Anda di halaman 1dari 2

Penulisan karangan yang baik memerlukan latihan yang banyak dan efektif.

Pelajar
perlu sentiasa mendapatkan pendapat dan bimbingan daripda guru-guru supaya
sentiasa memenuhi kehendak soalan. Penambahan frasa-frasa menarik dalam
penulisan karangan seperti penanda wacana dan kata-kata hikmah adalah
digalakkan serta merupakan kriteria yang perlu dalam penulisan karangan yang
cemerlang.

Contoh karangan Kepentingan Menjaga Kesihatan Dan Kebersihan Diri


untuk panduan pelajar.

Kebaikan Dan Kepentingan Menjaga Kesihatan Dan Kebersihan Diri Isi-isi penting
meningkatkan produktiviti kehidupan menghindari penyakit dan masalah kesihatan
mendisiplinkan diri menonjolkan imej dan perwatakan yang menarik mewujudkan
persekitaran yang indah dan tenang memupuk perpaduan

Contoh Karangan Kepentingan Menjaga Kesihatan Dan Kebersihan Diri


Pendahuluan Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu
dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia.
Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai masalah kesihatan dan
penyakit berjangkit yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat domestik
dan antarabangsa. Polemik ini boleh dikurangkan dengan mengamalkan dua perkara
asas iaitu menjaga kesihatan dan kebersihan diri. Amalan ini mungkin dipandang
remeh oleh sesetengah orang tetapi ia merupakan kunci utama dalam memastikan
kelansungan hidup seseorang pada ketika ini. Kita sering kali digalakkan untuk
bersenam, bersukan, membasuh tangan dan bergotong-royong membersihkan
kawasan sekitar. Oleh itu, wajar untuk kita mengetahui apakah kepentingan
mengamalkan aktiviti tersebut demi menjaga kesihatan dan kebersihan diri.

Isi 1

Salah satu kepentingan memastikan kesihatan dan kebersihan diri berada pada
tahap yang tinggi kerana ia dapat meningkatkan produktiviti kehidupan seseorang.
Apabila kita dikurniakan kesihatan yang baik, kita mampu melakukan kerja-kerja
yang secara langsung dan tidak langsung membantu setiap makhluk dimuka bumi
ini. Pelajar sekolah dapat memberikan fokus pada pelajaran mereka dan pekerja
professional boleh menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas
masing-masing. Setiap pekerjaan berfungsi dengan baik seperti mana kitaran ekologi
yang berlaku dengan semula jadi. Justeru, kesihatan dan kebersihan diri yang baik
dapat menjamin kemajuan dalam setiap perkara untuk dikecapi.

Isi 2

Di samping itu, menghindari penyakit berjangkit dan masalah kesihatan juga


merupakan kepentingan dalam menjaga kesihatan dan kebersihan diri. Tamsilnya,
apabila seseorang itu aktif bersukan, kekuatan sistem kardiovaskular individu
tersebut akan bertambah kuat dan dapat menghindar daripada serangan jantung.
Selain itu, amalan membasuh tangan menggunakan sabun selama 20 saat juga
adalah penting agar kita tidak membawa bakteria atau virus yang mungkin dibawa
oleh kita tanpa disedari. Amalan gotong-royong membersihkan kawasan sekitar juga
dapat membantu mencegah pembiakan nyamuk aedes dan sisa lain yang mampu
menjadi punca kepada penyakit-penyakit berjangkit. Kesannya, masyarakat dapat
hidup dengan sejahtera tanpa merisaukan maslah kesihatan atau penyakit
berjangkit.
Isi 3

Pada waktu yang sama, amalan menjaga kesihatan dan kebersihan diri adalah
penting bagi memupuk sikap disiplin dalam setiap individu. Hal ini demikian kerana,
apabila individu tersebut ingin melaksanakan aktiviti seperti bersukan, mereka perlu
mematuhi peraturan dan etika dalam aktiviti tersebut. Sebagai contoh, sukan
olahraga dimana atlet perlu mengikuti jadual latihan dan konsisten untuk menjaga
kekuatan fizikal dan mental sebelum menyertai kejohanan tertentu. Selain itu, dari
sudut kebersihan, amalan memberus gigi di waktu pagi telah pun menjadi rutin
harian semua manusia. Secara tidak langsung, perkara di atas telah membuatkan
kita untuk lebih berdisiplin berbanding dahulu hasil daripada usaha untuk menjaga
kesihatan dan kebersihan diri.

Isi 4

Seterusnya, penjagaan kesihatan dan kebersihan diri penting kerana ia dapat


menonjolkan imej dan perwatakan yang menarik seseorang individu. Jika anda perlu
menemuduga calon pekerja anda, apakah kriteria yang anda utamakan terlebih
dahulu? Sudah semestinya calon yang mempunyai perwatakan menarik beserta
pakaian yang rapi dan imej yang kemas. Mutakhir ini, pelbagai produk kesihatan
yang boleh membantu kita untuk mendapatkan imej yang menarik di samping baik
untuk kesihatan. Contohnya, penggunaan gel rambut dapat membantu golongan
lelaki merapikan rambut mereka dengan kemas agar ia kelihatan elok di mata setiap
orang yang memerhati. Natijahnya, apabila imej dan perwatakan yang menarik hasill
daripada penjagaan kesihatan dan kebersihan diri, ia akan memudahkan kita untuk
bergaul dengan orang ramai serta diterima oleh masyarakat.

Penutup

Intihannya, menjaga kesihatan dan kebersihan diri adalah penting seperti yang telah
dihuraikan di atas. Setiap pihak mempunyai peranan dalam memastikan kesihatan
dan kebersihan diri, keluarga dan masyarakat berada pada tahap yang baik. Hasil
usaha ini dapat menjadikan masyarakat kita sentiasa dihormati dan disanjung tinggi.
Oleh itu, amalan menjaga kesihatan dan kebersihan perlu disemai dan dipupuk
kepada setiap generasi agar ia menjadi budaya contoh manusia sejagat. Sejajar
dengan kata-kata hikmat, ” Negara bersih, rakyat sihat; Badan sihat, otak cergas”.

Anda mungkin juga menyukai