Anda di halaman 1dari 12

ISI KANDUNGAN

Bil. Kandungan Halaman

1.0 Konsep dan Prinsip Kraf Tradisional dan Dimensi Baharu 1

2.0 Sejarah Kraf Tradisional 1-2

3.0 Prinsip Kraf Tradisional 2-3

4.0 Fungsi Kraf Tradisional 3

5.0 Contoh Kraf Tradisional


5.1 Batik 3-5
5.2 Ukiran 5-7
5.3 Anyaman 8-10

6.0 Penutup 10
1.0 KONSEP DAN PRINSIP KRAF TRADISIONAL DAN DIMENSI BAHARU

Kesenian telah menjadi asas kebudayaan masyarakat Melayu sejak dahulu lagi dan
menyebabkan identiti masyarakat Melayu terlihat lebih jelas dan dikenali ramai. Sebagai
contoh, seni kraf tradisional merupakan hasil seni masyarakat Melayu yang boleh digunakan
seperti tembikar, batik, ukiran, tenunan dan sebagainya. Ia merupakan suatu unsur seni
yang unik kerana penghasilan produknya yang kreatif dan mempunyai unsur estetika.
Dalam hal ini, proses penghasilannya memerlukan kemahiran menggunakan tangan di
mana ilmu ini diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain. Maka, pembuatan kraf
tradisional ini memerlukan keupayaan dan kecekapan dalam penggunaan bahan-bahan
asas dari peringkat awal pembuatan sehingga penghasilan karya akhir kraf tangan itu.
Disebabkan kraf tradisional ini merupakan seni warisan bangsa serta peninggalan nenek
moyang pada ketika dahulu, maka penciptaannya memerlukan kepakaran agar nilai estetika
dan reka bentuknya dari segi gaya, warna dan sifatnya tidak berubah.

Pada era kini, kraf tradisional telah diperbaharui dari segi bentuk, bahan, teknik, fungsi
dan nilai kraf itu sendiri. Hal ini demikian kerana masyarakat ingin memenuhi kehendak
semasa. Oleh hal yang demikian, kraf ini dikenali sebagai kraf dimensi baharu. Sebagai
contoh, seni kraf batik, tembikar, anyaman dan ukiran telah diubah menjadi seni kraf
dimensi baharu. Buktinya, seni kraf dimensi baharu ini lebih digunakan sebagai
cenderamata dan perhiasan, berbeza dengan kraf tradisional yang menjurus kepada
kegunaan harian.

2.0 SEJARAH KRAF TRADISIONAL

Seni kraf tradisional ini mewakili hubungan yang erat antara orang Melayu dan agama
Islam. Hal ini demikian kerana kepercayaan lama orang Melayu telah berubah apabila
agama Islam muncul. Mereka telah menyedari kewujudan Tuhan yang Maha Esa. Oleh itu,
mereka beranggapan bahawa alam ini cuma tempat sementara yang perlu dihias untuk
menyerikan kehidupan sementara, manakala mereka percaya bahawa kehidupan yang
kekal adalah di akhirat kelak. Dalam hal ini, Islam membenarkan pengikutnya menikmati
keindahan kerana ia membawa kepada ketenangan hati dan perasaan (Quraisy, 1995).
Oleh hal yang demikian, kesedaran masyarakat lalu telah mewujudkan hasil karya yang

1
mampu untuk berfungsi dalam kehidupan dan memenuhi segala keperluan di dunia dan
sebagai bekalan ke akhirat.

Terdapat pengaruh Islam dalam hasil seni kraf tradisional yang dibuat oleh orang
Melayu ini. Hal ini dapat dilihat dalam ragam hias atau motif yang digunakan pada kraf
tradisional tersebut, ia menunjukkan aspek kehidupan seharian masyarakatnya yang
mempunyai ciri Islam. Buktinya, figura manusia atau binatang tidak digunakan di dalam hasil
kraf tradisional. Hal ini demikian kerana Islam mengharamkan penggunaan elemen manusia
atau binatang dalam sesuatu karya. Oleh itu, penggunaan motif flora kerap digunakan pada
hasil seni kraf tradisional seperti daun, bunga dan sebagainya. Hal ini membuktikan bahawa
nenek moyang kita pada ketika dahulu amat menghayati dan memahami seni yang mereka
hasilkan.

3.0 PRINSIP KRAF TRADISIONAL

Penghasilan karya seni kraf tradisional yang mengikut landasan yang betul perlulah
merujuk kepada prinsip-prinsip iaitu panduan yang ditetapkan. Terdapat beberapa prinsip
dalam penghasilan motif kraf tradisional. Pertama sekali, karya yang dihasilkan mestilah
seni halus. Dalam hal ini, penghasilan kraf tradisional hendaklah mengutamakan ekspresif,
estetik atau konseptual. Hal ini penting untuk memastikan keindahan dan kreativiti hasil kraf
tradisional itu. Selain itu, penghasilan kraf tradisional juga hendaklah menepati prinsip
kedua iaitu berguna untuk tujuan lain. Hal ini bermaksud kraf tradisional yang dihasilkan
tidak hanya sekadar indah untuk dipandang, tetapi juga dapat memberikan kegunaan dalam
kehidupan seharian.

Seterusnya, hasil seni kraf tradisional juga perlulah bersatu. Istilah bersatu ini
bermaksud ia boleh digunakan untuk karya seni yang melibatkan kerjasama antara pelbagai
seniman. Hal ini bermaksud berbagai elemen seni harus diintegrasikan dan digabungkan
untuk menghasilkan kraf tradisional yang holistik dan serba boleh. Prinsip keempat pula
adalah penghasilan kraf tradisional hendaklah memberi makna kepada pengguna. Hal ini
demikian kerana hasil kraf yang memberikan kesan mendalam amat penting untuk
mengawal emosi penonton serta dapat menyampaikan sesuatu mesej daripada karya
tersebut. Tambahan lagi, kraf tradisional yang dihasilkan juga hendaklah mempunyai
lambang tersendiri. Contohnya, motif hiasan tertentu yang digunakan pada kraf tradisional

2
seperti warna, simbol, geometri dan sebagainya telah menjadi lambang yang menunjukkan
nilai kehidupan serta kesejahteraan.

4.0 FUNGSI KRAF TRADISIONAL

Kraf tradisional amat penting untuk masyarakat dan budaya kerana ia mempunyai
beberapa fungsi utama. Antaranya ialah kraf tradisional mampu memelihara warisan
budaya. Dalam hal ini, kraf tradisional layak digelar warisan budaya komuniti atau bangsa
kerana kraf ini masih mengekalkan nilai-nilai, adat resam dan teknik yang diwariskan oleh
generasi sebelum ini ke generasi kini. Seterusnya, kraf tradisional ini juga berfungsi sebagai
pendukung identiti kebudayaan. Buktinya, motif, corak dan teknik sering kali dilihat pada kraf
tradisional. Oleh itu, identiti dan budaya setiap masyarakat dapat dibezakan.

Selain itu, seni kraf tradisional juga mampu meningkatkan pendapatan dalam kalangan
komuniti tempatan kerana kehidupan ekonomi masyarakat tempatan boleh dipertingkatkan
melalui jualan barangan buatan tangan seperti kraf tradisional ini sehingga ke peringkat
antarabangsa. Tambahan lagi, penghasilan kraf tradisional ini juga mampu untuk
meningkatkan kemahiran dan kreativiti masyarakat di negara kita. Maka, negara kita dapat
mewujudkan masyarakat yang mahir dalam pelbagai bidang. Hal ini penting kerana menurut
Razak (2010), hanya 23% pekerja Malaysia adalah tenaga kerja yang sangat mahir, di
mana peratusan ini adalah jauh lebih rendah daripada negara maju lain.

5.0 CONTOH KRAF TRADISIONAL

5.1 BATIK

Batik adalah kraf tradisional yang terkenal dan merupakan salah satu warisan
budaya yang penting terutamanya di Asia Tenggara seperti Indonesia, Malaysia,
Thailand, dan Brunei. Batik merupakan permukaan kain yang terdapat motif flora atau
fauna yang diatasnya.

5.1.1 Persiapan Bahan Menghasilkan Batik


Bahan penting untuk membuat batik adalah kain. Kain batik boleh dibuat
daripada kapas atau bahan yang menyerap warna dengan baik. Selain itu,

3
pewarna juga diperlukan dan biasanya dihasilkan daripada tumbuhan atau bahan
organik. Seterusnya malam lilin iaitu bahan campuran lilin dan parafin di mana ia
berfungsi untuk mencegah penyebaran warna pada kain batik. Alat canting juga
diperlukan untuk meletakkan malam lilin di permukaan kain. Akhir sekali, pencuci
malam diperlukan untuk menghilangkan malam lilin setelah proses pewarnaan
selesai.

5.1.2 Teknik Menghasilkan Batik


Terdapat beberapa teknik khusus dalam penghasilan batik seperti Teknik
Batik Tulis iaitu pembuatan motif menggunakan alat canting. Selain itu, Teknik Cap
di mana motif dicap pada kain menggunakan blok khas yang mempunyai corak
padanya.

Rajah 1 menunjukkan Teknik Canting Batik

Rajah 2 menunjukkan Teknik Cap Batik

5.1.3 Proses Mencanting Batik


Proses mencanting batik harus dimulakan dengan penggambaran corak.
Corak dilukis menggunakan pensil di atas permukaan kain. Setelah itu, lilin malam

4
diletakkan pada garisan lukisan corak yang telah dihasilkan sebentar tadi. Proses
menggunakan lilin malam ini dinamakan mencanting. Setelah selesai mencanting,
corak akan diwarnai dan setelah selesai, kain batik akan dicuci atau dibersihkan
untuk membuang malam lilin. Akhir sekali adalah proses pengeringan di mana kain
batik akan dijemur.

5.1.4 Kraf Batik Dimensi Baharu


Batik digunakan dalam dimensi baharu dan digunakan sebagai kelengkapan
rumah seperti langsir, kusyen dan hiasan dinding. Masyarakat kontemporari juga
menggunakan batik sebagai aksesori dan perhiasan diri. Zaman dimensi baharu
ini, batik dibuat dengan mudah dan cepat. Ini disebabkan oleh fakta bahawa
kebanyakan tukang batik dikehendaki menyesuaikan hasil produk dengan
keperluan pasaran moden, di mana ia memerlukan mereka menghasilkan
sejumlah besar batik untuk syarikat domestik dan asing. Pada masa ini, proses
hanya menggunakan mesin iaitu corak dibuat secara digital dan skrin digunakan
untuk batik skrin.

Rajah 3 menunjukkan seluar batik

5.2 UKIRAN

Seni ukiran ialah produk seni yang dihasilkan melalui proses mengukir untuk
membuat relief atau karya tiga dimensi dengan menggunakan alat pemahat seperti
pahat, pisau ukir atau perkakas lain. Ukiran boleh dibuat daripada pelbagai bahan,
seperti gading, logam, kayu, batu, atau bahan sintetis.

5
5.2.1 Persiapan Bahan Ukiran
Terdapat pelbagai jenis bahan yang digunakan untuk menghasilkan seni
ukiran dan pemilihan bahan ini adalah bergantung kepada jenis ukiran yang ingin
dihasilkan. Antara bahan yang boleh digunakan adalah kayu. Kayu merupakan
bahan terkenal untuk membuat ukiran dan terdapat banyak jenis kayu iaitu kayu
lunak atau kayu keras untuk ukiran yang lebih sukar. Selain itu, batu juga boleh
digunakan untuk membuat ukiran seperti batu marmet, granit, batu kapur dan
sebagainya. Seterusnya, bahan yang boleh digunakan juga adalah gading, logam
dan linoleum.

5.2.2 Teknik Ukiran Kayu


Ukiran kayu mempunyai tekniknya yang tersendiri untuk mendapatkan hasil
yang baik. Teknik yang boleh digunakan adalah Relief Carving iaitu mengukir pola
atau gambar dengan membuang bahagian kayu yang berdekatan untuk
meninggalkan gambar dalam relief seperti rajah di bawah.

Rajah 4 menunjukkan Teknik Relief Carving

Teknik kedua yang boleh digunakan adalah Intaglio Carving iaitu mengukir
imej atau motif pada kayu. Ini menyebabkan cetakan atau pola cembung di dalam
kayu.

6
Rajah 5 menunjukkan Teknik Intaglio Carving

5.2.3 Proses Ukiran Kayu


Proses yang utama untuk mengukir kayu adalah dengan memilih jenis kayu
yang betul. Untuk ukiran yang lebih terperinci, kayu keras biasanya lebih baik.
Seterusnya, pemilihan alat seperi pahat, pisau ukir, gergaji atau lain-lain perkakas
ukir yang sesuai. Akhir sekali, menggunakan bahan-bahan tadi untuk
menghaluskan dan meratakan permukaan kayu sehingga terhasilnya sebuah
ukiran yang menarik.

5.2.4 Kraf Ukiran Dimensi Baharu


Ukiran pada dimensi baharu digunakan sebagai hiasan dalaman, seperti rak,
dinding, perabot, bingkai gambar dan sebagainya. Selain itu, ukiran juga
digunakan sebagai kelengkapan rumah, seperti pengadang ruang yang besar atau
untuk membahagikan lelaki dan perempuan. Ia juga boleh didapati pada tongkat
dan perhiasan diri seperti gelang, manik, loket, tali pinggang, terompah atau kasut.
Hal yang membezakan ukiran lama dengan ukiran sekarang adalah penyediaan
alat dan kos yang diperlukan untuk menghasilkan ukiran tersebut.

Rajah 6 menunjukkan ukiran pada perabot

7
5.3 ANYAMAN

Anyaman adalah sejenis seni kraf tangan yang menggunakan bahan semula jadi
dan kearifan ciptaan manusia untuk membuat bahan utiliti. Proses anyaman
memerlukan penyusunan bahan yang digunakan secara bersilang. Teknik anyaman
berbeza-beza mengikut bahan yang digunakan dan corak yang diingini. Walau
bagaimanapun, terdapat beberapa langkah dan teknik asas yang digunakan dalam
proses anyaman iaitu persiapan bahan, teknik anyaman dan proses anyaman.

5.3.1 Persiapan Bahan Anyaman


Untuk menghasilkan anyaman yang diinginkan, bahan seperti rotan, buluh,
daun, serat, kulit, tali, atau kawat perlu dipilih terlebih dahulu berdasarkan ciri-ciri
yang diinginkan. Setelah lengkap bahan yang diperlukan, ia perlu dipotong,
direndam serta diratakan sebelum memulakan proses anyaman.

5.3.2 Teknik Anyaman


Terdapat banyak teknik yang boleh digunakan untuk membuat anyaman.
Antaranya ialah Teknik Tenun Lurus seperti pada Rajah 7. Ia juga dikenali sebagai
teknik anyaman teras yang merupakan proses sederhana di mana benang (lidi,
tali, atau serat) disusun secara bergantian di atas dan di bawah benang sejajar.
Teknik ini merupakan teknik yang terkenal kerana banyak jenis anyaman yang
menggunakannya.

Rajah 7 adalah contoh Teknik Tenun Lurus

8
Selain itu, terdapat juga Teknik Tenun Silang yang juga dikenali sebagai
Twining, di mana dua set benang atau lebih diletakkan bersama-sama untuk
membentuk corak tertentu. Ia biasanya digunakan untuk membuat tikar dinding
dan hiasan. Seterusnya, Teknik tenunan Silang atau Coiling menggunakan
rangkaian bahan di pusat kerja dan membiarkan ia mengembang untuk
membentuk corak melingkar atau spiral. Selebihnya adalah menggunakan Teknik
Anyaman Khusus kerana terdapat bahan tertentu seperti rotan, daun dan serat
memerlukan teknik khas untuk menghasilkan produk yang unik.

Rajah 8 menunjukkan Teknik Tenun Silang

Rajah 9 menunjukkan Teknik Tenun ‘Spiral’

5.3.3 Proses Anyaman


Proses anyaman perlu dimulakan dengan membina rangka atau struktur
sebelum bahan anyaman dimasukkan. Setelah itu, bahan atau benang perlu
disusun dengan teliti untuk mendapatkan corak yang diinginkan. Seterusnya,

9
benang-benang atau bahan anyaman perlu diikat atau disambung untuk
mengekalkan bentuk karya.

5.3.4 Kraf Anyaman Dimensi Baharu


Peranan dan fungsi anyaman telah banyak berubah. Pada masa lalu, ia
digunakan sebagai alat seperti kipas, penapis, nyiru dan sebagainya, tetapi kini ia
lebih digunakan untuk menghias dinding dan digunakan sebagai beg duit, bekas
tisu, bekas surat dan sebagainya. Selain itu, proses pembuatannya tidak sesukar
yang dilihat pada awalnya. Alat untuk menganyam kini lebih pelbagai. Anda boleh
menggunakan riben, kertas, dan bahan lain yang mudah didapati dan boleh
digunakan untuk menganyam.

Rajah 4 menunjukkan anyaman dimensi baharu

6.0 PENUTUP

Kesimpulannya, kraf tradisional ini amat penting kerana ia merupakan lambang jati diri
rakyat Malaysia. Hal ini demikian kerana sumber bahan untuk menghasilkannya adalah
mudah didapati di persekitaran rakyat Malaysia. Tambahan lagi, keunikan kraf tradisional ini
adalah disebabkan oleh idea dan kreativiti individu untuk menghasilkan sesuatu yang
mampu memperlihatkan elemen budaya dan fungsi kraf tradisional Melayu yang mempunyai
nilai estetika yang tinggi. Justeru itu, kesenian ini hendaklah dikekalkan walaupun terdapat
pelbagai cabaran pada era globalisasi ini. Maka, pihak sekolah memainkan peranan penting
untuk memastikan Pendidikan Seni di sekolah dapat mengekalkan identiti kraf tradisional ini
untuk diperkenalkan kepada generasi baharu.

10
RUJUKAN

Azizan, A. T., & Sahib, Z. (2009). Komputer dan seni di era globalisasi: peranan dan cabaran.

HUM, I. M. I. M., & RAHMAN, M. B. A. (2022). PENDIDIKAN SERTA KEMAHIRAN UKIRAN


KAYU TRADISIONAL MELAYU: NILAI EKSPRESI DAN MAKNA. International Journal of
Creative Future and Heritage (TENIAT), 10(1).

Il, I. M. (2013). Ekspresi Keperibadian Melayu di Sebalik Ukiran Kayu Tradisional: The
Expression of Malay Identity in Traditional Wood Carvings. KUPAS SENI, 1.

Razak, M. N. A. (2010). Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10. Rmk-10. Dicapai pada


Oktober 28, 2023, dari:
http://www.pmo.gov.my/?menu=speech&page=1676&news_id=295&speech_ca t=2

Suhaimi, S. M. S. S. M., Ariffin, W. N. J. W., Ahmad, M. F., Ibrahim, M. A., & Ghazalli, F. S. M.
(2023). Langkah Pengkomersialan Kraf Tangan Tradisional (Tekstil dan Seramik) Melalui
Inovasi Produk di Malaysia: Suatu Kepentingan [Commercialising Traditional Crafts
(Textiles and Ceramics) Through Product Innovation in Malaysia: An Imperative].
BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences (e-ISSN:
2600-9080), 6(3), 71-83.

Quraisy, M., & Shihab, D. (1995). Islam dan kesenian. Majelis Kebudayaan Muhammadiyah
Universitas Ahmad Dahlan Lembaga Litbang PP Muhammadiyah.

Yusoff, Z., & Ahmad Zamri, A. F. (2021). Aplikasi teknik pemotongan laser dalam rekabentuk
produk Batik Merbok/Normaziana Hassan...[et al.]. Voice of Academia (VOA), 17(1),
204-218.

11

Anda mungkin juga menyukai