Anda di halaman 1dari 3

Lampiran 3(Surat Rasmi)

Kompleks Penghulu,
Mukim Jorak,
12, Pekan Pagoh,
84600 Muar,
Johor Darul Takzim.

Ketua polis,
Balai Polis Daerah Muar,
Jalan Petrie,
84600 Muar,
Johor Darul Takzim. 12 MAC
2000.

Tuan,

Cadangan Mengatasi Kemalangan di Pekan Pagoh

Merujuk perkara di atas, saya selaku penghulu yang bertanggungjawab atas


keselamatan penduduk Mukim Jorak, khususnya penduduk Pekan Pagoh, berasa
bimbang dengan kadar kemalangan yang semakin meningkat dari hari ke hari di
mukim kami. Perkara yang menyedihkan, tragedi ini melibatkan murid sekolah yang
melalui pekan ini untuk ke sekolah. Oleh itu, saya ingin membuat beberapa
cadangan kepada pihak tuan untuk mengatasi masalah kemalangan ini.

2. Cadangan saya yang pertama adalah untuk meminta pihak tuan mengadakan
kawalan lalu lintas, terutamanya pada waktu pelajar pulang dari sekolah. Langkah ini
perlu diambil bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas kerana pada waktu yang sama,
kenderaan dari arah Bukit Kepong dan Lengga juga sibuk menggunakan jalan di
pekan ini. Dalam kesibukan inilah, kemalangan mudah berlaku.Tambahan pula
terdapat sebilangan kecil pemandu yang mementingkan diri dengan tidak memberi
laluan kepada murid-murid sekolah untuk melintas jalan. Jika pihak tuan
mengadakan kawalan lalu lintas pada masa itu, sudah tentu kemalangan dapat
dielakkan.

3. Saya juga meminta kerjasama daripada pihak polis supaya memberikan surat
sokongan bagi mendapat kemudahan lampu isyarat di simpang pekan ini. Setakat
ini, permohonan untuk mendapatkan kemudahan lampu isyarat tidak diluluskan oleh
pihak yang bertanggungjawab kerana kawasan ini masih dianggap terkawal dan
tidak terlalu sibuk. Untuk makluman tuan, pada bulan lalu, sebuah lori yang
membawa muatan simen telah terbabas lalu terbalik di kawasan Pekan Pagoh.
Kemalangan dikatakan berpunca daripada ketiadaan lampu isyarat yang
menyebabkan pemandu lori dari Parit Sulong tidak memberhentikan lorinya ketika
sampai di simpang. Pada masa yang sama, sebuah motosikal datang dari arah
Lengga. Dalam usaha mengelakkan motosikal tersebut, lori berkenaan telah
terbabas dan terbalik menyebabkan seorang peniaga terbunuh. Oleh itu, jika
permohonan untuk mendapatkan kemudahan lampu isyarat diluluskan dengan
sokongan pihak tuan, saya yakin kadar kemalangan di pekan ini dapat dikurangkan.

4. Selain itu, saya mengharapkan agar pihak tuan dapat menganjurkan ceramah
keselamatan jalan raya kepada penduduk sekitar Pekan Pagoh, khususnya di
kalangan pelajar sekolah.Ceramah seperti ini bukan sahaja akan dapat memberikan
kesedaran kepada pelajar betapa pentingnya keselamatan di jalan raya malah dapat
melindungi pengguna jalan raya yang lain.

5. Saya juga mengharapkan kerjasama daripada pihak tuan untuk mengadakan


sekatan jalan raya pada waktu malam.Hal ini bertujuan untuk membanteras lumba
motosikal haram di sekitar Batu 8 hingga Batu 13. Kegiatan seperti ini tidak boleh
dibiarkan kerana boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam di
samping membahayakan nyawa mereka.

6. Oleh yang demikian besarlah harapan saya agar tuan dapat memberikan
perhatian kepada cadangan saya ini. Kami juga berharap agar pihak tuan dapat
meluangkan masa untuk meninjau keadaan Pekan Pagoh ini.Seterusnya, saya
berharap agar tuan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan
keselamatan penduduk di pekan ini terjamin.
Sekian untuk tindakan dan makluman tuan. Atas kerjasama tuan, saya dahului
dengan ucapan ribuan terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

Mohiddin

(MOHIDDIN BIN YASMIN)

Penghulu Mukim Jorak

Anda mungkin juga menyukai