Anda di halaman 1dari 4

Anatomi Sebuah MTB ~Kerangka dan Geometri

Kerangka MTB yang tipikal

K erangka basikal adalah komponen utama yang menjadi tempat komponen lain

berpegang dan berpaut. Kita akan cuba mengenali komponen-komponen kerangka dengan
lebih terperinci. Dan bila berbincang tentang kerangka, kita tidak boleh lari dari membincangkan
geometri kerangka.

Geometri kerangka adalah sudut dan panjang komponen tertentu pada kerangka. Geometri ini
berbeza mengikut disiplin kegunaan kerangka. Geometri juga mempengaruhi pemadanan saiz
basikal dengan pengayuh. Kita akan cuba singkap satu persatu. Posting ini hanya akan
memberikan pengenalan dan definisi-definisi kepada bahagian-bahagian kerangka. Maklumat
lanjut berkenaan bagaimana bahagian ini mempengaruhi prestasi basikal akan dibincangkan
kemudian (kalau ada masa dan kesempatan).

HT [Head Tube Length]


Panjang Tiub Kepala
Jarak dari atas tiub kepala ke bawah tiub kepala. Mudah kan?!

B(HA) [Head Tube Angle]


Sudut Tiub Kepala
Sudut tiub kepala diukur dengan mengambil sendeng sudut kepala dengan tanah. Sudut yang
tinggi, berkadar terus dengan kepantasan membelok dan lebih cekap untuk mendaki.
Sebaliknye, sudut yang lebih rendah akan memberikan belokan yang lebih perlahan, lebih
susah untuk mendaki tetapi memberi lebih keseimbangan pada kelajuan tinggi. Kerangka
basikal XC mempunyai sudut tiub kepala lebih tinggi sekitar 71 darjah. Basikal downhill
biasanya dibuat dengan sudut tiub kepala sekitar 65-68 darjah.

Fork Rake [Offset]


Sadak
Merujuk kepada jika satu garisan lurus dilukis dari tengah tiub steerer hingga ke tanah dan satu
lagi garisan selari yang merentasi bahagian tengah ofset fork, jarak di antara dua garisan selari
ini ialah sadak atau fork rake.

Sadak untuk MTB biasanya dalam julat 45-50mm.

TRL [Trail]
Jejak
Berkait rapat dengan sadak di atas. Ukuran ini boleh memberikan gambaran yang lebih tepat
bagaimana kepantasan membelok sesuatu basikal.

Kaedah umumnya...
- Jejak rendah, belokan pantas
- Jejak tinggi, belokan lembab

Jejak untuk MTB berada dalam julat 55mm - 65mm.

WB [Wheelbase]
Tapak roda
Jarak tapak roda diukur di antara titik roda depan dan roda belakang bersentuhan dengan
tanah. Juga boleh diambil ukuran di antara gandar depan dan gandar belakang. Lebih panjang
tapak roda, memberikan keseimbangan yang lebih baik terutama pada kelajuan tinggi. Akan
tetapi, keseimbangan itu mengorbankan pula kelincahan kawalan dan belokan terutama pada
kelajuan rendah. Jarak roda pendek memberikan lebih kelincahan dan kepantasan bila
membelok. Basikal-basikal XC mempunyai tapak roda yang lebih pendek berbanding dengan
basikal-basikal DH.

CS [Chainstay length]
Panjang chainstay
Panjang chainstay akan mempengaruhi panjang tapak roda dan mempengaruhi kelincahan
kawalan dan keseimbangan. Makanya, chainstay pendek akan memberikan kayuhan lebih
pantas. Chainstay pendek membolehkan gerakan-gerakan dibuat dengan lebih mudah seperti
manual, wheelie dan melompat. Chainstay pendek juga memberikan kawalan yang lebih baik
ketika "terbang". Sebab itu kita perhatikan chainstay pendek adalah satu kemestian kepada
basikal-basikal lompat (dirtjump) dan basikal jalanan (street bikes). Chainstay pendek memberi
ketegaran yang lebih maka kerangka tidak mudah meliuk, memberikan hantaran tenaga yang
lebih pantas ke roda belakang untuk setiap tujahan engkol.

SO [StandOver height]
Tinggi kelangkang
Tinggi kelangkang ini boleh dikatakan seperti kelim dalam pada basikal. Tinggi diukur dari tanah
ke bahagian atas tiub atas. Ketinggian tinggi kelangkang mempengaruhi kelegaan kelangkang
pengayuh dengan tiub atas. Sepatutnya ada kelegaan di antara 1-3 inci di antara kelangkang
dengan tiub atas. Ini perlu untuk memberi kebebasan pergerakan dan sedikit insuran untuk
harta berharga di celah kelangkang itu. Bayangkan kalau kaki tergeleceh dari rakap... Kelegaan
ini juga perlu untuk memudahkan pergerakan naik dan turun basikal. Untuk basikal lasak, tinggi
kelangkang direndahkan. Perendahan ini ditambahbaikkan lagi dengan kemajuan dalam bidang
pembentukan logam yang membolehkan tiub atas dibuat melentur. Dengan lenturan, kelegaan
kelangkang boleh ditambah.

BBH [Bottom Bracket Height]


Tinggi Braket Bawah
Ketinggian braket bawah mempengaruhi pusat graviti. Legi rendah pusat graviti, lebih mudah
basikal membelok. Akan tetapi, terlalu rendah mendatangkan isu kelegaan ruang pula. Braket
bawah yang terlalu rendah akan turut merendahkan engkol, rakap dan tiub braket bawah.
Komponen ini akan terdedah kepada menghentam batu, akar dan segala halangan lain di
dalam denai. Tinggi braket bawah juga perlu mengambil kira mendapan oleh sepit udang. Bagi
sepit udang yang panjang gelungsurnya, sela untuk braket bawah menjadi lebih rendah di
bawah mampatan mendatangkan isu kelegaan kerangka dengan tanah.

Tinggi braket bawah tidak malar. Boleh berubah mengikut saiz roda/tayar yang digunakan.
Kurang tepat jika digunakan untuk rujukan kelegaan basikal dengan tanah. Untuk rujukan
kelegaan yang lebih tepat, digunakan Bottom Bracket Drop (BBD)

BBD [Bottom Bracket Drop]


Turunan Braket Bawah
Gariskan satu garisan di antara titik tengah roda depan dan belakang. Gariskan satu garisan
berserenjang dari tengah braket bawah ke garisan di atas. Panjang garisan ini ialah turunan
braket bawah.

Tinggi/rendah nilai turunan ini mempengaruhi bagaimana stabilnya kendalian sesuatu basikal.
Hukum asasnya ialah lagi tinggi nilai turunan lagi stabil. Perlu diingat yang nilai itu tidak boleh
dinaikkan sewenangnya kerana akan mempengaruhi kelegaan tanah pula. Dan perubahan
nilainya dilakukan berdikit-dikit dalam kiraan milimeter.
Nilai ukuran boleh jadi positif (+) atau negatif (-). Positif bermakna braket bawah berada di
bawah garisan. Negatif bermakna braket bawah berada di atas garisan.

TT [Top Tube Length]


Panjang Tiub Atas
Panjang ini diukur daripada bahagian tengah tiub pelana dan bahagian tengah tiub kepala
dalam satu garisan yang selari dengan tanah. Juga dipanggil Effective Top Tube. Tiub atas
pendek menjadikan tapak roda pendek. Begitu juga sebaliknya. Panjang tiub atas yang sesuai
bergantung kepada fizikal pengayuh. Kerangka basikal bersaiz besar mempunyai tiub atas yang
lebih panjang. Lebih sesuai untuk mereka yang bertubuh tinggi yang relatifnya akan mempunyai
lengan yang panjang. Mereka yang mempunyai ketinggian yang berada dekat sempadan saiz
kerangka akan berhadapan dengan lebih cabaran mendapatkan kerangka yang sesuai dan
selesa. Kadang-kadang, saiz kerangka sahaja tidak mencukupi untuk mendapatkan padanan
yang sesuai. Sekiranya kerangka yang digunakan memberikan rasa sedikit sempit atau sedikit
luas, cuba bermain-main dengan panjang stem dan anjakan pelana yang berbeza. Mungkin itu
sudah memadai untuk mendapatkan keserasian dan keselesaan dan tidak perlu memburu
kerangka baru.

ST [Seat Tube Length]


Panjang Tiub Pelana
Panjang dari atas tiub pelana ke pusat braket bawah. Jarak ini yang biasa digunakan sebagai
piawai saiz kerangka basikal. Contohnya : Saiz 17inci C to C. Bermaksud panjang tiub pelana
adalah 17 inci. C to T bermaksud "Center To T", ukuran dibuat dari pusat braket bawah ke atas
tiub pelana.

A(SA) [Seat Tube Angle]


Sudut Tiub Pelana
Prinsipnya hampir sama dengan sudut tiub kepala. Sudut dikira berdasarkan sudut tiub pelana
dengan tanah. Sudut ini menentukan di mana pengayuh akan duduk di atas basikal,
menentukan jajaran dengan engkol. Sudut yang tinggi, memberikan tiub pelana yang lebih
tegak. Pinggul pengayuh akan lebih hampir dengan engkol. Ini membolehkan pengayuh
mengayuh dengan lebih laju. Sebab itu, berkayuh sambil berdiri memberi lebih kuasa pecutan.
Sebaliknya, sudut yang rendah akan membuatkan pengayuh berada lebih jauh daripada engkol.
Sudut yang rendah juga akan menyebabkan pengayuh lebih ke belakang bila tinggi pelana
ditambah.

Itu sahaja bahagian-bahagian kerangka yang perlu dan patut diketahui. Berkenalan dulu
dengan kerangka. Insyaa Allah, ada masa, ada rezeki kita teliti dengan lebih mendalam lagi
setiap komponen dan bagaimana ia mempengaruhi prestasi sesebuah MTB.

Anda mungkin juga menyukai