Anda di halaman 1dari 4

Bercinta dengan Allah

by Dr. Azhar Hj. Sarip on Monday, April 4, 2011 at 2:27am

www.meditasi-islam.com

(don-azhar/mingguan-wanita/julai2007)

Ke mana sahaja kita pergi kita pasti mendengar perkataan cinta, baik dalam akhbar, novel mahupun kata-kata.  Ramai
yang mengatakan bahawa cinta itu buta dan ramai juga yang menyatakan bahawa kita boleh buta kerana cinta. 
Mungkin benar mungkin tidak.  Pada pandangan saya memang benar jika cinta yang hanya melihat dengan nafsu. 
Nafsu bagi pengamal Meditasi Islam bukanlah seperti yang digambarkan oleh kebanyakan tetapi nafsu adalah
sesuatu yang mempunyai skop kerja yang begitu luas. 

Mungkin cinta itu tidak buta jika cinta dijadikan panduan untuk menyuluh hidup sekiranya memahami
hakikat cinta.  Kerana cintakan anak-anak maka kita tidak akan rela jika anak–anak kita tidak mempunyai masa
depan yang cerah.  Maka percintaan sedemikian akan memandu ke arah yang lebih positif serta kita akan melakukan
apa sahaja termasuk berkorban atau memarahai anak-anak kita supaya dapat membentuk sebuah kehidupan yang
bermakna. 

Jika ditanya adakah cinta itu sesuatu yang negatif maka jawapan saya tidak kerana cinta yang tulus serta tidak
dibayangi oleh tuntunan nafsu adalah satu energi yang begitu kuat.  Maka dengan sebab itu saya mengatakan
Meditasi Islam itu membuktikan tentang kuasa serta kehebatan cinta agung yang begitu tulus.  Saya seringkali
dihujani dengan soalan bagaimana caranya untuk bercinta dengan Allah swt.  Ramai sekali yang ingin bercinta dengan
Allah swt hinggakan ramai yang tersilap langkah.  

Sebelum menjawab soalan sedemikian, saya akan akan bertanya kepada si penanya “adakah kamu pernah bercinta?” 
lantas saya bertanya lagi “sewaktu kamu bercinta kira-kira berapa lama kamu bergayut di telefon?”  ada yang
menjawab dua jam bahkan ada yang mencapai lapan jam sama seperti orang bekerja lamanya, begitulah hebat
penangan cinta.  Jika kita bekerja lapan jam pasti kita akan berhenti makan paling tidak kita mencuri sedikit waktu
untuk melepaskan lelah tetapi mereka yang bercinta tidak dapat berbuat demikian kerana takut membazir waktu dalam
berhubungan. 

Ketika waktu generasi dahulu, bercinta menggunakan surat dan apabila membaca surat kiriman yang tersayang maka
hati berbunga-bunga hingga terasa si dia yang dicintai berada di sisi serta tak kurang juga terdengar suaranya
membaca surat yang dikirim.  Dengan arus kemodenan yang mengalir terus ke negara Malaysia yang tercinta, kaedah
bercinta pun mula berubah, surat yang dulu rajin ditulis kini bertukar menjadi telefon.  Ini terjadi kerana ketika itu telah
banyak pondok telefon awam didirikan serta banyak rumah yang mempunyai kemudahan telefon.  Jika dahulu boleh
kita lihat mereka yang bercinta akan membawa segenggam duit syiling untuk dijadikan bekalan telefon…  seringgit
mungkin tidak cukup kerana nanti nak bercakap di telefon mengambil masa yang lama.  Dahulu telefon-telefon awam
didirikan di tepi jalan maka ketika kita menggungakan telefon sering terganggu dengan bunyi kenderaan yang lalu
lalang. 
 

Hal ini mungkin membangkitkan kenangan kepada mereka yang dahulu bercinta dengan menggunakan telefon awam. 
Apa yang menghairankan ialah mereka yang bercinta menggunakan telefon awam boleh bercakap dengan si dia dalam
keadaan apa pun samada keadaan itu bising dengan kenderaan atau panas terik mahupun hujan.   Keadaan
sekeliling tidak langsung mempengaruhi mereka kerana ketika apa yang penting ialah mendengar suara orang
yang dicintai dan mengucapkan ucapan yang sering disebut ketika dahulu jiwang-jiwang. 

Cuba anda renungkan kembali hebatnya penangan cinta jika bukan kerana cinta maka pasti mereka tidak mahu
bersusah payah pergi ke telefon awam dalam keadaan sedemikian hanya untuk bercakap.  Arus kemodenan terus
melanda negara kita dan kita perlu berterima kasih kepada Allah swt kerana memberi kesempatan untuk kita keluar
dari lubuk penjajahan serta mempunyai pemimpin yang dapat melaksanakan sistem yang dapat menjana kemajuan
untuk negara. 

Dahulu orang tidak kenal langsung Malaysia namun sekarang kita pergi ke mana sahaja bawalah nama Malaysia maka
anda akan dapat merasakan satu kehormatan yang diberi.  Hasil dari kemodenan maka ramai pula diantara kita
memliliki telefon bimbit serta komputer.  Cinta yang dahulunya ditunjangi oleh surat dan kemudian bertukar ke telefon
awam dan rumah kini ditunjangi oleh satu wadah yang lebih efisyen iaitu telefon bimbit dan internet.  Ramai yang
menikmati kemudahan bercinta ini dan ramai juga yang mengakhiri alam percintaan maya ini dengan perkahwinan. 

Dengan adanya kemudahan telefon bimbit, pasangan bercinta saling berhubung hampir setiap masa tidak mengira
batas waktu dan batas jarak yang membataskan selalunya adalah signal handfon atau bateri yang kering kehausan. 
Hubungan terjalin dengan percakapan atau mungkin juga dengan sms dan sekarang mms mungkin pada masa
hadapan ianya lebih hebat lagi.  Hebat.. hebat … kuasa cinta membuatkan siapa sahaja yang mengalaminya
menjadi hebat walaupun adakalnya pada mata orang lain ianya satu kelemahan dan merimaskan tapi
mereka tidak peduli kerana ungkapan “aku cinta pada mu” lebih menguasai diri. 

Yang dikatakan cinta itu buta ialah kerana pasangan yang bercinta tidak langsung melihat negativiti ada pada pasangan
masing-masing.  Dalam penulisan saya, mungkin ada yang terasa maka saya dengan rasa rendah diri meminta ampun
dan maaf sekiranya itu terjadi tetapi saya tidak langsung bermaksud menyinggung mana-mana pihak kerana ianya
dikupas hasil pengalaman, pemerhatian serta pembacaan dan kajian yang dibuat maka denga itu izinkan saya
mengambil contoh satu pasangan yang bercinta dan si lelaki tanpa pengetahuan si perempuan rupanya adalah seorang
penagih dadah. 

Hal ini kemudiannya terhidu juga oleh si perempuan dan bukan dia sahaja yang dapat menghidunya tetapi kaum
keluarganya juga dapat menghidu rahsia yang disimpan oleh si lelaki.  Keluarga sebelah perempuan kemudian
menasihatkan si perempuan tadi untuk memutuskan hubungan dengan si lelaki kerana pada pemerhatian mereka si
lelaki adalah seorang penagih tegar.   Tetapi cinta menguasai segalanya, nasihat yang dicurahkah tidak langsung
memberi kesan mahupun masuk ke telinga si perempuan kerana dia mempunyai keyakinan penuh terhadap
pasangannya.  Dia begitu yakin dengan teman lelakinya kerana dia mempercayai setiap apa yang yang dikatakan oleh 
teman lelakinya. 

Kata teman lelakinya ketagihan itu telah menjadi sejarah, dia tidak lagi menagih dadah walaupun pada hakikatnya dia
masih lagi menagih.  Pujuk rayu si lelaki itu termakan oleh si perempuan.  Saya berpendapat pujuk rayu itu tidak
termakan oleh si perempuan tetapi wanita tersebut telah dikuasai oleh cinta dan jiwanya hanya mendengar kata-kata
teman lelakinya.   Sekali lagi hebatnya cinta…   walaupun akhirnya cinta sedemikian merosakkan diri tetapi dengan
pantas mereka menjawab cinta perlukan pengorbanan.  

Itu lah cinta…  begitu berkuasa, begitu hebat dan mampu mengubah apa sahaja kerana kekuatannya
bukan tandingan manusia…  lebih hebat dari nuklear…  lebih halus dari sihir hingga begitu susah untuk
mengubatnya. 
 

Persoalannya sekarang mengapa kita mampu bercinta dengan manusia tanpa disuruh–suruh dan
mengapa kita begitu paya untuk kita bercinta dengan Allah swt.  Manusia hanya berada dengan kita sewaktu
kita jaga sedangkan Allah swt sentiasa dengan kita.  Bertahun lamanya saya memohon kepadaNya agar dikurniakan
kupasan yang mudah dalam memahami hakikat cinta.  Dek kerana cinta ramai yang sesat kerana cinta ramai yang ego
dan kerana cinta ramai yang berpura-pura. 

Rumusan saya mengatakan bahawa Allah swt mengurniakan benih cinta dalam diri manusia terhadap
manusia lain dan juga terhadap makhluk lain kerana Allah swt ingin mengajarkan kita bagaimana
caranya untuk mencapai cintaNya.  Setelah kita memahami rasa cinta itu dan mengetahui hakikat cinta itu maka
kita pasti mampu bercinta dengan Allah swt dengan jiwa yang luhur.  Isunya sekarang ialah kita hanya mengambil
Islam itus ebagai apa yang saya terjemahkan sebagai ritual based religion yang mana Islam itu hanya dikaitkan
dengan ibadah khusus sahaja. 

Saya berpandangan Islam itu melangkaui ritual based religion kerana Islam itu adalah tatacara hidup
ataupun way of life yang perlu dibawa ke mana sahaja dan di mana sahaja dan bukannya hanya sekadar
dalam masjid dan setelah keluar dari situ kita tidak berperangai seperti yang ditunjukkan oleh baginda rasulullah saw.  
Justeru itu, demi menjadikan Islam itu sebagai way of life maka perlu ada CINTA. 

Pasangan yang bercinta akan memahami kehendak pasangan masing-masing dan kemudiannya akan mengikut jalan
ataupun sikap salah seorang yang dominant diantara mereka.  Begitu juga jika kita bercinta dengan Allah swt sudah
pasti kita akan hidup dengan tatacara yang Allah swt sinarkan kepada kita.  Penghalang kita dari berbuat demikian ialah
kita tiada rasa cinta dengan Allah swt kerana kita hanya menyatakan rasa cinta tanpa punya perasaan cinta
maka kita itu sebenarnya tergolong dalam golongan pembohong. 

Dalam ruang yang terhad ini saya ingin berkongsi pemahaman cinta serta jalan bercinta namun sekiranya saudara
pembaca ingin mendalaminya sertailah program-program yang saya adakan kerana kadangkala tulisan kurang
menyampaikan maksud serta praktikalnya. 

Ketika kita bercinta sesama insan, maka lahirlah keyakinan kerana kita banyak melihat pembuktian cinta contohnya
mengingati hari lahir, memberi hadiah, membantu ketika susah dan sebagainya.  Dari keyakinan itu timbullah
kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kerana kita kita merasakan bahawa orang yang kita cintai tidak akan menipu
kerana dia telah sanggup berkorban wang ringgit dan masa untuk kita dan masakan dia sanggup menyakiti hati orang
yang dicintainya.  Justeru itu apa jua yang keluar dari mulutnya adalah benar belaka dan apa jua pandangan negatif
orang lain pada waktu itu hanya kerana berlandaskan cemburu atas kebahgian yang sedang dinikmati. 

 Itu rantai cinta ynag kita bina apabila berhubungan denngan manusia, dari cinta datang yakin dari yakin timbul
percaya tetapi hal sebaliknya berlaku apabila kita bercinta dengan Allah swt.  Kita mulakan dengan percaya dan dari
percaya barulah menambah ilmu mencari yakin walaupun kita lupa yakin hanya akan datang dengan bukti dan ilmu itu
sekadar panduan.  Bukti Allah cintakan kita terlalu banyak dan oleh kerana terlalu banyak maka kita rambang mata dan
dari rambang mata kita tidak perasan dan akhirnya kita buta lalu memutuskan bahawa setiap kejayaan itu berlaku
hanya kerana usaha keras kita. 

Hasilnya kita kemudian akan terus tercari-cari bagaimana jalannya bercinta dengan Allah swt.  Cinta kemudian
difikirkan boleh dibuat-buat tetapi kita juga lupa bahawa cinta itu perasaan dan perasaan tidak menipu. 
Walau sebanyak mana kita keluarkan kata-kata cinta tetapi jiwa masih bertuhankan nafsu maka tiada istilah cinta di
situ.  

 
Masalah yang terjadi kini ialah aturan untuk cinta dengan Allah swt telah kita mulakan dengan percayaa
walhal jika boleh saya katakana percaya itu tahapnya amat rendah.  Saya boleh jadi percaya dengan
seseorang tetapi belum tentu saya yakin dengannya apatah lagi cinta tetapi jika saya menyintai seseorang saya sudah
pasti yakin dengannya bahkan setiap tuturkatanya menjadi azimat kerana saya mempercayainya.  

Maka sekarang perbetulkanlah  susun atur rantai hubungan cinta agar kita dapat merasai nilai cinta agung dan setiap
perkara itu pasti mempunyai kunci.  Di ruang yang terhad saya tidak dapat berkongsi kuncinya apatah lagi pemahaman
setiap individu itu berlainan diantara satu sama lain.  Sekiranya kita mengandaikan semua orang mempunyai
pemahaman yang sama maka bagi saya itu satu kesalahan besar kerana kita akan cenderung merosakkan mereka yang
baru hendak memahami kepada satu persepsi yang tidak akan difahami dan kita akan merosakkan orang sudah
memahami kerana mereka mula mencari yang lebih tinggi. 

Semoga dengan tinta yang dipalitkan pada kertas ini para pembaca dapat mengubah persepsi cinta Allah swt dan dapat
memulakan satu kehidupan yang dipenuhi dengan rasa cinta maka kita kita akan hidup aman bahagia tanpa syak
wasangka serta melihat setiap insan itu adalah makhluk Allah swt yang kita cintai dan rasa cinta akan melangkaui suku
bangsa, agama, keturunan bahkan dengan makhluk lainnya seperti binatang dan tumbuhan. 

Segala yang kita lihat dan sentuh akan terasa nilai kecintaan kita kepada Allah swt dan apabila disebut
nama Allah swt yang dicintai lagi dirindui maka bergetarlah dada.  Sama juga keadaannya jika seseorang
menyebut nama pasangan anda pasti anda merasakan getaran cinta.  Begitulah juga apabila nama Allah swt Tuhan
yang Maha Menyintai disebut maka bergetarlah dada meruntunlah sukma.  Kata bijak bistari cinta letaknya di hati,
meskipun tersembunyi, namun getarannya jelas sekali. Ia mampu mempengaruhi fikiran sekaligus
mengendalikan tindakan.

Anda mungkin juga menyukai