Anda di halaman 1dari 3

Pidato :Kemenjadian Murid Asas Kecemerlangan Pendidikan

Lazat sungguh rasa tomato,


Dimakan bersama buah kiwi;
Kalau tidak kerana pidato,
Tidak akan saya berada di sini.

Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t , salam sayang buat negaraku dan salam Malaysia baharu saya titip
kan buat anda semua.

Jutaan apresiasi buat saudara pimpinan majlis, kombinasi intelektual kehakiman bervisi, dif-dif
kehormat yang dihormati seterusnya hadirin pewaris bangsa yang saya muliakan.

Hadirin sekalian ,
Berdirinya saya disini dengan penuh iltizam ingin menyebarkan sedikit dokma berpandukan
tinta dan wacana para sarjana melalui mauduk pidato saya, “PENDIDIKAN CEMERLANG
NEGARA TERBILANG” .

Menurut kamus dewan , Sesungguhnya pendidikan cemerlang ditakrifkan sebagai prakarsa


menyuburkan pemahaman teori, praktikaliti dan budaya mengkaji tanpa henti dalam mencanai
ketinggian akal budi insan sejati. Proses ini dapat memanusiakan manusia dan mencorakkan
peradaban sesebuah bangsa.
 
Maka, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara terbilang, pendidikan cemerlang
berpandukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dilihat mampu melahirkan masyarakat yang
bertamadun demi mencapai wawasan negara maju yang kita impikan.

Persoalannya, bagaimanakah kita dapat merealisasikan pendidikan cemerlang demi


membentuk negara terbilang?
 
Maka, hayatilah cetusan minda kurniaan Allah, rempuhan idea pertama “Sekolah
Cemerlang, Pendidikan Gemilang”.

Menerusi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, institusi sekolah sentiasa ditambahbaikkan,


sekolah kebangsaan diperkasakan, jurang pendidikan dirapatkan, sekolah wawasan
diwujudkan, semuanya untuk menyemai budaya kecemerlangan dan semangat perpaduan ke
arah 1Malaysia yang kita gagaskan. Dalam era kemodenan, sekolah bestari menjadi pilihan,
aplikasi ICT banyak digunakan, malah pedagogi guru mampu ditingkatkan. Bagi menangani
golongan pelajar bermasalah, pendekatan kaunseling dibuat secara berhemah, penerapan
disiplin membentuk sahsiah, ketrampilan murid kian terserlah, bukti pendemokrasian
pendidikan tidak pernah goyah.
Hakikatnya, institusi pendidikan kita terbukti cemerlang apabila Laporan Daya Saing Global
2012, Forum Ekonomi Dunia meletakkan kualiti pendidikan negara di tangga ke-
14 daripada 142 buah negara. Malah, transformasi pendidikan telah melonjakkan
kecemerlangan apabila 182 buah sekolah kluster berjaya dikenalpasti, 66 buah sekolah pula
diiktiraf berprestasi tinggi bahkan 2450 buah sekolah dilihat berpotensi memperbaiki Gred
Purata Sekolah sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, “Sekolah Gemilang, Pendidikan
Cemerlang, Negara Terbilang”.
 
Hadirin sekalian,
Rempuhan idea yang kedua “Guru Cemerlang, Pendidikan Gemilang”.

Kecemerlangan sistem pendidikan di Malaysia sebenarnya ditunjangi oleh 5 prinsip utama


golongan pendidik kita, iaitu kekuatan intelek, kepimpinan berwibawa, kemurnian
akhlak, kesediaan untuk berubah serta kecintaan terhadap profesion keguruan.
Lantaran itulah, Standard Guru Malaysia telah dilancarkan, Petunjuk Prestasi Utama Sektor
Pendidikan terus diperkasakan, Guru Cemerlang diberi pengiktirafan, Tawaran Baiah Baru
turut diberikan, bukan untuk menambah beban atau tekanan, tetapi sebagai dorongan untuk
merintis perubahan demi kemajuan dunia pendidikan. Kepimpinan bertauladan turut dijadikan
teras utama lebih-lebih lagi dalam pengurusan masa, tanggungjawab bersama, amalan etika
dan budaya kerja dalam meningkatkan kualiti pendidikan. 

Hasilnya kini, bilangan guru dan pengetua cemerlang telah mencecah 8125 orang berbanding
5984 orang pada tahun 2010. Lebih membanggakan lagi, Kajian Indeks Persepsi Murid 2012
mendedahkan bahawa 97.4% murid-murid Malaysia menganggap guru-guru mereka bersifat
penyayang, berdedikasi malah menjadi sumber inspirasi. Benarlah nukilan pantun, berburu ke
padang datar, dapat rusa belang di kaki, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak
jadi. Terima kasih guru-guru Malaysia dalam menjayakan hasrat Pendidikan Cemerlang,
Negara Terbilang.
 
Hadirin sekalian,
Rempuhan idea ketiga “Pendidikan Cemerlang, Modal Insan Gemilang”.

Sedarkah kita bahawa hari ini gejala sosial bermaharajalela, mat rempit dan bohsia jadi idola,
zina pula dianggap biasa, bayi dihumban tanpa kasihan, dipijak ditendang tanpa ihsan, lebih
menyedihkan hati, bapa dicaci, ibu dimaki. Jelaslah, dalam dunia moden kini, modal insan
bermoral tinggi bukan lagi satu kemewahan tetapi satu keperluan. Maka dalam membentuk
ketrampilan modal insan, pendidikan seimbang kita aplikasikan, subjek Sivik dan
Kewarganegaraan kita mantapkan, pengisian kokurikulum kita perhebatkan, Dasar 1Murid
1Sukan kita lancarkan, kempen budi bahasa kita jayakan, bahkan disiplin pelajar kita
tingkatkan.

Lantaran itulah, sistem pendidikan kita terbukti cemerlang dalam melahirkan individu yang
kompetitif dan dinamik bagi mewarisi kepimpinan negara. Sekadar menyebut beberapa contoh,
menerusi transformasi pendidikan, kita mampu menghasilkan lebih ramai pelajar pintar
seperti Nur Amalina Che Bakri, lebih ramai atlit muda seperti Dato’ Nicol Ann David,
lebih ramai tokoh belia seperti Zuraidi Komari, malah lebih ramai idola remaja seperti Imam
Muda Asyraf. Hakikatnya jelas, Pendidikan Cemerlang Melahirkan Modal Insan
Gemilang Demi Memacu Kejayaan Negara Terbilang.
Ya, hadirin sekalian. Secara kesimpulannya, pendidikan cemerlang menjelaskan kolerasi yang
simbiotik antara institusi pendidikan berkualiti, golongan pendidik berdedikasi dan kemenjadian
pelajar modal insan berintegriti. Apabila kesemua ramuan ini mampu kita adun bersama, maka
pendidikan kita akan menjadi lebih bermakna sekaligus menjayakan hasrat pembinaan citra
negara yang berjaya. Benarlah bahawa “Pendidikan Cemerlang Negara Terbilang”.

Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan
terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi. Saya akhiri
pidato saya dengan serangkap pantun.

Pohon pulasan tepian titi,


Mekar seri bunga kiambang,
Pupuklah diri sifat integriti,
Masyarakat cemerlang negara terbilang!

Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum


warahmatullahiwabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai