Anda di halaman 1dari 2

USAHAWAN PERLU KREATIF DAN INOVATIF

Dr. Rossidi bin Usop


Pensyarah Kanan, Universiti Sains Islam Malaysia.

SAUDARA PENGARANG,

Merujuk kepada Kamus Dewan Online, inovasi didefinisikan sebagai sesuatu yang baharu
diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain yang baharu. Secara lebih khusus,
inovasi bukan sekadar mencipta produk baharu, tetapi lebih utama adalah untuk menyelesaikan
permasalahan yang melanda kehidupan seharian golongan masyarakat kini. Persoalannya,
bagaimanakah untuk menjadi seorang usahawan yang mempunyai daya fikir yang kreatif dan
akhirnya mampu mencipta inovasi baharu yang mampu memenuhi keperluan masyarakat?
Justeru, penulis akan menfokuskan penulisan ini kepada ulasan berkaitan inovasi agar menjadi
panduan kepada para usahawan.

Menurut, Susumu Tonegawa penerima Hadiah Nobel “Nobel Prize Winner”dalam bidang
perubatan tahun 1987, terdapat tiga syarat utama untuk seseorang menjadi kreatif, iaitu
perasaan sangat ingin tahu terhadap sesuatu perkara, mempunyai keinginan yang tidak putus-
putus untuk menangani permasalahan yang sedia ada dan mengintegrasikan ilmu pengetahuan
sekurang-kurangnya dalam dua disiplin ilmu yang berbeza. Selanjutnya, daya kreativiti pula
sangat berkait rapat dengan daya inovatif. Oleh itu, apakah syarat untuk menjadi seorang
usahawan yang inovatif?

Bagi melahirkan seorang usahawan yang digelar pencipta pula, Prof. Dr. Muhammad Syukri
Salleh menyenaraikan tiga syarat terpenting untuk seseorang itu mampu menghasilkan sebuah
idea inovasi yang dianggap baharu atau inovasi terobosan “breakthrough innovation”. Syarat
pertama ialah tidak ada unsur peniruan “no imitation”, syarat kedua tiada unsur persaingan “no
competition” dan syarat ketiga tiada unsur penanda aras “no benchmarking”.

Syarat pertama berkaitan tiada unsur peniruan terhadap produk-produk lain yang terdapat di
pasaran. Justeru, untuk menjadi seorang yang inovatif usahawan perlu mencipta trend baharu
dan bukan sekadar menjadi pengikut trend semasa. Hal ini kerana, mencipta trend baharu
meletakkan kita pada kedudukan hadapan sebagai perintis (first mover), sebaliknya mengikuti
trend sedia ada menyebabkan kita terus berada di belakang sebagai pengikut semata-mata.
Dengan lain perkataan, posisi dihadapan tentulah lebih baik berbanding posisi dibelakang.
Oleh yang demikian, usahawan perlulah menjadi pemimpin dengan menghasilkan produk-
produk baharu yang sebelum ini tidak pernah wujud di pasaran sebagai contoh Steve Job, Tim
Cook, Bill Gates dan Elon Musk adalah contoh usahawan yang sentiasa menghasilkan
penemuan baharu sehingga produk yang dicipta mereka berjaya menjadi fenomena global.

Syarat kedua, berkaitan dengan tiada unsur persaingan membawa maksud usahawan tidak perlu
bersaing dengan orang lain untuk menghasilkan inovasi yang baharu. Namun, sekiranya
persaingan tidak dapat jua dielakkan biarlah pesaing tersebut terpaksa bersaing di dalam arena
yang kita sendiri wujudkan. Ini membawa erti, kita mencipta arena atau gelanggang baharu
dengan menjemput usahawan lain datang bersaing dengan kaedah dan peraturan yang telah
kita sendiri tetapkan.

Syarat ketiga adalah tiada penanda aras, ianya kerana apabila kita membuat penanda aras
bermakna kita tidak boleh menjadi pemimpin tetapi hanya menjadi pengikut kepada orang lain.
Dalam memastikan tiada penanda aras diamalkan, usahawan perlu sentiasa berfikir dan
memperbanyakkan membaca bahan bacaan berkualiti bagi menjana buah fikiran yang segar
dan baharu. Hal demikian kerana, idea atau inovasi boleh muncul dari pelbagai sumber
termasuk penemuan secara kebetulan seperti penciptaan ketuhar, bunga api, kaca keselamatan,
gam super “super glue” dan teh uncang. Produk-produk yang disenaraikan ini merupakan
contoh-contoh produk yang tercipta secara tidak disengajakan.

Sebagai kesimpulannya usahawan perlu bersedia untuk belajar dan terus belajar tanpa jemu
bagi menjadi seorang usahawan yang mempunyai daya fikir yang kreatif sekali gus berupaya
mencipta produk-produk baharu yang mampu menyelesaikan permasalahan masyarakat.
Maslahah ini dianggap sebagai keperluan semasa yang tidak dapat tidak amat diperlukan oleh
setiap usahawan masa kini.

Anda mungkin juga menyukai