Anda di halaman 1dari 12

Penulisan Akademik 1 (GB6012)

TUGASAN 2 INDIVIDU : PENYEDIAAN KERTAS KONSEP

NAMA PELAJAR : Abdul Sukur Bin Japri

NO. KAD MATRIKS : P117416

FAKULTI : PENDIDIKAN

PROGRAM PENGAJIAN : Sarjana Pendidikan

(Pendidikan Bahasa Arab)

NAMA PENSYARAH : Dr. Zanaton binti H Iksan


KAEDAH SIMULASI LISAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA
ARAB SEKOLAH RENDAH

Abdul Sukur Bin Japri


Pendidikan Bahasa Arab
Universiti Kebangsaan Malaysia
abd.sukur96@gmail.com

Abstrak
Sistem pendidikan di Malaysia menyediakan beberapa subjek bahasa sebagai subjek elektif
termasuklah subjek Bahasa Arab. Subjek bahasa sangat berkait rapat dengan ilmu linguistik
dan cabang-cabangnya seperti ilmu sintaksis, morfologi, fonetik, fonologi, semantik dan lain-
lain. Asas utama pengajaran linguistik ialah perlunya menguasai empat kemahiran iaitu
mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Ramai murid mampu menguasai kemahiran
mendengar, membaca dan menulis untuk subjek Bahasa Arab namun hanya sedikit yang
memperoleh kemahiran bertutur. Mengajuk atau melakukan simulasi perkataan mahupun ayat
komunikasi di dalam Bahasa Arab kurang dikuasai oleh murid atas sebab-sebab tertentu.
Simulasi merupakan salah satu kaedah yang boleh digunakan oleh guru dalam proses
Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang bertujuan untuk meningkatkan kebolehan murid
mengaplikasikan konsep-konsep tertentu dalam penyelesaian masalah. Dengan itu, kertas
konsep ini cuba membincangkan tentang kaedah simulasi lisan Bahasa Arab yang boleh
diaplikasikan oleh guru sewaktu menyampaikan pengajaran di dalam kelas khususnya di
sekolah rendah. Panduan kaedah tersebut sebenarnya dibina berasaskan beberapa model teori
linguistik yang telah mengkaji tentang komunikasi dan lisan bahasa lain.

Kata kunci: simulasi, lisan, Bahasa Arab


PENGENALAN
Sememangnya Bahasa Arab dijunjung tinggi di Malaysia sehingga dijadikan sebagai salah satu
mata pelajaran elektif di sekolah rendah. Di peringkat sekolah menengah Bahasa Arab menjadi
subjek teras untuk sekolah aliran agama dan juga menjadi subjek elektif di sekolah menengah
kebangsaan dan sebahagian sekolah berprestasi tinggi seperti di SBP dan MRSM. Kedudukan
Bahasa Arab semakin dipandang tinggi sehinggakan menjadi salah satu kursus pilihan
sebahagian pelajar yang menyambung pengajian di peringkat Pengajian Tinggi seperti di
universiti. Menurut Gamal (2003), bahasa Arab tidak hanya berfungsi sebagai bahasa agama
semata-mata tetapi juga sebagai bahasa pendidikan, kebudayaan dan komunikasi dalam
kalangan masyarakat di dunia. Namun, agak membimbangkan kelemahan pelajar di Malaysia
terhadap penguasaan Bahasa Arab khususnya dalam kemahiran bertutur ataupun lisan.
Walaupun mereka ini belajar Bahasa Arab bermula dari bangku sekolah rendah lagi tetapi
pemerolehan bahasa yang dimiliki tidak membanggakan. Pertuturan yang lemah dari segi
simulasi cara penutur jati bertutur adalah satu perkara yang serius. Para pelajar didapati kurang
mempraktikkan kemahiran bertutur dalam Bahasa Arab di dalam dan luar kelas setelah
memasuki institusi pengajian tinggi (Ab. Halim 2009). Menurut Ashinida (2012) pula
kelemahan penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar adalah disebabkan mereka kurang
bertutur dalam bahasa tersebut.

Sehubungan dengan itu, perlunya kajian yang mendalam berkaitan dengan kaedah yang
berkesan untuk diaplikasi oleh guru bagi melaksanakan pengajaran simulasi bahasa ini di
dalam kelas khususnya di peringkat sekolah rendah. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh
Ismail @ Yaakub, Che Mat, & Pa (2012) menunjukkan adanya keperluan kepelbagaian teknik
dalam pengajaran bahasa terutamanya bahasa arab kerana keunikan dan keistimewaannya
sebagai bahasa al-Quran. Simulasi lisan ataupun mengajuk sebutan perkataan Bahasa Arab
merupakan salah satu standard kandungan yang penting dalam pelaksanaan Pengajaran dan
Pembelajaran (PdP) di dalam kelas. Murid perlu mengajuk cara guru menyebut perkataan
dalam Bahasa Arab dengan betul persis seperti cara penutur jati Bahasa Arab bertutur. Dengan
itu, kertas konsep ini akan membincangkan tentang beberapa teori simulasi pengajaran bahasa
dan kaedah simulasi lisan pengajaran dan pembelajaran bahasa arab di sekolah rendah.
TEORI LINGUISTIK
Aktiviti lisan iaitu mendengar dan bertutur adalah kemahiran asas yang perlu dikuasai
oleh murid. Dengan kemahiran lisan seseorang akan memperoleh maklumat dan penerangan
yang perlu untuk bertindak balas, memahami persoalan baru dan menimbulkan komunikasi
yang berkesan. Teknik simulasi dapat membantu murid meningkatkan penguasaan kemahiran
lisan kerana teknik ini memerlukan murid-murid untuk berkomunikasi mengikut situasi yang
diberikan atau cara yang telah ditunjukkan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat simulasi
ialah perbuatan yang diasaskan atau menggunakan sesuatu yang direka atau yang dibuat-buat
tetapi mirip kepada atau hampir dengan yang sebenarnya dan mensimulasikan semula keadaan
tertentu untuk tujuan kajian atau latihan.

Terdapat dua aliran teori linguistik yang membahaskan tentang kemahiran lisan dan
berkait rapat dengan kaedah simulasi bahasa iaitu aliran strukturalisme dan aliran transformasi
generatif. Menurut Scholes (1977), strukturalisme memuat nilai-nilai tertentu yang dapat
dilihat, dengan jelas, dalam respon ahli struktural terhadap masalah epistemologi khususnya
dalam hubungan subjek manusia dengan sistem persepsi dan bahasa sendiri serta dengan dunia
yang bersifat objektif. Aliran transformasi generatif pula ialah teori linguistik moden yang
paling menonjol dan mencerminkan kemampuan akal, membicarakan masalah-masalah
kebahasaan dan pemerolehannya, serta hubungannya dengan akal dan pengetahuan manusia.

Aliran strukturalisme

Aliran ini muncul pada abad ke-19 yang telah dipelopori oleh Ferdinand de Saussure
pada tahun 1857. Tokoh lain yang melopori aliran ini adalah Leonardo Bloomfield, Edward
Saphier, Charles Hokait dan Charles Fries. Aliran ini berpandangan bahawasanya bahasa ialah
semua yang diucapkan kerana bahasa lisan lebih sempurna daripada bahasa tulis (tulisan).
Selain itu, pembelajaran bahasa merupakan pemerolehan kebiasaan yang mesti dimantapkan
dengan pengulangan, latihan, peniruan (simulasi) dan ingatan (hafalan). Kemudian, guru perlu
memulakan pembelajaran dengan memberikan latihan kepada murid yang dimulai dengan
menyemak, memahami dan berbicara.

Dapat difahami bahawa aliran ini ada menyentuh tentang kepentingan simulasi lisan
dalam pembelajaran bahasa. Hal ini kerana, pertuturan merupakan aspek pertama pengenalan
sesuatu bahasa. Di samping itu, kaedah bahasa adalah sebuah penerangan dari bahasa yang
digunakan oleh penuturnya.

Aliran Transformasi Generatif

Teori ini muncul selepas aliran struktural yang dipelopori oleh seorang tokoh linguistik
terkenal iaitu Noam Chomsky. Teori ini wujud akibat daripada beberapa kekurangan dan
kelemahan teori struktural. Kajian ini dibuat berdasarkan kenyataan bahawa seseorang penutur
asli sesuatu bahasa berkebolehan untuk membentuk dan memahami pertuturan yang belum
pernah mereka dengar kerana mereka dilahirkan dengan kecekapan semula jadi untuk
berbahasa. Selain itu, penutur asli juga boleh membezakan berbagai-bagai jenis struktur ayat,
mengenali sama ada sesuatu ayat adalah gramatis ataupun tidak.

Kemudian, menurut Noam Chomsky bahasa boleh dianggap sebagai kumpulan


perkataan yang terdiri dari deretan bunyi yang mempunyai makna. Setiap tatabahasa
merupakan teori dari bahasa itu sendiri.

Dapat disimpulkan di sini bahawa aliran ini penutur jati mesti dijadikan panduan untuk
mempelajari sesuatu bahasa supaya sebutan yang kita cuba untuk tuturkan ialah sebutan yang
betul dan tepat sama ada dari segi sebutan huruf mahupun intonasi sebutan. Berikut merupakan
Rajah 1 yang menyimpulkan dua teori linguistik sebagai kerangka teoritikal kertas konsep ini.

Teori
Strukturalisme
Teori Linguistik
Teori
Transformasi
Generatif

Rajah 1: Kerangka Teoritikal (Teori Linguistik)


PELAKSANAAN KAEDAH SIMULASI LISAN BAHASA
ARAB
Simulasi merupakan salah satu kaedah pengajaran yang boleh membantu guru menyampaikan
pengajaran dengan baik dan mampu membantu murid memahami pembelajaran dengan
berkesan. Simulasi lisan pula merupakan salah satu daripada standard pembelajaran yang perlu
diajar oleh guru seperti yang termaktub di dalam Dokumen Standard Kurikulum dan
Pentaksiran (DSKP) Bahasa Arab. Sebagai contoh, standard kandungan 1.1.1 Bahasa Arab
Tahun 1 ialah kemampuan untuk mengajuk bunyi-bunyi huruf yang didengar serta
mengulanginya dan menyebutnya. Untuk mencapai standard ini, murid perlu menyebut semula
bunyi huruf dengan betul dan tepat. Guru akan menyebut terlebih dahulu kemudian diikuti oleh
murid. Berdasarkan kajian Kamarudin Hj Husin (1988), perkembangan bahasa kanak-kanak
bermula daripada proses mendengar terlebih dahulu dan diikuti dengan meniru atau mengajuk
bunyi-bunyi yang didengar dan seterusnya bercakap.

Terdapat beberapa cara yang boleh diaplikasikan oleh guru untuk membantu murid
mensimulasi dan mengajuk huruf mahupun perkataan yang disebut oleh guru atau didengar
oleh murid. Kemampuan ini perlu dikuasai sebaiknya bermula dari sekolah rendah lagi kerana
apabila murid berada di sekolah menengah mereka sudah mampu berkomunikasi atau berdialog
dalam Bahasa Arab dengan intonasi serta sebutan arab yang betul. Rajah 2 menunjukkan
kaedah simulasi lisan Bahasa Arab yang boleh dilaksanakan oleh guru sekolah rendah dalam
proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
KAEDAH SMULASI LISAN PDP BAHASA ARAB

PERSIAPAN PENGAJARAN GURU


SEKOLAH RENDAH

SIMULASI AUDIO ARAB ATAU


PENUTUR JATI BAHASA ARAB

SEBUTAN SUKU KATA

PEER LEARNING
Rajah 2: Kaedah simulasi lisan PdP Bahasa Arab sekolah rendah

Persiapan pengajaran guru

Berdasarkan satu kajian persiapan pengajaran dan pembelajaran (2021), seorang guru yang
terlibat dalam persediaan untuk pengajaran dan pembelajaran menunjukkan pengetahuan
mereka berkaitan dengan kurikulum yang hendak diajar. Dalam hal ini, guru terlebih dahulu
perlu menguasai sebutan atau lisan Bahasa Arab, sebab jika guru tidak menyebutnya dengan
betul, maka murid yang mendengar sebutan guru akan mengulangi semula sebutan yang salah.
Guru boleh berlatih melakukan simulasi lisan dengan merujuk video atau audio arab yang
terdapat di internet seperti di you tube.

Tambahan pula, latihan untuk guru menguasai bidang pengajaran menjadi satu keperluan
seperti yang dinyatakan oleh King dan Newman (2000) iaitu pembangunan profesional ialah
langkah yang kritikal untuk seorang guru meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan
kecenderungannya dalam meningkatkan pencapaian pelajar. Guru seharusnya melibatkan diri
dalam aktiviti kursus yang dikelola oleh guru-guru berpengalaman bagi menambah kemahiran
pengajaran. Melalui perkongsian ilmu dan pengalaman yang diberikan guru dapat mengetahui
langkah terbaik dan sesuai yang boleh diaplikasikan di dalam bilik darjah sewaktu
menyampaikan pengajaran.

Simulasi audio arab atau penutur jati bahasa arab

Menurut Kamarul Azmi dan Ab. Halim (2007), pelbagai cadangan diberikan untuk
menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih menarik iaitu dengan aplikasi kaedah
multimedia dalam pendidikan yang mengintegrasikan teks, kesan bunyi, vokal, muzik, animasi,
video serta perisian komputer yang interaktif. Sebagai contoh, guru boleh memainkan audio
penutur jati Bahasa Arab iaitu orang arab sendiri seperti video dari you tube, kartun yang
menggunakan audio arab dan seumpamanya. Guru hendaklah memainkan terlebih dahulu
audio tersebut, kemudian guru mengulangi sebutan yang ditunjukkan dan diikuti oleh murid.
Guru perlu memainkan semula audio tersebut beberapa kali jika murid melakukan kesalahan
simulasi lisan dan meminta mereka mensimulasi lisan sehingga betul.
Menjadi satu kelebihan buat guru yang belajar di negara arab kerana mempunyai ramai
kawan berbangsa arab yang boleh dirujuk pada bila-bila masa. Berdasarkan kenyataan daripada
Laporan Longview (2009) iaitu nilai pengalaman belajar di luar negara menjadi semakin jelas.
Program pendidikan yang inovatif dapat memastikan pelajar mempunyai pengalaman
antarabangsa sebagai penyediaan untuk menjadi guru. Melalui pengalaman dan hubungan yang
ada guru boleh menghubungi rakan mereka untuk memberikan contoh simulasi lisan yang betul
bagi sesuatu perkataan dalam bahasa Arab seperti meminta mereka menyediakan rakaman
suara untuk menyebut sesuatu perkataan dan guru akan memainkan rakaman tersebut di dalam
kelas sebagai salah satu bahan bantu mengajar.

Sebutan suku kata

Di peringkat sekolah rendah, pembelajaran perkataan baharu sangat banyak diajar kepada
murid. Pada waktu ini, guru boleh mengajar murid menyebut satu perkataan dengan potongan
setiap suku kata. Guru perlu menggabungkan bunyi-bunyi untuk membentuk suku kata dan
seterusnya menyebut sebuah perkataan lengkap. Menurut Kamarudin (1988), menggabungkan
bunyi-bunyi untuk membentuk suku kata kemudian mengenal rangkai kata, ayat dan membaca
merupakan antara peringkat untuk belajar sebutan suku kata.

Sebutan yang betul perlu ditunjukkan oleh guru dengan gaya mulut ketika menyebut suku
kata tersebut seperti bibir atas dan bawah tertutup, mulut dibuka, muncungkan bibir dan
sebagainya. Contohnya ialah perkataan masjid. Masjid di dalam bahasa arab disebut sebagai
al-masjidu dengan empat suku kata iaitu al / mas / ji / du. Guru perlu memisahkan empat suku
kata tersebut dan melakukan simulasi lisan bagi setiap suku kata dan diikuti oleh murid sebagai
tindakan mengajuk. Kaedah menyebut satu persatu suku kata tersebut lebih baik berbanding
menyebut satu perkataan sekaligus.

Selain itu, guru juga boleh menulis setiap suku kata pada potongan kad. Guru menyebut
satu per satu kad-kad tersebut dengan sebutan yang jelas dan betul. Kaedah ini dipersetujui
oleh Juriah Long (1994) bahawasanya beliau berpendapat perkataan diperkenalkan kepada
murid-murid dengan menggunakan kad-kad perkataan. Semasa kad diimbasi, murid-murid
menyebut perkataan-perkataan itu beberapa kali setelah diberi tunjuk ajar cara menyebutnya
oleh guru.
Peer Learning

Peer learning ataupun pembelajaran bersama rakan sebaya merupakan salah satu strategi
yang terdapat dalam konsep pembelajaran kendiri. Pembelajaran kendiri ditakrifkan sebagai
satu proses pembelajaran yang berasaskan pelajar. Pembelajaran kendiri mendorong pelajar
untuk mendapat pencapaian yang tinggi dalam akademik di samping kurikulum yang disusun
dengan baik turut menunjukkan natijah yang sama (al-Alwan 2008). Kajian daripada Lynch
(2006); Yoshida (2008) mendapati bahawa proses komunikasi bahasa Arab yang berlaku
semasa belajar bersama rakan sebaya dapat membantu pelajar meningkatkan pemahaman dan
memberi gambaran yang jelas terhadap kursus yang mungkin tidak didapati jika belajar
sendirian.

Dalam hal ini, guru boleh memilih murid yang sudah biasa menyebut perkataan Bahasa
Arab untuk menjadi role-model kepada rakan sekelas yang lain. Kebiasaannya di dalam kelas
terdapat beberapa orang murid yang mahir atau pandai mengajuk bahasa lain. Pilih murid
tersebut untuk melakukan simulasi lisan dan diikuti oleh rakan sekelas yang lain supaya
pengajaran berorientasikan murid dapat juga dilakukan oleh guru di dalam bilik darjah.
Tambahan pula, pembelajaran berpusatkan murid memberi pengalaman yang banyak kepada
mereka dalam proses (PdP). Menurut Manish Kishore Kumar (2016), berpusatkan murid
memberi peluang bagi murid untuk bercakap dan mendengar secara bermakna, menulis,
membaca, isi kandungan, idea, isu dan menzahirkan kebimbangan kepada subjek yang diajar.

Berikut merupakan empat kaedah yang boleh diaplikasikan oleh guru dalam PdP simulasi
lisan bagi subjek Bahasa Arab. Kepentingan murid menyebut perkataan-perkataan di dalam
Bahasa Arab bermula dari bangku sekolah rendah lagi adalah sangat penting. Hal ini kerana,
kita mahukan murid sekolah menengah sudah mampu bertutur dengan baik dan bukannya
masih bertatih untuk menyebut perkataan sedangkan sepatutnya mereka akan mempelajari
morfologi dan tatabahasa arab dengan mendalam di peringkat sekolah menengah.
KESIMPULAN
Dapat disimpulkan bahawasanya kaedah yang tepat untuk pengajaran simulasi lisan
Bahasa Arab perlu diaplikasikan oleh guru ketika pelaksanaan PdP di dalam bilik darjah.
Penguasaan simulasi seharusnya dikuasai dan diperoleh oleh murid sekaligus membantu guru
melaksanakan pentaksiran melalui lisan. Kemahiran lisan merupakan antara kemahiran-
kemahiran asas untuk mempelajari sesebuah bahasa asing. Manakala, simulasi lisan pula salah
satu aktiviti penting untuk kemahiran tersebut. Setiap manusia yang boleh bercakap sepatutnya
mampu mengajuk perkataan dalam bahasa lain jika kita mendengar dengan teliti ketika
perkataan itu disebut atau dituturkan dengan syarat sumber penutur perkataan tersebut
hendaklah menyebutnya dengan betul.

RUJUKAN
Ab. Halim Mohamad. 2009. Tahap Komunikasi dalam Bahasa Arab dalam Kalangan Pelajar
Sarjana Muda Bahasa Arab di IPTA Malaysia. Journal of Islamic and Arabic
Education. 1(1), 1-14.

Al-Alwan, A. F. 2008. Self-regulated Learning in High and Low Achieving Students at al-
Hussein bin Talal University (AHU) in Jordan. International Journal of Applied
Educational Studies, 1(1), 1-13.

Ashinida Aladdin. 2012. Analisis Penggunaan Strategi Komunikasi dalam Komunikasi Lisan
Bahasa Arab. GEMA Online® Journal of Language Studies. 12(2), 645-666.

Azani Ismail @ Yaakub , Azman Che Ma, & Mat Taib Pa 2012. Membina Kemahiran
Pertuturan Menerusi Aktiviti Lakonan Dalam Pengajaran Bahasa Arab. GEMA Online
Journal of Language Studies, 12(1), 325–337.

Azman bin Che Mat, Ahmad Zulfadhli Nokman, Nor Shaifura Musilehat, Ahmad Fakrulazizi
Abu Bakar. 2020. Pemerolehan Kemahiran Lisan Berdasarkan Aktiviti Simulasi
Berpasangan.
Department of Education, the National Council for Curriculum and Assessment. 2021.
Preparation for Teaching and Learning - Guidance for All Primary and Special
Schools. https://ncca.ie/media/5016/preparation-for-teaching-and-learning.pdf [25
Jun 2022].

Gamal Zakaria. 2003. Dari Syahadah Ke Mahabbah. Bangi: Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor.

Gumal Abdul Nasir Zakaria, Salwa Mahelle, Aliff Nawi. 2015. Kajian Amalan Pengajaran
Guru Bahasa Arab Sekolah Menengah Di Negara Brunei Darussalam. The Online
Journal of Islamic Education, Vol. 3 Issue 1.

Harnimizam Bin Abd Hamid. 2014. Keberkesanan Teknik Simulasi Dalam Penulisan
Karangan Murid Tahap Dua Di Sekolah Kebangsaan. Universiti Pendidikan Sultan
Idris.

Juriah Long, Raminah Hj. Sabran & Sofia Hamid. 1994. Perkaedahan penagajaran bahasa
Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti 1994.

Kamaruddin Hj. Husin, 1988, Pedagogi Bahasa Penkaedahan, Kuala Lumpur: Kumpulan
Budiman Sdn. Bhd.

Kamaruddin Hj. Husin. 1988. Kaedah pengajaran kesusasteraan. Petaling jaya: Fajar Bakti

Kamarul Azmi Jasmi & Ab. Halim Tamuri. 2007. Pendidikan Islam Kaedah Pengajaran dan
Pembelajaran. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2015. Kurikulum Standard Sekolah Rendah Bahasa Arab
Tahun 1. Terbitan: KPM.

King, M.B. & Newmann, F.M. 2000. Will teacher learning advance school goals? Phi Delta
Kappan, 576-580.

Lynch, D. J. 2006. Motivational Factors, Learning Strategies and Resource Management as


Predictors of Course Grades. College Students Journal, 40(2), 423-428.
M. Laura Angelini, Amparo Garcia-Carbonell. 2019. Developing English Speaking Skills
Through Simulation-Based Instruction. Teaching English With Technology, 19 (2), 3-
20.

Robert Scholes. 1977. Structuralism in Literature, An Introduction. New Haven dan London:
Yale University Press.

Saepudin. 2018. Teori Linguistik Dan Psikologi Dalam Pembelajaran Bahasa. Jurnal Studi
Pendidikan Vol XVI/ No 1.

Yoshida, R. 2008. Learners’ Perception of Corrective Feedback in Pair Work. Foreign


Language Annals, 41(3), 525-541.

Anda mungkin juga menyukai