Anda di halaman 1dari 2

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan

pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak
oleh pelbagai masalah kesihatan dan penyakit berjangkit yang semakin meningkat dalam kalangan
masyarakat domestik dan antarabangsa. Polemik ini boleh dikurangkan dengan mengamalkan dua
perkara asas iaitu menjaga kesihatan dan kebersihan diri. Amalan ini mungkin dipandang remeh oleh
sesetengah orang tetapi ia merupakan kunci utama dalam memastikan kelansungan hidup seseorang
pada ketika ini. Kita sering kali digalakkan untuk bersenam, bersukan, membasuh tangan dan bergotong-
royong membersihkan kawasan sekitar. Oleh itu, wajar untuk kita mengetahui apakah kepentingan
mengamalkan aktiviti tersebut demi menjaga kesihatan dan kebersihan diri.

Salah satu kepentingan memastikan kesihatan dan kebersihan diri berada pada tahap yang tinggi
kerana ia dapat meningkatkan produktiviti kehidupan seseorang. Apabila kita dikurniakan kesihatan yang
baik, kita mampu melakukan kerja-kerja yang secara langsung dan tidak langsung membantu setiap
makhluk dimuka bumi ini. Pelajar sekolah dapat memberikan fokus pada pelajaran mereka dan pekerja
professional boleh menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas masing-masing. Setiap
pekerjaan berfungsi dengan baik seperti mana kitaran ekologi yang berlaku dengan semula jadi. Justeru,
kesihatan dan kebersihan diri yang baik dapat menjamin kemajuan dalam setiap perkara untuk dikecapi.

Di samping itu, menghindari penyakit berjangkit dan masalah kesihatan juga merupakan
kepentingan dalam menjaga kesihatan dan kebersihan diri. Tamsilnya, apabila seseorang itu aktif
bersukan, kekuatan sistem kardiovaskular individu tersebut akan bertambah kuat dan dapat menghindar
daripada serangan jantung. Selain itu, amalan membasuh tangan menggunakan sabun selama 20 saat
juga adalah penting agar kita tidak membawa bakteria atau virus yang mungkin dibawa oleh kita tanpa
disedari. Amalan gotong-royong membersihkan kawasan sekitar juga dapat membantu mencegah
pembiakan nyamuk aedes dan sisa lain yang mampu menjadi punca kepada penyakit-penyakit
berjangkit. Kesannya, masyarakat dapat hidup dengan sejahtera tanpa merisaukan maslah kesihatan
atau penyakit berjangkit.
Pada waktu yang sama, amalan menjaga kesihatan dan kebersihan diri adalah penting bagi
memupuk sikap disiplin dalam setiap individu. Hal ini demikian kerana, apabila individu tersebut ingin
melaksanakan aktiviti seperti bersukan, mereka perlu mematuhi peraturan dan etika dalam aktiviti
tersebut. Sebagai contoh, sukan olahraga dimana atlet perlu mengikuti jadual latihan dan konsisten untuk
menjaga kekuatan fizikal dan mental sebelum menyertai kejohanan tertentu. Selain itu, dari sudut
kebersihan, amalan memberus gigi di waktu pagi telah pun menjadi rutin harian semua manusia. Secara
tidak langsung, perkara di atas telah membuatkan kita untuk lebih berdisiplin berbanding dahulu hasil
daripada usaha untuk menjaga kesihatan dan kebersihan diri.

Seterusnya, penjagaan kesihatan dan kebersihan diri penting kerana ia dapat menonjolkan imej
dan perwatakan yang menarik seseorang individu. Jika anda perlu menemuduga calon pekerja anda,
apakah kriteria yang anda utamakan terlebih dahulu? Sudah semestinya calon yang mempunyai
perwatakan menarik beserta pakaian yang rapi dan imej yang kemas. Mutakhir ini, pelbagai produk
kesihatan yang boleh membantu kita untuk mendapatkan imej yang menarik di samping baik untuk
kesihatan. Contohnya, penggunaan gel rambut dapat membantu golongan lelaki merapikan rambut
mereka dengan kemas agar ia kelihatan elok di mata setiap orang yang memerhati. Natijahnya, apabila
imej dan perwatakan yang menarik hasill daripada penjagaan kesihatan dan kebersihan diri, ia akan
memudahkan kita untuk bergaul dengan orang ramai serta diterima oleh masyarakat.

Kesimpulannya, menjaga kesihatan dan kebersihan diri adalah penting seperti yang telah
dihuraikan di atas. Setiap pihak mempunyai peranan dalam memastikan kesihatan dan kebersihan diri,
keluarga dan masyarakat berada pada tahap yang baik. Hasil usaha ini dapat menjadikan masyarakat
kita sentiasa dihormati dan disanjung tinggi. Oleh itu, amalan menjaga kesihatan dan kebersihan perlu
disemai dan dipupuk kepada setiap generasi agar ia menjadi budaya contoh manusia sejagat. Sejajar
dengan kata-kata hikmat, ” Negara bersih, rakyat sihat; Badan sihat, otak cergas”.

Anda mungkin juga menyukai