Anda di halaman 1dari 9

SCLM5133 BAHASA DAN PEMIKIRAN KESUSASTERAAN MELAYU TAJUK: MANIFESTASI KRITIKAN POLITIK DALAM SAJAK SIBER AZMI RAHMAN

DISEDIAKAN OLEH: MOHD HAIRI BIN SUHAIMI @ SAHIMI (812664) AHMAD SHUKRI BIN ABDUL MAJID (812515)

Pendahuluan Pada umumnya sajak adalah ekspresi tentang pengalaman manusia secara imaginatif dan terjalin di dalam bentuk-bentuk struktur yang tidak terkawal serta mempunyai bahasa yang indah untuk menemukan nilai rasa dan nilai erti yang seimbang. Ciri utama sajak seperti juga cerpen, novel dan drama mengandungi unsur-unsur emosi, imaginatif, dan akal budi. Kesan daripada ketiga-tiga unsur inilah, terlibat di dalam sajak lebih memancarkan keinginan dan kecenderungan penyair untuk mengungkapkan pelbagai sentuhan rasa dan tanggapan mata hatinya (Dharmawijaya, 1998). Manakala, Zaaba (1965) mentakrifkan sajak sebagai sejenis karangan berangkap cara baru di dalam bahasa Melayu. Di antara sifat-sifatnya ialah ia tidak memakai timbangan dan sukatan bunyi yang tetap, serta tiada ukuran rentak yang sama.

Kebanyakannya sajak tidak memakai pertentangan bunyi, sama ada tetap dan bertambah di hujung kerat atau di mana-mana pun, tetapi isinya menentukan perasaan yang kuat dan mendalam dengan bahasa berkias ibarat. Muhammad Haji Salleh (1984) pula mengatakan sajak sebagai satu bentuk moden yang lebih bebas dari ikatan bentuk-bentuk tradisi. Menurut Hashim Awang pula (1985), sajak merupakan puisi baru yang popular, lahir sebagai alternatif kepada puisi tradisional. Ini keranan bentuknya tidak terikat dengan sebarang kontroversi dan lebih bebas. Secara umumnya, sajak merupakan karangan berangkap, bentuk bebas yang sudah menyimpang daripada bentuk puisi lama. Sajak tidak dilihat dengan jumlah kata, baris atau skema rima, namun ia amat mementingkan bahasanya sehingga menimbulkan kesan dan nilai estetika yang tinggi. Sajak juga dianggap sebagai kata-kata yang terbaik dalam susunan yang terbaik. Selain itu, sajak adalah sejenis karya sastera yang segala-galanya dipesat dan dipadatkan, serta kesatuan bahasa di dalam sajak tidak terlihat oleh logik sintaktik (Atmazaki, 1993). Seiring dengan perkembangan teknologi multimedia, pengkarya-pengkarya sastera mula mengorak langkah dengan mengujudkan medan berkarya baharu yang dikenali sebagai sastera siber. Sastera siber mula mendapat tempat oleh kebanyakan pengguna dan juga peminat sastera sebagai medan alternatif untuk menzahirkan karya mereka untuk tatapan khalayak. Sebagai ruang karya alternatif, ia secara tidak langsung bergerak sesuai dengan perkembangan semasa dalam dunia teknologi maklumat, yang memungkinkan semua manusia berada dalam satu daerah.

Terdapat beberapa laman utama yang menyediakan ruang untuk peminat dan juga kelompok penulis, teruatamanya generasi baru untuk berkarya. Antaranya ialah portal pustakamaya.net, melayu.com, karyanet.com.my, arahkiri.cjb.net, idealis-mahasiswa.net dan esastera2u.com. Namun antara portal-portal tersebut, esastera2u.com merupakan portal yang menonjol dan popular. Kepelbagaian pilihan yang ada dalam portal esastera2u.com memungkinkan pengunjung dapat berkarya secara bebas dan terbuka menjadikannya antara yang menarik untuk dikunjungi. Portal esastera2u.com diasaskan oleh Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas, profesor di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya. Portal esastera2u.com juga melahirkan ramai saterawan hebat yang mampu berkarya setanding dengan sasterawan arus perdana. Salah seorang daripadanya adalah Azmi Rahman, seorang sasterawan siber yang popular dan aktif berkarya.

Manifestasi kritikan politik dalam sajak siber Azmi Rahman Azmi Rahman merupakan antara penggiat sastera siber yang popular di portal esastera2u.com. Beliau merupakan pensyarah bidang bahasa dan linguistik di Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah ini adalah penulis yang menggemari sastera tradisi dan juga karya gabungan (poligenre) selain sajak moden. Beliau merupakan seorang penulis yang sering memanafaatkan bahasa sederhana namun diadun serta dipadankan menjadi sajak yang mempunyai makna yang mendalam serta mampu menzahirkan rasa dan amanat dengan berkesan. Beliau juga seorang penulis yang berani bereksperimen dengan pelbagai gabungan elemen multimedia yang mampu menyemarakkan lagi dunia kesusasteraan. Pemikiran beliau

melalui sajak-sajaknya dalam esastera2u.com banyak dipengaruhi oleh situasi semasa. Contohnya seperti sajak Kerusi, Calon, dan Kempen yang dipengaruhi suasana politik di Malaysia yang berdepan dengan suasana pilihanraya ke 13. Beliau menggambarkan suasana politik Malaysia semakin kotor dengan dipenuhi politik wang, janji-janji yang belum tentu ditunaikan serta perebutan kuasa untuk menjadi calon pilihanraya. Berikut adalah manifestasi beliau terhadap suasana politik di Malaysia berdasarkan tiga buah sajak yang disiarkan dalam esastera2u.com.;

KERUSI Kerusi; ada kaki dan tempat bersandar. Duduklah dan rehatlah. Buatlah kerja sendiri dengan tenang. Kerusi; bukan lagi kerusi kayu atau batu di rumah atau di taman. Bukan menjadi rebutan dalam permainan kerusi muzikal. Kerusi; adalah kerusi rebutan ghairah nafsu mencakar-cakar kepala lawan dan kawan. Kerusi; adalah kerusi ideologi merah, biru, putih, hijau, dan ideologi tanpa warna. Kerusi; kuasa di persada menjadi kuku mencengkam hak. Kerusi; adalah kerusi amanah. Kerusi rakyat. Kerusi marhaen. Suaranya berbelit-belit di kaki kerusi. Awas, sekumpulan anai-anai senyap memakan kayu. Kerusi akan reput dan patah. Kerusi yang patah kaki dan roboh. Kerusi baru diatur dalam barisan pejuang. Kerusi reput; yang buruk. Hodoh.
4

Patah kaki. Tercabut penyandar. Dibakar. Kerusi sampah. Kerusi; adalah kerusi panas yang sukar diganggu anai-anai. Kalian menjadi kerusi malas. Kalian terhukum di kerusi elektrik. Kerusi aku; terciptalah sajak-sajak siber tanpa perlu riuh propaganda berganda-ganda. Azmi Rahman 27 Februari 2013

CALON Calon-calonnya adalah: Muka baru Disolekkan dengan mimpi kuasa. Muka lama Dipakaikan topeng kuasa baru. Muka bermuka-muka Di mana muka terkemuka? Azmi Rahman Sintok 16 April 2013

KEMPEN Klise sang politikus: - Turun padang (padang kering/ berlumpur/ tumbuh lalang) - Undilah (rahsia peribadi) - Calon di hati (bukan pilihan akar umbi)
5

- Berjanji (hutang janji bertimbun) - Sepenggal (terpenggal) Azmi Rahman Sintok April 2013 Pemilihan judul kerusi, kempen, dan calon memang bersesuaian sekali dengan suasana pilihanraya yang bakal berlangsung pada 5 Mac 2013. Sajak ini merupakan satira politik yang mempunyai hubungkait antara kerusi dan mengundi. Semua pengundi tengah tidak sabar untuk mengundi pada pilihanraya umum ke tiga belas untuk memilih calon yang bakal memimpin negara. Latarnya pula ialah musim pilihanraya yang semakin hangat bahangnya. Karya siber beliau menarik dan berkesan serta dipaparkan dengan aksara yang pelbagai saiz, berwarna, latar karya berwarna warni, ada imej, animasi yang bersesuaian dengan isi teks dan mempunyai pautan ke laman sesawang yang lain. Contohnya penggunaan pautan dalam sajak calon(muka terkemuka) beliau mampu menzahirkan sesuatu maksud dengan lebih mendalam serta memberi kefahaman yang jelas kepada khalayak.

Sajak-sajak beliau bertemakan kritikan sosial politik yang memberi peringatan tentang tanggungjawab ahli politik yang bakal dipilih sebagai pemimpin masyarakat. Sajak ini menggambarkan keadaan politik semasa di Malaysia yang tengah hangat sempena pilihanraya umum ke tiga belas. Ia disajakkan dengan lancar dalam pola prosa dengan menggunakan simbol-simbol tertentu sebagai topik utama.
6

Berdasarkan sajak-sajak tersebut, beliau cuba melontarkan rasa kesal terkilan dengan permainan politik semasa yang berlaku di Malaysia seperti dalam sajak kempen melalui baitbait seperti berikut: - Berjanji (hutang janji bertimbun) - Sepenggal (terpenggal)

Melalui sajak calon, Azmi Rahman mengkritik calon yang dipilih oleh parti politik yang bertanding melalui bait-bait seperti berikut: Calon-calonnya adalah: Muka baru Disolekkan dengan mimpi kuasa. Muka lama Dipakaikan topeng kuasa baru. Muka bermuka-muka Di mana muka terkemuka?

Contoh-contoh kerusi yang beliau berikan dalam sajak kerusi, seperti kerusi reput, sampah, buruk dan sebagainya adalah pandangan beliau terhadap adanya segolongan ahli politik yang hanya pandai berpolitik tetapi tidak mampu membangunkan negara. Beliau cenderung memilih diksi sederhana serta gaya bahasa yang tidak begitu menekan. Kritikan beliau secara bersahaja tetapi menarik minat khalayak untuk menghayatinya. Sajak-sajak beliau ini memiliki nada yang pelbagai. Bergantung kepada cara khalayak
7

menghayatinya. Sajak-sajak beliau seperti kerusi, kempen dan calon boleh menjadi nada satira, nada kecaman, nada cemuhan, nada perlian dan sebagainya namun semua nada menuju kearah kritikan sosial yang tegas.

Penutup Dengan gaya bahasa sederhana dan bersahaja, penulis telah berjaya menulis satira yang menghiburkan namun penuh sindiran dan teguran. Keupayaan beliau memantap dan memaksimakan fungsi bahasa mampu menghasilkan sajak yang penuh bermakna. Karya Azmi Rahman ini mampu memberi teguran kepada ahli politik yang berebut untuk menjadi calon pilihanraya menerusi bahasa-bahasa yang simbolik sebagai tonggak utama. Namun beliau mengambil posisi selamat dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak dan tidak menamakan sama ada kerajaan atau pembangkang yang dikritiknya. Mungkin juga beliau rasa keburukan ada di semua pihak yang bakal bertanding di Pilihan Raya Umum ke tiga belas nanti. Sebagai khalayak, beliau mahu kita berfikir dan mengkaji dengan lebih mendalam dan kritis sebelum memilih demi untuk masa depan negara yang gemilang.

Rujukan

Atmazaki. (1993). Analisis sajak: Teori, metodologi dan aplikasi. Bandung: Penerbit Angkasa Azmi Rahman. (20 April 2013). Kerusi. Diperoleh dari http://esastera2u.com/index.php/sections/category/30?cat_id=16 Azmi Rahman. (April 2013). Calon. Diperoleh dari http://esastera2u.com/index.php/sections/category/30?cat_id=16 Azmi Rahman. (16 April 2013). Kempen. Diperoleh dari http://esastera2u.com/index.php/sections/category/30?cat_id=16 Dharmawijaya. (1988). Dunia puisi dalam penelitian dan pengajaran. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd Hashim Awang. (1985). Mendekati kesusasteraan Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti. Muhammad Haji Salleh. (1984). Pengalaman puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Za'ba. (1965). Ilmu mengarang Melayu: Bagi pergunaan guru guru dan murid murid darjah tinggi di-sekolah menengah dan penuntut di-maktab latehan guru ((Chetak ketiga). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai