabi menggunakan perkhidmatan KTMB. Masing- masing dengan
gaya yang tersendiri, ada yang keseorangan termenung mengenangkan kisah lama. Ada yang
berpasangan berwajah ceria, mungkin pengantin baru berdasarkan jejari pengantin masih berinai.
Ada yang berkumpulan berkerumun di suatu sudut sambil seorang membuat cerita jenaka dan
ketawa hingar bingar sesama mereka dan ada juga yang berkeluarga dengan anak anak yang ceria
selesa di ribaan ibu bapa tersayang. Pada suatu ketika seorang pemuda India mempelawa tempat
duduknya kepada seorang wanita Melayu yang sedang sarat mengandung. Ayah saya berkata
kepada saya, di zaman itu hubungan antara kaum adalah sangat baik dan rapat bagaikan aur dengan
tebing, saling bantu membantu. Mungkin kerana adanya kempen “Muhibah” di televisyen Malaysia
oleh kerajaan yang sungguh berkesan iaitu menyeru supaya semua rakyat tidak kira bangsa dan
agama supaya bersatu padu. Ayah dengan sukarelanya tanpa disuruh telah menyanyikan satu dua
rangkap lagu ‘Muhibah’ kepada saya tetap[ suaranya tidaklah sesedap mana dan sumbang pula.

Dalam perjalanan mencari tempat duduk kosong, ayah saya terpaksa melalui lorong-lorong yang
menghubungkan antara satu gerabak dengan gerabak yang lain. Dibahagian penghubung ini,
terdapat ramai penumpang yang berdiri dan duduk bertinggung sambil melepaskan ketagihan
menghisap rokok. Mungkin di dalam gerabak tidak dibenarkan menghisap rokok takut menggangu
penumpang lain. Akhirnya ayah berjaya melepasi penghubung gerabak yang ke dua tetapi dengan
tiba- tiba ayahku terkejut, ada orang dibelakang bertempik dan bersorak berturutan, “Berhenti-
berhenti! ada orang jatuh, kasi tau driver!”. Pesanan yang datang dari mulut ke mulut itu dengan
pantas bergerak kehadapan dan seketika sahaja keretapi pun berhenti dan mengundur ke belakang
dengan perlahan. Beberapa ketika kemudian, keretapi bergerak semula ke arah hadapan, mungkin
orang yang jatuh tadi telah dapat diselamatkan dan dinaikkan semula ke atas keretapi. Tidak dapat
dipastikan siapa yang jatuh sama ada cedera atau tidak, tetapi ayahku berkata keadaan itu sangat
melucukan, cemas pun ada bila mengenangkan peristiwa tersebut kerana ayah pun terlibat
bertempik sorak ke arah orang di hadapan.

Pencarian tempat duduk kosong diteruskan dan kelihatan seorang petugas konduktor tiket yang
bersongkok dengan seragam kelabu yang sangat kemas menghampiri setiap penumpang untuk
mengetip tiket bagi memastikan setiap penumpang mempunyai tiket yang sah untuk ke destinasi
masing-masing. Kemudian diikuti pula seorang lagi pegawai bermuka serius dan tegas berpakaian
seragam yang lebih menarik dengan hiasan butang yang berkilauan di bahunya. Beliau hanya
melihat tiket penumpang sahaja dan tidak mengetip tiket. Dia hanya bertugas memastikan semua
penumpang telah dapat diketip tiketnya. Pegawai ini mungkin Inspektor tiket, berdasarkan
maklumat seorang penumpang berbangsa Cina disebelah mengarahkan rakannya mengeluarkan
tiket dan berkata, “Inspektor sudah mali ooo!”.
Dalam perjalan seterusnya ayahku ternampak beberapa orang sedang duduk makan dan minum di
kantin kereta api. Sungguh santai dan selesa kecuali apabila kereta api membelok di selekoh,
pinggan dan cawan kopi akan bergetaran dan terpaksa dipegang supaya tidak tertumpah.

Keretapi yang bergerak laju tadi tiba tiba menjadi sangat perlahan dan membunyikan sirennya
beberapa kali dan terus berhenti. Rupa-rupanya sudah sampai ke pekan Tapah kerana ada papan
tanda bertulis Stesen Tapah. Keadaan kecoh sedikit apabila penumpang mula mengambil bagasi
masing-masing dan bersiap sedia untuk turun dari keretapi. Ada satu dua tempat duduk telah
dikosongkan. Apa lagi ayah saya terus mencampakkan beg buruknya ke tempat duduk itu sebelum
orang lain datang menghuni dulu. Tiba-tiba datang seorang perempuan berumur awal tiga puluhan
meletakkan juga dua begnya di situ dengan tegas. Ayah terkejut dan tergamam. Kakak tersebut
mengarahkan ayah saya duduk di tepi tingkap kerana tidak mahu rambutnya jadi kusut ditiup angin
yang kencang melalui tingkap. Mujurlah dia seorang sahaja, tidak ada siapa yang mengikutinya, kalau
tidak boleh jadi satu perebutan yang sengit. Ayah sempat berbual ringkas bertanya destinasi masing-
masing. kakak itu hendak ke Gemas, ayah pula nak ke Kuala Lumpur. Di luar sana kelihatan
beberapa orang penjual kueh berteriak dengan nyaringnya mempromosikan jualan masing-masing.
Ada karipap, nasi lemak, mee goreng, mehon goreng, jagung rebus, kueh kasturi dan sebagainya
Keadaan bertambah riuh rendah apabila penumpang memanggil penjual datang rapat ke keretapi
untuk urusan jual beli. Wang yang dikenakan hendaklah diberi secukupnya, jika ada baki, tukarannya
tidak dipulangkan semula. Konon tiada duit kecil. Ini berlaku kepada kakak di sebelah, duit bakinya
tidak dipulangkan. Maka terpaksalah membeli lebih karipap yang akhirnya menjadi rezeki ayah saya.
Ayahku hanya membeli air sirap sahaja dan tidak membeli apa-apa kueh kerana ada membawa
bekal cucur bawang dan telur rebus. Ramai penumpang mengambil kesempatan makan minum
ditempat masing-masing semasa keretapi berhenti.

Siren berbunyi lagi dan keretapi pun bergerak perlahan-lahan menuju ke selatan. Penumpang masih
ada lagi yang makan dan minum. Bungkusan makanan yang kosong kelihatan dicampakkan melalui
tingkap sahaja, ini satu amalan yang tidak baik tetapi tidak ada tong sampah disediakan di gerabak
tersebut. Apabila keretapi melalui sahaja kawasan perumahan, ramai kanak-kanak melambai- lambai
tangan mereka ke arah penumpang yang duduk di tepi tingkap. Apalagi ayah saya yang dari tadi
mengelamun duduk di tepi tingkap terus sahaja membalas lambaian sambil melemparkan senyuman
bangga dan puas hati kerana impian untuk menaiki kereta api telah pun termakbul.

Keretapi bergerak bertambah laju, perut pun sudah kenyang semua cucur bawang dan telur dua biji
telah habis dimakan. Sedap sungguh jika dimakan ketika perut sedang berkeroncong. Di tambah pula
dengan dua biji karipap pemberian kakak sebelah. Mata ayahku pun mulalah memberat, terasa
mengantuk yang amat sangat. Maklumlah malam sebelumnya ayah tidak dapat tidur dengan lena.
Tersengguk-sengguk hinggakan sudah dua tiga kali ayahku memohon maaf kepada kakak sebelah
kerana kepala ayah tersandar di bahu kakak tersebut bertubi-tubi. Kakak itu biasa sahaja dan
berkata, “Tak pe adik dah ngantuk sangat tu”. Akhirnya ayah tertidur juga sambil melayani mimpinya
yang indah.

“Bangun-bangun keretapi dah sampai!”. Ayah kebingungan memikirkan dari mana datangnya suara
perempuan yang tiba-tiba menerjah telinganya. Persoalan lagi mengapakah cadar tilam kali ini
bercorak batik kemerah-merahan. Alangkah terkejutnya ayah saya, tanpa dia sedari telah tertidur di
atas ribaan kakak sebelah selama beberapa jam. Ayah tersangat malu dan kesal terus memohon
keampunan kerana hilang kawalan kerana mengantuk yang amat sangat. Kakak di sebelah hanya
tersenyum sahaja, sambil memberi semangat,”Nanti belajar bersungguh-sungguh tau, jangan banyak
tidur”. Ayahku tersipu-sipu sambil menjawab, “ Baik kak, saya akan belajar bersungguh-sungguh”.
Bagi mengelakkan perasaan malu menguasai diri, ayah cepat-cepat turun dari keretapi tersebut
sambil membawa pelbagai kenangan dan pengalaman naik keretapi yang tidak akan dilupakannya
sehingga akhir hayat.

Anda mungkin juga menyukai