Anda di halaman 1dari 18

A y a t , L o g i k a d a n W a c a n a | 44

UNIT 4 AYAT, LOGIKA DAN WACANA


HASIL PEMBELAJARAN Pada akhir unit ini, anda diharapkan dapat: 1. mengenal pasti ayat yang berkesan dan padu 2. menghuraikan ciri-ciri ayat yang berkesan 3. menjelaskan aspek logika dalam ayat 4. menjelaskan aspek wacana, iaitu kesatuan gagasan, kepaduan, penalaran, penekanan, kevariasian, kehematan dan kemurnian. Pengenalan

ab ini bertitik tolak daripada hal yang lebih besar, iaitu bagaimana bahasa harus dimanfaatkan dan dimanipulasi dengan sebaik-baiknya untuk menghasilkan tulisan yang berkesan. Titik tolak yang demikian itu lebih wajar dalam konteks dunia penulisan oleh sebab masalah asas dalam penulisan, sebagaimana yang tercermin dalam tulisan-tulisan yang disajikan kepada kita, adalah masalah keupayaan memanfaatkan unsur-unsur ekspresif bahasa yang asasi. Bagaimana proses penerbitan kata dan ayat, misalnya harus dimanfaatkan secara berkesan untuk menghidupkan tulisan tampaknya masih menjadi suatu kesulitan dalam kalangan penulis.

Bermula dengan Ayat Sebuah karangan yang baik merupakan sebuah wacana. Hal ini demikian kerana sebuah karangan merupakan satu kesatuan akliah. Semua bahagian dalam sebuah karangan saling menunjangi untuk akhirnya mencapai arah atau fokus yang tertentu. Perkara ini sesuai dengan konsepsi karangan sebagai penyampai beberapa maklumat tentang sesuatu, bukan segala-galanya tentang sesuatu. Bahagian-bahagian dalam karangan yang sering dilihat sebagai unsur yang saling menyokong ialah perenggan-perenggan. Setiap perenggan pula terbentuk oleh adanya bahagian atau unsur yang lebih dasar, iaitu ayat. Segala idea yang ingin disajikan oleh penulis tidak dapat tidak harus melalui ayat sebagai sarananya. Jalinan ayat-ayat, yang bererti juga jalinan idea-idea itulah akhirnya yang membentuk sebuah karangan. Dengan demikian dapat dikatakan bahawa ayat merupakan unit bahasa yang paling asas dalam proses penulisan. Oleh sebab itu, penting sekali penulis menguasai selok belok pembentukan ayat. Sehubungan dengan itu, tentulah unit-unit bahasa

A y a t , L o g i k a d a n W a c a n a | 45

di bawah ayat perlu dikuasai, khususnya yang berkaitan dengan pembentukan kata. Secara ringkas, antara syarat pemilihan kata ialah: a. Dapat membezakan antara denotasi dan konotasi Bunga Edelwise hanya tumbuh di kawasan tanah tinggi [denotasi]. Jika kadar bunga meningkat, pengguna terpaksa membayar pinjaman dengan nilai lebih tinggi [konotasi]. b. Dapat membezakan kata-kata yang maknanya hampir sinonim Hutan Belum di Grik amat diminati oleh pecinta keindahan alam semulajadi. Ahmad belum pulang daripada rumah neneknya di Seremban. c. Dapat membezakan kata-kata yang hampir mirip ejaannya. intensif - insentif kerling - keliling selisih - selasih secocok - secucuk d. Dapat memahami dengan tepat makna kata-kata abstrak indah, cantik, molek, bagus, baik, elok, lawa tenang, damai, nyaman, hening, bening, syahdu e. Dapat memakai kata penghubung yang berpasangan dengan tepat tidak....melainkan baik....ataupun bukan....tetapi tidak....tetapi bukan....melainkan f. Dapat membezakan perkataan yang umum dan perkataan yang khusus Melihat - mengerling, mengamati, meneropong, mengintip, melirik Belajar - membaca, menulis, mendengar, melihat, berfikir, menyoal Bergaduh bertumbuk, bertikam lidah, bergomol, bergusti, menendang Bermain bolasepak, badminton, tenis, jongkak, dam, acilut, berenang g. Dapat membezakan kata baku dan kata dialek Gigit tokak, kekah Bercakap - bergebang, berkecek Mari - mai Wang - pitih Pukul tibai, tabuh

A y a t , L o g i k a d a n W a c a n a | 46

h. Dapat membezakan yang kata berunsur estetik dan bukan estetik Kampung itu terletak sangat jauh di pedalaman Kampung itu terletak nun jauh di pedalaman Sungguh indah suasana senja di Pulau Sipadan Indah nian suasana senja di Pulau Sipadan i. Dapat menggunakan kata yang berunsur agama dengan tepat Allah lebih tepat daripada tuhan Solat lebih tepat daripada sembahyang Berdoa lebih tepat daripada memohon sesuatu kepada tuhan Bertakwa lebih tepat daripada mematuhi perintah tuhan Ayat yang Berkesan Penguasaan seseorang penulis dalam hal pembentukan ayat yang dimaksudkan di sini ialah keupayaannnya menghasilkan ayat yang berkesan. Ayat yang berkesan menjadi asas karangan yang berkesan pula. Yang dikatakan ayat yang berkesan ialah ayat yang mampu melukiskan gagasan atau perasaan penulis secara tepat. Di samping itu, ayat yang berkesan berhasil menimbulkan gagasan yang sama antara tanggapan pembaca dengan yang dimaksudkan oleh penulis. Karangan sebagai binaan yang disebut wacana dapat dilihat sebagai seberkas perenggan yang saling berkaitan. Kekecualian berlaku hanya pada wacana tertentu yang ringkas seperti pengumuman, nota telegram dan ucapan pada kad. Perenggan terbina daripada sehimpunan ayat. Ayat pula dijalin sedemikian rupa sehingga menjadi seakan-akan anyaman yang kemas. Maksudnya, sesebuah perenggan bukan sekadar terdiri daripada beberapa ayat, tetapi semua ayat itu mestilah memperlihatkan pertalian antara satu sama lain. Karangan yang berkesan bergantung juga pada ayat yang berkesan. Oleh hal yang demikian, pastikanlah bahawa anda menggunakan ayat yang berkesan dalam karangan anda. Ayat yang berkesan ialah ayat yang dapat menampilkan sesuatu fikiran atau maklumat dengan jelas dan tidak menimbulkan kesulitan pemahaman kepada pembaca. Hal ini dapat kita kaitkan dengan takrif ayat yang dikemukakan oleh ahli tatabahasa tradisional, iaitu bentuk bahasa yang mengandung fikiran yang lengkap. Ayat yang tidak sempurna, baik daripada segi bentuknya mahupun maknanya dengan sendirinya menjadi ayat yang tidak berkesan. Ayat yang tidak dapat menyatakan buah fikiran atau maklumat secara berkesan dengan sendirinya pula menghasilkan karangan yang tidak berkesan. Oleh sebab itu, setiap penulis perlu menguasai selok-belok pembinaan ayat yang berkesan.

A y a t , L o g i k a d a n W a c a n a | 47

Syarat dan Kaedah Terdapat lapan syarat dan kaedah untuk menghasikan ayat yang berkesan. Kelapan-lapannya adalah seperti yang berikut: 1. Kesatuan gagasan 2. Kepaduan 3. Penalaran/logika 4. Penekanan 5. Kevariasian 6. Kesejajaran 7. Kehematan 8. Kemurnian

Antara lapan syarat dan kaedah ini, yang pertama, kedua, ketiga dan keempat merupakan yang paling utama. Syarat dan kaedah yang kelima, keenam, ketujuh dan kelapan dapat dianggap sebagai unsur pelengkap. Tanpa empat unsur paling utama, maka unsur pelengkap yang lain tidak akan bererti apa-apa. Kesatuan Gagasan Apakah yang dimaksudkan oleh kesatuan gagasan? Untuk memahaminya, perlu anda ketahui bahawa setiap ayat hendaklah mendukung sesuatu gagasan atau idea. Gagasan itu berfungsi mengembangkan tema atau isu yang menjadi asas karangan. Umumnya, sesebuah karangan bertunjangkan satu tema atau isu pokok. Tema itu memerlukan huraian dan pengembangan dan melalui ayatlah huraian itu dapat dibuat. Oleh hal yang demikian, setiap ayat dalam sesebuah karangan seharusnya berisi satu gagasan yang jelas. Kesatuan gagasan bererti bahawa ayat yang dihasilkan harus dapat memperlihatkan tema ayat tersebut. Dengan kata lain, ayat itu perlu mempunyai fokus. Untuk menghasilkan ayat yang mempunyai kesatuan gagasan, elakkanlah menulis beberapa idea atau gagasan dalam satu ayat. Sebaik-baiknya sesuatu ayat hendaklah berisi satu gagasan sahaja. Oleh sebab itu, sering dianjurkan dalam buku panduan penulisan agar penulis menggunakan ayat yang berpada panjangnya. Hal ini demikian kerana ayat yang terlalu panjang mempunyai kecenderungan berisi lebih daripada satu gagasan. Ayat yang berisi lebih daripada satu gagasan akan kehilangan fokus dan menjadi ayat yang lemah. Ayat yang lemah bukanlah ayat yang berkesan. Untuk memahami maksud ayat yang berisi lebih daripada satu gagasan, perhatikanlah contoh yang berikut: ...Oleh sebab itu, salah satu jalan ialah membimbing anak ke arah kebebasan berfikir untuk meninggikan daya cipta yang lebih tinggi, diiringi pula oleh pengawasan yang teliti dan saksama daripada orang tua yang sekali gus perlu memahami kejiwaan anaknya.

A y a t , L o g i k a d a n W a c a n a | 48

Sesudah membaca ayat di atas, dapatkah anda menyatakan fokus atau tema ayat tersebut? Dapatkah anda lihat gagasan yang hendak dikemukakan? Pastinya anda akan berasa keliru akan perkara yang menjadi fokus ayat. Ada beberapa gagasan yang digabungkan dalam ayat tersebut, iaitu: 1. Pentingnya kebebasan berfikir untuk meninggikan daya cipta. 2. Pentingnya pengawasan yang teliti dan saksama daripada ibu bapa. 3. Pentingnya ibu bapa memahami masalah kejiwaan anaknya. Dengan adanya tiga gagasan dalam satu ayat, maka ayat tersebut kehilangan fokus. Kita tidak dapat melihat ayat tersebut sebagai ayat yang memiliki kesatuan gagasan, tetapi sebaliknya ayat yang tidak mempunyai arah yang jelas. Ayat tersebut akan menjadi jelas apabila dipecahkan kepada tiga ayat yang berasingan. Sekarang perhatikan pula ayat yang memiliki kesatuan gagasan.

Hanya dengan pendidikan sahajalah anak itu kelak akan dapat menempatkan dirinya sebagai anggota masyarakat yang berguna.

Ayat di atas jelas memiliki satu gagasan sahaja. Dengan hal yang demikian, maksudnya cukup jelas dan pembaca tidak terkeliru oleh gagasan lain. Pembaca dengan mudah dapat menangkap gagasan yang ingin ditonjolkan, iaitu pentingnya pendidikan kepada anak. Selain soal perlunya ayat terdiri daripada satu gagasan sahaja, kesatuan gagasan bergantung juga pada jelas atau tidaknya subjek dan predikat ayat. Hal ini penting kerana subjek dan predikat merupakan bahagian yang menjadi asas terbentuknya ayat. Subjek merupakan pokok atau hal yang dibicarakan, sementara predikat ialah keterangan tentang hal itu. Ayat yang tidak jelas atau tidak sempurna subjeknya dan predikatnya merupakan ayat yang tidak berkesan. Perhatikanlah contoh ayat yang tidak sempurna subjeknya dan predikatnya. Menurut Kementerian Dalam Negeri menyatakan bahawa kegiatan ajaran sesat dapat dibendung jika masyarakat memberikan kerjasama.

Ayat di atas seolah-olah terdiri daripada subjek Menurut Kementerian Dalam Negeri, sedang frasa tersebut (frasa sendi) tidak dapat menjadi subjek. Daripada segi binaan subjek, hanya frasa nama yang dapat menjadi subjek. Daripada segi maknanya, yang menyatakan bahawa ajaran sesat dapat dibendung tentu bukan Menurut Kementerian Dalam Negeri. Yang menyatakan hal itu ialah

A y a t , L o g i k a d a n W a c a n a | 49

Kementerian Dalam Negeri. Oleh hal yang demikian, ayat tersebut hanya menjadi ayat yang berkesan apabila dinyatakan seperti yang berikut: Kementerian Dalam Negeri menyatakan bahawa kegiatan ajaran sesat dapat dibendung jika masyarakat memberikan kerjasama. Ayat tersebut boleh juga dinyatakan seperti yang berikut: Menurut Kementerian Dalam Negeri, kegiatan ajaran sesat dapat dibendung jika masyarakat memberikan kerjasama.

Dalam ayat tersebut subjek bukan lagi Kementerian Dalam Negeri, tetapi kegiatan ajaran sesat, sementara Menurut Kementerian Dalam Negeri bertugas sebagai keterangan ayat sahaja. Dalam hal ini, dapat anda fahami bahawa usaha mendalami tatabahasa, termasuk soal subjek dan predikat mempunyai kaitan yang rapat dengan penulisan yang berkesan kerana kefahaman tentang binaan ayat yang sempurna dapat membantu anda menghasilkan ayat yang jelas dan berkesan. Ayat yang Padu Ciri kedua ayat yang berkesan ialah kepaduan. Kepaduan bererti hubungan timbal balik yang baik dan jelas antara unsur pembentuk ayat. Unsur pembentuk ayat ialah kata dan frasa kerana daripada jalinan antara kata dengan kata dan antara frasa dengan frasalah ayat terbentuk. Hubungan antara satu kata atau frasa dengan kata atau frasa yang lain mestilah menepati sosok atau jalan bahasa. Sebagai bahan rangsangan, daripada ketiga-tiga ayat yang berikut, cuba anda tentukan yang manakah ayat yang padu. 1. Hakim menjatuhkan pengedar dadah itu hukuman gantung hingga mati. 2. Hakim menjatuhkan hukuman gantung hingga mati kepada pengedar dadah itu. 3. Hakim menjatuhi pengedar dadah itu hukuman gantung hingga mati. Untuk menentukan kepaduan ketiga-tiga ayat itu, anda perlu tahu akan aturan susunan kata kerja transitif yang berakhiran kan dan kata kerja transitif yang berakhiran i. Dalam ayat (1) dan ayat (2), akhiran kan pada kata kerja transitif menjatuhkan menunjukkan erti objek bergerak. Objek ialah unsur yang mengikuti sesuatu kata kerja transitif, iaitu kata yang tidak sempurna maknanya tanpa objek. Objek ayat (1) ialah pengedar dadah itu, sementara objek ayat (2) ialah hukuman gantung hingga mati. Apakah makna yang timbul daripada kedua-dua ayat tersebut?

A y a t , L o g i k a d a n W a c a n a | 50

Ayat (1) menimbulkan makna bahawa hakim menjatuhkan pengedar dadah itu , sementara ayat (2) bererti hakim menjatuhkan hukuman gantung hingga mati. Sekarang tentu anda dapat menentukan ayat yang tepat maknanya. Jawabnya tentulah ayat yang kedua kerana yang dijatuhkan ialah hukuman, bukan pengedar dadah. Oleh itu, ayat (1) bukanlah ayat yang padu kerana hubungan antara kata kerja transitif (sebagai salah satu unsur pembentuk ayat) dengan objeknya (sebagai satu unsur pembentuk ayat juga) tidak menepati jalan bahasa. Sebaliknya, ayat (2) ialah ayat yang padu kerana antara kata kerja transitif dengan objeknya, terjalin hubungan yang tepat. Dalam ayat (3) pula, akhiran i dalam ayat tersebut memberikan erti bahawa objek menerima sesuatu. Oleh sebab itu, ayat Hakim menjatuhi pengedar dadah itu hukuman gantung hingga mati bererti bahawa frasa pengedar dadah itu sebagai objek menerima hukuman gantung hingga mati. Pola ayat berakhiran i seumpama ini janggal pada setengah-setengah orang kerana jarang digunakan. Namun begitu, pola ayat itu memberikan pilihan gaya bahasa yang baik untuk melahirkan ayat yang padu. Selain itu, kepaduan ayat juga akan terjejas jika susunan kata dalam konteks frasa nama tidak menurut Hukum DM, iaitu Diterangkan dan Menerangkan. Menurut aturan ini, kata yang diterangkan (kata utama) letaknya di hadapan kata yang menerangkan (penerang). Susunan kata dalam bahasa Melayu pada dasarnya ditandai oleh aturan tersebut, dengan beberapa kekecualian. Anda tentu biasa menemukan susunan kata yang salah seperti yang berikut: 1. Nasi Kandar Restoran [ sepatutnya Restoran Nasi Kandar ] 2. Dengan lain perkataan... [ sepatutnya Dengan perkataan lain...] 3. Lain-lain perkara [ sepatutnya Perkara-perkara lain ] 4. ...memerlukan banyak masa [ sepatutnya banyak memerlukan masa atau memerlukan masa yang banyak ] 5. ...mempunyai cukup modal [ sepatutnya mempunyai modal yang cukup ] 6. Kedua-dua cara mempunyai sama manfaat [ sepatutnya Kedua-dua cara mempunyai manfaat yang sama atau Kedua-dua cara itu sama manfaatnya ]

A y a t , L o g i k a d a n W a c a n a | 51

Demikian juga halnya, apabila anda meletakkan sesuatu kata yang tidak perlu, ayat akan menjadi tidak padu. Dalam hal ini, kata yang sering digunakan walhal tidak diperlukan ialah kata sendi sesudah kata kerja transitif. Contohnya:
1. Mereka tidak mengetahui akan kelebihan menuntut ilmu akhirat.

2. Kami berusaha memahami tentang penderitaan masyarakat di pedalaman.

3. Semasa memperkatakan mengenai masa depan ekonomi bumiputera, Perdana Menteri mengistiharkan pembentukan Amanah Saham Bumiputera.

Dalam huraian tatabahasa, ketiga-tiga ayat di atas dikatakan tidak gramatis kerana memecahkan hubungan antara kata kerja transitif dengan objeknya. Dalam penulisan, khususnya dalam penghasilan ayat yang berkesan, kesalahan itu menyebabkan kepaduan ayat terjejas. Inilah faedahnya anda mempelajari tatabahasa sebagai salah satu prasyarat untuk menjadi penulis yang baik. Anda bukan mempelajari tatabahasa untuk semata-mata tahu akan aturan bahasa, tetapi untuk memanfaatkannya dalam penulisan karangan. Penalaran dan Logika Apakah penalaran atau logika? Nalar yang menjadi kata dasar perkataan penalaran berkait rapat dengan konsep daya hujah. Oleh sebab itu, penalaran ( reasoning) dapat kita ertikan sebagai keupayaan untuk menggunakan daya hujah dengan baik. Logika pula dapat diertikan sebagai sistem berfikir, iaitu sesuatu gagasan disusun sehingga dapat diterima oleh akal yang sihat. Logika atau sistem berfikir inilah yang memungkinkan berlakunya penalaran atau keupayaan untuk menggunakan daya hujah secara baik. Supaya anda tidak terperangkap dalam soal konsep dan pengertiannya sahaja, cuba anda telitikan ayat yang berikut: Kerajaan memang bertanggungjawab untuk menyediakan kemudahan pendidikan kepada rakyat, tetapi negara sedang mengalami kemelesetan ekonomi dan pelancong tidak banyak datang ke negara ini.

Ayat di atas sekali pandang seakan-akan tidak ada celanya. Tetapi, jika dinilai secara kritis, ayat tersebut tidak memiliki ciri penalaran atau logika. Untuk membuktikannya, anda perlu

A y a t , L o g i k a d a n W a c a n a | 52

menentukan gagasan yang ingin dikemukakan oleh penulis. Gagasan yang dikemukakan itu dapat diperincikan sebagai yang berikut: 1. Kerajaan memang bertanggungjawab untuk menyediakan kemudahan pendidikan kepada rakyat. 2. Negara sedang mengalami kemelesetan ekonomi. 3. Pelancong tidak banyak datang ke negara ini. Dapatkah anda lihat hubungan makna antara ketiga-tiga fakta atau maklumat tersebut? Hubungan antara fakta pertama dengan fakta kedua dan ketiga agak jelas. Fakta kedua menyatakan pertentangan situasi dengan fakta pertama. Kita dapat menerima hubungan logika antara keduaduanya, sehingga kita dapat menghasilkan ayat yang berikut:

Kerajaan memang bertanggungjawab untuk menyediakan kemudahan pendidikan kepada rakyat, tetapi negara sedang mengalami kemelesetan ekonomi.

Melalui ayat tersebut, dapat disimpulkan bahawa kerajaan tidak meningkatkan infrastruktur pendidikan yang sedia ada ataupun kerajaan tidak dapat memperuntukkan kewangan bagi bidang pendidikan. Namun begitu, fakta ketiga tidak mempunyai kaitan langsung, bahkan terlalu jauh daripada daripada fakta pertama yang merupakan asas gagasan dalam ayat tersebut. Kemungkinan fakta tersebut ada pertalian dengan fakta ketiga, iaitu perihal tidak banyak pelancong yang datang, dengan fakta kedua, iaitu perihal kemelesetan ekonomi. Sebagai pembaca, kita menduganya demikian, tetapi sebenarnya cara pernyataan itu disusun, jelas tidak teratur. Aspek yang tidak logik di sini ialah Apakah kerana pelancong tidak banyak datang, maka kerajaan tidak perlu menjalankan tanggungjawabnya? Apakah sumber pendapatan negara hanya bergantung kepada kunjungan pelancong? Hal ini bermakna penulis tidak memiliki daya hujah yang mantap sewaktu mengemukakan buah fikirannya. Sebagai perbandingan, telitikan ayat yang berikut:

Kerajaan memang bertanggungjawab untuk memberikan kemudahan pendidikan kepada rakyat, tetapi kemelesetan ekonomi yang dialami oleh negara menyebabkan kerajaan tidak mampu untuk meningkatkan kemudahan yang sedia ada.

A y a t , L o g i k a d a n W a c a n a | 53

Ayat di atas menunjukkan susunan yang logik dan nalar. Dalam ayat tersebut tidak wujud jurang makna dan pemikiran antara satu maklumat dengan maklumat yang lain. Sebaliknya, fakta itu dikaitkan dengan daya hujah yang baik dan jitu. Contoh inilah yang menunjukkan cara penalaran atau logika yang membantu penghasilan ayat yang berkesan. Satu lagi contoh ayat yang ditulis secara logik dan bernalar adalah seperti berikut:

Kerajaan memang bertanggungjawab untuk memberikan kemudahan pendidikan kepada rakyat, tetapi kerajaan tidak patut dibebani tanggungjawab untuk memberikan pekerjaan kepada semua lepasan sekolah, maktab dan universiti.

Ayat di atas menunjukkan kejelasan pemikiran penulis sewaktu menghasilkan gagasan tersebut. Justeru, seseorang penulis haruslah mengambil kira aspek-aspek logika supaya pembaca tidak dibebani dengan kecelaruan pemikiran penulis.

Menjana Pemikiran Logika Bagaimanakah menghasilkan ayat yang nalar atau logik? Jawapannya ialah seseorang penulis perlu memahami proses berfikir secara logik. Terdapat dua dasar dalam proses pemikiran secara logika. Pertama, ialah takrif dan batasan tentang sesuatu gagasan atau hal. Perbincangan yang pertama dimulakan dengan membincangkan aspek takrif. Takrif dan batasan bagi sesuatu yang ingin kita ujarkan amat penting supaya perkara tersebut cukup jelas dan tidak menyimpang daripada makna yang sebenarnya. Terdapat beberapa jenis takrif. Pertama, ialah takrif sinonim. Takrif jenis ini bermaksud penulis menggunakan sesuatu istilah atau kata yang lebih mudah difahami pembaca. Hal ini amat penting, terutamanya bagi istilah yang teknis atau sukar difahami oleh orang awam. Contohnya, kita boleh menggunakan istilah ilmu bahasa bagi menggantikan linguistik, loghat bagi dialek dan syarikat bagi firma. Kedua, ialah takrif yang berdasarkan etimologi. Kaedah ini dapat membantu penulis menyampaikan sesuatu gagasan secara kemas dan jelas. Contoh proses berfikir dengan menggunakan takrif ini adalah seperti yang berikut: Kata baku berasal daripada bahasa Jawa yang bermaksud sesuatu yang menjadi dasar atau ukuran.

Adil ialah kata dalam bahasa Melayu yang diambil daripada bahasa Arab ( adl) dengan erti meletakkan sesuatu pada tempatnya.

A y a t , L o g i k a d a n W a c a n a | 54

Selain takrif sinonim dan takrif etimologi, terdapat pula takrif formal atau takrif logik. Takrif jenis ini memberikan erti sesuatu istilah dengan penerangan tentang sifat yang berkaitan dengannya. Contohnya:

Kapal terbang ialah sejenis pengangkutan udara yang dapat mempercepatkan perjalanan. Rasuah ialah perbuatan yang terlarang dalam agama kerana menyebabkan berlakunya penindasan dan kelaziman. Dunia hanya tempat tinggal yang sementara bagi manusia dan oleh sebab itu, kita tidak boleh tamak dan haloba. Akhir sekali, terdapat juga takrif luas. Penyampaian gagasan dengan menggunakan takrif ini diperlukan apabila konsep yang ingin dijelaskan bersifat abstrak dan ertinya luas. Sebagai contoh, kata agama, demokrasi, nasionalisme, keadilan dan pembangunan tidak dapat diterangkan melalui takrif sinonim, takrif etimologi atau takrif formal. Kata-kata tersebut memerlukan penjelasan dan huraian yang teliti dan sering kali lebih daripada satu ayat. Selain penggunaan takrif, penulis dapat berfikir secara logik dengan menggunakan generalisasi. Generalisasi bermaksud kebiasaan umum yang berlaku bagi sesuatu sifat atau hal. Misalnya, kita menyaksikan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan membesar. Semuanya memerlukan makanan untuk membesar. Melalui pemerhatian itu, kita membuat generalisasi bahawa secara logik makhluk yang hidup memerlukan makanan untuk membesar. Contoh di bawah pula menunjukkan generalisasi yang tidak logik. Kesannya membentuk ayat yang tidak nalar.

Orang Jepun ialah bangsa yang zalim kerana pada zaman pendudukannya di Tanah Melayu dahulu ramai rakyat yang diseksa dan dibunuh secara kejam.

Generalisasi pada ayat di atas tidak logik kerana dibuat berdasarkan fakta sejarah sematamata tanpa mengambil kira fakta semasa. Dalam mengaplikasi teknik generalisasi, kita harus mengutamakan fakta terkini kerana maklumat tersebut akan mencerminkan tahap keintelektual dan pengetahuan penulis yang luas. Menulis dengan memaparkan maklumat yang sudah basi dan tidak logik menunjukkan kelemahan pengetahuan penulis. Justeru untuk menjadi penulis yang berjaya anda harus banyak membaca bahan yang berfaedah, rajin mengkaji dan menjadi pemikir yang kritis dan kreatif.

A y a t , L o g i k a d a n W a c a n a | 55

Penekanan dalam ayat Penekanan bererti penegasan sesuatu yang ingin ditonjolkan dalam ayat. Penekanan dapat dilakukan dengan beberapa cara; pertama, mengubah kedudukan unsur tertentu dalam ayat seperti yang berlaku dalam proses penyongsongan ayat (predikat dikedepankan untuk menegaskan idea di bahagian itu). Misalnya, ayat yang berikut telah mengalami pendepanan predikat. Timbullah istilah ragam bahasa persuratan sebagai lawan ragam bahasa pasar, ragam bahasa rasmi lawan ragam bahasa tidak rasmi, dan ragam bahasa baku lawan dialek.

Keperluan menggunakan ayat berpola predikat-subjek itu disebabkan oleh pertaliannya dengan ayat sebelumnya atau lebih tepat dengan seluruh isi perenggan, iaitu: Dalam kaca mata linguistik murni, tidak ada istilah bahasa yang betul dan bahasa yang salah. Yang ada ialah pelbagai ragam bahasa yang digunakan menurut konteks tertentu dan oleh pengguna yang ditentukan pula oleh pengaruh seperti pendidikan, pekerjaan, kelas sosial, umur dan sebagainya. Timbullah istilah bahasa persuratan sebagai lawan ragam bahasa pasar, ragam bahasa rasmi sebagai lawan ragam bahasa tidak rasmi dan ragam bahasa baku lawan dialek.

Kedua (i) dengan perubahan struktur, penekanan dapat dilakukan juga dengan pengulangan unsur tertentu dalam ayat. Contohnya: Walaupun ketiga-tiganya dihasilkan dalam zaman dan oleh pengarang yang berlainan, namun bahasa ketiga-tiga buah karya itu sebenarnya diterbitkan dengan berasaskan sistem yang sama, yang dapat digambarkan dengan rumus-rumus tatabahasa.

(ii) Partikel penegas lah (dalam ayat penyata dan ayat perintah) dan kah serta tah (dalam ayat tanya) dapat juga menimbulkan penekanan. Contohnya: Perlulah diingat bahawa bahasa Melayu pada saat ini bukan semata-mata bahasa yang digunakan untuk perhubungan sehari-hari atau sekadar untuk berjual beli di pasar. Tetapi mungkinkah kita akan membaca judul berita seperti Mahathir go to London dalam akhbar berbahasa Inggeris.

A y a t , L o g i k a d a n W a c a n a | 56

(iii) Penjudulan frasa atau ayat. Perhatikan dengan teliti contoh-contoh berikut: a. Pengetahuan dan pengalaman penting bagi menghadapi dunia pekerjaan [penjudulan subjeksusunan biasa) / Bagi menghadapi dunia pekerjaan pengetahuan dan pengalaman penting [penjudulan frasa keterangan]. b. Kerajaan telah meluluskan rang undang-undang jenayah yang digubal pada bulan lalu (penjudulan subjek-ayat aktif] / Rang undang-undang jenayah yang digubal pada bulan lalu telah diluluskan oleh kerajaan [penjudulan subjek-ayat pasif]. c. Amat sedikit perhatian yang diberikan terhadap masalah petani [penjudulan predikatayat songsang]. d. Daripada catatan ini, jelas bahawa bahasa Melayu telah lama berkembang [penekanan terhadap frasa keterangan]. (iv). Pengulangan kata. Perhatikan dengan teliti contoh-contoh berikut: a. Pembangunan dapat dilihat sebagai proses yang rumit dan mempunyai dimensi yang banyak, tidak hanya berdimensi ekonomi tetapi juga dimensi politik, dimensi sosial dan dimensi budaya; malah kesemua dimensi itu bertitik tolak daripada dimensi pembangunan manusia itu sendiri [penekanan melalui pengulangan kata]. b. Menurut etimologinya, kata falsafah berasal daripada bahasa Yunani tetapi hal itu tidak bererti bahawa di Yunani purba sahajalah orang berfalsafah kerana orang sudahpun berfalsafah di Mesir kuno, India purba dan China purba dengan cara, corak dan keperibadian masing-masing [penekanan melalui pengulangan kata]. Kevariasian ayat Yang dimaksudkan dengan variasi ialah kepelbagaian ayat yang terpancar daripada struktur ayat yang digunakan dalam keseluruhan karangan. Selain itu, variasi bertujuan memberikan kelainan untuk menghilangkan kejemuan pembaca, namun tetap tidak mengubah maksudnya. Pada peringkat kata, sinonim dapat dimanfaatkan untuk maksud tersebut. Pada peringkat ayat pula, penggunaan berbagaibagai pola dan jenis ayat dapat menimbulkan variasi. Perhatikan contoh variasi ayat dalam perenggan yang berikut: Bagi setengah-setengah orang, berbicara tentang kesalahan bahasa dalam karya sastera adalah hal yang aneh dan tidak berkaitan. Menurut mereka, persoalan bahasa yang baik dan bahasa yang buruk tidak timbul dalam bidang sastera, kerana sasterawan memiliki poetic license. Dikatakan juga bahawa bahasa sastera tidak semestinya bahasa yang baik-baik sahaja. Bahasa yang buruk memang disengajakan oleh sesetengah-setengah pengarang untuk menimbulkan kesan tertentu atau untuk menimbulkan keindahan.

A y a t , L o g i k a d a n W a c a n a | 57

Dalam perenggan di atas, dimanfaatkan ayat gabungan, ayat berketerangan, ayat pasif, ayat nafi dan ayat majmuk bercampur. Selain itu, kemahiran mengungkapkan gagasan yang kompleks melalui ayat yang panjang, misalnya melalui ayat majmuk campuran merupakan satu lagi syarat yang mesti dimiliki oleh seseorang penulis. Oleh itu, adanya jalinan ayat yang panjang dan ayat yang pendek dalam karangan turut menentukan berhasilnya karangan yang baik dan berkesan. Kesejajaran Kesejajaran bererti kesamaan menggunakan kata atau frasa dalam binaan ayat. Kata atau frasa yang setaraf, yakni sama bentuknya atau sama golongan katanya diletakkan dalam susunan yang sejajar bagi menyatakan idea secara tepat dan berkesan. Perhatikan contoh yang berikut: a. Kreativiti ialah penghasilan idea-idea baharu manakala inovasi pula melibatkan penghasilan idea, penerimaaannya dan pelaksanaan idea tersebut. b. Antara ciri orang kreatif adalah menggemari simfoni, meminati lukisan, membaca buku serta novel dan hobi yang unik lagi istimewa. c. Sesuatu yang disentuh, dihidu dan dimakan oleh bayi boleh menimbulkan alahan pada kulitnya yang sensitif. Ayat dalam contoh tersebut dengan jelas memelihara dan mengekalkan kesejajaran bentuk kata atau frasa yang digunakan. Kesejajaran bentuk kata atau frasa dalam ayat dapat menghasilkan ayat yang lebih menarik dan lebih berkesan. Kehematan Kehematan dalam ayat bermaksud cermat dan tepat dalam penggunaan ayat, iaitu tidak menokok tambah kata atau frasa yang membazir, berlebih-lebihan dalam ungkapan atau menggunakan kata sifat yang tidak jelas maksudnya. Perhatikan contoh berikut: a. Mayat lelaki yang mati itu akan dimasukkan ke dalam keranda mayat sebelum dimakamkan di tanah perkuburan [ pengulangan maksud yang sudah jelas]. b. Mereka naik ke atas melalui tangga belakang [pertindihan makna yang sudah difahami] c. Laporan yang merujuk kepada masalah pembalakan haram sedang disiapkan [penggunaan frasa sendi yang tidak bermakna]. d. Projek itu menelan belanja yang besar [sifat besar perlu dinyatakan]. Sepatutnya ditulis Projek itu menelan belanja berjuta-juta ringgit. e. Perkara itu akan diberi pertimbangan berat [sifat berat kabur kerana tidak dinyatakan]. Sepatutnya ditulis - Perkara itu akan di bawa sebagai agenda mesyuarat.

A y a t , L o g i k a d a n W a c a n a | 58

Kemurnian Yang dimaksudkan kemurnian ayat ialah menjaga keaslian struktur ayat bahasa Melayu dan mengelakkan terserapnya pengaruh sintaksis bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa asing lain di dalamnya. Perhatikan contoh-contoh berikut: a. Aristotle adalah seorang ahli fikir [penggunaan kata pemeri yang tidak tepat dan penjodoh bilangan yang tidak diperlukan]. b. Langkah kedua ialah mendapatkan kaedah di mana kuantiti asas ini dapat diukur [penggunaan kata tanya di mana yang tidak diperlukan]. c. Apa yang diperlukan oleh mereka ialah bantuan kewangan [penggunaan kata apa tidak gramatis]. d. Terbunuhnya sel-sel darah merah yang mana ia adalah satu sifat serangan parasit, berlaku dengan cepatnya [frasa yang mana ia adalah tidak gramatis]. e. Kesemua cara-cara ini memberikan hasil yang sama [pelanggaran Hukum Jamak]. Contoh di atas jelas memperlihatkan struktur ayat yang kacau dan asing digunakan dalam bahasa Melayu. Keadaan ini jika tidak dihiraukan pasti menjejaskan kemurnian ayat bahasa Melayu. Dengan kata lain, ayat yang berkesan tidak harus menyerapkan struktur ayat bahasa lain secara literal tetapi perlu diberikan penyesuaian menurut nahu bahasa Melayu.

Pada pendapat anda, apakah maksud ayat yang berkesan. Berikan contoh yang sesuai. _________________________________________________________________________________ _________________________________________________________________________________ _________________________________________________________________________________ _________________________________________________________________________________ _________________________________________________________________________________ _________________________________________________________________________________ _________________________________________________________________________________ _________________________________________________________________________________ _________________________________________________________________________________ _________________________________________________________________________________ _________________________________________________________________________________ _________________________________________________________________________________ _________________________________________________________________________________

A y a t , L o g i k a d a n W a c a n a | 59

Penanda Wacana dalam Karangan Seperti yang telah dibincangkan, karangan yang baik ialah yang mempunyai isi yang tersusun, koheren serta bertepatan dengan tajuk. Walau bagaimanapun, sekiranya sesebuah karangan itu tidak menggunakan penanda wacana yang sesuai, maka sudah tentu karangan itu menjadi tidak sempurna disebabkan binaan ayatnya yang tidak gramatis. Penanda wacana merupakan perangkai ayat untuk menentukan kesinambungan antara satu idea dengan satu idea yang lain dalam ayat atau perenggan. Selain itu, penanda wacana bertujuan mempertautkan dari segi struktur dalam bentuk maklumat baharu atau maklumat lama dalam sesuatu wacana. Maklumat baharu merujuk kepada fakta-fakta yang belum dinyatakan dalam perenggan sebelumnya, manakala maklumat lama ialah fakta-fakta yang sudah diketahui pembaca ataupun sudah dinyatakan dalam perenggan terdahulu. Terdapat pelbagai penada wacana yang digunakan dalam penulusan untuk mewujudkan kesan pertautan. Antaranya seperti dalam jadual berikut.
Fungsi Penanda Wacana Hubungan yang menyatakan tambahan kepada sesuatu yang telah disebut sebelumnya. Hubungan yang menyatakan pertentangan dengan sesuatu yang telah disebut sebelumnya. Hubungan yang menyatakan perbandingan. Hubungan yang menyatakan akibat atau hasil. Hubungan yang menyatakan tujuan, maksud dan harapan. Hubungan yang menyatakan singkatan atau generalisasi. Hubungan yang menyatakan waktu. Hubungan yang menyatakan tempat. Hubungan yang menyatakan penekanan atau penegasan. Hubungan yang menyatakan perkaitan atau pertalian. Hubungan yang menyatakan percontohan. Hubungan yang menyatakan pendahuluan atau kesimpulan. Jenis-jenisnya Lebih-lebih lagi, tambahan pula, malah, selanjutnya, seterusnya, di samping itu, demikian juga, seperti halnya. Tetapi, namun begitu, bagaimanapun, walaupun demikian, akan tetapi, meskipun, sungguhpun begitu. Lain halnya, seperti, dalam hal yang sama, ataupun, dalam hal yang demikian, sebagai mana. Oleh sebab itu, kerana itu, jadi, maka akibatnya, lataran itu, justeru itu, oleh itu, dengan itu, demikian, hasilnya. Supaya, agar, untuk maksud itu, ini bermakna, ini membawa pengertian, moga-moga. Ringkasnya, pendeknya, pendek kata, secara singkat, pada umumnya, pada amnya, seperti sudah dikatakan. Kini, pada waktu ini, sementara itu, selepas itu, beberapa saat kemudian, pada waktu yang sama. Di sini, di sana, berdekatan, berdampingan dengan, di samping. Sesungguhnya, sebenarnya, sememangnya, tegasnya. Sehubungan dengan, berhubungan dengan itu, dalam hubungan, dari segi, seiring dengan, sejajar dengan, dengan perkataan lain, yakni, dalam erti kata lain. Misalnya, sebagai contoh, contohnya. Sebagai permulaan, pada mulanya, pertamanya, sebagai kesimpulan, pada akhirnya, akhir kata, sebagai akibatnya, dengan demikian, oleh itu.

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10

11 12

A y a t , L o g i k a d a n W a c a n a | 60

Sebagai tambahan, disenaraikan 30 lagi penanda wacana yang boleh menambah kosa kata anda. Dengan menguasai bilangan penanda wacana yang luas, peluang untuk anda menghasilkan karangan yang bermutu dan mantap dari segi olahannya akan lebih mudah.
Selain itu, Keadaan ini, Namun begitu, Akibatnya, Begitu juga, Sebaliknya, Walaupun, Kesimpulannya, Pada amnya, Pada keseluruhannya, Akhirnya, Seterusnya, Jadi, Sementara, Kalau demikian, Walau bagaimanapun, Sebelumnya, Kini, Khususnya, Ringkasnya, Pada umumnya, Keseluruhannya, Tegasnya, Dalam nada berbeza, Justeru, Sejajar dengan itu, Meskipun demikian, Oleh hal demikian, Dengan perkataan lain, Jelaslah,

Penanda wacana perlu diberikan perhatian dalam menulis karangan daripada bahagian pendahuluan, isi, huraian isi, contoh dalam huraian hinggalah bahagian penutup. Aspek penanda wacana akan mempengaruhi pengolahan, struktur ayat, pemerengganan, kosa kata, dan bahasa secara keseluruhannya yang sangat diperlukan dalam usaha menghasilkan sebuah karangan yang baik dan berkualiti.

KATA KUNCI
1. Kesatuan gagasan 2. Kepaduan 3. Penalaran 4. Penekanan 5. Kepelbagaian 6. Kesejajaran

PENILAIAN KENDIRI
1. 2. 3. 4. Apakah perbezaan antara ayat yang berkesan dengan ayat yang padu? Huraikan berserta contoh maksud logika dalam penulisan karangan? Jelaskan ciri-ciri utama dalam menerbitkan ayat yang berkesan. Analisis sebuah karangan dengan memberi perhatian terhadap penanda wacana.

A y a t , L o g i k a d a n W a c a n a | 61

RUJUKAN
Awang Sariyan (2007). Tertib mengarang: Asas retorik untuk pelajar dan pendidik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Henry Guntur Tarigan (1986) Menulis sebagai Satu Ketrampilan Berbahasa. Bandung: Pustaka Angka. Ismail Ahmad (1996) Penulisan Saintifik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Nik Safiah Karim et al. (2007). Tatabahasa Dewan. Edisi keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Sulaiman Masri et al. (2007) Bahasa Melayu; Rujukan Menengah. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai