Anda di halaman 1dari 3

Pendidikan Cemerlang Negara Terbilang

Selamat sejahtera dan salam Malaysia Madani. Terima kasih peneraju acara, barisan hakim
yang bijaksana, penjaga masa yang setia dengan randiknya dan seterusnya hadirin sekalian.
Di pentas perdana ini dengan penuh iltizamnya saya akan menyampaikan pidato yang
bertajuk “Pendidikan Cemerlang Negara Terbilang.” Justeru sebelum lidah petah berkata,
sebelum lafaz terus berbicara, izinkan saya menyatakan defnisi tajuk saya.

Menurut Abdul Shukor Abdullah (1998), pendidikan cemerlang ialah pendidikan yang
mencapai tahap terbaik, bermutu dan terunggul dalam semua bidang berkaitan dengan
akademik, sahsiah dan kokurikulum. Sementara frasa “negara terbilang” boleh ditakrifkan
sebagai negara yang dipimpin oleh pemimpin yang berwibawa dan mampu mencapai
keseimbangan dalam segala aspek, termasuk ekonomi, sosial mahupun politik. Oleh yang
demikian, “pendidikan cemerlang negara terbilang” boleh saya rumuskan sebagai pendidikan
yang berkualiti dan bersepadu mampu melonjakkan negara di mata dunia dalam aspek sosial,
ekonomi dan politik.

Persoalannya, bagaimanakah kita dapat merealisasikan pendidikan cemerlang demi


membentuk negara terbilang?

Maka, berdirinya saya di hadapan ini adalah untuk menyatakan 3 indikator yang menyokong
tajuk ini yang akan saya kupas satu persatu.

Cetusan idea pertama “Sekolah Cemerlang, Pendidikan Gemilang”.

Menerusi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, institusi sekolah sentiasa ditambahbaikkan,


sekolah kebangsaan diperkasakan, jurang pendidikan dirapatkan, sekolah wawasan
diwujudkan, semuanya untuk menyemai budaya kecemerlangan dan semangat perpaduan.
Dalam era kemodenan, sekolah bestari menjadi pilihan, aplikasi ICT banyak digunakan,
malah pedagogi guru mampu ditingkatkan. Bagi menangani golongan pelajar bermasalah,
pendekatan kaunseling dibuat secara berhemah, penerapan disiplin membentuk sahsiah,
ketrampilan murid kian terserlah, bukti pendemokrasian pendidikan tidak pernah goyah.

Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia pula, orang ramai dijangka dapat melihat
perubahan ketara dalam kaedah pelaksanaan sistem pendidikan negara tidak lama selepas
pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Pelan itu
melakarkan visi sistem pendidikan dan aspirasi pelajar yang dapat memenuhi keperluan
negara pada masa depan. Ia mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu
dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan untuk mencapai visi yang dihasratkan. Sudah
terang lagi bersuluh, “Sekolah Gemilang, Pendidikan Cemerlang, Negara Terbilang”.

Hadirin sekalian,

Cetusan idea yang kedua “Guru Cemerlang, Pendidikan Gemilang”.

Kecemerlangan sistem pendidikan di Malaysia sebenarnya ditunjangi oleh 5 prinsip utama


golongan pendidik kita, iaitu kekuatan intelek, kepimpinan berwibawa, kemurnian akhlak,
kesediaan untuk berubah serta kecintaan terhadap profesion keguruan. Dalam usaha untuk
mentransformasikan pendidikan negara, tidak dapat dinafikan peranan guru adalah paling
utama. Guru umpama berlian yang memantulkan kilauan bergemerlapan dan pada ketika
sama dirinya begitu bernilai. Komitmen dan usaha mempertingkatkan kualiti pendidikan
adalah sebahagian tugas utama guru bagi menjamin kualiti murid yang dihasilkan serta
kesejahteraan rakyat Malaysia pada masa hadapan.

Hadirin sekalian,

Cetusan idea ketiga “Pendidikan Cemerlang, Modal Insan Gemilang”.

Dalam membentuk ketrampilan modal insan, pendidikan seimbang kita aplikasikan, subjek
Sivik dan Kewarganegaraan kita mantapkan, pengisian kokurikulum kita perhebatkan, Dasar
1Murid 1Sukan kita lancarkan, kempen budi bahasa kita jayakan, bahkan disiplin pelajar kita
tingkatkan. Lantaran itulah, sistem pendidikan kita terbukti cemerlang dalam melahirkan
individu yang kompetitif dan dinamik bagi mewarisi kepimpinan negara. Sekadar menyebut
beberapa contoh, menerusi transformasi pendidikan, kita mampu menghasilkan lebih ramai
pelajar pintar seperti Nur Amalina Che Bakri, lebih ramai atlit muda seperti Dato’ Nicol Ann
David, lebih ramai tokoh belia seperti Zuraidi Komari, malah lebih ramai idola remaja seperti
Imam Muda Asyraf. Hakikatnya jelas, Pendidikan Cemerlang Melahirkan Modal Insan
Gemilang Demi Memacu Kejayaan Negara Terbilang.

Hadirin sekalian.

Secara kesimpulannya, negara yang berpotensi untuk dimajukan jika tidak disokong dengan
sistem pendidikan yang mantap umpama tanah subur di ladang yang tidak diusahakan. Benih
yang baik juga jika tidak disemai, dibaja dan dijaga dengan sempurna tidak akan memberi
apa-apa makna. Tegasnya pendidikan yang berkesan akan melahirkan generasi berakhlak
mulia, berilmu, berketerampilan dan berdaya saing untuk meletakkan nama Negara duduk
sama rendah berdiri sama tinggi di mata dunia. Oleh itu marilah kita bersama-sama
memartabatkan sistem pendidikan Negara. Benarlah bahawa “Pendidikan Cemerlang Negara
Terbilang”.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai