Anda di halaman 1dari 13

LAPORAN : WAWASAN PENDIDIKAN BBD 30102 PENGURUSAN PENDIDIKAN

1

1. PENDAHULUAN
Wawasan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ialah bayangan, pengelihatan,
dan gambaran. Di dalam konteks yang lebih luas lagi, wawasan boleh dinyatakan sebagai
anggapan, fahaman atau tanggapan fikiran. Wawasan juga merupakan pandangan,
pendapat, pengertian dan konsepsi sesuatu perkara. Wawasan kini dikaitkan dengan
pandangan jauh manusia. Ia merupakan imaginasi intelektual dan moral tentang
pembangunan merupakan satu himpunan idea yang membentuk tujuan atau objektif bagi
individu dan kumpulan bertindak, yang bukan menggariskan keadaan dan iklim semasa,
tetapi menggariskan aspek-aspek pembangunan masa depan di dalam semua bidang
penghidupan. Ia merangkumi kerohanian, kebudayaan, kekeluargaan, psikologi, akhlak,
ekonomi, pendidikan, politik dan sosial yang bersesuaian dengan keperluan sesuatu
zaman.
Wawasan merupakan suatu cetusan fikiran dan bukannya satu dasar khas. Namun
begitu wawasan mungkin satu mukadimah atau pengenalan kepada pembentukan
beberapa dasar baru. Contohnya Dasar Pembangunan Kebangsaan menggantikan Dasar
Ekonomi Baru.
Setiap perubahan perlu dirancang dengan teliti supaya rakyat dapat menjadi
pendokong utama dalam setiap aspek pembangunan: berperanan sebagai khalifah Allah
di bumi: memastikan alam sekitar tidak dimusnahkan oleh pelbagai pencemaran; dan
memastikan pembangunan yang berkualiti dan menyeluruh dapat dicapai dalam satu
jangka masa yang ditetapkan. Rakyat tidak boleh membiarkan nilai-nilai asing menyusup
masuk ke dalam budaya hidup mereka sehingga budaya itu terbentuk semula mengikut
imej luaran. Rakyat tidak boleh mengambil jalan mudah dengan menerima dan
mengamalkan ideologi dan cara hidup Barat atau Timur secara total di dalam semua
aspek penghidupan. Modenisasi yang dibawa dari luaran mestilah diadun dengan unsur
nasionalisme. Untuk mencapai matlamat-matlamat ini, rakyat perlu berinteraksi dengan
persoalan dan permasalahan semasa secara konstruktif. Mereka tidak boleh melarikan
diri atau hanyut dalam alam fantasi yang tidak berkesudahan.

LAPORAN : WAWASAN PENDIDIKAN BBD 30102 PENGURUSAN PENDIDIKAN

2

Daripada aspek teori, wawasan mempunyai matlamat yang jelas. Namun begitu dari
aspek tindakan dan operasi, wawasan tersebut masih pada peringkat awal untuk
mengenal pasti pendekatan, strategi, teknik, mekanisme, dan pelan tindakan menyeluruh
yang tebaik bagi mencapai matlamat yang terkandung dalam wawasan tersebut.
(Saifuddin, A. 1991 dalam Kepimpinan Belia Dalam Mengisi Wawasan)
Dalam arena tempatan, Wawasan 2020 muncul dalam majlis yang dihadiri oleh
ahli perniagaan, usahawan, dan birokrat negara, manakala dalam arena antarabangsa,
Wawasan 2020 mucul di tengah-tengah era pembentukan semula orientasi hidup manusia
di seluruh dunia dengan berlakunya dua bentuk transformasi besar dalam bidang
pembangunan sosial, ekonomi, dan politik antarabangsa, iaitu transformasi dari era
industri kepada era maklumat dan transformasi dari Zaman Odre Lama Dunia kepada
Zaman Orde Baru Dunia.
Merujuk kepada konsep negara Malaysia yang bersatu padu, keseragaman identiti
yang mutlak hanya dapat diwujudkan atas landasan kesepakatan akidah. Namun begitu,
keseragaman dan kesatuan identiti dalam pengertian yang longgar boleh dibentuk
berasaskan landasan kesepakatan di luar akidah seperti nilai-nilai kemanusiaan sejagat,
rukunegara, bahasa kebangsaan, kebudayaan kebangsaan, falasafah pendidikan negara,
dan dasar pendidikan negara Dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang
bangsa, kedewasaan dalam hidup beragama dan berbudaya serta semangat toleransi
antara agama dan budaya merupakan asas penting dalam pembentukan negara yang
bersatu.
1.1 Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi JERIS
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi
melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran masyarakat dan negara.


LAPORAN : WAWASAN PENDIDIKAN BBD 30102 PENGURUSAN PENDIDIKAN

3

1.2 Falsafah Pendidikan Guru
Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia
menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara,
menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang
bersatu padu, demokrasi, progresif dan berdisiplin

2. ISI UTAMA LAPORAN (WAWASAN PENDIDIKAN)
Datuk Dr Wan Mohd Zahid bin Noordin selaku Ketua Pengarah Pendidikan
Malaysia telah mengadakan Persidangan Nasional di Institut Aminuddin Baki pada 8
hingga 11 April 1993 untuk membentangkan kertas kerja bertajuk "Pengisian Wawasan
Pendidikan".
Wawasan Pendidikan adalah wahana Wawasan 2020 iaitu suatu gerakan dan
pemaufakatan raksasa demi membina bangsa Melayu baru yang serba cemerlang
sebagaimana yang diungkapkan oleh Falasafah Pendidikan Negara. Justeru itu wawasan
dan misi sistem pendidikan di Malaysia, wawasan dan misi angkatan pendidikan dan
pelajar ialah ke arah menjadikan institusi dan gerak kerja pendidikan sebagai pusat
pembangunan manusia cemerlang, sebagai pemantapan nilai-nilai murni bangsa, sebagai
arena penyuburan watak masyarakat penyayang dan sebagai kerangka penghayatan
semangat cintakan negara.

2.1 Perpaduan
Perpaduan adalah pra syarat bagi sesebuah organisasi atau masyarakat untuk
memaksimumkan tenaga, usaha, fikiran dan pengeluaran. Kementerian Pendidikan
merupakan organisasi yang mempunyai kakitangan antara yang teramai di negara ini.
Jumlah kaitangan yang besar boleh menimbulkan masalah "bigness", perbezaan
pendapat, kurang perhatian, pengelompokan dan lain-lain lagi. Pengelompokan dan
pengasingan pula mencetuskan fahaman "separatism" dan perlumbaan kerana
masing-masing ingin menjadi lebih istimewa dan juara.
Situasi di atas boleh membawa kepada perpecahan, pembaziran dan
ketidakcekapan pengurusan. Perbezaan-perbezaan ini harus dilihat sebagai
keragaman yang memperkayakan keadaan bukannya sebagai kekangan ke arah
perpaduan. Walaupun seseorang individu itu berada di kedudukan yang berbeza,
namun matlamatnya harus sama. Justeru itu perlu wujud kesatuan dan perkongsian
LAPORAN : WAWASAN PENDIDIKAN BBD 30102 PENGURUSAN PENDIDIKAN

4

dalam visi dan misi pendidikan dikalangan wargapendidikan. Perpaduan harus
dijelmakan dalam semangat berpasukan yang merentasi segala perbezaan.
Pengurusan dan proses membuat keputusan harulah dilakukan secara
maufakat.
Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana maufakat
Para pemimpin pendidikan mesti mengamalkan keterbukaan kerana tugas
dibidang pendidikan itu sendiri adalah perkhidmatan untuk orang ramai. Segala
sempadan-sempadan yang boleh menghalang proses perpaduan sama ada nyata atau
tidak harus dimansuhkan disemua peringkat pendidikan.
Disamping menekankan soal perpaduan dalaman, sama ada di peringkat
organisasi masing-masing seperti sekolah dan jabatan ataupum di peringkat
Kementerian Pendidikan, tumpuan yang sama harus diberikan kepada perpaduan di
luar organisasi. Misalnya kita perlu mewujudkan pakatan yang sihat dengan PIBG,
masyarakat, agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

2.2 Perkhidmatan Penyayang
Bilangan pendidik adalah besar dan bertaburan di seluruh negara. Lantaran itu
ada dikalangan keluarga pendidik terasa tersisih dan tidak dipedulikan. Pihak
pentadbiran mesti berusaha menjalinkan hubungan terus dengan mereka agar mereka
tidak terasa tersisih. Organisasi yang besar sudah tentu merenggangkan perhubungan
walaupun mereka sebumbung. Keadaan ini membawa kecenderungan untuk guru-
guru di sekolah terabai dan terasing. Jika ini dibiarkan maka proses pendidikan akan
menjadi tercemar dan ia akan meracuni sahsiah anak didik.
Guru-guru adalah tunggak utama di dalam pembelajaran. Sistem pendidikan
akan menjadi runtuh sekiranya mereka lemah. Kementerian Pendidikan perlu
berusaha untuk memantapkan kedudukan guru-guru. Guru-guru patut diberikan
pengiktirafan, layanan perkhidmatan serta layanan kemanusiaan yang baik.
Perkhidmatan penyayang mengutamakan nilai-nilai kemanusiaan,
menghormati dan menghargai manusia. Satu kajian pernah dibuat di Kedah di mana
perkara-perkara yang dapat memotivasikan guru-guru ialah layanan dan gaya
kepimpinan yang ditunjukkan oleh guru besar atau pengetua sesebuah sekolah. Guru-
guru tidak meletakkan pangkat atau gaji sebagai fokus utama mereka bekerja.
LAPORAN : WAWASAN PENDIDIKAN BBD 30102 PENGURUSAN PENDIDIKAN

5

Penghormatan dan pengiktirafan yang diberi kepada guru-guru akan dibalas dengan
usaha yang lebih gigih. Tugas dan tanggung jawab menjaga kepentingan orang lain
merupakan satu amanah dan ia perlu dilaksanakan dengan kesungguhan dan
kesempurnaan.

2.3 Empowerment (Pen9gupayaan)
Kemementerian Pendidikan telah melaksanakan reformasi pendidikan.
Kurikulum sekolah rendah dan sekolah menengah telah digubal menjadi Kurikulum
Baru Sekolah Rendah dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah. Berbagai-bagai
kursus telah dijalankan baik di peringkat pusat, negeri dan daerah bagi meningkatkan
mutu bidang pendidikan, namun perlaksanaan KBSR dan KBSM menghadapi banyak
masalah. Oleh itu berlakulah pencairan maklumat. Ada guru mengabaikan kursus
yang diberi dan ada guru yang terabai tidak diberi kursus. Budaya menunggu, budaya
surat pekeliling dan arahan, budaya pak turut dan lain-lain adalah melemahkan atau
membantutkan lagi reformasi pendidikan.
Para pendidik mestilah kreatif dan inisiatif. Dalam kontek ini Keith dan
Girling mencadangkan "teacher empowerment" dan John Nisbitts mengesyorkan
perubahan paradigma daripada pusat ke pinggiran, daripada ketaatan kepada
komitmen, daripada kawalan kepada perkongsian dan daripada rationaliti teknikal
kepada rationaliti reflektif.
"Technical rationality" mengandaikan bahawa semuanya adalah sama dan
homogen, rutin dan boleh ditelah akan perilaku dan hasilnya. Oleh kerana semuanya
sama, pihak yang berkuasa mengambil tindakan yang mudah dengan menyediakan
surat-surat pekeliling dan arahan yang sama. Hasilnya ialah guru-guru akan
menunggu dan menuruti sahaja arahan yang diberi. Mengambil kira KBSM dan
KBSR, sepatutnya akan menghasilkan keputusan atau hasil yang sama tetapi keadaan
tidak berlaku kerana berbagai-bagai faktur. Terdapat perbezaan dari segi penerimaan
dan tanggapan. Ini akan menyebabkan perbezaan perlaksanaan dan akhirnya
membawa hasil yang berbeza. Ini menunjukkan bahawa budaya "technical
rationality" adalah mengelirukan. Akibat daripada pembudayaan "technical
rationality" dalam pengurusan dan budaya kerja, terhasillah kesan-kesan negatif
selain daripada mutu kerja yang rendah. Diantara kesan-kesan negatif itu ialah
"comformity", "red tape", budaya pak turut, tiada kreatif dan inovatif, anti
pengetahuan, anti perubahan dan bersikap konservatif. Segala-galanya adalah bersifat
LAPORAN : WAWASAN PENDIDIKAN BBD 30102 PENGURUSAN PENDIDIKAN

6

mekanis. Mereka menjadi beku, hilang minat dan motivasi, kemerosotan produktiviti
dan akhirnya menjadi "burnt out". Akhirnya reformasi akan berkubur dengan
semangat mereka. Keadaan telah berubah dan menyimpang dari kebiasaan-kebiasaan.
Perubahan tidak lagi bersinambungan tetapi terputus-putus dan tidak mengikut pola-
pola tertentu. Akhirnya kebijaksanaan hanya timbul selepas sesuatu perkara itu
terjadi. Keadaan ini perlulah dielakkan dan perubahan mengelolakan kerja, mengurus
manusia serta merancang masa mestilah cekap. Pengurus dan kakitangan lain tidak
lagi mengikut cara-cara biasa dan menyesuaikan dengan keadaan tetapi mereka
mengikuti cara-cara yang bukan biasa dan menyesuaikan keadaan.
Manusia dan persekitaran sering berubah-ubah, berbeza-beza dan heterogen.
Jika dilihat keseluruh negara, terdapat spektrum perbezaan persekitaran yang sangat
luas. Oleh itu pihak pentadbiran pusat tidak boleh mengeluarkan satu surat arahan
atau pekeliling yang sama untuk dituruti oleh semua. Sebaliknya kita perlu
mewujudkan budaya "reflective rationality". Perkembangan ke arah budaya baru ini
melibatkan perubahan bukan sahaja dalam andaian-andaian seperti yang dinyatakan
di atas, malahan perubahan-perubahan dalam cara berfikir, cara bekerja, cara
mengurus, perhubungan pusat dengan pinggir, cara menyelia atau memeriksa dan
seumpamanya.
Pendidikan di Malaysia mengandungi banyak perilaku yang berlandaskan
tradisi, kebiasaan dan "precedents" masa lalu. Adalah ketara yang menjadi pegangan
dan amalan ialah prinsip kesinambungan. Umpamanya pihak Pejabat Pendidikan
Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri menjalankan tugas pemeriksaan, lawatan dan
penyeliaan tetapi yang ingin mereka lihat ialah "comformity" dalam semua hal
kepada peraturan, arahan dan pekeliling. Mereka secara mekanis menggunakan
senarai semak yang telah disiapkan.
Contoh lain ialah mengenai jadual waktu yang secara tradisinya telah diterima
terbahagi kepada petak-petak masa yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun tidak
semua pelajaran itu dapat dijalankan dan terjadilah situasi "difisit pembelajaran".
Walaupun hal ini disedari, namun tradisi ini masih diteruskan. Akibatnya tugas
mengajar bukan lagi bersifat pedagogik tetapi lebih merupakan tugas pentadbiran.
Keadaan ini bertambah buruk kerana pihak yang menyelia memberi tumpuan kepada
jadual waktu. Justeru itu "difisit pembelajaran" menjadi lebih teruk lagi.
Urusan penempatan guru di kawasan-kawasan "hardship posting" seperti di
Sabah, Sarawak dan kawasan pendalaman lain adalah dianggap sebagai satu
LAPORAN : WAWASAN PENDIDIKAN BBD 30102 PENGURUSAN PENDIDIKAN

7

kesinambungan. Lima tahun adalah jangkamasa untuk seseorang itu menunaikan
perkhidmatan di tempat-tempat yang dianggap sukar itu. Tidak siapa yang ingin
memeriksa rationaliti ini. Pemikiran manusia masih terbelenggu dengan kebiasaan
dan mereka sebenarnya sudah berhenti berfikir kerana enak di dalam pelukan
"technical rationality". Sebenarnya matlamat penempatan adalah strategi pengurusan
untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di kawasan sukar. Sebagai strategi dan
galakan, jangkamasa perkhidmatan di kawasan sukar boleh dikurangkan kepada
paling minimum dua tahun dengan syarat guru tersebut dapat menghasilkan prestasi
yang ditetapkan dan dipersetujui bersama diantara guru dan pentadbir. Adalah sangat
menguntungkan semua pihak jika perkhidmatan yang singkat dapat menghasilkan
produktiviti yang tinggi. Pendekatan ini akan memberi situasi menang-menang (win-
win). Kemenangan pertama ialah dipihak guru kerana boleh cepat kembali ke tempat
asalnya. Kemenangan kedua pula ialah dipihak murid kerana berjaya lantaran
kegigihan guru mereka. Sebenarnya banyak lagi amalan lain seperti penulisan buku
rekod, pengujian, pengurusan disiplin sekolah dan lain-lain adalah perkara tradisi dan
rutin. Akibatnya fungsi-fungsi dan perilaku ini menjadi kurang bererti dan tidak dapat
membantu untuk meninggikan mutu pelajaran dan juga pendidikan.
Dari segi "reflective rationality" keadaan dan perilaku ini perlu diubah.
Pegawai-pegawaiyang menyelia tidak menggunakan senarai semak piawai yang telah
disediakan.Melihat perlu dari sudut pandangan sekolah itu sendiri dan menggalakkan
perilaku yang bersifat inovatif, kreatif dan imaginatif. Justeru itu mereka perlu
menyediakan senarai semak yang bersesuaian dan releven. Penyediaan jadual waktu
perlu diubah tanpa menurut kelaziman, tetapi bersifat anjal dan disesuaikan dengan
keperluan pelajar. Demikian juga dengan penyediaan pengujian, cara mengatasi
masalah disiplin dan sebagainya. Secara keseluruhannya, budaya "technical
rationality" tidak perlu diketepikan sama sekali. Budaya ini masih diperlukan dalam
perkara-perkara yang tertentu yang memerlukan kepada "conformity" seperti kursus
pengajian, kandungan kurikulum dan kewangan. Perkara-perkara ini merupakan
dasar yang perlu dipatuhi. Hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan kurikulum,
pengurusan kokurikulum, budaya sekolah, hal ehwal pelajar dan lain-lain
memerlukan inovasi, kreativiti dan imaginasi untuk meningkatkan lagi keberkesanan
dalam pembelajaran.
Satu lagi dimensi implikasi budaya "reflective rationality" ialah perubahan
corak perhubungan di antara pusat dengan pinggir. Perkembangan ini ialah ke arah
LAPORAN : WAWASAN PENDIDIKAN BBD 30102 PENGURUSAN PENDIDIKAN

8

pengurusan berasaskan sekolah (school based management) dan penurunan kuasa
kepada guru di bilik darjah. Dengan kata lain budi bicara, kebijaksanaan dan juga
kuasa diturunkan kepada sekolah dan guru untuk memikirkan dan merancangkan
cara-cara terbaik untuk melaksanakan pengurusan perubahan, pengurusan kurikulum
dan lain-lain cara yang sesuai, cekap dan berkesan. Model perhubungan tidah lagi
seperti piramid di mana pusat berada di mercu dan pinggir berada di dasarnya.
Piramid mestilah diterbalikkan, lantas menjadikan pinggir lebih utama dan pusat pula
di tempat kedua. Ini bermakna guru-guru yang berada di barisan hadapan menjadi
golongan yang penting dan yang lainnya hanya sebagai pembantu. Perubahan dari
segi keutamaan dan kedudukan, pengiktirafan dan keyakinan yang diberikan akan
mencetuskan kesan-kesan yang positif kerana guru-guru didorong untuk berfikir,
bersikap kretif, inovatif dan imaginatif dan juga berinisiatif. Penurunan kuasa ini
bermakna pengurangan kuasa Kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat
Pendidikan Daerah dan bukannya perlupusan kuasa. Apa yang perlu dilihat ialah
berlakunya perkongsian kuasa, kesetiakawanan dan kesejawatan di antara pusat
dengan pinggiran, pegawai-pegawai dengan guru-guru dan pengurus atau pentadbir
sekolah dengan kakitangan.
Perkembangan yang berlaku dalam sistem pendidikan masa kini amat
memerlukan kita mengubah cara-cara kita menguruskan perubahan, sama ada
kurikulum dan lain-lain, daripada cara-cara yang biasa dan "reasonable" kepada cara-
cara yang baru dan "unreasonable". Sistem pendidikan di Malaysia menjadi begitu
besar dan kompleks dan sukar diuruskan sepenuhnya dari pusat. Latihan dan usaha-
usaha untuk meningkatkan kepakaran guru-guru perlu diserahkan kepada negeri,
daerah atau jabatan. Pengalaman, pengetahuan, keikhtisasan dan kepakaran pada
setiap peringkat akan menggerakkan penurunan kuasa dan pembentukan "reflective
rationality" yang akan membawa kesan positif ke arah pencapaian hasrat FPN dan
matlamat Wawasan 2020.

2.4 Budaya Ilmu
Salah satu ciri utama warga Malaysia menurut FPN ialah berbudaya ilmu.
Wawasan 2020 pula menegaskan tentang keperluan melahirkan individu dan
masyarakat yang kaya maklumat. Budaya ilmu menjadi pra syarat ke arah
menjayakan cita-cita membangunkan sesebuah negara maju, berwibawa dan
LAPORAN : WAWASAN PENDIDIKAN BBD 30102 PENGURUSAN PENDIDIKAN

9

cemerlang. Hal ini ditegaskan oleh M. Wasiullah Khan (Canselor East West
University, Chicago USA);
The history of mankind bear witness of fact that rise and fall of peoples and
civilizations are directly related to the acquisition, production and sagacious use of
knowledge. Those who excel is this respect assume the leadership of
nations.(Education and Society in Muslim World, halaman 25)
Salah satu tumpuan utama dalam KBSM dan KBSR ialah memupukan budaya
ilmu di dalam diri pelajar. Matlamatnya ialah untuk melahirkan masyarakat yang
cintakan ilmu dan kebenaran serta meletakkan ilmu di tempat yang tertinggi dalam
sistem nilai hidup mereka. Mereka berlumba-lumba untuk memiliki,
memperkembangkan, memanafaatkan dan menghayati ilmu untuk kepentingan
kehidupan diri, seluruh manusia dan alam sejagat. Pola-pola utama yang perlu
ditanam di dalam diri pelajar ialah budaya membaca, budaya belajar, budaya berfikir,
budaya berwacana, budaya menulis dan budaya berkarya. Pelajar perlu digalakan
untuk terus minat membaca, mencari maklumat, merujuk bahan-bahan di pusat
sumber dan membuat penyelidikan. Pelajar perlu digalakan berbincang dan
mengeluarkan buah fikiran. Pendekatan yang dibawa oleh KBSM dan KBSR ialah
pembelajaran berpusatkan kepada pelajar (child-centered). Pembelajaran berpusat
kepada guru tidak lagi sesuai. Ini dapat mengembangkan minat dan potensi untuk
mendekatkan diri kepada ilmu pengetahuan.
Walaupun tumpuan dalam kurikulum adalah untuk pelajar, para pendidik
mesti terlebih dahulu menghayati dan mengamalkannya. Para pendidik tidak akan
menjadi seperti ketam yang menyuruh anaknya berjalan dengan betul. Para pendidik
harus tampil memimpin anak didik dan masyarakat mengamalkan dan menghayati
budaya ilmu melalui contoh teladan.


2.5 Sekolah Penyayang
Sifat penyayang perlu dipupuk dan diperkembangkan dalam perkhidmatan
pendidikan dimana ia selaras dengan cabaran Wawasan 2020 untuk melahirkan
masyarakat penyayang. Matlamat ini tidak akan tercapai jika usaha ini tidak
LAPORAN : WAWASAN PENDIDIKAN BBD 30102 PENGURUSAN PENDIDIKAN

10

dilakukan oleh semua pihak, lebih-lebih lagi sekolah dan rumah tangga. Cabaran ini
merupakan cabaran strategik yang ketujuh berbunyi seperti berikut;
. Membentuk sesebuah masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang,
sesebuah sistem sosisl yang lebih mementingkan masyarakatdaripada diri sendiri,
dengan kebajikan rakyat tidak diasaskan kepada negara mahupun individu, tetapi
kepada sistem kekeluargaan yang kukuh lagi mantap.(MMKH: halaman 4)
Sekolah merupakan satu bentuk keluarga yang besar. Kebahagian keluarga
sekolah bergantung kepada kasih sayang. Sesungguhnya kasih sayang adalah fitrah
dalam diri manusia dan ia adalah tenaga pengikat yang kuat sesama manusia. Malahan ia
boleh diluaskan kepada haiwan, tumbuhan dan objek-objek tidak bernyawa. Oleh yang
demikian adalah ganjil jika timbul rasa kebencian dalam diri pelajar terhadap pendidikan,
melainkan kerana mereka dilayan sebegitu rupa. Kata-kata berikut perlu kita jadikan
pegangan;
If a child lives with acceptance and friendship,
He learns to find love in the world
Para pendidik perlu mempunyai tanggapan positif dan betul terhadap pelajar-
pelajar untuk membentuk sekolah penyayang yang penuh dengan perasaan kemanusiaan,
kebajikan, kerjasama, hormat menghormati, ikram dan berbudi bahasa. Pertama setiap
anak boleh dididik. Pendidikan adalah sebagai hak asasi dan setiap anak berhak
mendapatkan pendidikan. Kedua, setiap anak mempunyai potensi untuk belajar. Setiap
orang Islam diwajibkan belajar. Ketiga, setiap anak boleh mencapai kecemerlangan.
Potensi pelajar perlu dikembangkan ke tahap maksimum. Jika para pendidik melihat
anak-anak dengan cara yang positif dan memikirkannya dengan cara yang positif juga,
maka hasilnya ialah positif. Pandangan-pandangan negatif seperti anak petani malas,
anak nelayan bebal, dan sebagainya perlulah dihapuskan. Jika pelajar dididik secara
positif, mereka akan memiliki kepercayaan dan keyakinan terhadap diri sendiri. Para
pendidik perlu menghayati kenyataan berikut;
If a child learns with encouragement, he learns confidence,
If a child lives with praise, he learns to appreaciate,
If a child lives with approval, he learns to like himself.
Pendidik perlu menginsafi bahawa manusia mempunyai harga diri. Ia berkait
rapat dengan maruah, kebangaan dan kehormatan diri. Harga diri adalah anugerah Allah
yang amat bernilai. Hayatilah kenyataan di bawah;
If a child lives with criticism, he learns to condemn,
LAPORAN : WAWASAN PENDIDIKAN BBD 30102 PENGURUSAN PENDIDIKAN

11

If a child lives with hostility, he learns to fight
If a child lives with ridicule, he lerns to be shy
If a child lives with shame, he learns to feel guilty
Jika pelajar merasa benci terhadap institusi pelajaran, mereka mungkin hilang
kepercayaan kepada manusia dan akhirnya mendorong mereka melakukan perbuatan
salah laku. Para pendidik perlu dipimpin agar mereka akan beranggapan bahawa
"Sekolahku Rumahku Syurgaku". Pendidik perlu berusaha mengenali nama pelajar,
mengecam dan memanggil nama mereka. Ini adalah mustahak kerana pada nama itulah
identiti, pengiktirafan, kebanggaan dan harga diri. Ia merupakan langkah awal ke arah
mewujudkan kemesraan, hormat menghormati, kepercayaan dan ketaatan. Dengan yang
demikian mereka akan cintakan guru, ilmu dan sekolah.

2.6 Budaya Cemerlang
Budaya cemerlang telah ditekankan di dalam FPN dan Wawasan 2020. Oleh itu, cita-
cita yang besar ini perlu diiringi dengan kerja-kerja yang besar, pengorbanan dan
perjuangan. Budaya cemerlang telah dijelmakan melalui Dasar Pandang ke Timur
(1982), Bersih, Cekap dan Amanah (1982), Kepimpinan Melalui Teladan (1983) dan
Penerapan Nilai-Nilai Islam (1985/86). Gerakan Budaya Kerja Cemerlang dilancarkan
pada 20 November 1989. Penekanan ialah kepada mutu kerja dan produktiviti melalui
penerapan nilai-nilai dan budaya kerja koporat . Pada 31 Oktober setiap tahun,
iaitubermula dari tahun 1991, ditetapkan sebagai Hari Q perkhidmatan awam. Prestasi
dan pencapaian bukanlah suatu yang statik. Manusia tidak boleh berpuas hati dengan
prestasi dan pencapaian yang dicapai. Satu konsep utama untuk membangunkan budaya
cemerlang ialah amanah. Menurut Islam seluruh diri dan hidup manusia adalah amanah.
Manusia bertanggung jawab untuk melaksanakannya dan penanggungjawabannya yang
tertinggi ialah kepada Allah S.W.T. Kecemerlangan mesti dijadikan motto, pegangan dan
amalan. Budaya kerja cemerlang yang disarankan oleh Perkhidmatan Awam Malaysia
mengandungi dua nilai utama dan lima nilai sokongan. Nilai-nilai utama ialah keutuhan
(integrity) dan prestasi yang bermutu. Nilai-nilai sokongan pula ialah berorentasikan
pelanggan, berorentasikan kemanusiaan, inteletualism, profesionalisme dan daya serta
disiplin diri. Sementara itu dalam budaya koporat diutamakan rasa kepunyaan, kesetiaan.
partisipasi, komitmen, dedikasi dan kecemerlangan.
Segala nila-nilai positif dan teladan-teladan yang berguna, sama ada dalam sejarah
dan juga kontemporari perlulah dijadikan pedoman dalam melaksanakan tugas dan
LAPORAN : WAWASAN PENDIDIKAN BBD 30102 PENGURUSAN PENDIDIKAN

12

tanggungjawab sebagai pendidik. Budaya cemerlang perlu dihayati dan diamalkan.
Budaya cemerlang mestilah merangkumi budaya ilmu, sahsiah peribadi dan akhlak.

3. Kesimpulan
Cita-cita dan matlamat negara telah ditetapkan dalam Wawasan 2020. Amanah
dan harapan yang dipikul adalah amat besar sekali. Rakyat perlu menilai dan
memperbaiki diri, cara bekerja, cara berfikir, cara bertindak dan cara melihat hasil kerja.
Perlunya sikap terbuka dan sedia untuk berubah serta meninggalkan sifat degil
mempertahankan nilai-nilai lapok, pandangan sempit, ego, mementingkan diri sendiri
dan sebagainya.
























LAPORAN : WAWASAN PENDIDIKAN BBD 30102 PENGURUSAN PENDIDIKAN

13

4. BIBLIOGRAFI
Hamdan, A. R. (2011). Falsafah dan Pemikiran Pendidikan. Johor Bahru : Penerbit
UTM Press.
Hasan, A. F. (2001). Pengenalan falsafah pendidikan. Kuala Lumpur: PTS Publications.
Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman. 2003. Falsafah Pendidikan dan Kurikulum.
Tanjong Malim: Quantum Books.
Mok Soon Sang. 1993. Pendidikan Di Malaysia. Ed. ke-6. Kuala Lumpur: Kumpulan
Budiman Sdn. Bhd.

Sharifah Alwiah Alsagoff. 1985. Falsafah Pendidikan. Kuala Lumpur:Heineman.

Sufean Hussin. 1993. Pendidikan Di Malaysia:sejarah, sistem dan falsafah. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin. 1993. Wawasan Pendidikan:agenda pengisian. Kuala
Lumpur: Nurin Enterprise.
http://perpaduan.blogspot.com/2008/08/bagaimana-pendidikan-boleh-
membentuk.html

Anda mungkin juga menyukai