Anda di halaman 1dari 19

Tatabahasa sering dianggap orang sebagai subjek yang kering,

membosankan, dan kadangkala menakutkan. Tatabahasa


dianggap kering dan membosankan kerana kononnya tata
bahasa hanya terdiri daripada rumus-rumus bahasa, sama halnya
dengan matematik. Bercakap tentang tatabahasa seolah-olah
bererti bercakap tentang soal salah betul penggunaan bahasa
semata-mata. Sekian lama pula telah tertancap pada benak
kebanyakan orang bahawa tata bahasa mengekang gaya bahasa
dan kreativiti. Persepsi seumpama semua itulah yang kadangkala
menjadikan orang takut, malah mungkin benci pula akan
tatabahasa. Jika timbul rasa takut dan benci, bagaimanakah
tatabahasa dapat menjadi subjek yang menarik di bilik darjah?

Nampaknya tugas pertama saya sebelum memberikan


pandangan tentang kaedah dan teknik pengajaran tata bahasa
yang menarik ialah berusaha membetulkan anggapan salah
tentang tatabahasa. Kata pepatah “Tak Kenal maka tak cinta”.
Mudah-mudahan dengan mengenal hakikat tata bahasa,
tumbuhlah rasa cinta kepadanya. Teringat pula saya akan satu
baris dalam lagu Melayu lama yang berbunyi “Kalau hati sudah
suka, semua indah saja”. Demikianlah mudah-mudahan
tatabahasa akhirnya dapat dilihat sebagai sesuatu yang indah.
TATABAHASA DAN HAKIKAT BAHASA

Untuk mencapai makrifat tentang bahasa, penting sekali kita


mengenal hakikat bahasa. Hakikat bahasa pada asasnya ialah
tatabahasa, dengan pengertian yang lebih dasar dan luas
daripada sekadar subsistem yang terdiri daripada morfologi dan
sintaksis. Tata bahasa yang saya katakan menjadi asas hakikat
bahasa ialah satu bentuk potensi akliah yang dikurniakan Tuhan
kepada anak-anak Adam (manusia) sewaktu mereka masih di
alam ruh, sebelum dilahirkan ke dunia (al-Qur’an, al-A’raf: 172).
Oleh Chomsky, potensi yang ternurani atau innate ini disebut tata
bahasa sejagat (universal grammar). Potensi ini bukan bahasa
dalam bentuk lahiriah yang terdiri daripada fonem, morfem, kata,
frasa, klausa, ayat, dan wacana dalam bahasa yang tertentu,
tetapi merupakan satu kemampuan akal yang dapat membentuk
unsur-unsur bahasa yang disebut tadi dalam satu sistem
semantik.

Potensi yang disebut tatabahasa sejagat inilah yang menjadi asas


bagi semua manusia berbahasa dalam bahasa masing-masing
melalui proses penyesuaian parameter. Dengan memahami asal
usul bagaimana kita berbahasa, terang pada kita bahawa tata
bahasa merupakan asas yang memungkinkan kita berbahasa.
Adanya tata bahasa sejagat pada manusia inilah yang
memungkinkan manusia menjadi kreatif, iaitu dapat menghasilkan
unsur-unsur bahasa yang tidak terbatas jumlahnya dengan
berdasarkan prinsip-prinsip yang terhad. Adanya tata bahasa ini
jugalah yang memungkinkan bahasa manusia teracu dalam
sistem, tidak seperti haiwan yang biarpun mungkin dapat
menguasai sejumlah unsur bahasa, misalnya kata-kata melalui
latihan intensif tetap tidak mampu menyusun kata-kata itu dalam
pola-pola yang bersistem, kreatif, dan berkonteks.

Daripada tatabahasa sejagat, terbina tatabahasa yang khusus


bagi sesuatu bahasa yang tertentu. Maka itu setiap bahasa ada
tatabahasanya yang khusus yang perlu dipelajari apabila orang
ingin menguasai mana-mana bahasa. Jadi, adanya konsep
tatabahasa sejagat tidak bererti bahawa hanya ada satu
tatabahasa yang sesuai untuk semua bahasa manusia seperti
yang disalahfahami oleh setengah-setengah orang. Perihal
adanya kepelbagaian bahasa manusia, yang bererti adanya tata
bahasa yang berlainan dijelaskan dalam al-Qur’an (Surah al-
Hujurat, ayat 13 dan Surah al-Rum, ayat 22). Oleh itu perlu
difahami perbedaan tata bahasa sejagat daripada tatabahasa
khusus bagi bahasa yang tertentu.

Hakikat tatabahasa sebagai tunjang bahasa dapat digambarkan


dalam hubungannya dengan penguasaan kemahiran-kemahiran
berbahasa. Representasi bahasa yang diwakili oleh kemahiran
mendengar, bertutur, membaca, dan menulis berasaskan satu
kerangka tersembunyi yang menjadi asas pembentukan pola-pola
bahasa yang bermakna. Kerangka tersembunyi itu tidak lain
daripada tatabahasa. Tanpa kerangka itu, tidak dapat manusia
bertutur untuk melahirkan idea dan perasaan kerana kerangka
itulah yang menyusun unsur-unsur pertuturan dalam satu sistem
yang teratur dan bermakna. Demikian juga, tanpa kerangka itu
tidak mungkin berlaku proses pembacaan dan penulisan kerana
segala sesuatu tertulis dalam satu sistem yang menimbulkan
makna dan si pembaca perlu memiliki keupayaan menguasai
sistem itu. Orang yang hendak menulis pula perlu mempunyai
skema sistem itu dan menterjemahkannya dalam bentuk-bentuk
bahasa yang bermakna. Sesuai kiranya saya sisipkan di sini
konsep tatabahasa (gramatikos) yang ditakrifkan oleh ahli-ahli
falsafah Yunani sebagai “seni membaca dan menulis”, yang
dengan jelas menunjukkan peranan tata bahasa.

Demikianlah selayang pandang penjelasan tentang hakikat


tatabahasa. Dengan bertitik tolak daripada hakikat tatabahasa,
yang ternyata bukan sekadar sehimpunan rumus atau aturan
bahasa menurut pengertian yang sempit, baharulah sesuai kita
bincangkan soal menjadikan tatabahasa sebagai sesuatu yang
penting dan menarik untuk diajarkan (oleh guru) dan dipelajari
(oleh murid atau pelajar).

PENGAJARAN TATABAHASA: PENYATAAN FENOMENA

Tatabahasa memang kelihatan kering dan membosankan, baik


pada guru mahupun murid, jika diajarkan hanya sebagai aturan-
aturan, secara didaktik pula. Memang tujuan pokok kita
mengajarkan tatabahasa ialah agar murid menguasai sistem
bahasa untuk selanjutnya memanfaatkan penguasaan sistem
bahasa itu bagi tujuan-tujuan yang fungsional, seperti
pemerolehan ilmu, penghayatan nilai-nilai masyarakat, dan
berinteraksi dengan baik dalam masyarakat. Jadi, terang bahawa
pengajaran tatabahasa ialah prasyarat untuk komunikasi yang
berkesan dan juga untuk tujuan pembinaan diri, terutama melalui
pemerolehan ilmu. Pengajaran tatabahasa tidak patut bernoktah
dengan pendedahan sistem semata-mata. Sebaliknya pengajaran
tatabahasa hendaklah dihubungkan secara langsung dengan
aspek-aspek fungsionalnya.

Telah dibahaskan dengan panjang lebar oleh ahli-ahli pendidikan


bahasa soal tujuan pengajaran bahasa, termasuk tatabahasa.
Sekurang-kurangnya ada empat mazhab yang dominan dalam
hal ini. Yang pertama ialah mazhab tradisionalis yang
menekankan penguasaan rumus-rumus tata bahasa. Yang kedua
ialah mazhab strukturalis behavioris yang menekankan
pembentukan kebiasaan berbahasa sebagaimana yang berlaku
dalam masyarakat. Yang ketiga pula ialah mazhab rasionalis
yang menekankan keupayaan bahasa sebagai lawan
pelaksanaan bahasa (bentuk unggul bahasa lawan realiti
penggunaannya). Yang terakhir ialah mazhab fungsionalis yang
menitikberatkan fungsi bahasa dalam komunikasi sosial.
Keempat-empat mazhab itu mewakili pandangan dan sikap yang
ekstrem sehingga menimbulkan salah faham tentang tujuan
pengajaran bahasa. Tiga mazhab yang pertama dilabelkan oleh
mazhab keempat sebagai “model pengajaran kemahiran” kerana
menekankan penguasaan sistem bahasa. Sebaliknya mazhab
keempat yang mengemukakan “model pengajaran alamiah”
terlalu cenderung pada aspek praktis sehingga agak
mengabaikan penguasaan sistem pula.

Dua konsep lain yang turut mempengaruhi gaya pengajaran


bahasa, termasuk tatabahasa ialah “keupayaan linguistik” dan
“keupayaan komunikatif”. Ahli-ahli pedagogi yang memberikan
perhatian berat kepada penguasaan sistem bahasa kurang atau
sama sekali mengabaikan aspek komunikatif bahasa. Dalam hal
pengajaran tatabahasa, penekanan kepada penguasaan rumus-
rumus tatabahasa menjadikan guru alpa menerapkannya dalam
konteks penggunaan yang wajar dan sesuai. Yang taksub kepada
penguasaan aspek komunikatif bahasa pula memandang remeh
akan ketepatan bahasa daripada segi rumus tata bahasa.
Kesannya ialah bahawa yang pertama gagal atau kurang berjaya
menjadikan tatabahasa sesuatu yang bermakna dalam kehidupan
murid. Yang kedua pula mungkin menarik kerana mengaitkan
bahasa dengan kehidupan sehari-hari tetapi gagal melahirkan
murid yang berdisiplin daripada segi penggunaan bahasa yang
gramatis dan bersistem.

Impian kita kini ialah menciptakan dan menemukan kaedah


pengajaran tatabahasa yang dapat mengukuhkan ketrampilan
bahasa murid daripada segi sistem bahasa dan juga daripada
segi pragmatiknya. Murid yang patut kita bentuk ialah yang
menguasai rumus-rumus tatabahasa secara sedar dan sekaligus
dapat menggunakannya untuk komunikasi dengan pengertian
yang luas, bukan sekadar komunikasi biasa yang ditandai oleh
laras “bahasa terhad” (restricted code) bahkan untuk komunikasi
canggih yang ditandai oleh laras “bahasa terbina” (elaborated
code). Dalam konteks memenuhi peranan bahasa sebagai
wahana pembinaan tamadun, ketrampilan bahasa yang
sewajarnya dimiliki ialah yang dapat memenuhi keperluan asas
hingga yang dapat menjadi wadah pemikiran, ilmu, dan budaya
tinggi.
STRATEGI PENGAJARAN TATABAHASA

Selaras dengan konsep pendidikan bersepadu yang diamalkan di


negara ini sejak tahun 1988, maka pengajaran bahasa pun tidak
boleh lagi diajarkan menurut cara lama yang memisah-misahkan
aspek-aspek yang diajarkan, misalnya antara satu kemahiran
dengan kemahiran yang lain, antara kemahiran dengan sistem
bahasa dan sebaliknya, serta antara kemahiran dan sistem
bahasa dengan isi bahasa, terutama ilmu dan nilai.

Strategi pengajaran bahasa Melayu menurut pendekatan


bersepadu berasas pada strategi 2P, iaitu penggabungjalinan dan
penyerapan. Penggabungjalinan yang asasnya telah bermula
pada lewat 1970-an melibatkan:

a. Penggabungjalinan antara empat kemahiran bahasa, iaitu


mendengar, bertutur, membaca, dan menulis dengan sekurang-
kurangnya dua kemahiran digabungjalinkan.
b. Penggabungjalinan antara kemahiran bahasa dengan sistem
bahasa (terutama tata bahasa) dan sebaliknya.

c. Penggabungjalinan antara peribahasa dengan kemahiran


bahasa.

Dalam konteks pengajaran tatabahasa, penggabungjalinan yang


berkaitan ialah penggabungjalinan (b) di atas. Secara ringkas,
pengajaran tatabahasa tidak boleh dipisahkan sama sekali
daripada kemahiran. Apabila tatabahasa diajarkan secara gabung
jalin dengan kemahiran, maka dapatlah dielakkan pengajaran
yang tertumpu semata-mata pada rumus-rumus tata bahasa
sehingga menimbulkan kebosanan. Tatabahasa dapat diajarkan
bersama-sama dengan aktiviti mendengar, bertutur, membaca,
dan menulis. Selain tidak membosankan, dapat pula murid
memahami penggunaan tatabahasa secara fungsional dan dalam
konteks yang sesuai dan wajar. Hal ini akan dibincangkan lebih
lanjut dalam pembicaraan tentang pengajaran tatabahasa
terancang.
Strategi penyerapan pula berkaitan dengan gagasan
menyepadukan aspek sistem bahasa dan kemahiran bahasa
dengan kandungan bahasa. Dengan perkataan lain, pendidikan
bahasa di samping menitikberatkan penguasaan tata bahasa
serta aspek-aspek sistem bahasa yang lain dan juga penguasaan
empat kemahiran bahasa (mendengar, bertutur, membaca, dan
menulis), perlu turut menekankan aspek kandungan bahasa.

Secara kasar, yang dimaksudkan kandungan bahasa ialah segala


maklumat tentang kehidupan manusia yang dipelajari dan diwarisi
melalui perantaraan bahasa. Dalam konteks pendidikan bahasa
di negara kita, penyerapan melibatkan dua aspek utama, iaitu
ilmu dan nilai. Secara lebih terperinci, ilmu dipecahkan kepada
beberapa aspek lagi, iaitu kandungan mata-mata pelajaran lain,
sains dan teknologi, bahasa dan sastera, budaya dan warisan.
Selain itu terdapat pula isu dan hal masyarakat dan negara, serta
isu dan hal ehwal antara bangsa. Nilai-nilai murni pula dibahagi
kepada 16 nilai utama dengan pecahan-pecahannya. Di samping
itu perlu diserapkan juga unsur kewarganegaraan.

Dengan berdasarkan strategi 2P itu, saya yakin bahawa


pengajaran tatabahasa dapat menjadi sesuatu yang menimbulkan
minat guru dan murid, menjadi sesuatu yang betul-betul bererti,
dan sekali gus dapat menghakis anggapan salah bahawa tata
bahasa merupakan bidang yang kering dan tidak lebih daripada
sehimpunan rumus. Melalui strategi penggabungjalinan murid
diasuhkan menguasai tatabahasa sambil melakukan aktiviti-
aktiviti yang bermakna dalam kemahiran mendengar, bertutur,
membaca, dan menulis. Melalui strategi, penyerapan pula, murid
dituntun menguasai tatabahasa dalam konteks yang bermakna,
iaitu sambil mempelajari beraneka maklumat ilmu, hal ehwal
semasa, kegiatan masa lapang, dan nilai-nilai murni. Dengan
demikian, tatabahasa tidak menjadi unsur yang terasing daripada
kehidupan sehingga fahamlah murid mengapa ia perlu
mempelajari tatabahasa dan fahamlah juga guru mengapa ia
perlu mengajarkan tatabahasa.

Daripada segi pelaksanaannya, pendekatan bersepadu dalam


pengajaran tatabahasa memerlukan perhatian yang sungguh-
sungguh daripada segi perancangan dan pengajarannya di bilik
darjah.
Perancangan

Aspek perancangan yang pertama melibatkan usaha mengenal


pasti unsur-unsur tatabahasa yang perlu diajarkan sepanjang
tahun, dengan berdasar pada Risalah Panduan Pemeringkatan
dan Perincian Tatabahasa untuk peringkat sekolah menengah
yang diterbitkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum.
Selanjutnya unsur-unsur tata bahasa itu perlu dimasukkan dalam
perancangan tahunan, penggal, mingguan, dan akhirnya harian.
Kesesuaian unsur tatabahasa tertentu dimasukkan dalam
kelompok kemahiran-kemahiran (kecekapan-kecekapan di bawah
setiap kemahiran) bergantung pada beberapa pertimbangan, iaitu
mudah sukarnya dan relevannya dengan bahan pengajaran.

Aspek lain yang perlu diberi perhatian ialah pemilihan bahan


pengajaran. Bahan pengajaran yang dimaksudkan ialah yang
dapat digunakan untuk menyampaikan maklumat tentang unsur
atau unsur-unsur tata bahasa yang hendak diajarkan. “Bahan” di
sini tidak patut disalahertikan sebagai perincian tentang unsur
tatabahasa, misalnya bentuk-bentuk kata ganda berserta huraian
tentang makna dan contohnya untuk unsur “kata ganda” yang
menjadi fokus pengajaran. Bahan yang dimaksudkan ialah wadah
penggunaan bahasa yang hendak diajarkan, atau bahan yang
dapat dijadikan asas untuk mencungkil atau meramalkan unsur-
unsur tata bahasa tertentu. Bahan yang menjadi wadah bahasa
ialah pelbagai bentuk wacana, sementara yang dapat menjadi
asas mencungkil unsur tata bahasa ialah ilustrasi. Dengan
perkataan lain, dapatlah kita katakan bahan itu sebagai “bahan
ransangan”.

Beberapa pertimbangan dalam pemilihan bahan untuk


pengajaran tatabahasa ialah:

a. Memanfaatkan pelbagai bentuk bahan seperti prosa, puisi dan


bahan grafik, sesuai dengan kepalbagaian konteks penggunaan
tata bahasa.

b. Bahan hendaklah meliputi pelbagai bidang ilmu dan maklumat


yang sesuai, selaras dengan konsep penyerapan ilmu.

c. Bahan hendaklah berisi nilai atau nilai-nilai murni, selaras


dengan gagasan penyerapan nilai.
d. Bahan sedapat-dapatnya hendaklah autentik, seperti iklan,
borang, risalah, dan sebagainya.

e. Bahan yang dipilih mestilah bermutu bahasanya, kecuali untuk


tujuan analisis kesilapan.

f. Bahan hendaklah dapat menarik minat murid.

Dengan adanya bahan rangsangan, dapatlah murid diajar tentang


tatabahasa dalam konteks, sama ada konteks ilmu, laras bahasa,
mahupun jenis-jenis wacana. Maksudnya, murid tidak
mempelajari tatabahasa tanpa latar. Guru pula dapat
memanfaatkan bahan untuk memberikan contoh unsur
tatabahasa yang ada unsur ilmu dan nilainya. Demikian juga,
guru dapat membina latihan daripada bahan tersebut. Apabila
pengajaran guru, termasuk contoh dan latihannya berdasar pada
bahan yang terpilih, maka terlaksanalah pengajaran yang
berdasarkan tema.

Pengajaran
Pengajaran tatabahasa di bilik darjah melibatkan pemilihan aktiviti
yang sesuai dan menarik. Pendekatan deduktif yang
dilaksanakan dalam bentuk penerangan rumus tampaknya tidak
sesuai untuk pengajaran tatabahasa di peringkat sekolah. Antara
aktiviti yang dapat menimbulkan minat murid termasuklah:

a. Kegiatan penemuan – murid mengesan unsur atau unsur-unsur


tatabahasa tertentu dalam bahasa.

b. Kegiatan berdialog dan berlakon – murid menggunakan pola-


pola tertentu yang sesuai, seperti jenis ayat (ayat tanya, ayat
penyata, ayat seruan, ayat permintaan) atau kata-kata tanya, kata
silaan, kata seru, dan sebagainya.

c. Kegiatan mencungkil unsur bahasa daripada visual – murid


menamakan objek atau peristiwa, menyatakan sifat atau
keadaan, membina ayat daripada bahan tersebut, dan
sebagainya.

d. Kegiatan berpuisi, bernyanyi, dan bercerita – murid menghayati


unsur-unsur bahasa dalam bahan dan boleh juga menghasilkan
puisi, seni kata, dan cerita.

e. Kegiatan pentomim – murid mengagak nama, perbuatan atau


sifat, atau mungkin ayat yang dibayangkan oleh bahasa badan.

f. Kegiatan main peranan – murid diletakkan dalam situasi atau


konteks yang sebenarnya dan menggunakan bahasa yang sesuai
dengan konteks itu, misalnya sebagai wartawan ia menggunakan
kata tanya dan ayat tanya yang betul (5W + 1H).

g. Kegiatan permainan bahasa – murid berteka-teki, menjawab


kuiz, meneka nama, sifat, perbuatan, teka silang kata,
melengkapkan peta minda, memadankan unsur bahasa (seperti
subjek-prediket), melengkapkan ayat, menukar struktur ayat
untuk maksud yang sama, dan sebagainya.

h. Kegiatan penyuntingan – murid membuat analisis kesilapan


dan membetulkan bahasa pada bahan autentik (termasuk juga
karangan murid).

i. Kegiatan penghasilan – murid berkreativiti menggunakan unsur-


unsur tatabahasa untuk menulis iklan, moto, slogan, tema, poster,
dan sebagainya.

PENUTUP BICARA

Demikianlah secara umum gagasan tentang bagaimana kira-kira


tatabahasa dapat diajarkan dengan menarik. Asas yang saya
gunakan ialah pertama-tama sekali menimbulkan pengertian
bahawa tatabahasa ialah bahagian yang penting dalam
kehidupan kita. Oleh itu pengajaran tata bahasa tidak boleh
diajarkan secara terasing, melainkan hendaklah diajarkan dengan
strategi penggabungjalinan dan penyerapan. Untuk memenuhi
strategi tersebut, perlu dibuat perancangan yang rapi, terutama
daripada segi pemilihan bahan untuk menunjukkan konteks yang
sesuai bagi unsur-unsur tata bahasa yang hendak diajarkan.
Dalam pengajaran di bilik darjah pula, guru perlu melaksanakan
pelbagai teknik dan aktiviti yang dapat merangsang murid
sehingga pengajaran tata bahasa dapat membantu murid
menguasai tata bahasa dengan tidak berasa tertekan atau
terpaksa.

Anda mungkin juga menyukai