Anda di halaman 1dari 14

Jurnal Dunia Pendidikan

e-ISSN: 2682-826X | Vol. 5, No. 1, 279-292, 2023


http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd

Penguasaan Kemahiran Membaca dan Menulis Bahasa Melayu


Murid Tahun 1 di SJKC dari Perspektif Guru
(Mastery of Malay Reading and Writing Skills of Year 1 Pupils at
SJKC from the Teacher's Perspective)
Nurhidayah Mat Husin1*, Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad1
1
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), 43600, Bangi, Selangor, Malaysia
*
Pengarang Koresponden: p111252@siswa.ukm.edu.my

Accepted: 15 February 2023 | Published: 1 March 2023

DOI: https://doi.org/10.55057/jdpd.2023.5.1.23
_________________________________________________________________________________________

Abstrak: Kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk meneroka permasalahan murid yang
belajar di tahun satu di SJKC untuk menguasai kemahiran membaca dan menulis bahasa
Melayu berdasarkan perspektif guru. Reka bentuk kualitatif berdasarkan kajian kes telah
dipilih sebagai kaedah dalam kajian ini. Peserta kajian terdiri daripada seramai tiga orang
guru bahasa Melayu yang mengajar di tiga buah SJKC di daerah Hulu Perak. Temu bual telah
digunakan sebagai alat utama untuk mengumpulkan data. Analisis transkripi temu bual telah
menghasilkan tiga tema yang berkaitan dengan kajian ini. Hasil dapatan kajian telah
menunjukkan bahawa murid-murid tahun satu yang belajar di SJKC mempunyai masalah
dalam penguasaan kemahiran membaca dan menulis bahasa Melayu. Dapatan kajian juga
telah mengenalpasti beberapa faktor yang mempengaruhi masalah tersebut iaitu sikap murid,
persekitaran, dan ibu bapa. Pihak-pihak berkepentingan seperti guru, pentadbir sekolah, dan
ibu bapa perlu memainkan peranan dan bekerjasama untuk membantu mengatasi masalah ini.
Kesimpulannya, bagi mengelakkan keciciran murid dalam pembelajaran bahasa Melayu terus
berlaku, semua pihak perlu bertindak untuk mengatasi masalah ini dengan segera.

Kata kunci: kemahiran membaca, kemahiran menulis, murid tahun 1 SJKC, perspektif guru

Abstract: This study was carried out with the aim of exploring the problems of students
studying in year one at SJKC to master reading and writing Malay based on the teacher's
perspective. A qualitative design based on a case study was chosen as the method in this study.
The study participants consisted of a total of three Malay teachers who teach at three SJKC in
the Hulu Perak district. Interviews were used as the main tool to collect data. The analysis of
the interview transcripts has produced three themes related to this study. The results of the
study have shown that first year students studying at SJKC have problems in mastering the
skills of reading and writing Malay. The findings of the study have also identified several
factors that influence the problem, namely the attitude of students, the environment, and
parents. Stakeholders such as teachers, school administrators, and parents need to play a role
and work together to help overcome this problem. In conclusion, in order to prevent student
dropouts in learning the Malay language from continuing to occur, all parties need to act to
overcome this problem immediately.

Keywords: reading skill, writing skill, year 1 pupils at SJKC, teacher's perspective
___________________________________________________________________________

279
Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved
Jurnal Dunia Pendidikan
e-ISSN: 2682-826X | Vol. 5, No. 1, 279-292, 2023
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd

1. Pengenalan

Hasil daripada penjajahan oleh kuasa asing, Malaysia kini menjadi sebuah negara yang terdiri
daripada pelbagai kaum atau bangsa. Negara ini tidak hanya terdiri daripada bangsa Melayu
sahaja malah turut terdiri daripada bangsa-bangsa lain seperti Cina dan India. Ia termasuklah
pelbagai etnik dan suku kaum seperti Iban, Melanau, Kadazandusun, Orang Ulu dan
sebagainya di bahagian Borneo.

Setelah kemerdekaan negara Malaysia daripada penjajahan kuasa asing, bahasa Melayu telah
dipilih dan digunakan sebagai satu-satunya bahasa yang perlu digunakan oleh semua.
Penggunaan satu bahasa ini memudahkan semua warga saling memahami. Bahasa Melayu
telah dijadikan sebagai alat untuk berkomunikasi dan sangat penting kepada semua rakyat.
Bahasa Melayu juga diangkat dan dijadikan sebagai bahasa rasmi negara malah ia turut
mendapat status sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Bahasa Melayu telah dijadikan asas
untuk membina negara bangsa.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan negara dan juga menjadi bahasa rasmi Malaysia. Hal ini telah mengangkat status
dan kedudukan bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang sangat penting dan wajib dikuasai
oleh semua rakyat di negara ini tanpa mengira kaum dan bangsa. Penggunaan bahasa Melayu
perlu wajib dipelajari kerana ia akan menjadi bahasa utama dalam perhubungan setiap ahli
masyarakat.

Sesuai dengan fungsinya sebagai bahasa komunikasi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa
perpaduan untuk menyatukan rakyat berbilang kaum di negara ini secara tidak langsungnya.
Bagi masyarakat yang hidup dalam kepelbagaian kaum dan bangsa, perpaduan merupakan satu
perkara yang sangat penting. Negara tidak akan aman dan keharmonian akan terjejas tanpa
perpaduan rakyatnya. Negara Malaysia telah memilih bahasa Melayu untuk menjadi medium
perpaduan rakyat. Bahasa ini telah dipilih disebabkan penuturnya, iaitu bangsa Melayu
merupakan bangsa majoriti dan penduduk asal. Maka, bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa
utama yang wajib diketahui dan dikuasai oleh setiap warganegara sejak dari peringkat awal
lagi.

2. Pernyataan Masalah

Kajian yang melibatkan PdPc bahasa Melayu kepada penutur bukan natif sebagai bahasa kedua
banyak dijalankan oleh pengkaji di seluruh Malaysia. Namun begitu, kajian yang berfokuskan
kepada masalah atau isu berkaitan kemahiran membaca dan menulis melibatkan murid-murid
sekolah rendah atau lebih berfokus kepada tahun satu agak sukar didapati dan tidak terkini. Hal
ini disebabkan secara realitinya pada hari ini, murid-murid tahun satu terutamanya murid bukan
penutur natif bahasa Melayu yang belajar di SJKC masih lemah dalam kemahiran berbahasa
Melayu termasuklah membaca dan menulis. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana murid
seharusnya sudah menguasai kemahiran asas tersebut sebelum memasuki pendidikan formal di
tahun satu.

Pencapaian murid-murid di SJK dalam mata pelajaran bahasa Melayu semakin merosot akibat
kelunturan dan kelemahan dalam menguasai kemahiran berbahasa. Dapatan hasil kajian lepas
oleh Chew Fong Peng (2016), menunjukkan bahawa kebanyakan murid berbangsa Cina di
Malaysia kurang fasih membaca dalam bahasa Melayu terutamanya yang tinggal di kawasan
luar bandar. Nora’azian (2018) berpendapat bahawa kajian dan penyelidikan berkaitan

280
Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved
Jurnal Dunia Pendidikan
e-ISSN: 2682-826X | Vol. 5, No. 1, 279-292, 2023
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd

kecekapan penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah adalah
amat penting untuk dilaksanakan bagi menyediakan satu laluan dan langkah awal dalam
kalangan murid terutamanya kepada murid bukan penutur natif bahasa Melayu. Setiap
warganegara ini yang mampu menguasai kemahiran berbahasa Melayu termasuklah kemahiran
lisan, membaca, dan menulis dengan baik akan membantu dalam usaha untuk memartabatkan
bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Melayu dalam aspek kebudayaan dan kehidupan sosial perlu diberi
dititikberatkan disebabkan bahasa ini sering dipertuturkan atau digunakan. Walau
bagaimanapun, penguasaan bahasa Melayu terutamanya dalam kemahiran membaca dan
meulis dilihat masih tidak memuaskan terutama dalam kalangan murid bukan Melayu atau
murid bukan penutur natif. Maka, kajian ini memberi tumpuan kepada penguasaan asas
kemahiran membaca dan menulis bahasa Melayu dalam kalangan murid tahun satu lagi
terutamanya yang sedang belajar di SJKC.

3. Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah untuk:


i. Meneroka masalah penguasaan kemahiran membaca dan menulis bahasa Melayu murid
tahun 1 di SJKC dari perspektif guru.
ii. Mengenal pasti faktor yang mempengaruhi masalah penguasaan kemahiran membaca
dan menulis tahun 1 di SJKC dari perspektif guru.
iii. Mengetahui peranan guru mata pelajaran dan pentadbir sekolah dalam mengatasi
masalah kemahiran membaca dan menulis bahasa Melayu murid tahun 1 di SJKC dari
perspektif guru.

4. Ulasan Kajian Lepas

Kajian yang dijalankan oleh Abdul Rasid Jamian (2011) menunjukkan bahawa masih ada
murid Cina yang tidak boleh menyebut sesuatu perkataan bahasa Melayu dengan betul dan
tepat. Mereka juga cenderung untuk mengabaikan penggunaan perkataan yang mereka tidak
tahu atau fahami maksudnya. Keadaan ini memberi kesan dalam aktiviti membaca. Hal ini
disebabkan apabila mereka membaca dan menemui perkataan yang difahami, mereka akan
mengabaikan perkataan tersebut. Maka, murid tidak memahami apa yang dibaca dengan baik
atau tidak memahami maklumat yang disampaikan.

Chew Fong Peng (2016) menjalankan satu kajian tentang kebolehan membaca murid berbangsa
Cina yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Kebangsaan (SK).
Hasil kajian tersebut menunjukkan murid-murid mempunyai masalah untuk menggunakan
bahasa Melayu dengan baik disebabkan faktor kurang membaca bahan bacaan dalam bahasa
Melayu. Murid-murid kurang suka membaca bahan bacaan bahasa Melayu dan terdapat banyak
faktor yang menyebabkan situasi itu berlaku termasuklah disebabkan oleh faktor budaya,
keluarga, dan pengaruh rakan.

Penutur bukan jati di SJKC menghadapi masalah yang serupa sebagaimana dalam situasi
sebenar iaitu mereka tidak mampu menggunakan atau menulis bahasa Melayu dengan baik
(Noor Zila Md Yusuf, 2015). Proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas oleh guru
hanya tertumpu kepada memindahkan dan menghafal fakta untuk tujuan peperiksaan.
Kebanyakan pelajar hanya semata-mata menghafal rumus tatabahasa, contoh-contoh karangan,
dan menggunakan interlingualisme dalam karangan atau penulisan mereka.

281
Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved
Jurnal Dunia Pendidikan
e-ISSN: 2682-826X | Vol. 5, No. 1, 279-292, 2023
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd

Norsimah Mat Awal, Nadrah Abu Bakar dan Norhashimah Jalaluddin (2012) pula mendapati
pelajar bukan Melayu yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) mempunyai
prestasi yang sederhana dan majoriti daripada mereka berada dalam kategori lemah
terutamanya dalam kemahiran menulis. Pelajar-pelajar Cina dilihat tidak menggunakan bahasa
Melayu dalam aktiviti membaca dan menulis. Hal ini disebabkan mereka mengganggap bahasa
Melayu tidak begitu penting untuk digunakan dalam kehidupan atau pekerjaan mereka.

Kajian oleh Paramasivam Muthusamy (2017) menyatakan bahawa telah wujud kekeliruan
penggunaan bahasa Melayu yang betul disebabkan kelemahan penguasaan kosa kata. Situasi
ini telah berlaku dalam kalangan murid-murid di SJKC disebabkan mereka banyak terpengaruh
dengan penggunaan bahasa Inggeris atau dialek Mandarin ditambah pula dengan penguasaan
koasa kata bahasa Melayu yang lemah. Anne Jeffrey & Saidatul Nornis (2020) menyatakan
pendapat yang sama. Murid akan menggabungkan perkataan asing terutamanya dalam
penulisan bahasa Melayu disebabkan tidak memiliki kosa kata yang luas dan mencukupi.
Situasi ini bukan sahaja boleh melemahkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid,
malah juga akan merosakkan bahasa Melayu dengan penggunaan bahasa rojak seperti itu.
Kajian oleh Liew, Yahya & Abdul Rasid (2016) menunjukkan murid Cina banyak membuat
kesalahan dalam penggunaan kata bahasa Melayu termasuklah kesalahan morfologi lain seperti
kata pemeri, kata ganda, kata sendi nama, imbuhan, dan sebagainya.

Kesilapan tatabahasa semasa mempelajari bahasa kedua, iaitu bahasa Melayu adalah perkara
biasa dalam kalangan murid Cina dan India. Menurut Norsidah Ab. Hamide et al. (2010) dalam
Zamri et.al (2018), 89% murid bukan Melayu menunjukkan kelemahan dalam tatabahasa.
Murid yang lemah dalam tatabahasa memudahkan mereka melakukan kesilapan. Kajian oleh
Money (2004) menyatakan murid banyak membuat kesalahan tatabahasa berkaitan
penggunaan perkataan, frasa, dan ayat. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan murid
melakukan kesalahan tersebut termasuklah kurang membuat latihan tatabahasa, tidak
didedahkan dengan persekitaran penggunaan bahasa Melayu, masa, mengalami kekeliruan, dan
murid yang bersikap cuai (Chai Chuen et. al. (2007).

5. Metodologi Kajian

Kajian ini adalah menggunakan reka bentuk kualitatif berdasarkan kajian kes. Kajian kes ini
berbentuk inkuiri untuk meneroka sejauhmana tahap penguasaan kemahiran membaca dan
menulis bahasa Melayu dalam kalangan murid tahun satu. Murid tersebut adalah mereka yang
belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Kajian kes yang diaplikasi dalam kajian ini
adalah kajian kes daripada jenis 'satu kes, satu tempat' atau 'satu kes, satu lokasi'. Kajian kes
ini hanya dilaksanakan di tiga buah sekolah sahaja di mana ia terletak di dalam daerah atau
kawasan yang sama. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga sekolah tersebut berada dalam kategori
berbeza iaitu di bandar dan luar bandar. 80% murid di sekolah ini merupakan bukan penutur
asli bahasa Melayu. Oleh itu, kajian kualitatif adalah sesuai untuk dilaksanakan kerana ia
bersesuaian dengan dapatan yang ingin diperoleh oleh pengkaji melalui kajian ini.

Kajian ini melibatkan seramai tiga individu sebagai peserta kajian. Ketiga-tiga orang tersebut
merupakan guru yang mengajar mata pelajaran bahasa Melayu tahun satu di SJKC. Seorang
peserta kajian merupakan lelaki manakala dua orang lagi adalah perempuan. Ketiga-tiga
mereka memiliki pengalaman mengajar bahasa Melayu di antara 8 hingga 20 tahun. Peserta
kajian 1dilabelkan sebagai P1, peserta kajian 2 dilabelkan sebagai P2, dan peserta kajian 3
dilabelkan sebagai P3. Peserta kajian 1 mengajar di SJKC yang terletak di kawasan bandar
manakala peserta kajian 2 dan 3 mengajar di kawasan luar bandar. Peserta kajian ini telah

282
Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved
Jurnal Dunia Pendidikan
e-ISSN: 2682-826X | Vol. 5, No. 1, 279-292, 2023
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd

dipilih secara rawak berdasarkan pengalaman mereka mengajar mata pelajaran bahasa Melayu
murid tahun satu. Peserta kajian juga berpengalaman berhadapan dengan murid tahun satu yang
menghadapi masalah untuk menguasai kemahiran asas dalam membaca dan menulis. Peserta
kajian yang terpilih ini merupakan guru yang mampu memberikan maklumat dan dapatan yang
tepat dan matang mengenai kajian ini.

Tiga buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang dipilih sebagai lokasi kajian ini
terletak di Daerah Hulu Perak. Ketiga-tiga buah sekolah ini terletak di kawasan yang
dikategorikan sebagai bandar dan luar bandar. Lokasi kajian ini dipilih kerana pengkaji berada
berdekatan dengan kawasan tersebut. Oleh itu, kajian kualitatif dalam bentuk kajian kes ini
lebih mudah ditadbir dan diurus. Selain itu, sekolah tersebut memenuhi kriteria yang boleh
memberikan keputusan yang tepat bagi kajian ini, iaitu sebuah sekolah jenis kebangsaan dan
mempunyai murid berbilang kaum yang mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua
atau ketiga mereka. Sekolah-sekolah tersebut juga berada di dalam daerah yang mempunyai
penduduk pelbagai kaum dan bangsa.

Berdasarkan Noraini Idris (2010), setiap kajian atau penyiasatan yang dijalankan melibatkan
proses mengumpul atau mendapatkan data. Data atau dapatan yang dimaksudkan adalah
maklumat yang diperoleh oleh pengkaji atau penyelidik berkaitan sesuatu topik atau subjek
dalam penyelidikan dan kajian mereka. Untuk kajian ini, data-data dikumpul melalui aktiviti
menemu bual peserta kajian. Transkripsi temu bual merupakan dapatan utama kajian ini. Data
utama atau primer merujuk kepada hasil dapatan yang dikumpul oleh pengkaji sendiri melalui
proses temu bual bersama peserta-peserta kajian.

Soalan temu bual adalah jenis berbentuk separa berstruktur di mana soalan yang hendak
ditanyakan kepada peserta kajian telah dibina terlebih dahulu namun beberapa soalan tambahan
telah dikemukakan semasa sesi temu bual tersebut. Dalam soalan temu bual tersebut, peserta
kajian telah ditanyakan mengenai pengalaman mereka semasa mengajar bahasa Melayu tahun
satu. Daripada jawapan temu bual tersebut, beberapa tema telah dibentuk. Tema tersebut
bertujuan untuk memperoleh maklumat yang sesuai dan tepat berdasarkan objektif kajian ini.
Kesemua transkripsi temu bual dianalisis dan diterjemahkan melalui penggunaan Microsoft
Words dan dihuraikan secara jelas dan terperinci dalam bahagian dapatan kajian.

6. Dapatan Kajian

Berdasarkan hasil dapatan temu bual, terdapat tiga tema yang telah dibina, iaitu; i) pengalaman
mengajar bahasa Melayu, ii) peranan guru di dalam kelas, iii) peranan pentadbir di sekolah.
Ketiga-tiga tema ini mempunyai perkaitan dengan apa yang dihadapi oleh guru semasa
mengajar murid-murid tahun satu dalam kemahiran membaca atau menulis bahasa Melayu.
Jadual 1: Dapatan temu bual mengikut tema, subtema, dan sub subtema
Tema Subtema Sub-subtema P1 P2 P3
Pengalaman Murid pelbagai kaum - / / /
mengajar Faktor pengaruh Sikap murid / / /
bahasa Melayu
Persekitaran murid / / /
Peranan ibu bapa / / /
Masalah kemahiran Huruf vokal dan konsonan x x x
membaca Suku kata terbuka / / /
Suku kata tertutup / / /
Diftong dan vokal berganding / / /
Digraf dan konsonan berganding / / /

283
Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved
Jurnal Dunia Pendidikan
e-ISSN: 2682-826X | Vol. 5, No. 1, 279-292, 2023
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd

Perkataan berimbuhan awalan dan / / /


akhiran
Ayat mudah / / /
Masalah kemahiran Huruf vokal dan konsonan x x x
menulis Suku kata terbuka / / /
Suku kata tertutup / / /
Diftong dan vokal berganding / / /
Digraf dan konsonan berganding / / /
Perkataan berimbuhan awalan dan / / /
akhiran
Membina dan menulis frasa / / /
Membina dan menulis ayat / / /
Menulis imlak / / /
Mencatat maklumat / / /
Menghasilkan penulisan kreatif / / /
Mengedit dan memurnikan hasil / / /
penulisan
Peranan guru di Galakan / motivasi Pujian / / /
dalam kelas Hadiah/ganjaran / / /
Intervensi Pemulihan / / /
Pengayaan / / /
Aktiviti Menggunakan video dan audio / / /
Menggunakan bahan bergambar / / /
Didik hibur / / /
Kaedah/teknik/strategi Pembelajaran terbeza / / /
PdPc Bimbingan individu / / /
Berkumpulan / / /
Latih tubi / / /
Peranan Promosi penggunaan / / /
pentadbir di bahasa Melayu baku
sekolah Aktiviti/program / / /
Kemudahan pembelajaran / / /

6.1 Masalah Penguasaan Kemahiran Membaca dan Menulis Bahasa Melayu Murid Tahun Satu
Hasil dapatan temu bual bersama peserta kajian telah menunjukkan murid-murid tahun satu
sememangnya mempunyai masalah dan kesukaran untuk menguasai kemahiran membaca dan
menulis. Peserta kajian telah ditanyakan beberapa soalan melibatkan 12 konstruk literasi
bahasa Melayu yang wajib dikuasai oleh murid-murid tahun satu. Bagi kesemua konstruk
dalam literasi bahasa Melayu ini, murid-murid peserta kajian mengalami masalah yang sama,
sama ada dalam kemahiran membaca atau menulis.

Kesemua peserta kajian menyatakan murid tahun satu tidak dapat membaca dan menulis suku
kata dengan betul. Mereka tidak dapat mengeja, membaca dan menulis sama ada suku kata
terbuka atau tertutup.

“Murid saya ada yang tak dapat baca suku kata terbuka dan tertutup. Contohnya ‘ce’ sebab
ada dua bunyi ‘e’ berbeza. Dorang keliru dan tak pandai nak bunyikan suku kata. Kalau suku
kata tertutup macam ‘jam’, ‘bank’ sebab kena terus eja dan sebut semua huruf sekaligus.
Menulis pun sama saja”. (PK1)

“Ya. Murid memang ada tak dapat baca terutama kalau suku kata tertutup yang hujungnya
huruf konsonan macam ‘bot’, ‘wak’, ‘pas’... Murid tak tau nak sebut tiga huruf sekaligus.
Murid tak dapat eja apatah lagi nak tulis”. (PK2)

284
Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved
Jurnal Dunia Pendidikan
e-ISSN: 2682-826X | Vol. 5, No. 1, 279-292, 2023
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd

Kajian juga mendapati dalam kemahiran membaca dan menulis, murid menghadapi masalah
bagi penggunaan diftong dan vokal berganding. Murid tidak dapat membaca dan menulis
perkataan yang mempunyai diftong dan vokal berganding.

“..... Murid saya tak dapat sebut huruf diftong macam ‘ai’, ‘au’. Kalau nak sebut perkataan
macam ‘pulau’, ‘pantai’, mereka tak dapat bunyikan yang ada diftong kat belakang tu”. Bila
tak dapat sebut, tulis pun tak boleh”. (PK1)

“Murid memang bermasalah dengan diftong ni. Dorang tak dapat nak baca atau tulis kalau
perkataan seperti ‘kaloi’, ‘pantai’, ‘limau’. Kalau ada gambar, bolehlaH baca. Kalau
perkataan saja memang tak dapat nak baca”. (PK3)

Penggunaan digraf dan konsonan berganding turut menjadi masalah dalam kemahiran
membaca dan menulis murid tahun satu hasil daripada dapatan temu bual.

“Digraf dengan konsonan bergabung lagi la bermasalah. Murid tak tahu nak sebut huruf
konsonan yang bergabung. Menulis pun sama ja. Saya bagi contoh perkataan ‘nyanyi’. Murid
memang tak reti nk bunyikan ‘ny’ tu. Kadang-kadang mereka keliru dengan ‘ng’”. (PK2)

Peserta-peserta kajian juga ada menyatakan bahawa murid mereka menghadapi masalah dalam
membaca dan menulis perkataan berimbuhan awalan dan akhiran. Apabila imbuhan awalan
dan akhiran digabungkan dengan kata dasar, murid tidak dapat membaca dan menulisnya
dengan betul. Hal ini disebabkan perkataan tersebut menjadi lebih panjang dan sukar untuk
dibaca dan ditulis bagi murid yang lemah.

“Perkataan yang ada imbuhan ni sukar sikit nak baca atau tulis. Murid ambil masa lama sebab
perkataan tu jadi lebih panjang”. (PK2)

Selain itu, peserta kajian juga turut ditanyakan beberapa soalan lain yang berkaitan dengan
aspek dalam kemahiran menulis yang sepatutnya dikuasai oleh murid-murid tahun satu.
Kesemua peserta kajian menyatakan murid-murid mereka mempunyai masalah serupa dalam
kemahiran menulis termasuklah masalah membina dan menulis frasa, perkataan, ayat, menulis
imlak, mencatat maklumat, menghasilkan penulisan kreatif, dan mengedit dan memurnikan
hasil penulisan. Kesemua aspek dalam kemahiran menulis ini tidak dapat dikuasai kerana
masih lemah dalam asas literasi.

“Kalau ikutkan silibus BM tahun satu ni sebenarnya agak tinggi untuk murid-murid yang
lemah. Murid tak dapat kuasai asas literasi lagi tapi perlu mahir aktiviti yang lebih tinggi
kalau ikut buku teks. Contohnya macam tulis ayat. Macam mana murid nak tulis kalau tak
dapat baca, tulis yang asas seperti suku kata”. (PK1)

“….. kemahiran menulis sangat susah la kalau murid tak dapat baca. Aktiviti-aktiviti yang
lebih ‘advance’ mcam nk catat maklumat, buat karangan tu memang tak boleh. Kena pandai
membaca dulu baru boleh tulis. Kalau baca pun tak dapat, macam mana nak menulis. Itulah
‘struggle’ kami cikgu-cikgu BM ni. Mana nak ajar yang literasi asas, kejar silibus lagi”. (PK2)

“Kemahiran menulis ikut sukatan BM memang agak tinggi. Aktiviti catat maklumat, buat ayat,
buat karangan memang murid lemah ni tak dapat buat. Saya pernah ajar aktiviti mengedit
perkataan dengan ayat tapi murid memang tak tahu. Huruf besar dan huruf kecil pun masih
ada yang tak dapat beza..............” (PK3)

285
Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved
Jurnal Dunia Pendidikan
e-ISSN: 2682-826X | Vol. 5, No. 1, 279-292, 2023
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd

6.2 Faktor Penyumbang kepada Masalah Penguasaan Kemahiran Membaca dan Menulis Tahun
Satu dari Perspektif Guru
Dapatan kajian ini juga telah mendapati sikap murid telah menjadi antara faktor dalam masalah
penguasaan kemahiran membaca dan menulis bahasa Melayu.

“Murid amat pasif dalam kelas. Mereka ni kurang bergaul dengan orang lain. Sebab latar
belakang murid Siam dan Cina ni berbeza dengan keluarga Melayu, mereka hadapi masalah
serius dalam penguasaan Bahasa Melayu. Mereka tak berminat nak belajar bahasa Melayu”.
(PK1)

“Murid yang kurang bercakap dalam bahasa Melayu selalunya tak beri tumpuan dalam kelas.
Mereka banyak bermain-main dan tidak mendengar arahan guru. Jadi, kemahiran membaca
dan menulis mereka agak lemah”. (PK2)

“Kebanyakan murid tahun satu di sekolah saya agak aktif. Kadang-kadang saya sukar nak
handle kelas. Mereka tak dengar arahan guru. Bila bagi tugasan, mereka buat sambil lewa
atau tiru jawapan kawan. Ada yang selalu tak siap kerja rumah”. (PK3)

Persekitaran murid juga menjadi faktor penting dalam masalah penguasaan kemahiran
membaca dan menulis murid. Hasil dapatan kajian mendapati murid tidak didedahkan dengan
persekitaran berbahasa Melayu di rumah.

“Murid tidak pernah diajar cara membaca dan menulis bahasa Melayu dalam keluarga Siam
dan Cina. Murid Siam dan Cina banyak diajar dengan sumber bacaan video Siam dan Cina.
Jadi, murid tidak ada peluang untuk belajar bahasa Melayu. Kadang kala perkataan mudah
pun mereka tak boleh baca apatah lagi ayat atau perenggan yang lebih panjang. Menulis pun
samalah.” (PK1)

“Kat rumah, kebanyakan murid ni memang guna bahasa ibunda sendiri. Jarang yang ada
guna BM. Mereka belajar BM hanya kat sekolah semata-mata. Semua sumber-sumber bacaan
atau bahan belajar memang dalam bahasa Cina atau bahasa Inggeris”. (PK3)

Faktor peranan ibu bapa memainkan peranan penting dalam masalah penguasaan kemahiran
membaca dan menulis bahasa Melayu murid. Ibu bapa yang tidak menitikberatkan penggunaan
bahasa Melayu terutamanya kepada penutur bukan natif akan menyebabkan murid berada
dalam masalah ini.

“Kebanyakan ibu bapa tahu bahasa Melayu tapi kurang beri penekanan kepada anak-anak.
Jadi, murid Siam kat sekolah saya ni belajar lambat berbanding dengan murid lain. Mereka
lazimnya mengambil masa yang banyak untuk belajar Bahasa Siam di sekolah Wat berbanding
belajar bahasa Melayu di rumah.” (PK1)

“Ibu bapa tak ajar murid guna bahasa Melayu yang betul. Mereka secara umumnya banyak
guna bahasa ibunda. Kat rumah pun tak ada bahan bacaan atau sumber pembelajaran untuk
sokong penggunaan BM. Biasanya penguasaan kemahiran membaca dan menulis tu
bergantung kepada latar belakang keluarga. Ada murid yang ‘okey’, sederhana, dan lemah.
Kalau keluarga mereka ambil berat tentang pelajaran, murid ni memang boleh kuasai”. (PK2)

286
Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved
Jurnal Dunia Pendidikan
e-ISSN: 2682-826X | Vol. 5, No. 1, 279-292, 2023
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd

“...............Kadangkala pihak ibu bapa tidak tahu bahasa Melayu dan sibuk bekerja. Jadi
mereka tidak sempat mengajar murid guna bahasa Melayu. Kalau ada yang pandai pun,
parents tak ajar BM. Mereka ajar English.” (PK3)

6.3 Peranan Guru Mata Pelajaran dalam Mengatasi Masalah Kemahiran Membaca dan Menulis
Bahasa Melayu
Kesemua peserta kajian ada memberi galakan dan motivasi kepada murid mereka untuk
menguasai bahasa Melayu. Antara galakan dan motivasi yang diberi termasuklah memberi
pujian dan hadiah atau ganjaran.

“Ya. Saya selalu menggalakkan mereka guna bahasa Melayu. Kadang-kadang saya bagi
hadiah atau tampal ‘sticker’ dalam buku latihan. Pujian tu kena selalu bagi supaya mereka
rasa semangat”. (PK1)

“Ya, saya ada bagi galakan pada mereka. Saya tampal sticker dalam buku tulis atau buku
latihan kalau mereka jawab dengan betul. Selain tu, saya puji mereka kalau dapat baca dengan
betul”. (PK2)

Peserta-peserta kajian juga ada menjalankan intervensi terhadap murid.

“Saya ada buat intervensi untuk murid lemah dalam aktiviti pemulihan dan pengayaan. Saya
ada hantar bahan bantu membaca dalam google classroom untuk mereka buat latih tubi di
rumah selain daripada ajar dalam kelas. Murid-murid juga ada buat latihan menulis dengan
guna buku tulisan yang dibeli khas.” (PK2)

“Untuk murid-murid lemah dalam kemahiran membaca dan menulis ni memang ada intervensi
untuk mereka. Saya buat program membaca setiap pagi dan bagi latihan berbentuk modul
untuk dibuat di rumah”. (PK3)
Peserta kajian juga telah melaksanakan pelbagai jenis aktiviti bagi membantu murid lemah
dalam kemahiran membaca dan menulis.

“Murid biasanya gemar aktiviti sambil bermain. Contohnya, biasanya mereka bermain poker
game dengan kad imbasan, dan permainan online daripada booklet game dan wordwall.
Contohnya, kuiz, pagar sesat dan kapal terbang”. (PK1)

“Saya banyak buat aktiviti jenis didik hibur. Murid suka bermain dan guna bahan-bahan
bergambar. Mereka akan rasa seronok dan memberi tumpuan dalam pembelajaran”. (PK3)

Peserta kajian turut menjalankan pelbagai strategi, kaedah dan teknik dalam PdPc mereka
untuk membantu murid lemah.

“Murid-murid lemah ni perlu dibimbing secara individu. Biasanya saya akan membantu
mereka membaca atau menulis secara seorang demi seorang. Kalau tidak cukup masa, saya
akan buat kumpulan kecil. Murid akan buat aktiviti berkumpulan”. (PK3)

6.4 Peranan Pentadbir di Sekolah dalam Mengatasi Masalah Kemahiran Membaca dan
Menulis Bahasa Melayu
Hasil daripada temu bual dengan peserta kajian mendapati kesemua pentadbir di sekolah
mereka memainkan peranan untuk membantu murid yang lemah.

287
Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved
Jurnal Dunia Pendidikan
e-ISSN: 2682-826X | Vol. 5, No. 1, 279-292, 2023
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd

“Ada. Pentadbir ada buat program atau aktiviti guna bahasa Melayu. Walaupun di SJKC guna
pengantar bahasa Cina namun bahasa Melayu ada digunakan bersama sebagai dwibahasa
termasuklah pada waktu perhimpunan rasmi sekolah”. (PK1)

“Ya. Barisan pentadbir sering mengadakan aktiviti dalam dwibahasa. Aktiviti kokurikulum
juga ada memasukkan aktiviti melibatkan bahasa Melayu seperti beri arahan atau
berkomunikasi untuk galakkan murid guna bahasa Melayu”. (PK3)

Pihak sekolah peserta-peserta kajian telah merancang dan menjalankan pelbagai aktiviti atau
program bagi membantu murid-murid yang bermasalah dalam kemahiran membaca dan
menulis.

“Ada. Pernah buat Program Celik Membaca selama tiga bulan, Bacaan Pagi setiap hari
selama 20 minit. Sekolah ni jugak pernah buat Program Linus Literasi. Buat Program Celik
Membaca bersama-sama sekolah lain pada hujung minggu. Akhir-akhir ni, ada Program
Bantu Membaca dari KPM untuk murid-murid yang belum menguasai kemahiran membaca”.
(PK2)

“Pihak sekolah saya memang ada buat aktiviti untuk murid lemah membaca dan menulis ni.
Setiap pagi ada aktiviti membaca selama 10 minit. Pihak sekolah pun ada buat aktiviti dengan
kerjasama guru pemulihan”. (PK3)

Pihak pentadbir sekolah juga sangat menyokong pembelajaran bahasa Melayu di sekolah dan
menyediakan pelbagai kemudahan.
“Ada. Pihak sekolah memang sokong untuk pembelajaran murid. Memang tak berkira kalau
melibatkan pembelajaran murid. Dalam kelas sudah sedia ada kemudahan seperti LCD dan
BBM”. (PK1)

“Pentadbir sekolah saya memang menitikberatkan kemudahan pembelajaran. Ada banyak


kemudahan disediakan kat sekolah. Dalam kelas pun ada diletakkan buku bacaan bahasa
Melayu. Alat dan bahan pembelajaran pun ada banyak”. (PK3)

7. Perbincangan Kajian

7.1 Masalah Penguasaan Kemahiran Membaca dan Menulis Murid Tahun Satu
Menurut Rashidah (2017), kemahiran membaca merupakan kemahiran asas yang boleh
mempengaruhi setiap aspek pembelajaran murid di mana ia sepatutnya dikuasai oleh murid-
murid sejak dari awal usia lagi. Hal ini menunjukkkan kepentingan menguasai asas kemahiran
membaca sejak dari peringkat awal sebelum memasuki sekolah rendah atau alam pendidikan
formal amnya, iaitu ke tahun satu. Berdasarkan hasil dapatan yang diperoleh melalui kajian ini,
menunjukkan bahawa terdapat masalah penguasaan kemahiran membaca dan menulis dalam
kalangan murid-murid tahun satu. Hal ini bermakna murid tidak menguasai asas kemahiran
tersebut semasa di prasekolah dengan baik.

Jika diukur beradasarkan dapatan kajian, murid-murid tahun satu di SJKC sangat lemah dalam
penguasaan 12 konstruk asas literasi bahasa Melayu. Hanya satu daripada 12 konstruk sahaja
yang dikuasai oleh murid iaitu konstruk 1; huruf dan konsonan. Kebanyakan murid tahun satu
masih belum menguasainya bermula dari konstruk 2 dan 3. Pada konstruk ini, murid sepatutnya
sudah mampu untuk membaca dan menulis suka kata dan perkataan suku kata terbuka. Selain
itu, murid juga dilihat tidak dapat menguasai konstruk 4 dan 5 iaitu melibatkan kemahiran

288
Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved
Jurnal Dunia Pendidikan
e-ISSN: 2682-826X | Vol. 5, No. 1, 279-292, 2023
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd

membaca dan menulis suku kata dan perkataan jenis tertutup. Suku kata jenis tertutup atau
dikenali sebagai suku kata tertutup merupakan suku kata yang berakhir dengan konsonan.

Konstruk 6 iaitu penggunaan diftong dan vokal berganding juga tidak dapat dikuasai oleh
murid-murid tahun satu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), diftong merupakan
dua bunyi huruf vokal yang digabungkan bersama. Kemudian, ia disebut dalam bentuk satu
suku kata disebabkan berlaku perubahan pada kedudukan lidah. Contohnya, ‘ai’, ‘au’, ‘oi’.
Vokal berganding pula merupakan dua huruf vokal yang dipisahkan dengan sebutan bunyi
dalam suku kata. Vokal ini terletak bersebelahan, namun dipisahkan dengan dua suku kata yang
berbeza. Nurul Haniza et. al. (2017) menyatakan perkara yang sama dalam kajiannya bahawa
ketidakmampuan murid untuk menulis huruf diftong dan konsonan bergabung dengan betul
merupakan antara ciri murid yang lemah dalam bahasa Melayu.

Kemahiran membaca dan menulis perkataan yang mengandungi digraf dan konsonan
berganding juga tidak dapat dikuasai oleh murid-murid tahun satu di SJKC. Digraf merupakan
susunan dua huruf yang disusun secara berurutan untuk menghasilkan satu bunyi. Contohnya,
‘ny’, ‘ng’, ‘sy’, dan sebagainya. Konsonan berganding seperti ‘st’, ‘kr’, ‘b’, dan sebagainya
pula merupakan dua huruf konsonan yang hadir secara berurutan bagi menghasilkan satu bunyi
tertentu.

Membaca dan menulis perkataan berimbuhan terutamanya perkataan yang mempunyai


imbuhan awalan dan akhiran juga merupakan satu masalah yang dialami oleh murid-murid
tahun satu di SJKC. Sesuatu kata dasar itu akan menjadi lebih panjang untuk dibaca dan ditulis
apabila ia mengandungi imbuhan. Jadi, murid yang lemah dalam asas akan semakin sukar
untuk membaca dan menulis perkataan tersebut. Amirra Shazreena dan Vijayaletchumy (2019)
dalam kajian mereka turut menyatakan bahawa murid bukan penutur natif menghadapi masalah
untuk menguasai imbuhan awalan dan imbuhan akhiran.

Murid juga menghadapi masalah dalam membaca dan menulis ayat mudah dengan betul. Abdul
Rasid Jamian (2011) dalam kajiannya menyatakan murid mengalami masalah untuk
membunyikan perkataan dan seterusnya mengalami masalah dalam membaca ayat yang
mempunyai lebih banyak perkataan. Murid yang tidak dapat membaca ini secara tidak langsung
akan mengalami masalah dalam kemahiran menulis.

7.2 Peranan Guru Mata Pelajaran dan Pentadbir Sekolah dalam Mengatasi Masalah Kemahiran
Membaca dan Menulis Bahasa Melayu Murid Tahun Satu
Guru telah memberi fokus kepada tiga aspek iaitu memberi galakan atau motivasi,
melaksanakan intervensi, aktiviti, dan kaedah/teknik/strategi PdPc. Memberi galakan atau
motivasi merupakan peneguhan positif bertujuan memotivasikan murid untuk terus belajar
dengan bersemangat. Menurut Zaliza dan Zaitul Akma (2018), memiliki motivasi merupakan
perkara yang sangat penting untuk seseorang murid ketika dalam proses pembelajaran kerana
ia merupakan penggerak dan penentu hala tuju keberkesanannya. Murid yang memiliki sikap
positif, mempunyai kesediaan untuk belajar dan bermotivasi tinggi akan mampu menguasai
bahasa kedua dengan baik. Peserta kajian telah cuba memotivasikan murid-murid dengan
pemberian ganjaran dan pujian di dalam kelas. Menurut Hani Subakti dan Kiftian Hady
Prasetya (2020), pemberian ganjaran yang dilakukan ini dapat meningkatkan semangat,
menarik minat serta memotivasikan murid-murid tahun satu untuk belajar bahasa Melayu.

Peserta kajian juga telah menjalankan intervensi kepada murid-murid tahun satu yang masih
lemah dan tidak mampu menguasai kemahiran membaca dan menulis dengan baik. Pelbagai

289
Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved
Jurnal Dunia Pendidikan
e-ISSN: 2682-826X | Vol. 5, No. 1, 279-292, 2023
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd

intervensi telah dirancang dan dilaksanakan bagi membantu murid-murid tersebut. Antara
intervensinya adalah mengadakan aktiviti pemulihan dan pengayaan.

Peserta kajian juga telah memainkan peranan dengan memilih aktiviti pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas yang menarik dan sesuai dengan murid dalam kemahiran
membaca dan menulis. Antaranya termasuklah mengaplikasikan aktiviti didik hibur.
Disebabkan terdapat murid yang pasif dan tidak memberi fokus di dalam kelas, peserta kajian
telah memilih untuk melaksanakan aktiviti yang dapat menarik minat murid.

Peserta kajian ini juga telah melaksanakan beberapa kaedah, teknik, dan strategi pengajaran
dan pembelajaran yang dirasakan sesuai terhadap murid-murid mereka. Antaranya
melaksanakan pembelajaran terbeza, bimbingan secara individu, bimbingan secara
berkumpulan, dan membuat latih tubi. Zamri et. al. (2015) menyatakan murid yang mempunyai
kepelbagaian aras menyebabkan guru perlu bijak dalam melaksanakan kaedah pengajaran yang
pelbagai.

Pentadbir sekolah juga telah memainkan peranan mereka. Pihak pentadbir sekolah ada
mempromosikan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan warga sekolah walaupun bahasa
Cina merupakan bahasa pengantar. Selain itu, pihak sekolah juga ada mengadakan pelbagai
aktiviti dan program yang mengutamakan penggunaan bahasa Melayu serta menyokong
pembelajaran bahasa Melayu di sekolah dengan menyediakan pelbagai kemudahan. Pihak
pentadbir yang membentuk suasana dan iklim persekitaran sekolah yang positif secara tidak
langsung memupuk suasana pembelajaran yang berkesan (Donnie Adams et.al, 2018).

7.3 Faktor-Faktor Penyumbang kepada Masalah Penguasaan Kemahiran Membaca dan


Menulis Tahun Satu
Murid-murid menunjukkan sikap yang negatif dan tidak minat ketika belajar bahasa Melayu.
Mereka hanya belajar sambil lewa sahaja kerana tidak melihat kepentingan untuk menguasai
bahasa Melayu. Sikap murid itu sendiri yang menjadi faktor utama kepada kegagalan mereka
untuk menguasai kemahiran membaca dan menulis. Hal ini dipersetujui oleh Zaliza Mohamad
Nasir dan Zaitul Azma Zainon Hamzah (2014) di mana mereka menyatakan seseorang individu
dipengaruhi oleh diri mereka sendiri untuk belajar menguasai bahasa. Jika mereka bersikap
positif dan bermotivasi tinggi, pasti mereka berjaya dalam pembelajaran.

Pengaruh persekitaran murid juga menjadi faktor dalam masalah untuk menguasai kemahiran
berbahasa. Menurut Ahmad Fadly et.al. (2021), faktor persekitaran murid boleh memberi kesan
secara langsung kepada proses pembelajaran. Dalam kajian ini, peserta kajian menyatakan
murid mereka tidak mempunyai persekitaran pembelajaran bahasa Melayu yang kondusif di
rumah mereka. Di rumah, mereka lebih terdedah dengan penggunaan bahasa ibunda
terutamanya dalam komunikasi masyarakat. Mereka juga tidak mempunyai sumber
pembelajaran berbahasa Melayu. Chew Fong Peng (2016) dalam kajiannya menyatakan murid-
murid Cina tidak memiliki koleksi atau simpanan buku-buku bahasa Melayu di rumah mereka.
Jadi, mereka kurang membaca dalam bahasa Melayu.

Dalam kajian ini, ibu bapa tidak mengajar anak-anak tahun satu mereka untuk menggunakan
bahasa Melayu walaupun mereka tahu kepentingan menguasainya. Ibu bapa tidak memberi
sokongan dan perhatian kepada penguasaan bahasa Melayu. Hal ini dipersetujui oleh Zahir
(2015) dalam Mairin et.al. (2022) bahawa kebanyakan murid tidak dapat menguasai kemahiran
berbahasa dan mendapat keputusan yang baik dalam pelajaran disebabkan tidak mendapat
perhatian dan sokongan daripada ibu bapa mereka.

290
Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved
Jurnal Dunia Pendidikan
e-ISSN: 2682-826X | Vol. 5, No. 1, 279-292, 2023
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd

8. Cadangan dan Implikasi Kajian

Guru bahasa Melayu perlu memperkasakan penguasaan pedagogi pengajaran bahasa Melayu
di dalam kelas. Mereka mempunyai tanggungjawab dan peranan penting untuk memastikan
penguasaan bahasa Melayu pada tahap yang terbaik. Dalam proses menggunakan kemahiran
dan kepakaran bidang pedagogi, guru juga perlu menguasai ilmu pengetahuan tentang bidang
mereka dengan baik dan mendalam supaya dapat menyampaikan pengajaran yang berkesan.
Maka, mereka akan dapat merancang dan melaksanakan pengajaran menggunakan strategi,
kaedah, teknik, pendekatan yang sesuai dengan murid.

Pihak pentadbir juga perlu bertindak sebagai sistem sokongan kepada guru di sekolah. Maka,
pihak pentadbir perlulah bersama-sama membantu dan bekerjasama dengan guru. Antara
perkara yang boleh dilakukan oleh pihak pentadbir sekolah adalah seperti memberi galakan
dan sokongan kepada guru dalam pelaksanaan aktiviti dan program berkaitan bahasa Melayu,
membantu menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan semasa proses pengajaran dan
pembelajaran, menganjurkan kursus-kursus dalaman atau bengkel kemahiran kepada guru-
guru bagi meningkatkan profesionalisme serta boleh mengadakan pemantauan secara berkala.
Ibu bapa juga hendaklah memainkan tanggungjawab dan peranan mereka dengan sentiasa
bekerjasama untuk meningkatkan motivasi, semangat, dan minat anak-anak untuk mempelajari
bahasa Melayu. Ibu bapa boleh menyediakan pelbagai kemudahan berbahasa Melayu seperti
membeli buku dan bahan bacaan bahasa Melayu dan membiasakan penggunaan bahasa Melayu
di rumah. Keadaan ini boleh menjadi latihan tidak langsung kepada murid apabila didedahkan
dengan penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi seharian.

Kajian ini dilihat boleh menjadi kayu ukur kepada keberkesanan pembelajaran di prasekolah.
Penguasaan konstruk literasi bahasa Melayu oleh murid-murid tahun satu sangat lemah
walaupun mereka telah memasuki kelas prasekolah. Jadi, guru-guru prasekolah perlu
memikirkan alternatif dan membuat penambahbaikan dalam proses pengajaran mereka supaya
murid dapat menguasai kemahiran asas sebelum memasuki pendidikan formal di tahun satu
sekolah rendah.

9. Rumusan

Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa murid tahun 1 di SJKC berada dalamsituasi
yang serius terutamanya pada kini disebabkan mereka masih tidak dapat menguasai kemahiran
membaca dan menulis bahasa Melayu. Murid yang lemah dan tidak dapat menguasai
kemahiran asas tersebut akan terus mengalami kesukaran dalam proses pembelajaran. Situasi
yang berlaku ini agak meruncing terutamanya selepas pandemik covid-19 berlaku
menyebabkan murid tercicir dalam pembelajaran formal yang sepatutnya dalam tempoh yang
agak lama.

Dengan kerjasama dan komitmen semua pihak, diharapkan semoga masalah ini dapat diatasi
atau dikurangkan supaya ia tidak mendatangkan masalah yang lebih besar untuk masa hadapan
negara dan generasi akan datang. Bahasa Melayu perlu terus dipelajari, dikuasai, dihargai dan
dipelihara oleh semua warganegara tanpa mengira bangsa dan kaum. Martabat bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan perlu dipertahankan sampai bila-bila.

291
Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved
Jurnal Dunia Pendidikan
e-ISSN: 2682-826X | Vol. 5, No. 1, 279-292, 2023
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd

Rujukan

Abdul Rasid Jamian. (2011). Permasalahan Kemahiran Membaca dan Menulis Bahasa Melayu
Murid-Murid Sekolah Rendah di Luar Bandar. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu 1-12.
Amirra Shazreena Aminul Razin & Vijayaletchumy Subramaniam. (2019). Kesalahan
Penggunaan Imbuhan Awalan dan Akhiran dalam kalangan Murid Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil Berdasarkan Teori Analisis Kesalahan Corder (1973). International
Journal of the Malay World and Civilisation 7(1): 3-13.
Anne Jeffrey Kihob & Saidatul Nornis Hj Mahali. (2020). Kerancuan bahasa dalam karangan
murid sekolah menengah di daerah Tuaran, Sabah. Jurnal Pusat Penataran Ilmu dan
Bahasa, 31(2): 97-132
Chew Fong Peng. (2016). Masalah Pembelajaran Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid Cina
Sekolah Rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 10-22.
Donnie Adams, Ravadhi Periasamy, Edward Devadason & Satinah Awang. (2018). Amalan
Kepimpinan Instruksional Guru Besar di Sekolah Vernakular Negeri Selangor dan
Wilayah Persekutuan. MANU Bil. 28, 109-132.
Hani Subakti & Kiftian Hady Prasetya. (2020). Pengaruh Pemberian Reward and Punishment
Terhadap Motivasi Belajar Bahasa Indonesia. Jurnal Basataka (JBT) Vol. 3, No.2.
Noor Habsah Ali. (2018). Strategi pembelajaran kemahiran menulis Bahasa Melayu sebagai
Bahasa Kedua dalam Kalangan Pelajar Melanau Daerah Daro. Jurnal Pendidikan
Bahasa Melayu (Malay Language Education Journal (MyLEJ), 8(1), 33-41.
Noor Zila Md. Yusuf. (2015). Bahasa Antara dalam Pembelajaran Bahasa Melayu Sebagai
Bahasa Kedua. Tesis Doktor Falsafah. Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Noraini Idris. (2010). Penyelidikan Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: Mc Graw Hill Sdn.Bhd.
Norsimah Mat Awal, Nadrah Abu Bakar, & Norhashimah Jalaluddin. (2012). Pembelajaran
Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kedua: Pengungkapan Idea salam Penulisan Pelajar
Sekolah Menengah di Malaysia. Jurnal Melayu. Vol. 9, 227-240.
Nurul Haniza Samsudin, Puteri Roslina Abdul Wahid, Salinah Ja’afar & Mohammad Tawfik
Yaakub. (2017). Tahap Keupayaan Kognitif Bacaan dalam Pembelajaran Bahasa
Melayu Kanak-Kanak Pemulihan Khas. Sains Insani.
Paramasivam Muthusamy. (2017). Komunikasi Percampuran Kod dalam Masyarakat
Multilingual di Malaysia. Journal of Business and Social Development, 5(1): 36-48.
Ramlah Jantan, Nor Afni Resad, Siti Fathimah Az-Zahra Mohd. Fauzi. (2016). Aktiviti Didik
Hibur dalam Kalangan Guru Prasekolah di Daerah Gombak. Jurnal Pendidikan Awal
Kanak-Kanak Jilid 5.
Rashidah Elias. (2017). Keberkesanan KitAB Cerdas ke atas kemahiran bacaan awal
kanakkanak TASKA (Tesis doktor falsafah yang tidak diterbitkan). Universiti
Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim.
Zaliza Mohamad Nasir & Zaitul Azma Binti Zainon Hamzah. (2018). Sikap dan Motivasi
Pelajar Terhadap Pembelajaran Bahasa Melayu. Procedia-Social and Behavioral
Sciences 134 (2014) 408-415.
Zamri Mahamod, Kamiliah Ayu Ab. Ghani & Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad. (2016).
Penggunaan Strategi Pembelajaran Bahasa Melayu dalam Kalangan Murid Cina
Berdasarkan Sikap dan Kemahiran Bahasa. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu.Vol. 6,
Bil. 1; 38-51.
Zamri Mahamod. (2015). Strategi Pembelajaran: Inventori Cara Belajar Bahasa Melayu.
Cetakan Pertama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

292
Copyright © 2023 ASIAN SCHOLARS NETWORK - All rights reserved

Anda mungkin juga menyukai