Anda di halaman 1dari 8

PANDUAN BERPIDATO

Oleh Azlee Ashraf Bin Ruslee


Universiti Keio, Tokyo

1.0

2.0 KONSEP PIDATO

Pidato ialah syarahan kepada umum, atas tajuk tertentu yang disampaikan oleh
seorang penyampai yang dipanggil “pemidato”, mengandungi pendahuluan, isi, dan
penutup.

3.0 TUJUAN PIDATO

Pidato bertujuan menyampaikan idea berkenaan sesuatu isu kepada hadirin, dalam
masa yang sama meyakinkan hadirin tersebut melalui cara pembawaan pidato.
Pemidato mestilah memahami tujuan pidato ini terlebih dahulu.

Beza Istilah
Kita sering terkeliru dengan istilah “pidato”, “ucapan”, dan “syarahan”. Persamaan
kesemua ini ialah, disampaikan oleh seorang penyampai kepada khalayak. Ini berbeza
dengan bahas atau debat yang disampaikan secara berkumpulan bertujuan
mengalahkan pihak lawan. Pada hemat saya, pada asasnya pidato dan syarahan
sama. Tidak banyak perbezaan antara kedua-duanya kecuali konteks yang dilihat oleh
masyarakat. Syarahan boleh dilihat daripada beberapa konteks. Yang pertama ialah
konteks syariah dan akidah. Seringkali penyampaian yang berkisar akidah, syariah,
sirah dan fiqah disebut syarahan. Pertandingan bercakap sempena Maal Hijrah juga
disebut “Pertandingan Syarahan”. Yang kedua ialah penyampaian panjang lebar oleh
tokoh-tokoh, khususnya ahli akademik berkenaan sesuatu. Ini juga dipanggil syarahan.
Sebab itulah pendidik di universiti digelar pensyarah. Yang ketiga, seperti yang pertama
tadi, tetapi tidak menyebut hal-hal kerukunan Islam dan iman, tidak menyebut sirah nabi
dan lain-lain, juga disebut syarahan.

Yang disebut pidato ialah syarahan, tetapi dalam konteks yang pertama dan ketiga.
Konteks kedua tidaklah dipanggil pidato kerana ia merupakan persembahan yang
menggunakan teks dan bahan rujukan yang banyak semasa menyampaikan.
Sementara ucapan pula membawa maksud yang berbeza. Ucapan biasanya berkaitan
dengan sesuatu majlis atau upacara, dibuat semasa awal atau akhir majlis tersebut
berlangsung. Ucapan biasanya boleh menyentuh hal-hal lain selain topik yang
diberikan, atau juga boleh menyentuh dua tiga perkara sekali gus, tidak seperti pidato
yang hanya bertumpu kepada satu topik sahaja. Memilih dan Memahami Tajuk
Sekiranya tajuk boleh dipilih, kita hendaklah memilih tajuk yang mana kita
berpengalaman atau berpengetahuan luas tentangnya. Hal ini demikian supaya kita
yakin dengan apa yang disampaikan. Bermula dengan keyakinan diri sendirilah kita
dapat meyakinkan hadirin. Walau bagaimanapun, sekiranya tajuk tidak diberi pilihan,
kita hendaklah memahami dahulu tajuk yang diberi, seterusnyua membuat kajian dan
bacaan yang mendalam tentangnya. Konsep sesuatu tajuk itu perlu difahami terlebih
dahulu. Misalnya, jika diberi tajuk “Negara Kita Tanggungjawab Kita”, apakah yang
dikehendaki oleh tajuk tersebut? Sekali lalu memang sukar untuk memikirkan apa yang
boleh kita cakapkan tentang tajuk tersebut. Tetapi kita boleh analisis. Adakah tajuk itu
mahukan “kesan”, “faktor”, “peranan” ataupun ia mahu dilihat daripada pelbagai
“konteks”. Dalam memahami tajuk yang bersifat umum seperti ini, terpulang kepada kita
bagaimana membawanya. Sekiranya kita ingin menganggapnya sebagai “kesan”, maka
kita boleh bawa tajuk itu sebagai “Apakah kesan sekiranya rakyat bertanggungjawab
terhadap negara”, tetapi sekiranya peranan, maka kita boleh membawanya “Apakah
peranan kita sebagai warga Malaysia” dan sebagainya. Sekiranya kita mahu melihatnya
daripada pelbagai “konteks”, maka kita boleh melihat tanggungjawab kita dalam
konteks ekonomi, sosial dan sebagainya. Sekiranya tajuk yang lebih spesifik diberi
seperti “Peranan Pelajar Dalam Arus Globalisasi”, maka lebih mudah. Tak perlu pening-
pening memikirkan apa yang dikehendaki tajuk. Sudah tentu peranan yang
dikehendaki. Cuma jangan lupa kaitkan dengan arus globalisasi.
Lain dengan Bahas (Debat)!
Dalam memahami tajuk juga, pidato sedikit berbeza dengan bahas. Dalam bahas,
konsep sesebuah tajuk (usul dalam istilah bahas) itu perlu difahami dengan teliti supaya
dapat menyerang lawan dengan berkesan dan dapat melindungi diri di sebaliknya.
Dalam bahas, kita harus berhati-hati dengan perkataan-perkataan seperti “mampu”,
“berupaya”, “asas”, “pemangkin”, “penggerak” dan beberapa perkataan lagi.
Sebagai contoh, “Akhbar Utusan Mampu Membentuk Akhlak Masyarakat”. Kenyataan
ini boleh difahami dengan dua cara. Yang pertama, “ada atau tidak” kemampuan
akhbar Utusan membentuk akhlak masyarakat. Sekiranya faktor yang membentuk
akhlak itu ada, walaupun satu peratus, maka dikira akhbar utusan mampu! Misalnya,
akhbar Utusan mempunyai pembaca yang ramai dan penulis yang berpengaruh dan
berpengalaman. Maka ini menjamin akhbar tersebut berkemampuan membentuk akhlak
masyarakat. Soal masyarakat sekarang rosak akhlaknya atau tidak, tidak timbul sama
sekali, kerana kita hanya membicarakan kemampuan akhbar itu sahaja, bukan
kesannya.

Cara kedua memahaminya ialah, akhbar Utusan itu “mampu”, sekiranya ia terbukti
berjaya mendidik masyarakat. Sekiranya orang yang membaca Utusan mengubah
tingkahlakunya, daripada jahat kepada baik, daripada tak suka tolong orang kepada
suka menderma, maka akhbar Utusan dikira mampu membentuk akhlak masyarakat.
Faktor-faktor kebolehan penulis Utusan, dan bilangan pembaca yang ramai tidak dilihat,
kerana kesan akhirnya, adakah masyarakat itu terbentuk akhlaknya atau tidak jauh
lebih penting. Kedua-duanya logik! Maka sebab itulah bahas memerlukan pemahaman
konsep sesuatu usul itu dengan jelas. Dalam kes Utusan ini, pihak kerajaan
(pencadang) akan menggunakan pemahaman cara pertama sementara pembangkang
pula cara kedua. Peluang untuk menang adalah 50-50 untuk kedua-dua pasukan, cuma
cara pembawaan yang meyakinkanakan menentukan kemenangan. Cukup cerita
bahas. Dalam pidato, pemahaman konsep yang begitu teliti sebegini adalah tidak perlu,
kerana kita bukan bertikam lidah ketika berpidato. Tiada siapa untuk dilawan. Ingat
tujuan asal pidato, menyampai dan meyakinkan. Maka jika diberi tajuk “Akhbar Utusan
Mampu Membentuk Akhlak Masyarakat”, seperti yang telah dibincangkan tadi, analisis
tajuk ini, dan fikirkan isi-isi yang meyakinkan. Yang lebih penting daripada isi ialah cara
pembawaan!

Sangat-sangat penting : Masa


Masa sangat-sangat penting. Sangat-sangat! Pidato mesti dirancang dengan baik
supaya tamat tepat pada masanya. Tak ada gunanya bagi isi yang bernas mana
sekalipun, setelah loceng penamat diberikan. Selain tiada markah diberikan, kredibiliti
seorang pemidato akan jatuh apabila terlebih masa. Masa yang diberi berbeza-beza
mengikut pertandingan (sekiranya ia pertandingan). Pidato Piala Diraja memberi 7 minit
kepada setiap peserta. Pendahuluan dan penutup ialah syarat wajib. Antara kedua-
duanya, rancanglah isi. Untuk pidato 7 minit seperti Piala Diraja, berilah empat isi.
Tetapi terdapat juga pidato yang agak pelik seperti Pidato Kepenggunaan yang
mengharapkan semakin banyak isi semakin baik. Untuk pidato seperti ini, berilah 7-8
isi. Terpaksa kurangkan huraian dan contoh. Berlatih banyak kali dengan mengset
masa, sekiranya terlebih, potong mana-mana bahagian yang kurang penting.
Bagaimanapun, sekiranya pada hari pertandingan masa kita terlebih daripada apa yang
dijangka, ingatlah, mengakhiri lebih baik daripada tergantung. Biasanya loceng akan
dibunyikan seminit yang terakhir. Sekiranya kita belum masuk bahagian penutup
apabila loceng ini dibunyikan, dan banyak lagi yang perlu dipidatokan, lupakan sahaja.
Cepat-cepat habiskan isi yang sekarang, dan terus masuk ke penutup. Yang penting,
sebelum loceng tamat dibunyikan, penutup berjaya dihabiskan.
Kalau terlebih setakat 5 saat, masih boleh dimaafkan. Walaupun kita rasa kecewa
kerana banyak isi tidak dapat disampaikan, tetapi jangan lupa, tiada siapa yang tahu
kecuali diri kita sendiri. Untung-untung hakim tak sedar. Yang lebih penting ialah, kita
berjaya berpidato dengan lancar dan profesional.

Pendahuluan, Isi dan Penutup


Cara memulakan pidato bergantung. Ada yang memulakan dengan petikan kata-kata,
pernyataan dan sebagainya. Yang penting pendengar dapat gambaran sedikit
sebanyak tentang apa yang bakal disampaikan nanti.
Isi yang baik pula haruslah mengandungi huraian dan contoh, seperti mana cikgu
darjah 3 anda telah ajar. Namun terdapat keadaan di mana contoh sukar diberi. Dalam
keadaan ini, statistik, keadaan semasa, kata-kata bidalan atau kata-kata orang ternama
dapat menyelamatkan keadaan.
Pada penutup pula eloklah diulang semula isi yang telah kita sampaikan. Kemudian,
nasihat dan ajakan amat sesuai semasa mengakhiri bicara.

Gaya dan Penampilan


Mata dan Kepala
Mata hendaklah memandang muka hadirin dengan adil, kiri, kanan, depan, belakang,
dan tengah, bukan memandang lantai atau siling. Pandangan yang tajam akan
menampakkan keyakinan.

Tangan
Kadangkala sukar mengawal pergerakan tangan kita. Maka cara terbaik ialah…biarkan
tangan anda bergerak sesuka hatinya.

Mulut
Cuba senyum selalu

Intonasi
Jangan bercakap menjerit-jerit atau terlalu perlahan. Gunakan nada semulajadi dan
kawal supaya kelihatan profesional.

Humor
Selitkan unsur-unsur humor. Jangan terlampau banyak.

Emosi
Emosi harus dikawal supaya tidak keterlaluan. Jauhkan daripada mengkritik pihak-pihak
tertentu atau menyentuh sensitiviti perkauman dan keagamaan.
Pakaian
Untuk lelaki, pakailah suit kemas bertali leher dan berkasut kulit. Atau sebagai
alternative, pakailah baju Melayu lengkap bersampin dan bersongkok. Ingat, pakaian
lengkap sangat penting. Jangan sekali-kali berkasut sukan Adidas atau Converse,
walaupun mahal dan baru. Pakailah kasut kulit. Juga jangan berbaju Melayu tidak
bersampin, bersongkok atau berbutang. Jaga kredibiliti dan profesionalisme anda
(dengan kata lain, kemachoan anda).
Bagi perempuan, saya tidak begitu arif, tetapi suit nampak paling sesuai. Kemaskan
tudung atau uruskan rambut dengan rapi.

Bersedia, Bersedia, Bersedia


Yang paling penting ialah bersedia. Kalau anda boleh ulang teks sebanyak 100 kali,
ulanglah. Sampai hafal. Adanya teks di tangan menunjukkan anda tidak cukup bersedia
ketika berpidato. Kalau dibenarkan melihat point-point sekalipun, serlahkan kemachoan
anda dengan tidak membawa apa-apa di tangan. Yang penting, bersedialah, sehingga
ke saat terakhir. Yang membentuk kesempurnaan anda ialah kesediaan anda.
Ambil Perhatian
Pidato Konvensional dan Pidato Gaya Baru Penyampaian pidato telah banyak berubah,
tapi sayang, ramai yang tidak menyedarinya. Pidato Gaya Lama ialah pidato pada
tahun-tahun 70-an, 80-an dan awal 90-an. Pada akhir 1990-an, gaya pidato telah
berbah. Kami menggelar pidato gaya lama ini sebagai Pidato Konvensional. Yang
dimaksudkan Pidato Konvensional ini ialah, pidato dengan ayat yang berbunga-bunga,
analogi yang panjang, dan pidato yang berirama mendayu. Diberikan di sini beberapa
unsur konvensional;
_ “Pada hari yang berbahagia ini, …”
_ “Berdirinya saya di sini ialah untuk …”
_ Pantun, syair, gurindam yang tidak berkaitan dengan isi
dan lain-lain. Dalam pidato konvensional juga, lentok bahasanya ada satu fesyen
tertentu, tetapi sukar saya ekspresikan dalam tulisan ini. Mungkin bila kita berjumpa
boleh saya ajukkan.
Pidato Gaya Baru pula lebih ringkas dan padat, tetapi mudah difahami. Bukan
maksudnya pidato gaya baru ini bosan, sebaliknya humor yang diselitkan juga lebih
berkualiti. Oleh itu nasihat saya, elakkanlah Pidato Konvensional di zaman moden ini.
Ada sesetengah orang boleh geli telinga mendengarnya. Pidato kini lebih berpijak di
bumi nyata, hampir menyerupai ucapan ahli-ahli politik yang meyakinkan sekalian
jelata. Sekali lagi, Pidato dan Bahas Berbeza!
Ramai yang gagal membezakan keduanya. Berikut saya senaraikan beberapa
kesilapan semasa berpidato kerana menggunakan gaya bahas;
• Definisi
Dalam bahas, definisi amat penting. Dalam contoh akhbar Utusan tadi sebagai contoh,
perkataan “mampu” mesti didefinisikan setepat-tepatnya supaya pihak lawan tiada
ruang untuk menyerang. Bagaimanapun, dalam pidato, tiada siapa untuk dilawan. Yang
penting ialah menyampai dan meyakinkan hadirin. Maka pendefinisian tidak perlu sama
sekali. Mungkin pendefinisian ada dalam format Pidato Konvensional (saya pun tak
tau). Tapi jangan sama sekali lakukannya dalam pidato zaman moden ini.
• Hujah dan katakunci
Ramai yang suka memberi pengenalan hujah, sebagai contoh “Hujah saya yang
pertama ialah…melalui kata kunci…”. Yang pertamanya istilah hujah tiada dalam
bidang pidato. Begitu juga dengan kata kunci. Yang keduanya, dalam pidato tidak perlu
memperkenalkan isi yang akan kita bicarakan. Teruskan sahaja dengan isi. Perjalanan
pengucapan hendaklah lancer tanpa ada “isi pertama”, “isi kedua” dan sebagainya.
Cukup dengan menyebutnya semasa penutup sahaja.
Kesimpulan Beberapa Perkara Penting
• Tujuan pidato ialah menyampai dan meyakinkan
• Pemilihan dan penghayatan tajuk sangatlah penting
• Format pendahuluan, isi dan penutup hendaklah difahami betul-betul
• Berhati-hati dengan perbezaan-perbezaan pidato dan bahas
• Gunalah Pidato Gaya Baru, tinggalkan Pidato Konvensional
• Rancang penggunaan masa dengan baik
• Menghabiskan pidato lebih baik daripada menyampaikan semua isi walaupun masa
tak cukup
• Kawal penampilan diri, gaya dan pandangan mata
• Bersedia, bersedia, bersedia
Saya ucapkan selamat berjaya kepada anda. Sila hubungi saya untuk sebarang
pertanyaan atau teguran tentang tulisan ini.

Sekian.
Azlee Ashraf Bin Ruslee
http://merdeka.msaj.net
azlee_ashraf@yahoo.com

Anda mungkin juga menyukai