Anda di halaman 1dari 2

(Fokus@Motivasi)

Cinta Remaja: Salahkah bercinta di usia muda?


Oleh: anonymous_n

Bila kita membincangkan isu cinta di kalangan remaja, seringkali kita akan
mendengar banyak pandangan,nasihat dan komen dari pelbagai pihak, khususnya
daripada mereka yang lebih dewasa. Apa yang pasti, remaja ini pastinya akan merasa
sungguh kecewa apabila mendengar pandangan dari mereka. Apa tidaknya? Kebanyakan
pandangan dan nasihat itu justeru menjurus kepada saranan agar mereka melupakan
sahaja cinta mereka. “Cinta monyet” para remaja ini dikatakan hanyalah membuang masa
dan bakal menimbulkan pelbagai masalah sahaja. Benarkah?

Kenapa? Salahkah bercinta di usia remaja? Apa salahnya kami bercinta, bukankah
ingin bercinta dan mencintai itu fitrah manusia? Wahai sahabat remaja ku, benar. Ingin
bercinta dan mencintai itu adalah fitrah. Dan fitrah itu sifatnya suci dan murni.
Hakikatnya cinta adalah anugerah Allah yang tidak ternilai harganya. Dengan cinta
seseorang itu bakal menempah syurga Allah, kerana cinta seseorang ibu itu sanggup
bersusah-payah membesarkan anak-anaknya walaupun ternyata bila dewasa, anaknya itu
sedikit pun tidak mengenang jasanya. Masih ingatkah sahabat-sahabat akan kisah Al-
Qamah dan ibunya, demi cinta jugalah ibunya memaafkan segala kesilapannnya.

Jadi salahkah bercinta? Jawapannya tidak salah untuk bercinta, asal sahaja cinta
itu tidak melalaikan dan melupakan kita kepada Pencipta Cinta, ya, Allah S.W.T.
Wajarkah jika kita memuja cinta kita kepada manusia sehingga melupakan Allah?
Keadaan ini samalah seperti kita mendapat hadiah dari seseorang, oleh sebab kita terlalu
teruja dengan hadiah itu, kita sampai terlupa untuk berterima kasih kepada pemberinya.
Tepuk dada, tanya iman sama ada akhlak kita tadi benar atau tidak.

Ternyata bercinta itu tidak salah sebenarnya, tapi kita harus sedar dan ingat
bahawa Allah mengurniakan cinta beserta peraturan-peraturannya yang tersendiri.
Sebenarnya kerap kali cinta itu menjadi kesalahan apabila peraturan-peraturan ini tidak
kita patuhi. Ingat, peraturan ini bukanlah untuk menyekat kita daripada menikmati cinta,
malah ia bertujuan memastikan kesucian cinta itu tetap terjaga dan tidak ternoda oleh apa
jua unsur yang bakal merosakkan keindahan cinta. Justeru tidak akan lahirlah istilah-
istilah yang terbit dari cinta terlarang seperti rogol, zina, khalwat,anak luar nikah dan
sebagainya.

Peraturan cinta yang pertama ialah, hendaklah cinta kita itu didasarkan kepada
cinta kita kepada Allah. Bagaimana? Hendaklah cinta yang terjalin itu disertakan dengan
niat untuk mendirikan rumah tangga. Bercinta untuk mendapatkan redha Allah dan
seterusnya mendirikan rumah tangga yang diredahai Allah, natijahnya mudah-mudahan
kita menjadi lebih mudah untuk menyempurnakan urusan agama kita yang lain.
Bukankah setelah mendirikan rumah tangga itu, kita diibaratkan telah menyempurnakan
separuh agama?
Pasti ada yang berkata,”Kami masih muda, usahlah terlalu serius dalam hal ini.
Kami mahu suka-suka sahaja”. Nah, kalau begitu lebih baik kita lupakan sahaja soal
cinta. Jika inilah jawapannya, maka benarlah pandangan orang tua-tua terhadap “cinta
monyet” , hanya membuang masa dan tenaga. Masakan, niat kita hanyalah untuk suka-
suka dan tidak serius sedangkan pada masa yang sama sudah berapa lamakah masa yang
kita bazirkan untuk si dia? Sama ada berbual di telefon atau berbalas sms? Berapa
banyakkah pula wang yang telah dihabiskan? Bagaimana pula dengan tumpuan kita
terhadap pelajaran? Jika begitu, bukankah lebih baik kita menumpukan seluruh tenaga
untuk belajar dan mendapatkan gred terbaik dalam pelajaran? Ini sudah semestinya
membawa kebaikan untuk diri kita juga, bukan orang lain.

Peraturan cinta yang kedua pula ialah, semasa bercinta itu hendaklah tiada hukum
Allah yang dilanggar. Tiada pergaulan bebas, tiada pendedahan aurat, tidak berdua-duaan
di tempat sunyi, tidak ber”gayut” dan tidak juga berbalas sms yang bakal menggongcang
nafsu syaShwat. Ini bermakna, janganlah cinta kita itu menjerumuskan kita ke lembah
kelalaian dan kerugian. Bukankah cinta kita itu kerana Allah? Jadi tidak sepatutnya cinta
yang didasari cinta kepada Allah itu bakal menjerumuskan kita ke lembah kehancuran.

Jadi bagaimana mahu bercinta tanpa itu semua? Jawapannya,cinta suci tidak
memerlukan hiasan-hiasan tempelan seperti itu yang pada hakikatnya bakal merosakkan
keindahan dan kesucian cinta sejati. Cukuplah berbalas kerlingan manja ketika bertemu
diganti dengan saling berbalas doa untuk kesejahteraan bersama. Tidak perlu
berpegangan tangan dan berdua-duaan di tempat sunyi kerana ternyata hati orang-orang
yang bercinta kerana Allah telah bersentuhan walau tidak bersua muka.

Adakah usia muda menjadi penghalang kepada cinta? Tidak. Bukanlah usia muda
yang menghalang seseorang itu merasai cinta, sebaliknya kematanganlah yang
sebenarnya melayakkan seseorang itu memberi atau menerima cinta. Dengan pemikiran
matang yang didasari tauhid kepada Allah, nescaya seseorang itu dapat bertindak dengan
tindakan yang tepat selaras dengan tuntutan agama. Bila sudah matang, dia pasti dapat
menilai tindakannya itu benar atau salah (ber’sms’ secara marathon hingga mengganggu
tumpuan belajar itu betul atau tidak, berdua-duaan antara lelaki dan perempuan dan
berpegangan tangan itu betul atau salah). Pendek kata, andai diri benar-benar matang
mengikut pandangan agama, barulah seseorang itu layak untuk bercinta. Fikir-fikirkanlah
saudara ku.

Nota : Yakinlah Allah itu indah dan cinta pada keindahan, dengan segala sifat
kemuliaanNya mustahil Allah mengadakan peraturan dalam bercinta dengan tujuan untuk
mengikis segala keindahan cinta. Tidak lain dan tidak bukan, Allah mengadakan
peraturan ini supaya manusia akan dapat menikmati keindahan sebenar cinta. Bukankah
Allah Arrahman dan Arrahim ini amat kasih pada makhlukNya tidak kira yang beriman
atau yang kufur?

Anda mungkin juga menyukai