Anda di halaman 1dari 4

Bersatu untuk Berjaya

Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang adil
dan saksama, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita saya pada hari ini
ialah “Bersatu untuk Berjaya”.
Pada suatu petang yang nyaman, tiga sahabat iaitu Sang Kancil, Sang Gajah,
dan Sang Tupai sedang berjalan-jalan di rimba. Ketika mereka sedang bersiar-siar,
tiba-tiba satu gegaran yang sangat kuat telah berlaku.
Gegaran itu menyebabkan Sang Kancil, Sang Gajah, dan Sang Tupai terkejut
dan tertanya-tanya sesama sendiri. “Apa yang sedang berlaku?” tanya Sang Gajah
kepada rakannya. Belum pernah berlaku gegaran seperti itu di rimba ini.
Mereka sangat terkejut apabila terlihat satu lembaga yang sangat
menakutkan tiba-tiba muncul di hadapan mereka. “Lembaga itu seekor gergasi!” jerit
Sang Kancil kepada rakan-rakannya.
Gergasi itu sangat besar dan sangat bengis rupanya. Gergasi itu membawa
sebatang belantan yang tajam. Gergasi itu ingin menangkap Sang Kancil, Sang
Gajah, dan Sang Tupai tetapi mereka sempat lari menyelamatkan diri. Gergasi itu
suka makan daging kambing. Setiap hari, ia akan menangkap kambing untuk
dimakannya.
Pada suatu hari, Sang Kancil telah mengumpulkan semua binatang di rimba
untuk menentang gergasi itu. Mereka mencari jalan untuk menghapuskan gergasi
yang ganas itu.
Pada keesokan harinya, ketika Sang Kancil sedang berjalan-jalan, ia terlihat
sarang lebah di atas dahan sebatang pokok lalu ia mendapat satu akal. Sang Kancil
terus pergi berjumpa dengan sahabatnya, Sang Kambing yang kuat dan pantas
berlari. “Aku ada tugas penting untuk kau, Sang Kambing,” kata Sang Kancil lalu
menerangkan tugas Sang Kancil.
Selepas itu, Sang Kancil pergi mengintip gergasi. Sang Kancil ingin tahu di
mana gergasi itu sedang berada. Sang Kambing akan mengumpan gergasi itu
menuju ke sarang lebah. Apabila gergasi terlihat Sang Kambing, ia terus berasa
lapar.
“Hah, jaga kau kambing! Aku akan makan kau!” kata gergasi dengan bengis.
Ia terus memburu Sang Kambing untuk dijadikan makanannya. Sang Kambing
segera berlari menuju ke sarang lebah.
Sang Kambing hampir berjaya ditangkap oleh gergasi itu. Sang Kambing
berlari dengan lebih laju agar ia tidak ditangkap oleh gergasi itu. Tanpa disedari,
tangan gergasi terkena sarang lebah. Sekumpulan lebah terus menyengat tangan
gergasi. Gergasi menjerit kesakitan lalu lari menyelamatkan diri. Sejak itu, ia tidak
muncul lagi di rimba itu.
Sesuatu perkara yang susah pasti dapat diselesaikan dengan mudah jika kita
saling bekerjasama. Walaupun kita lemah, tetapi jika kita bersatu kita dapat
menewaskan musuh yang lebih besar dan kuat daripada kita.
Sekian, terima kasih.
Kisah Tun Perak
Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang adil
dan saksama, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita saya pada hari ini
ialah “Kisah Tun Perak”.
Pada zaman dahulu, terdapat seorang pembesar Melaka bernama Tun
Perak. Beliau bertugas sebagai Bendahara Melaka. Tun Perak seorang yang
bijaksana dan panjang akal.
Sultan Melaka amat sayang akan Tun Perak. Baginda sedar, disebabkan jasa
dan kebijaksanaan Tun Peraklah Kerajaan Melaka semakin kuat dan terkenal.
Raja Siam berasa kurang senang akan hal itu. Menurut baginda, Kerajaan
Siam lebih kuat daripada Kerajaan Melaka. “Negeri Siam lebih kuat daripada
Melaka!” kata Raja Siam dengan angkuhnya.
“Tuanku! Kalau begitu, kita boleh uji mereka. Jika mereka tewas, negeri
Melaka akan jatuh ke tangan kerajaan tuanku,” kata salah seorang pembesar Siam.
Raja Siam bersetuju akan pendapat pembesarnya itu. Baginda memang
mahukan Melaka menjadi jajahan takluk Kerajaan Siam. “Benar kata pembesar itu,”
kata Raja Siam.
Pada suatu hari, tentera Siam belayar ke Melaka. Mereka menaiki kapal
perang yang besar. Tentera Siam juga membawa alat senjata yang banyak. Setelah
lama belayar, kapal perang itu pun tiba di Melaka. Bagaimanapun, mereka tidak
terus menyerang negeri itu.
Rakyat Melaka menjadi cemas apabila melihatkan kapal perang pihak musuh
itu. Mereka bimbang negeri mereka akan musnah dan binasa. “Tentera Kerajaan
Negeri Siam rupa-rupanya!” kata seorang lelaki dengan perasaan bimbang.
Sultan Melaka berasa cemas apabila mendapat tahu perkara itu. Baginda
segera berunding dengan Tun Perak. “Apa yang patut kita lakukan?” tanya baginda
kepada Bendahara Tun Perak.
Tun Perak pun berfikir sejenak. Setelah itu, dia berkata, “Tuanku usah
bimbang. Patik ada suatu muslihat.” “Lakukanlah, Datuk Bendahara,” titah Sultan
Melaka. Tun Perak pun menyuruh rakyat Melaka datang ke pantai. Namun, mereka
tidak tahu, apa rancangan Tun Perak sebenarnya!
Apabila menjelang malam, Tun Perak menyuruh semua rakyat Melaka
membakar andang daun kelapa. Kemudian, semua andang itu diikat pada pokok
kelapa yang ada di sepanjang pantai itu.
Suasana di pantai Negeri Melaka terang-benderang. Apabila melihat keadaan
itu, tentera Siam berasa bimbang. Mereka menyangka tentera Melaka sedang
berkubu di sepanjang pantai tersebut. “Wah, hebat betul tentera Melaka! Binasa kita
nanti,” kata Ketua Tentera Siam. “Benar, tuan! Lebih baik kita berundur,” kata
pembantunya.
Oleh sebab itu tentera Siam tidak jadi menyerang Melaka. Sultan Melaka
amat gembira. “Kerana kebijaksanaan Datuk Bendahara, musuh yang kuat pun
menjadi takut,” kata Sultan Melaka dengan bangga.
Rakyat Melaka bersetuju dengan pendapat baginda. Mereka kagum akan
kebijaksanaan Tun Perak. Sejak itu, Tentera Siam tidak berani lagi hendak
menyerang Negeri Melaka.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai