Anda di halaman 1dari 3

KEPENTINGAN MEMELIHARA TUGAS & TANGGUNGJAWAB

Pendahuluan

Tugas adalah kewajipan sesuatu kerja yang perlu dilaksanakan sesuatu oleh seseorang dalam
tempoh masa yang ditetapkan dan tanggungjawab boleh dilihat sebagai perkara yang perlu
diselesaikan sebagai sebahagian daripada kerja atau peranan tertentu.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Kahfi ayat 46:

Ertiya:
“Harta dan anak pinak itu ialah perhiasan kehidupan dunia dan amalan-amalan soleh yang kekal itu
lebih baik pahalanya disisi Tuhanmu dan lebih baik menjadi harapan (untuk kebahagiaan hidup di
akhirat.”
(surah Al-Kahfi ayat 46)

Anak adalah kurnia dan anugerah yang diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk dijaga
dengan baik dengan penuh kasih sayang. Sesungguhnya anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah
ibarat kain putih yang suci bersih, maka ibubapalah yang bertanggungjawab mencorak dan mendidik
mereka dengan didikan yang baik dan sempurna. Justeru, jika anak-anak itu dicorak dan dididik
dengan baik, maka baiklah jadinya dan jika sebaliknya, maka akan rosak binasalah mereka.

Daripada Abu Hurairah Radiallahu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda:

“Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibubapanyalah yang
mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi”. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Perlu diingat, bahawa ibubapa atau penjaga adalah bertanggungjawab menjaga amanah Allah
Subhanahu Wata'ala ini dengan sebaik-baiknya. Antara tanggungjawab dan tugas yang wajib dipikul
oleh kedua ibubapa atau penjaga itu ialah mempastikan bahawa anak-anak mereka mendapat
pendidikan yang sempurna terutamanya pendidikan ugama agar mereka menjadi insan yang

1
berpekerti dan berakhlak mulia. Ini kerana jika jiwa anak-anak itu telah dididik dan disemai dengan
ajaran agama Islam yang kuat, InsyaAllah mereka akan menjadi orang yang beriman, cinta kepada
Allah Subhanahu Wata'ala dan rasulNya, menjadi anak yang soleh, taat mengerjakan suruhan Allah
dan menjauhi laranganNya serta berbakti kepada agama, ibubapa, masyarakat dan negara.

Tugas mendidik anak-anak bukanlah suatu tugas yang mudah dan boleh dipandang ringan. Ini kerana
didikan ibubapa atau penjaga pada peringkat awal adalah pintu ke arah mana jarak dan masa depan
mereka lebih-lebih lagi di zaman moden yang penuh dengan pelbagai cabaran ini.

Dalam kitab Tarbiyatul Aulad Fi Islam ada menyebutkan beberapa cara yang berkesan untuk
mendidik anak-anak, antaranya:

Pertama: Pendidikan melalui contoh teladan.

Anak-anak suka meniru dan mengikut apa saja yang mereka lihat terutamanya perbuatan ibubapa
atau penjaga mereka. Justeru, ibubapa selaku cermin kepada anak-anak hendaklah menunjukkan
contoh teladan yang baik sama ada dalam bentuk tingkah laku mahupun tutur kata kepada anak-
anak mereka.

Kedua: Pendidikan melalui nasihat.

Nasihat merupakan antara cara yang lembut dan berkesan dalam mendidik anak-anak sama ada dari
segi keimanan dan akhlak. Termasuk dalam faedah nasihat itu ialah mengenalkan kepada anak-anak
mengenai kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala, melaksanakan segala suruhannya, menjauhi segala
larangannya, mengajar hukum-hukum dalam agama Islam dan seumpamanya.

Ketiga: Pendidikan melalui pemerhatian dan pengawalan.

Ibubapa hendaklah sentiasa memata-matai kelakuan anak-anak, mengambil berat dan mengambil
tahu tentang apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka ketika berada di dalam rumah ataupun di
luar rumah. Sebagai contoh menyelidiki siapa kawan-kawan anak mereka, kemana ia pergi, untuk
apa dan sebagainya. Ini bertujuan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak
semasa berada di luar rumah.

2
Para ibubapa atau penjaga jangan mengambil ringan dan mencuaikan serta lalai dalam menunaikan
hak dan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak kerana jika mereka lalai dan kurang memberi
perhatian kepada kelakuan atau keulahan anak-anak mereka, dikhuatiri mereka akan terjebak pada
gejala negatif atau kegiatan kurang bermoral yang menyalahi agama Islam yang suci bahkan juga
melanggar adat dan tata susila dan juga melanggar undang-undang negara.

Pendidikan yang sempurna dan seimbang antara duniawi dan ukhrawi amat mustahak diberikan
kepada anak-anak kerana tanpa adanya ilmu pengetahuan, kita tidak dapat membezakan antara
yang hak dan yang batil. Selain itu, sebagai ibubapa atau penjaga, kita hendaklah sentiasa perihatin
dan mengambil berat terhadap anak-anak sama ada dari segi emosi, mental mahupun fizikal.

Kepentingan ibu bapa atau penjaga dalam memelihara tugas dan tanggungjawab adalah penting
bagi memperbaiki keadaan dunia yang berkaitan dengan kanak-kanak dari segala aspek iaitu
pendidikan, kesihatan, pembangunan dan perancangan ke arah kehidupan yang lebih dan sesuai
agar kanak-kanak dapat berkembang dengan baik dan mencapai potensi yang teringgi.

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga anak-anak kita menjadi anak yang soleh dan solehah,
memiliki akhlak yang mulia, beriman dan bertaqwa dan semoga kita semua sentiasa mendapat
rahmat dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala serta selamat di dunia dan di akhirat. Amin Ya
Rabbal Alamin.

Anda mungkin juga menyukai