Anda di halaman 1dari 14

Malik Bennabi, Dinamisme Tamadun dan Cabaran Globalisasi era Pasca Kolonial

Wan Fariza Alyati Wan Zakaria, PhD.


1

Jabatan Usuluddin dan Falsafah
Fakulti Pengajian Islam, UKM


Kegemilangan sesuatu tamadun sering ditandai oleh kewujudan tokoh-tokoh pemikir yang
berjiwa besar dan mempunyai idea-idea yang berpengaruh dalam membangun dan memajukan
masyarakatnya. Dalam bab ini, penulis akan membincangkan pemikiran Malik Bennabi (1905-1973),
seorang ahli sejarah dan sosiologi Islam tentang dinamisme tamadun, khususnya tamadun Islam. Idea-
idea utama Bennabi tentang ketamadunan dibincangkan oleh penulis berdasarkan tema-tema berikut:

1. Kitaran tamadun iaitu peringkat-peringkat perkembangan masyarakat dari konteks
ketamadunan;
2. Faktor-faktor kemerosotan tamadun Islam;
3. Gerakan reformis dan modenis serta kesannya terhadap pembangunan umat Islam;
4. Agama sebagai pemangkin tamadun; dan
5. Orientasi untuk mengatasi kemunduran umat Islam.

Perbahasan aspek-aspek pemikiran Bennabi ini selanjutnya dikaji secara khusus dari segi
hubungannya dengan cabaran-cabaran globalisasi masa kini. Globalisasi dalam hal ini ditanggapi sebagai
satu proses hegemonisasi tamadun Barat ke atas tamadun lain termasuk tamadun Islam, dan ia merupakan
lanjutan kepada program imperialisme Barat, atau juga disebut sebagai neo-imperialisme. Pasca kolonial
dalam konteks perbincangan ini merujuk kepada era selepas berakhirnya pemerintahan kolonial Barat ke
atas dunia Islam sehingga terbentuknya negara-negara Islam baru dalam bentuk model negara-bangsa ala
Barat-Eropah. Pada bahagian akhir rencana ini menganalisa idea-idea Bennabi mengenai dinamisme
tamadun untuk menilai kebergunaannya dalam menghadapi cabaran-cabaran globalisasi yang dihadapi di
serata dunia Islam.


Latar Kehidupan

Malik Bennabi dilahirkan pada 1 November 1905 di Constantine, Algeria. Algeria merupakan
salah sebuah tanah jajahan Perancis di Afrika Utara pada ketika itu. Beliau merupakan satu-satunya anak
lelaki daripada empat orang adik-beradiknya. Beliau dijadikan anak angkat oleh bapa saudaranya yang
tinggal di Constantine. Selepas kematian bapa saudaranya, beliau telah dikembalikan ke pangkuan
keluarganya di Tibissa. Keluarganya boleh dianggap dari kalangan kelas pertengahan - bapanya seorang
yang terpelajar, dan mendapat pendidikan dalam Bahasa Arab dan Perancis di sebuah institusi menengah

1
Wan Fariza Alyati Wan Zakaria merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti
Pengajian Islam UKM. Tulisan ini telah diterbitkan dalam buku berjudul Islam di Era Globalisasi, 2009, suntingan
Jaffary Awang, Muda@Ismail Ab.Rahman dan Jawiah Dakir dan diterbitkan oleh Fakulti Pengajian Islam, UKM
Bangi.
tempatan yang dikenali sebagai ` `. Pada awal usianya, Bennabi telah dihantar belajar di
sekolah Al-Quran (Kuttab) dan sekolah Perancis seperti kanak-kanak lain pada zamannya. Walau
bagaimanapun, keluarganya menumpukan pembelajarannya di sekolah Perancis apabila dia menunjukkan
prestasi yang kurang memuaskan dalam pengajian Al-Qurannya. Apabila berlaku Perang Dunia Pertama,
kehidupan keluarganya di Algeria menjadi semakin susah, lalu beliau dihantar kembali ke Constantine
untuk tinggal bersama isteri bapa saudaranya. Kehidupannya di Constantine telah mengganggu kemajuan
prestasi akademiknya. Bennabi menganggap ia adalah akibat daripada diskriminasi bangsa yang
diamalkan oleh pihak Perancis terhadap rakyat Algeria. Situasi ini telah membentuk semangat dan tekad
dalam diri beliau untuk melanjutkan pelajarannya bagi membuktikan keupayaan dirinya (Bennabi, 1983;
Fawzia Bariun, 1993).

Pada tahun 1921, beliau telah ditukarkan ke Madrasa of Constantine. Di sekolah tersebut,
Bennabi telah terdedah kepada suatu dunia baru yang berbeza dari segi sosial dan karektor inteleknya. Di
sinilah tumbuhnya minat dan cinta yang mendalam terhadap budaya membaca dan kepetahan berbicara.
Sedikit demi sedikit, Bennabi telah menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan intelektual dan kematangan
peribadi yang hebat. Beliau menjadi lebih prihatin terhadap perubahan sosial dan budaya yang muncul di
Tibissa dan Constantine. Semasa di akhir tahun pengajiannya di madrasah, Bennabi mula membaca
Muqaddimah, karya Ibnu Khaldun dan Condillac, pengasas sekolah psikologi Perancis pada abad ke-18.
Beliau juga mula berkenalan dengan budaya Amerika melalui buku John Dewey yang bertajuk How We
Think dan karya Romain Rolland berjudul Young India yang memperkenalkannya kepada Ghandi
(Bennabi, 1983 dan 1991).

Kepulangan sekumpulan ulama yang belajar di Timur Arab serta gerakan mereka menjadikan
masjid sebagai pusat kegiatan, telah membawa idea-idea baru ke bandar tersebut. Bennabi turut terlibat
dalam aktiviti-aktiviti sosial dan budaya generasi seangkatannya. Mereka sering mengadakan
perbincangan di Kafe Ben Yamina - hasil inisiatif sekumpulan pelajar dan beberapa orang pengikut Ben
Badis. Topik perbincangan meliputi pelbagai isu termasuk mengenai gerakan reformis yang dinamakan
Islah dan gerakan nasionalis (Fawzia Bariun, 1993). Pada tahun 1930, Bennabi telah menyambung
pelajarannya ke Paris di Institut Mekanik dan Kejuruteraan Elektrik. Semasa di Paris, Bennabi terlibat
dengan pelbagai aktiviti Persatuan Pelajar Maghribi. Bennabi berminat dengan Jamiyyat al-Ulama yang
diketuai oleh Ben Badis serta aktiviti-aktiviti pendidikan dan kebudayaannya, namun tidak bersetuju
dengan falsafah serta strategi-strategi mereka, terutama dalam aspek politik. Beliau turut mempersoal
hujah-hujah golongan ulama dan kumpulan yang dibentuk oleh pendidikan tradisional serta
ketidakupayaan mereka memainkan peranan dan tanggungjawab yang besar dan hebat (Fawzia Bariun,
1993). Sebagai seorang idealis dan berfikiran bebas, Bennabi tidak menyertai Jamiyyat al-Ulama atau
mana-mana parti politik di dalam atau di luar Algeria secara rasmi kerana personalitinya sebagai seorang
pemikir tulen yang bersifat kritis. Selepas Perang Dunia Kedua, barulah Bennabi memulakan usahanya
merekodkan pemikirannya di dalam buku. Beliau telah menerbitkan buku ` ` pada tahun
1946; novelnya ` ` pada tahun 1947; The Conditions of Renaissance pada tahun 1948 dan Islam in
History and Society pada tahun 1954 (semuanya dalam Bahasa Perancis). Dalam buku-buku tersebut,
Bennabi cuba menetapkan beberapa peraturan bersifat teoretikal bagi membangkitkan semangat
pembaharuan (Bennabi, 1991).

Pada tahun 1956, Bennabi telah berhijrah ke Mesir dan meneruskan kegiatan intelektualnya
dengan mengadakan pertemuan mingguan di kediamannya di Kaherah dengan beberapa orang pelajar
Arab untuk membincangkan pelbagai isu. Hal ini telah menyumbang kepada pembentukan intelektual di
kalangan ramai tokoh Arab yang mendapat manfaat daripada pandangan-pandangan yang berbeza
daripada Bennabi. Walau bagaimanapun, pertemuan-pertemuan tersebut telah diawasi dan pengaruhnya
dalam masyarakat Mesir menjadi terhad (Fawzia Bariun, 1993). Semasa di Mesir, Bennabi menghasilkan
The Afro-Asiatism (Bahasa Perancis) pada tahun 1956; S.O.S Algeria (Bahasa Perancis) pada tahun 1957;
The Problem of Culture dan The Ideological Struggle in Colonised Countries (Bahasa Arab) pada tahun
1957; The Idea of Islamic Commonwealth (Bahasa Arab) pada tahun 1958 dan The New Social
Identification (Bahasa Arab) yang diterbitkan di Beirut pada tahun yang sama. Syarahan-syarahan serta
perbincangan beliau turut direkodkan dalam beberapa buah buku seperti dalam Reflections, The Problem
of Ideas in the Muslim World dan Birth of Society yang kesemuanya telah diterbitkan dalam Bahasa Arab
pada tahun 1960 di Kaherah (Bennabi, 1991). Beliau hanya kembali ke Algeria pada tahun 1963 dan
meneruskan penulisan dan syarahan dalam Bahasa Perancis yang kemudiannya telah dibukukan dengan
tajuk The Algerian Perspectives (Bahasa Perancis) yang diterbitkan pada tahun 1964. Dalam syarahan-
syarahan tersebut, Bennabi telah menerokai peranan baru Algeria sebagai sebuah negara yang merdeka
dan menekankan kepentingan sosiologi untuk membantu perancangan Algeria selepas kemerdekaan.
Beliau meninggal dunia di rumahnya di Algiers pada 31 Oktober 1973 pada usia 68 tahun (Fawzia
Bariun,1993).

Dinamisme Tamadun

Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam kisah kehidupannya sebelum ini, Bennabi mula
meneliti pemikiran Ibnu Khaldun ketika usianya masih di peringkat remaja. Karya besar Ibnu Khaldun
berjudul Muqaddimah telah banyak mempengaruhi pemikiran dan pandangan Bennabi mengenai
tamadun, khususnya teori mengenai kitaran tamadun. Seperti Ibnu Khaldun, Bennabi melihat
pertumbuhan dan kematangan individu mempunyai persamaan dengan pertumbuhan dan kematangan
masyarakat. Dipengaruhi oleh pandangan Ibnu Khaldun dan kefahamannya terhadap hasil kajian
saintifiknya dalam bidang sains sosial, Bennabi telah membina Theory of The Three Ages yang
berdasarkan law of growth. Berdasarkan teori ini, beliau membandingkan peringkat-peringkat
perkembangan individu dengan peringkat-peringkat dalam perkembangan sesuatu tamadun. Peringkat-
peringkat perkembangan individu ini diklasifikasikan Bennabi (1994) sebagaimana Rajah 1 di bawah:

Rajah 1: Theory of The Three Ages




Huraian terhadap setiap peringkat perkembangan kanak-kanak secara perbandingan dengan
perkembangan tamadun secara ringkas seperti di berikut:

Peringkat Umur Kebendaan

Peringkat Umur Peribadi/ Orang Peringkat Umur Idea
Semasa peringkat bayi, manusia
tidak dapat mengenalpasti manusia
lain di sekelilingnya kecuali ibunya
sahaja. Pada usia ini, bayi atau
kanak-kanak cuba untuk meneroka
Pada peringkat ini, kanak-kanak
mula berkomunikasi dengan
manusia di sekelilingnya. Ia juga
mula membina sosial dan emosi
dengan orang lain. Dia membina
Apabila kanak-kanak itu menjadi
matang, dia perlahan-lahan berupaya
memasuki peringkat kognitif dan
menghargai konsep-konsep abstrak.
Pada peringkat ini, kanak-kanak
Peringkat
Umur Idea
Peringkat
Umur
Peribadi
Peringkat
Umur
Kebendaan


Berdasarkan analisa Bennabi sebagaimana yang dijelaskan di atas, perkembangan sesuatu
masyarakat juga melalui tiga peringkat yang sama. Berdasarkan teori sejarah menerusi pendekatan psiko-
sosiologi, perbincangan Bennabi mengenai peringkat-peringkat pembangunan masyarakat dari aspek
ketamadunan boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu: (1) Masyarakat pra-tamadun (2) Masyarakat
bertamadun dan (3) Masyarakat pasca tamadun (1994).

Masyarakat pra-tamadun menurut Bennabi pada asasnya adalah masyarakat primitif yang
mempunyai pandangan yang tidak matang mengenai benda, orang dan idea. Ini adalah nature masyarakat
Jahiliyyah. Masyarakat tersebut membina kepercayaan mereka sekitar benda-benda yang tidak bernyawa
(berhala) dan alam peribadi mereka tertumpu kepada kabilah dan pemimpinnya. Alam idea
menggabungkan beberapa nilai sosial di kalangan mereka seperti kebanggaan terhadap kabilah dan
sebagainya. Masyarakat bertamadun pula ialah masyarakat yang berinteraksi secara berkesan dengan
sejarah. Kemunculan Islam telah membina alam peribadi yang lebih luas iaitu hubungan antara pelbagai
kabilah (seperti Aus dan Khazraj dan Ansar serta Muhajirin) berdasarkan etika dan nilai-nilai yang baru
(dalam bentuk persaudaraan Islam). Masyarakat pasca tamadun pula ialah masyarakat yang mengalami
kemerosotan hasil daripada kebekuan idea. Menurut Bennabi, proses ini menerangkan kemunduran
masyarakat Islam sejak zaman emasnya. Alam peribadi telah kehilangan strukturnya yang tulen dan
menjadi mundur kerana lebih memfokuskan kepada unsur mistisisme dan penyerahan urusan dunia
kepada golongan yang tidak berkelayakan (1994).



Faktor kemerosotan tamadun Islam

Bennabi menganggap bahawa idealisme Islam yang telah berjaya merubah masyarakat Arab
Jahiliyyah menjadi bangsa yang merdeka dan berupaya membina dasar-dasar masyarakat Islam yang
unggul pada peringkat awalnya, telah mengalami kemunduran akibat keghairahan berpolitik di medan
Siffin pada tahun 37 Hijrah. Pada pandangan Bennabi, Perang Siffin menjadi tanda aras manifestasi
bermulanya kontradiksi dalaman iaitu semangat Jahiliyyah menentang semangat Qurani. Peristiwa
tersebut merupakan krisis pertama terbesar dihadapi oleh umat Islam sejak zaman Rasulullah SAW.
Sebaliknya, umat Islam ketika itu masih dapat mengatasinya kerana masih ada tenaga dan jiwa yang
berpegang dan beramal dengan semangat dan intipati Al-Quran yang sejati seperti Uqbah, Umar Abdul
Aziz dan Imam Malik.Walau bagaimanapun, zaman selepas itu telah menyaksikan berlakunya
kemunduran umat Islam dari aspek kejiwaan. Hal ini kerana skala nilai yang menjadi panduan dalam
kehidupan umat Islam telah diterbalikkan. Sebagai gantinya keseronokan hiburan dianggap sesuatu yang
agung dan dimuliakan. Bagi Bennabi, pembinaan sosial tidak dapat bertahan di atas sokongan teknikal
dunia di sekelilingnya menerusi
mulut. Pada peringkat ini, bayi hidup
dalam alam benda sepenuhnya.

alam peribadinya dengan
memulakan tindakan dan memberi
respon kepada tindakan-tindakan
orang lain. Pembangunan mental dan
tingkah laku sosialnya amat
bergantung kepada norma dan nilai-
nilai sosial orang yang ada hubungan
dengannya.
telah membina alam ideanya dan
membina keupayaan untuk berlainan
dari segi budaya dan ideologi.

semata-mata kerana hanya jiwa sahaja yang menyebabkan sifat-sifat kemanusiaan tumbuh subur dalam
erti kata sebenar. Justeru, apabila jiwa melakukan kesalahan, bermulalah saat kejatuhan kerana manusia
akan kehilangan daya untuk bangkit melakukan peningkatan diri (Bennabi, 1991).

Dengan menggunakan analogi yang mudah, Bennabi mengumpamakan jiwa yang mendapat
tenaga dorongan daripada Al-Quran seperti bahan bakar bagi sesebuah jentera; apabila pancaran jiwa
terhenti, maka kerja rasional juga terhenti. Akibatnya, manusia akan hilang kehausan untuk memahami
dan keinginan untuk bertindak. Lama-kelamaan kekuatan akal menjadi semakin malap kerana kerja akal
menjadi musnah dalam suasana yang tidak lagi memahami fungsinya atau menggunakannya. Menurut
beliau lagi, pada tahap permulaan agama yang bersifat dinamik, agama telah melahirkan fikiran kolektif
dan menjadi pemangkin nilai sosial. Namun apabila agama telah kehilangan fungsi sosial dan hanya
berbentuk keyakinan yang beku semata-mata, maka wawasan sejarahnya di muka bumi ini berakhir dan
tidak sesuai lagi menjadi alat untuk memajukan peradaban. Akhirnya, agama akan menjadi kepercayaan
penganutnya yang melarikan diri daripada kehidupan, tanggungjawab dan tugas mereka (1991).

Bennabi menganggap apa yang telah berlaku pada hari ini adalah akibat kegagalan empayar
Uthmaniyyah memberi gerakan kepada dunia Islam. Apabila kontradiksi dalaman sampai ke puncaknya,
maka berlakulah perpecahan dunia (iaitu Peperangan Dunia Pertama penulis) dan kemunculan
masyarakat baru yang dipenuhi dengan ciri dan kecenderungan baru. Masyarakat Islam yang baru lahir ini
telah mengalami proses penyusunan semula sama ada dari sudut politik, ekonomi mahupun sosial.
Dalam proses penyusunan tersebut, masyarakat Islam tidak dapat mengelakkan diri daripada berlakunya
proses asimilasi daripada masyarakat Barat yang lebih tersusun. Keperluan proses penyesuaian dan
asimilasi terhadap segala yang datang dari Barat ini telah mendedahkan masyarakat Islam kepada dilema
baru, iaitu persoalan peminjaman daripada peradaban moden. Kesannya, masyarakat Islam yang lalu telah
melakukan peminjaman tanpa berlandaskan kriteria atau analisa kritis akibat kesombongan dan jiwa yang
muflis (1991).


Dilema pertembungan seperti ini menurut Bennabi, telah dihadapi oleh umat Islam di zaman
awal. Beliau membuat perbandingan dengan peristiwa di mana Rasulullah SAW dan para sahabat telah
berbincang cara untuk memanggil orang untuk mengerjakan sembahyang. Terdapat pelbagai cadangan
daripada para sahabat, termasuk menggunakan loceng. Walau bagaimanapun, Rasulullah SAW dan para
sahabat akhirnya memutuskan untuk mencipta cara memanggil yang tersendiri iaitu dengan menggunakan
suara manusia. Ini ialah contoh yang paling mudah bagaimana sebuah masyarakat yang baru lahir
mencipta kaedah tersendiri, sesuai dengan keperluan baru mereka. Justeru, masyarakat Islam hari ini
memerlukan kecekalan, pengawasan yang berterusan dan semangat serta jiwa yang kritis bagi
menentukan keperluan pinjaman dan keupayaan penyesuaian. Dalam hal ini, proses penapisan idea-idea
yang merosakkan ialah tugas yang paling asas dan ia mesti dilakukan secara sedar dan sistematik (1991).

Selain faktor-faktor yang dinyatakan di atas, kemerosotan tamadun Islam turut didorong faktor
kelemahan berfikir dan bertindak di kalangan umat Islam. Menurut Bennabi, golongan reformis ingin
mengubah manusia, tetapi malangnya mereka tidak kelihatan di tempat-tempat seperti di kedai kopi, pasar
dan tempat-tempat awam yang terdedah kepada pelbagai kejahatan. Oleh itu, matlamat perubahan atau
reformasi yang ingin dibawa ke dalam masyarakat tidak mendapat tempat dan menjadi terpinggir dari
arus perdana. Masyarakat pasca al-Muwahhid menurut beliau juga cenderung membuat silogisme iaitu
Islam agama yang lengkap dan sempurna, maka orang Islam telah sempurna. Kepercayaan seperti ini
menyebabkan umat Islam menganggap mereka tidak perlu melakukan sesuatu untuk meningkatkan taraf
hidup. Dalam erti kata lain, umat Islam tidak bersungguh-sungguh untuk mencapai kesempurnaan
(1991).

Bennabi menganggap keengganan melakukan proses muhasabah terhadap diri sendiri
mengakibatkan berlakunya kebejatan moral dan akhirnya melumpuhkan kekuatan intelek. Ini berlaku
apabila seseorang tidak berusaha untuk menyempurnakan moral dirinya. Akhirnya ia berhenti daripada
mengubah keadaan hidupnya dan lama-kelamaan fikirannya menjadi kaku. Keadaan yang wujud pada
masa ini amat jauh berbeza jika dibandingkan dengan generasi terdahulu, di mana para sahabat seperti
Umar al-Khattab sentiasa bermuhasabah dan menangis apabila mengenangkan kesalahan-kesalahannya
(1991).

Bennabi menambah lagi bahawa ketiadaan hubungan antara pemikiran dan tindakan bermakna
tindakan yang diambil lebih bersifat ad-hoc, manakala tafsiran pemikiran yang tidak tepat pula
menghasilkan tindakan yang tidak tepat sama ada terlalu berlebihan atau berkurangan. Persoalan ini
melahirkan psikosis di kalangan umat Islam, iaitu sikap mengambil mudah terhadap sesuatu perkara.
Atau menganggap sesuatu perkara sebagai terlalu sukar sehingga melumpuhkan tindakan. Bennabi (1991)
membawa beberapa contoh penyakit jiwa yang melanda umat Islam berdasarkan tiga premis penting:

Kita tidak boleh melakukan apa-apa kerana kita jahil;
Kita tidak boleh mencapainya kerana kita miskin;
Kita tidak boleh melakukan kerja ini kerana wujudnya penjajahan.

Ketiga-tiga premis ini menjadi sebati dalam pemikiran ummah sehingga menyebabkan jiwa mereka
kerdil.

Faktor-faktor di atas mewujudkan apa yang disebut oleh Bennabi sebagai keadaan
kebolehjajahan atau colonisibility. Ertinya, sekalipun Bennabi mengakui penjajahan sebagai faktor utama
yang menyebabkan umat Islam menjadi muflis dan lemah semangat, beliau lebih menekankan aspek
dalaman umat Islam yang menjadi punca dan penyebab berlakunya penjajahan tersebut. Walaupun
penjajahan memang sering dilihat sebagai negatif, tetapi implikasinya ia membantu mereka yang dijajah
mengatasi kelemahan diri dan membebaskan sifat-sifat keupayaan yang selama ini terus terpendam.
Hakikat ini merujuk kepada fakta sejarah di mana penjajahan tidak pernah kekal abadi. Untuk
membebaskan diri daripada kesan penjajahan, umat Islam mestilah mengelakkan puncanya iaitu keadaan
yang boleh dijajah (Asma Rashid, 1997).


Gerakan reformis dan modenis serta kesannya terhadap pembangunan umat Islam

Bennabi hidup di zaman di mana kebangkitan Islam dipengaruhi oleh gerakan Islah atau reformis
yang memberi dimensi baru kepada perkembangan Islam. Walaupun Bennabi berminat dengan gerakan
Islah dan mengakui pengaruhnya kepada masyarakat Islam, beliau berpendapat perjuangan gerakan
tersebut tidak akan sampai ke mana kerana ia tidak membanteras punca sebenar permasalahan umat Islam
pasca era al-Muwahhid. Bennabi menganggap persoalan yang dihadapi dalam menangani permasalahan
orang Islam selepas al-Muwahhid bukanlah untuk mengajar mereka tentang keyakinan agama tetapi
mengembalikan keyakinan itu pada keberkesanannya. Hal ini kerana keyakinan tersebut telah kehilangan
cahaya sosialnya dan umat Islam menjadi umat yang terasing dan bersifat individualistik (Fawzia Bariun,
1993).

Tugas ini memerlukan reformasi umum, bukan hanya tertumpu kepada aspek teologi seperti
mana yang diusahakan oleh golongan reformis. Bennabi (1991) juga mendakwa golongan reformis
sendiri turut terperangkap dan menyumbang ke arah pengekalan kecenderungan masyarakat Islam pasca
al-Muwahhid iaitu:
Tidak mengendahkan soal kecekapan;
Idea yang menumpu kepada institusi budaya yang telah kehilangan matlamat sosialnya;
Lebih bergantung kepada kata-kata yang tidak bermakna, bersifat retorik, bersemangat dan
bahasa sastera yang indah tetapi kosong;
Sukatan pelajaran dan kaedah pembelajaran yang tidak berubah sejak zaman pertengahan; dan
Orientasi bersifat apologi yang telah memberi kesan terhadap usaha intelektual yang tidak lagi
mengarah kepada masa kini dan masa hadapan, tetapi mundur ke belakang dan asyik dengan
kegemilangan masa lampau.

Kegagalan golongan reformis seperti al-Afghani, Abduh, Arslan dan lain-lain lagi menurut
Bennabi adalah disebabkan oleh sistem pemikiran mereka yang mengabaikan perancangan, kekurangan
metodologi saintifik serta tidak diorientasi ke arah bersikap kritis dan analitis. Dalam menghadapi cabaran
Barat, mereka hanya bersikap reaktif, defensif dan apologetik untuk membuktikan keunggulan nilai-nilai
Islam (Fawzia Bariun, 1993). Menurut Bennabi lagi, jelas bahawa usaha golongan reformis mengabaikan
kaedah menghadapi cabaran Barat secara teratur dan sistematik, serta tidak menjawab persoalan
bagaimana hendak mengubah bentuk jiwa Islam atau menterjemahkan fungsi sosial agama menjadi
kenyataan. Gerakan modenis yang dipelopori oleh mereka yang dipengaruhi idea-idea Barat pula menurut
Bennabi, tidak berorientasikan tindakan dan cara tetapi cenderung kepada fesyen, citarasa dan keinginan.
Lebih malang lagi, gerakan tersebut tidak mempunyai doktrin yang jelas dari segi cara dan hala tujunya.
Yang jelas adalah membawa orang Islam menjadi pengikut yang setia kepada Barat (Bennabi, 1991).



Dalam bukunya yang berjudul Hadith fi al-Jadid, Bennabi telah merumuskan sebab-sebab utama
kegagalan gerakan reformis dan modenis, iaitu:
Tidak mempunyai matlamat dan hala tuju yang jelas. Semua percubaan dan spekulasi yang dilaksanakan
tidak menyeluruh dan sempurna. Pemimpin-pemimpin gerakan tersebut juga tidak menjadikan tamadun
sebagai target utama. Justeru mereka hanya membazirkan masa dan cara kerana mengabaikan sejarah dan
tidak melihatnya sebagai suatu proses sosial.
Kegagalan mereka menanggapi nature sesuatu permasalahan sosial dan menyedari bahawa isu sebenar
melangkaui dimensi spiritual, budaya dan moral, lebih daripada isu material. Suatu kelahiran semula,
khususnya dalam aspek budaya merupakan satu-satunya alat yang berkesan untuk mengubah kebiasaan
mental yang sekian lama menghalang kebangkitan orang Islam.
Tidak mempunyai cara yang jelas dan konkrit serta gagal menentukan starting point dalam proses
mengubah masyarakat yang beku (Bennabi, 1991).


Agama sebagai pemangkin tamadun
Menurut Bennabi, agama ialah permulaan bagi kemunculan mana-mana tamadun. Ia ialah
catalyst atau pemangkin kepada elemen manusia, masa dan tanah (bumi) dalam suatu kitaran tamadun.
Agama juga dapat mencetus nilai-nilai sosial dalam bentuk idea kolektif yang lebih berkesan. Walau
bagaimanapun, agama akan kehilangan peranan sosialnya apabila penganutnya kehilangan tension of
religion iaitu kehausan untuk memahami dan kehendak untuk bertindak (Fawzia Bariun, 1993).

Bennabi menganggap manusia, tanah (bumi) dan masa sebagai elemen-elemen penting dalam
sesuatu tamadun. Beliau mencipta suatu formula yang mudah bagi menghuraikan perkaitan antara ketiga-
tiga elemen tersebut seperti berikut:

Manusia + Tanah (Bumi) + Masa = Tamadun
Dalam teori tamadunnya, Bennabi menekankan bahawa manusia merupakan faktor paling penting
kerana ia adalah lambang utama masyarakat...jika ia bergerak, masyarakat dan sejarah akan bergerak,
tetapi jika ia berhenti maka masyarakat dan sejarah juga terhenti.. (Fawzia Bariun, 1993). Cabaran paling
besar yang dihadapi oleh orang Islam dalam konteks ini ialah untuk mencipta manusia yang berupaya
memanfaatkan tanah, masa dan kreativiti mereka untuk mencapai matlamat yang besar dalam sejarah.
Menurut beliau, manusia ialah makhluk biologi dari sudut karektor fisiologinya dan merupakan makhluk
sosial dari sudut mental dan psikologinya. Justeru sepanjang sejarah, interaksi manusia dengan masa dan
ruang harus mengambil kira identiti manusia sebagai personaliti sosial yang dipengaruhi oleh
pengalaman-pengalaman lepas dan kebiasaan-kebiasaannya dalam membentuk sikap mereka terhadap
kehidupan dan masa hadapan.
Dalam menganalisis kedua-dua elemen penting dalam tamadun selain manusia, iaitu tanah (bumi)
dan masa, Bennabi ternyata amat teliti dalam penggunaan istilah atau terma. Beliau tidak menggunakan
istilah benda atau madda, sebaliknya memilih tanah atau turab bagi menunjukkan pemilikan, kawalan
teknikal dan jaminan sosial dan keselamatan, selain menunjukkan rasa cinta terhadap tanah air dan
harapan kepada kemakmurannya. Tanah juga menurut Bennabi membawa makna yang lebih luas iaitu
seluruh bahan mentah. Lebih jelas lagi, semua tamadun manusia bermula dengan pertanian, dan Bennabi
percaya dengan memanfaatkan sumber-sumber semula jadi yang sedia ada sangat penting kepada
kewujudan manusia. Dari perspektif Islam pula, tanah boleh difahami sebagai seluruh alam yang
diciptakan oleh Allah untuk dimanfaatkan oleh manusia sebagai khalifah-Nya. Masa pula dianggap oleh
Bennabi sebagai unsur penting dalam sejarah dan tamadun kerana ia mengawal aspek perancangan dan
produktiviti masyarakat. Justeru Bennabi menekankan bahawa penggunaan masa bukan semata-mata
untuk melaksanakan sesuatu tanggungjawab, tetapi lebih daripada itu ialah untuk melaksanakannya dalam
rangka waktu yang singkat untuk meningkatkan tahap pembangunan (Fawzia Bariun, 1993).

Orientasi untuk mengatasi kemunduran umat Islam
Setelah mengkaji fenomena tamadun dan manusia secara teliti, Bennabi menyimpulkan bahawa
fokus utama dalam usaha mengubah keadaan umat Islam yang wujud pada masa ini terletak dalam aspek
budaya kerana ia adalah rangka rujuk bagi idea-idea dan tindakan yang menyatukan seluruh peringkat
masyarakat dari khalifah sehingga orang Badwi dalam masyarakat Islam.
Dalam gagasan projek pemurnian budaya atau culture purification, Bennabi (1994)
menekankan kepada dua jenis elemen yang memberikan kesan yang penting, iaitu:
Memusnahkan elemen-elemen budaya yang negatif yang menyebabkan kemunduran;
Membina dan menyuburkan elemen-elemen positif dan aktif yang perlu untuk menjana semula
tamadun ummah
Dari sudut sains sosial, budaya mengandungi dua komponen utama yang bersepadu, iaitu yang
bersifat material dan non-material. Bagi Bennabi, unsur non-material iaitu idea lebih penting daripada
benda kerana ia adalah kekayaan sebenar yang tidak akan musnah. Justeru, pembinaan semula budaya
orang Islam menurutnya harus bermula dengan memeriksa dan menyaring stok idea orang Islam, sama
ada yang berbentuk natural ideas yang berakar dari sumber Islam atau pun invented ideas yang
merupakan idea-idea yang dipinjam oleh umat Islam (Bennabi, 1994). Proses penyaringan ini perlu untuk
menyingkirkan idea-idea yang tidak bermanfaat kepada umat Islam yang menyebabkan kemundurannya.
Selain budaya, Bennabi juga berpendapat bahawa untuk mengatasi kemunduran umat Islam,
konflik antara pelbagai kuasa dalam masyarakat hendaklah dielakkan. Dalam bukunya yang berjudul
Wijhat al-Alam al-Islami, beliau merujuk hal tersebut secara khusus kepada konflik yang tidak
berkesudahan antara golongan modenis dan reformis yang hanya merugikan umat Islam. Faktor terakhir
yang penting dalam usaha mengembalikan kegemilangan tamadun Islam menurut Bennabi ialah
perancangan kerana ia memberi kesan positif kepada keadaan sosio-psikologi manusia dan masyarakat
melalui penetapan matlamat dan menentukan metod yang praktikal untuk mencapai matlamat tersebut
(Fawzia Bariun, 1993). Walau bagaimanapun, Bennabi tidak menghuraikan aspek perancangan ini secara
lebih terperinci, malah beliau lebih jelas berminat menumpukan soal budaya.


Globalisasi dan Cabarannya
Globalisasi bukanlah suatu fenomena ekonomi semata-mata, tetapi lebih daripada itu globalisasi
mengambil berat terhadap nilai-nilai manusia. Perbincangan awal mengenai globalisasi ditandai oleh
penulisan Kenichi Ohmae, seorang pakar strategi Jepun dalam bukunya The Borderless World (1994)
yang mencetuskan idea kemunculan dunia tanpa sempadan atau a global village. Kemunculan idea ini
selari dengan perkembangan dunia Barat yang mengalami proses transformasi sosial, ekonomi dan politik
yang hebat sejak zaman Pencerahan (Enlightenment), kemudiannya diikuti pula zaman Industri/Moden
dan kini zaman atau era yang diperbahaskan sebagai pasca-industri (post-industrial) atau pasca-moden
(post-modern). Kesan-kesan daripada proses transformasi sosio-ekonomi-politik ini telah menghasilkan
perubahan-perubahan yang berskala besar dalam struktur masyarakat Barat dan kerana Barat telah muncul
sebagai kuasa dominan dunia seawal abad ke 17 Masehi akibat kemajuan ilmu, ekonomi dan
perindustrian yang telah memungkinkan mereka menjajah dunia, kesan-kesan perubahan yang dialami
oleh masyarakat Barat ini telah mempengaruhi masyarakat dunia, terutama dengan tercetusnya teknologi
telekomunikasi serta pengangkutan yang memungkinkan manusia berhubung secara lebih efektif dan
berkesan.
2

Perbincangan tentang definisi globalisasi menunjukkan terdapat kepelbagaian pandangan di
kalangan para pengkaji sosial, justeru sukar untuk dinyatakan secara tepat definisi yang paling baik bagi
menjelaskan maksudnya. Terdapat pandangan bahawa globalisasi adalah suatu hasil daripada deregulasi
pasaran ekonomi dan integrasi teknologi maklumat dalam perniagaan, perbankan, penyiaran media dan
telekomunikasi (Ali Mohammadi dan Muhammad Ahsan, 2002). Pembangunan ini, menurut mereka,
amat hampir persamaannya dengan situasi yang memunculkan pembahagian dunia kepada pembaratan
dan penjajahan. Justeru globalisasi sebagai satu konsep, adalah merujuk kepada the compression of the
world as well as its intensification (Robertson, 1992). Dalam konteks ini, Robertson (1987) menjelaskan
bahawa globalisasi adalah suatu proses perubahan sejarah (a process of historical change) yang
didefinisikan sebagai the crystallization of the entire world as a single place iaitu proses di mana
seluruh dunia dianggap sebagai satu tempat kediaman yang terhasil daripada kemunculan situasi global
dalam kehidupan manusia (the emergence of a global-human condition). Fenomena globalisasi ini, tegas
Ali Mohammadi dan Muhammad Ahsan (2002), bukanlah suatu fenomena baru tetapi apa yang baru ialah
keluasan dan tahap integrasi global berlaku, terutamanya sepanjang dua dekad yang lepas.
Sebagaimana Robertson, Ali Mazrui (1998) melihat globalisasi dalam konteks sejarah, iaitu
sejarah tentang kuasa (power). Beliau mengasaskan analisanya berdasarkan empat bentuk daya (forces)
yang menggerakkan proses globalisasi, iaitu agama, teknologi, ekonomi dan peranan empayar yang
akhirnya membawa kepada suatu dunia yang homogenis dan seterusnya berlakunya hegemoni budaya.
Mazrui berpandangan bahawa punca semua perubahan ini adalah liberalisasi ekonomi pasaran yang
dikuatkuasakan oleh badan ekonomi dunia seperti International Monetary Fund (IMF) dan juga Bank
Dunia (World Bank). Dasar utama ekonomi ini menurut beliau, adalah budaya Eurocentric yang
menghasilkan ketidakseimbangan dan ketidakadilan dalam budaya dan ekonomi global di mana menurut
laporan bank Dunia pada tahun 1999 menunjukkan terdapat lebih 1.7 bilion orang hidup di bawah paras
kemiskinan tegar (extreme poverty). Beliau juga menegaskan bahawa globalisasi adalah peringkat terakhir
dalam sejarah dengan terciptanya perkahwinan di antara revolusi industri dengan teknologi informasi
yang menghasilkan homogenisasi dan hegemonisasi
3
.

2
Menurut Ali Mohammadi dan Muhammad Ahsan (2002) dalam buku mereka Globalization or Recolonisation?
menjelaskan bahawa pembangunan utama yang muncul di Barat adalah hasil daripada kemodenan yang
bersumberkan kajian saintifik dan rasional. Dunia Barat sejak zaman Perang Salib telah menyedari bahawa
kemajuan dalam penyelidikan dan pembangunan adalah satu-satunya cara untuk manusia mencapai kemajuan dan
pembangunan.
3
Homogenisasi berasal dari perkataan Inggeris homogeneous yang bermaksud bentuk bahagian-bahagian yang
mempunyai jenis yang sama (formed of parts that are all of the same type) atau homogeneity sebagai kualiti
persamaan (the quality of being alike) manakala hegemonisasi berasal dari perkataan Inggeris hegemonization yang
bermaksud kawalan atau kepimpinan terutama oleh satu negara ke atas negara-negara lain dalam satu kumpulan
(control or leardership especially by one country over others within a group). (Hornby, 1995, Oxford Advanced
Learners Dictionary, Oxford: Oxford University Press).
Sifat globalisasi masa kini yang ditanggapi secara negatif oleh segolongan pemikir Islam adalah
bersandarkan dasar globalisasi moden yang bercirikan sekular, liberalisasi pemikiran, sosial, politik dan
ekonomi monopoli dan hal ini justeru tidak sukar untuk difahami. Globalisasi justeru disinonimkan
dengan proses recolonisation atau penjajahan semula Barat ke atas dunia, terutamanya dunia Islam.
Realitinya, arus globalisasi adalah sesuatu yang tidak mampu ditahan oleh mana-mana pihak, disebabkan
oleh sifat tamadun masa kini yang bertunjangkan teknologi media dan telekomunikasi yang
memungkinkan berlakunya globalisasi pemikiran dan budaya apabila segala maklumat menerobos masuk
ke dalam setiap rumah umat Islam tanpa sekatan. Manakala globalisasi ekonomi dan politik pula berlaku
melalui proses liberalisasi dan deregulasi pasaran ekonomi dunia serta sistem politik ke arah demokrasi
ala Barat. Tanpa melihat proses globalisasi ini secara terasing, kesemua sisi globalisasi pemikiran,
budaya, sosial, ekonomi dan politik - menjadi ciri penting dunia hari ini dan akan datang, sekaligus
menjadi cabaran kepada umat Islam untuk menanganinya dengan kebijaksanaan.


Perbincangan dan Penutup

Jika kita cuba menghubungkan analisa Bennabi tentang tamadun umat Islam dengan realiti
globalisasi semasa yang menjadi antara cabaran utama Ummah dalam mendepani situasi zaman ini,
adalah jelas bahawa pemurnian komponen idea umat Islam (the realm of ideas) yang menjadi punca
kemunduran pemikiran Ummah dari segi penghasilan ilmu pengetahuan (the production of knowledge)
yang sesuai dengan keperluan zamannya merupakan antara isu dan dilemma penting Ummah masa kini.
Komponen ini berkait rapat pula dengan elemen budaya iaitu wujudnya budaya anti-ilmu atau anti-
intelektualisme yang masih mengakar dalam masyarakat dalam bentuk pemujaan berlebihan kepada
budaya hedonisme, mistisisme dan bebalisme, meminjam istilah Syed Husin Al-Attas. Arus globalisasi
justeru seolah-olah semakin menghanyutkan jati diri umat Islam, yang tanpa persiapan yang mantap
menjadi semakin terpinggir dalam semua keadaan.

Untuk mengaplikasikan cadangan penyucian budaya atau cultural purification oleh Bennabi
bukanlah suatu yang mudah kerana asas-asas serta sendi-sendi masyarakat Islam yang telah mengalami
proses transformasi sosial, politik dan ekonomi yang berterusan hasil pengaruh dan kesan globalisasi ini.
Ia juga bergantung kepada sejauh mana umat Islam menanggapi erti globalisasi, sama ada secara positif,
iaitu sebagai satu peluang ataupun secara negatif, iaitu sebagai musuh. Tanpa menafikan kenyataan dan
hakikat globalisasi moden yang lahir dari akar tradisi masyarakat Barat era pasca-Pencerahan, nilai asas
yang perlu dikenalpasti oleh umat Islam ialah komponen budaya dalam globalisasi, serta komponen mesej
manusiawinya. Sepertimana juga proses asimilasi agama berlaku dalam budaya dan adat masyarakat
Islam, proses asimilasi budaya dan sistem yang dibawa oleh globalisasi perlu disaring seperti yang
dicadangkan oleh Bennabi. Sebagai seorang ahli fikir, Bennabi boleh dianggap berjaya mengkaji dan
membedah penyakit yang melanda umat Islam hari ini. Pendekatan beliau yang menggabungkan aspek
sejarah, sosiologi dan kaedah saintifik mampu memberi dimensi yang lebih luas, menyeluruh dan
praktikal dalam menganalisis malaise ummah masa kini. Walaupun lebih tiga dekad beliau meninggalkan
umat Islam, idea-ideanya masih segar dan relevan. Signifikasi idea-idea Bennabi mengenai dinamisme
tamadun, terutama konsep manusia, tanah dan masa sebagai elemen penting untuk menghasilkan tamadun
iaitu melalui pembangunan modal insan (manusia), sumber penghidupan dan perekonomian (tanah) dan
juga masa adalah amat perlu dibangunkan secara lebih sistematik.

Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh golongan intelektual Muslim dalam bentuk pengkajian
terhadap nilai-nilai konseptual Islam sebagai parameter asas yang membina dan mengawal logos atau
ruang lingkup pemikiran Islam serta tindakan-tindakan dinamis yang terhasil daripadanya, selari dengan
keperluan semasa. Golongan intelektual Islam hari ini perlu meneroka lebih jauh, terutama dalam
membina alternatif-alternatif penyelesaian Islam yang lebih praktikal dalam konteks masa kini dan masa
hadapan serta mampu menyaingi alternatif-alternatif sistem yang dipelopori oleh Barat. Intelektual Islam
perlu mengkaji punca-punca kelemahan umat Islam daripada perspektif kajian yang bersifat holistik dan
multi-disiplin serta mencadangkan kaedah-kaedah penyelesaian yang relevan dengan keperluan zaman.
Justeru para intelektual Islam perlu memahami dinamika masyarakat Islam, bahkan lebih penting
daripada itu, merasai denyut nadi masyarakat dengan terlibat secara langsung menangani isu-isu dan
permasalahan akibat daripada pengaruh negatif globalisasi.



















BIBLIOGRAFI

Ali Mohammadi dan Muhammad Ahsan. 2002. Globalization or Recolonisation? London: Ta-Ha
Publishers Ltd.

Fawzia Bariun. 1993. Malik Bennabi: His Life and Theory of Civilization. Kuala Lumpur:
Angkatan Belia Islam Malaysia.

Hornby, AS. 1995. Oxford Advanced Learners Dictionary. Oxford: Oxford University Press.

Malik Bennabi. 1983. Muzakkirat Syahid lil-Qarni. Darul Fikr: Damsyiq.

Malik Bennabi. 1991. Islam dalam Sejarah dan Masyarakat. (Terjemahan). Dewan
Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Malik Bennabi. 1991. Islam in History and Society. (Translation). Berita Publishing:
Kuala Lumpur.

Malik Bennabi. 1994. The Problem of Ideas in the Muslim World. (Translation).
Angkatan Belia Islam Malaysia: Kuala Lumpur.

Mazrui, Ali. Islamic and Western Values. Foreign Affairs, September-Oktober. 1997.

Ohmae, Kenichi. 1990. The Borderless World: Power and Strategy in the Interlinked Economy.
London: Collins.

Robertson, Roland. 1987. Globalization and Social Modernization: A Note on Japan and
Japanese Religion. Sociological Analysis, Vol.47 (S).

Robertson, Roland. 1992. Globalisation. London: Sage.


JURNAL

Malik Bennabi. 1997. (Translation). Asma Rashid. The Conditions of the Renaissance.
Islamic Studies 36:4. hal. 643-655.

Anda mungkin juga menyukai