Anda di halaman 1dari 3

Nafas baru fesyen batik

OLEH RABIATUL ADAWIYAH


KOH ABDULLAH
adawiyah@utusan.com.my

KEHADIRAN pelbagai fabrik tempatan dan luar negara antara tarikan tatkala memilih busana
yang bersesuaian. Apa kata kali ini, penggemar fesyen memberi kelainan dalam berfesyen
dengan menggayakan fabrik batik serta tenun yang diberi nafas baru. Gaya elegan dan
kontemporari yang diterjemahkan setiap pereka batik tidak kurang hebatnya seiring dengan
kerancakan fesyen global.
Tidak kira umur ataupun bangsa, fesyen batik mungkin menjadi trend yang diminati bukan
sahaja menjelang musim perayaan malahan menjadi pakaian harian untuk ke pejabat atau
menghadiri majlis formal.
Usaha memartabatkan fesyen batik banyak dilakukan bagi memastikan warisan tempatan ini
terus kekal dan diminati ramai.
Baru-baru ini, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia dan
Kraftangan Malaysia mengadakan Malam Gala Batik dan Tenun Malaysia.
Penganjuran majlis ini merupakan usaha mengetengahkan kecantikan dan keunikan kraf tekstil
tempatan sebagai fesyen pakaian kontemporari dan eksklusif. Di samping itu, penggunaan kraf
tekstil tempatan sebagai medium utama dalam industri fesyen turut digerakkan. Dengan ini, ia
dapat meningkatkan minat penggunaan kraf tekstil dalam gaya hidup masa kini serta
membudayakan masyarakat Malaysia menggunakan kraf tekstil tempatan. Peragaan yang
diadakan ini juga seiring dengan aspirasi kementerian untuk memperkenalkan koleksi tekstil kraf
negara ke persada dunia.
Lebih 100 koleksi pakaian kontemporari dengan pelbagai tema dan konsep rekaan menggunakan
tekstil batik dan tenun Malaysia dipersembahkan oleh sembilan pereka pada malam tersebut.
Masing-masing menghasilkan rekaan yang menggunakan elemen moden dan tradisional. Tidak
ketinggalan, motif serta warna yang digunakan kelihatan eksklusif, mewah dan menarik.
Misalnya, Datin Sharifah Kirana menggunakan satin sifon serta menggunakan alam semula jadi
seperti rama-rama sebagai motif utama.
Sharifah Kirana mengetengahkan keindahan serta keunikan menjadi seorang wanita melalui
kecantikan yang terserlah dengan penggunaan warna corak rekaannya.
Rata-rata rekaan Sharifah Kirana menonjolkan corak flora dan fauna di Malaysia yang amat
indah.
Sementara itu, Calvin Thoo menterjemahkan rekaannya melalui penggunaan bayang- bayang
serta bentuk abstrak.
Setiap sentuhan Calvin nampak ringkas sesuai digayakan untuk majlis siang dan malam.
Kontemporari
Koleksi rekaan Micheal Shu turut menggunakan batik yang mengetengahkan keindahan baju
kurung pada Hari Raya Aidilfitri yang diberi nafas baru dengan gaya kontemporari. Micheal
menggunakan gabungan batik, fabrik net dan songket yang mengangkat nilai fesyen tersebut
setaraf dengan jenama mewah.
Penggemar rekaan Kartini Ilias turut berpeluang melihat hasil kerjanya yang mendapat inspirasi
melalui keindahan sebuah lukisan yang diminatinya. Kartini menyediakan koleksi pakaian
wanita dan lelaki yang sesuai digayakan pada hari siang dan malam.
Bagi mereka yang ingin kelihatan kasual serta elegan, koleksi Kartini antara pilihan yang sesuai.
Selain itu, peminat fesyen turut terpesona dengan rekaan Datuk Tom Abang Saufi yang
menghasilkan rekaan bertemakan Lux Resort Wear’ iaitu konsep kaftan serta sifon yang
menggunakan motif hasil karya lukisannya sendiri. Di samping itu, pereka Kraftangan Malaysia
tidak ketinggalan menterjemahkan hasil rekaan mereka dengan menggunakan batik.
Nazari Maarus antara yang mempamerkan koleksi pakaian malam dan petang menggunakan
batik lukis di atas bahan sutera dan sifon. Dia menggunakan motif gandingan retro era 70an dan
geomatrik. Selain itu, Nazari menggunakan warna pastel sebagai pilihan.
Bagi yang meminati gaya muslimah, Rodziah Md. Yusoff menghasilkan gaya muslimah
kontemporari yang dijadikan pakaian malam menggunakan tekstil batik, tenun dan songket.
Sasaran kumpulannya tertumpu kepada golongan remaja yang menanti pembaharuan fesyen
untuk ke majlis formal dan makan malam. Menariknya, setiap rekaan diperincikan dengan hiasan
labuci dan manik. Koleksi ini merupakan alternatif bagi wanita bertudung yang inginkan gaya
kontemporari. Malah, busana muslimah ini sesuai digayakan ketika menghadiri jemputan rumah
terbuka Aidilfitri nanti.
Kemuncak fesyen batik pada malam tersebut ialah peragaan fesyen hasil kerja pereka jemputan
luar negara, Ng Swee Kuang. Pereka dari Butik Ornel’ Soie, Paris, Perancis ini menampilkan
rangkaian koleksi santai hinggalah kepada pakaian malam dan perkahwinan menggunakan batik
eksklusif daripada kain sutera satin, opal dan jacquard yang dihasilkan 15 usahawan tempatan
termasuk anak syarikat Kraftangan Malaysia.
Melihat hasil sentuhan Swee Kuang, kita dapat menyaksikan fabrik tempatan diberi kelainan
kerana setiap rekaan Swee Kuang menghasilkan koleksi moden dan diminati di Paris. Dengan
sentuhan Paris, batik juga mampu mencetuskan gaya fesyen glamor dan moden.

Anda mungkin juga menyukai