Anda di halaman 1dari 3

Bicara Tentang Cinta

Jarang orang berbicara tentang cinta , rindu dan cemburu. Ramai juga yang selalu terlalu prejudis
terhadap cinta. Menganggap cinta dan rindu sebagai suatu perkara yang buruk dan menjijikkan.
Golongan yang paling ramai berpandangan sedemikian ialah para remaja. Malah golongan remaja
jugalah yang menyalah ertikan tentang maksud cinta dan rindu sehingga terlalu berlebih-lebihan di
dalam melaksanakan maksud cinta yang dicipta oleh mereka dengan melakukan perkara-perkara
maksiat. Tidak dapat dinafikan ada yang sanggup berzina dengan pasangannya hanya dengan
menggunakan istilah “ cinta” dan “rindu”.

Mungkin kerana wujud golongan yang menyalahgunakan erti sebenar cinta , maka golongan remaja
yang menjaga peribadi mereka juga turut memandang serong terhadap cinta.

Cinta juga makhluk. Rindu juga makhluk ciptaan Allah taala. Seseorang akan menjadi musuh
terhadap sesuatu yang dia tidak kenali dengan mendalam. Kalau ingin membenci cinta maka
sepatutnya perlu berlaku adil padanya. Perlu kenal apa itu cinta terlebih dahulu. Perlu kenal apa itu
rindu terlebih dahulu.

Cinta, rindu dan cemburu merupakan tiga perkara yang tidak boleh kita nafikan kewujudannya.
Ketiga-tiga perkara ini wujud di dalam hati sanubari seseorang. Ianya juga banyak membantu di
dalam kehidupan seseorang. Ya benar, Allah taala tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia
melainkan perkara itu ada tugasnya tersendiri. Lemahnya adalah kita yang tidak mampu mencari
hikmahnya.

Tanpa cinta, kita tidak akan wujud di dunia ini. Tanpa cinta seseorang boleh berlaku kejam terhadap
keluarganya. Tanpa cinta dunia akan gelap gelita tanpa sinar.

Kerna kurangnya rasa cintalah yang menyebabkan seseorang itu berlaku kejam terhadap
saudaranya. Begitu juga rindu dan cemburu. Tanpa cemburu seseorang boleh membiarkan
kekasihnya melakukan maksiat. Tanpa cemburu maka seorang isteri akan membiarkan suaminya
bermain kayu tiga dan tanpa cemburu jugalah menyebabkan seseorang akan membiarkan hatinya
dipermainkan orang lain.

Saya tertarik untuk membincangkan perkara ini. Sama-sama ikuti moga kita mendapat manfaatnya.

Cinta menurut al-Qadhi al-Syeikh Muhammad Ahmad Kan’an di dalam kitabnya Usul al-Muasyarah
al-Zaujiyah ialah kecenderungan hati terhadap perkara yang dicintai. Cinta sebenarnya adalah
perbuatan dan amalan hati. Bukan amalan anggota badan.

Tanpa cinta ini maka perkahwinan tidak akan berjaya dan bahagia. Perlu difahami dengan baik, yang
memberikan kebahagian dan ketenangan bukanlah zat cinta itu sendiri, bahkan yang
memberikannya kepada kita ialah Pemilik Cinta itu sendiri iaitu Allah Yang Maha Pencinta dan
Pengasih. Cuma cinta ini sebagai satu wasilah bagi mencapai ketenangan itu.

Menurut al-Qadhi Muhammad Kan’an lagi, kunci utama kepada cinta bermula dengan pandangan
mata. Oleh sebab itulah Baginda sallallahu alaihi wasallam menggalakkan kepada seseorang yang
ingin bertunang agar melihat terlebih dahulu kepada tunangnya. Agar bertambah rasa cinta dan
rindu.

Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dan al-Nasa’ie rahimahumallah daripada Saidina Syukbah
radhiyallahu anhu katanya:

ُ ‫ هل نظرتَ إليها ؟‬:‫خطبت امرأة فقال لي رسول هللا صلى هللا عليه و سلم‬
‫ فانظر إليها فإنه أحرى أن يؤ َد َم بينكما‬: ‫ قال‬, ‫ ال‬: ‫قلت‬

Maksudnya: Aku telah meminang seorang wanita. Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam bertanya
kepadaku: Adakah kamu telah melihatnya wahai Syukbah? Aku menjawab: Tidak Ya Rasulallah. Maka
sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam: Lihatlah padanya, sesungguhnya dengan melihat itu akan
menjadikan kamu berdua merasa lebih serasi dan berkenan.

Sesuatu yang perlu kita fahami ialah cinta sebenar adalah cinta yang ingin dibina atas dasar iman.
Maksud saya bukan sekadar bercinta tetapi meletakkan bahawa wanita yang dicintainya dan lelaki
yang dicintainya akan dijadikannya sebagai isteri dan suami. Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam
daripada Saidina Ibn Abbas radhiyallahu anhuma:

‫لم ي َُر للمتح َبين مثل النكاح‬

Maksudnya: Tidaklah dilihat kepada dua orang yang sedang bercinta melainkan pernikahan.

Menjadi kesalahan pada remaja sekarang dengan menggunakan nama cinta seperti yang dilakukan
oleh remaja di Barat. Cinta hanya digunakan untuk memuaskan nafsu serakah dan keinginan yang
tak terbendung. Ini satu kefahaman yang jelas bertentangan dengan maksud sebenar cinta yang
dianjurkan syarak. Cinta yang mereka bina bukan untuk membimbing pasangan menuju redha Allah
taala, malah menjerumuskan ke lembah kehinaan dengan dosa dan noda yang mereka lakukan
ketika bercinta.

Kesalahfahaman sebeginilah yang menyebabkan seseorang itu menganggap golongan yang


berbicara tentang cinta sebagai golongan yang telah lari daripada jalan tuhan. Seolah-olah meraka
telah jauh daripada Allah taala dengan membicarakan cinta yang dianggap oleh mereka sebagai
sesuatu yang jijik untuk dibicarakan oleh para ulama khususnya.

Cinta merupakan kecenderungan hati seseorang kepada kekasihnya. Amalan hati tidaklah dikira dosa
selagi tidak melaksanakan apa yang terpendam di dalam hati. Seseorang itu tidaklah mampu baginya
menghalang kecenderungan hatinya terhadap seseorang.

Sebaliknya yang akan dinilai oleh Allah taala adalah perbuatan orang bercinta itu. Jika perbuatan
yang mereka lakukan menjurus kepada nafsu dan dosa maka inilah yang akan dinilai dan disoal oleh
Allah taala kelak.

Perkara yang paling selamat bagi menyelamatkan cinta sejati daripada dinodai dosa dan noda ialah
dengan menjauhkan segala perkara yang boleh menjurus ke arahnya. Perkahwinan adalah satu cara
yang terbaik untuk menyemai cinta sebenar yang dikehendaki syarak.
Namun tidaklah saya nafikan wujudnya percintaan sebelum perkahwinan. Oleh sebab itulah syarak
meletakkan adanya pertunangan. Tidak lain untuk menyemai cinta dan rasa keserasian antara kedua
pasangan tersebut. Batasnya perlu dijaga. Jika tidak dijaga maka inilah yang akan membawa
kemudharatan dan kepincangan di dalam memahami maksud cinta itu sendiri.

Saya benar-benar tertarik untuk membicarakan tentang cinta ini setelah membaca sebahagian
daripada buku karangan Al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi rahimahullah 384H-456H . Kitabnya yang
berjudul Thuqul Hamamah fi ilfati wal allaf benar-benar memberikan kesan yang mendalam
terhadap saya berkenaan cinta.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi rahimahullah adalah Guru
Besar saya di dalam cinta. Kitab ini ada terjemahannya yang sangat indah bahasa terjemahnya. Ianya
diterjemahkan oleh Habiburrahman al-Syirazy , penulis novel Ayat-ayat Cinta.

Saya mencadangkan kepada sesiapa yang ingin mengenal cinta agar membaca buku ini. Sesiapa yang
pandai membaca kitab berbahasa Arab sebaiknya terus mendapatkan pemahaman tentang cinta
daripada karangan al-Imam Ibn Hazm rahimahullah sendiri.Moga kalian lebih memahami tentang
cinta.

Sambungan tentang rindu akan saya bicarakan pada post yang akan datang. Doakan moga diberikan
kelapangan oleh Allah taala pemilik cinta yang agung. Wallahu a’lam.

MOHD NAZRUL ABD NASIR,


RUMAH KEDAH HAYYU 10,
KAHERAH MESIR

artikel di petik daripada blog nazrulnasir.blogspot.com

Anda mungkin juga menyukai