Anda di halaman 1dari 9

KOLEKSI CERITA RAKYAT

A H A D , 4 O K T O B E R 2 0 0 9
PENGEMBARA YANG LAPAR

Tersebutlah kisah tiga orang sahabat, Kendi, Buyung dan Awang yang sedang
mengembara. Mereka membawa bekalan makanan seperti beras, daging, susu
dan buah-buahan. Apabila penat berjalan mereka berhenti dan memasak
makanan. Jika bertemu kampung, mereka akan singgah membeli makanan
untuk dibuat bekal dalam perjalanan.

Pada suatu hari, mereka tiba di kawasan hutan tebal. Di kawasan itu mereka
tidak bertemu dusun atau kampung. Mereka berhenti dan berehat di bawah
sebatang pokok ara yang rendang. Bekalan makanan pula telah habis. Ketiga-tiga
sahabat ini berasa sangat lapar,

Hai, kalau ada nasi sekawah, aku akan habiskan seorang, tiba-tiba Kendi
mengeluh. Dia mengurut-ngurut perutnya yang lapar. Badannya disandarkan ke
perdu pokok ara.

Kalau lapar begini, ayam panggang sepuluh ekor pun sanggup aku habiskan,
kata Buyung pula.

Janganlah kamu berdua tamak sangat dan bercakap besar pula. Aku pun lapar
juga. Bagi aku, kalau ada nasi sepinggan sudah cukup, Awang bersuara.

Kendi dan Buyung tertawa mendengar kata-kata Awang.

Dengan nasi sepinggan, mana boleh kenyang? Perut kita tersangatlah lapar!
ejek Kendi. Buyung mengangguk tanda bersetuju dengan pendapat Kendi.

Perbualan mereka didengar oleh pokok ara. Pokok itu bersimpati apabila
mendengar keluhan ketiga-tiga pengembara tersebut lalu menggugurkan tiga
helai daun.

Bubb! Kendi, Buyung dan Awang terdengar bunyi seperti benda terjatuh. Mereka
segera mencari benda tersebut dicelah-celah semak. Masing-masing menuju ke
arah yang berlainan.

Eh,ada nasi sekawah! Kendi menjerit kehairanan. Dia menghadap sekawah
nasi yang masih berwap. Tanpa berfikir panjang lalu dia menyuap nasi itu
dengan lahapnya.

Ayam panggang sepuluh ekor! Wah, sedapnya! tiba-tiba Buyung pula melaung
dari arah timur. Serta-merta meleleh air liurnya. Seleranya terbuka. Dengan
pantas dia mengambil ayam yang paling besar lalu makan dengan gelojoh.

Melihatkan Kendi dan Buyung telah mendapat makanan, Awang semakin pantas
meredah semak. Ketika Awang menyelak daun kelembak, dia ternampak
sepinggan nasi berlauk yang terhidang. Awang tersenyum dan mengucapkan
syukur kerana mendapat rezeki. Dia makan dengan tenang.

Selepas makan, Awang rasa segar. Dia berehat semula di bawah pokok ara sambil
memerhatikan Kendi dan Buyung yang sedang meratah makanannya.

Urgh! Kendi sendawa. Perutnya amat kenyang. Nasi di dalam kawah masih
banyak. Dia tidak mampu menghabiskan nasi itu. Kenapa kamu tidak habiskan
kami? tiba-tiba nasi di dalam kawah itu bertanya kepada Kendi.

Aku sudah kenyang, jawab Kendi.

Bukankah kamu telah berjanji akan menghabiskan kami sekawah? Tanya nasi
itu lagi.

Tapi perut aku sudah kenyang, jawab Kendi.

Tiba-tiba nasi itu berkumpul dan mengejar Kendi. Kawah itu menyerkup kepala
Kendi dan nasi-nasi itu menggigit tubuh Kendi. Kendi menjerit meminta tolong.

Buyung juga kekenyangan. Dia cuma dapat menghabiskan seekor ayam sahaja.
Sembilan ekor ayam lagi terbiar di tempat pemanggang. Oleh kerana terlalu
banyak makan, tekaknya berasa loya. Melihat baki ayam-ayam panggang itu, dia
berasa muak dan hendak muntah. Buyung segera mencampakkan ayam-ayam itu
ke dalam semak.

Kenapa kamu tidak habiskan kami? tiba-tiba tanya ayam-ayam panggang itu.

Aku sudah kenyang, kata Buyung. Makan sekor pun perut aku sudah muak,
katanya lagi.

Tiba-tiba muncul sembilan ekor ayam jantan dari celah-celah semak di kawasan
itu. Mereka meluru ke arah Buyung.

Ayam-ayam itu mematuk dan menggeletek tubuh Buyung. Buyung melompat-
lompat sambil meminta tolong.

Awang bagaikan bermimpi melihat gelagat rakan-rakannya. Kendi terpekik dan
terlolong. Buyung pula melompat-lompat dan berguling-guling di atas tanah.
Awang tidak dapat berbuat apa-apa. Dia seperti terpukau melihat kejadian itu.

Akhirnya Kendi dan Buyung mati. Tinggallah Awang seorang diri. Dia
meneruskan semula perjalanannya.

Sebelum berangkat, Awang mengambil pinggan nasi yang telah bersih. Sebutir
nasi pun tidak berbaki di dalam pinggan itu.

Pinggan ini akan mengingatkan aku supaya jangan sombong dan tamak. Makan
biarlah berpada-pada dan tidak membazir, kata Awang lalu beredar
meninggalkan tempat itu.

Pengajaran :

1. Orang tamak selalu rugi.

2. Jangan membazir.














SAHABAT dengan SETERU

Pada zaman dahulu, ada seorang lelaki yang betul-betul jujur dan
baik. Dia sangat ramah dan pemurah. Orang-orang memanggilnya
Sahabat. Pada suatu hari Sahabat memutuskan hendak
mengembara. Dia menjual semua harta bendanya dan membeli seekor
kuda yang sihat. Dia mengenakan pelana dibelakang kuda itu.
Didalam beg pelana itu diisinya makanan dan barang-barang
keperluannya. Dia pun menunggang meninggalkan bandar
kediamannya itu.
Belum berapa jauh dia berjalan, dilihatnya ada seorang ada seorang
penunggang lain mengikutnya dari belakang. Sahabat berhenti
sehingga orang itu sampai kepadanya. Dia menyapa orang itu dan
bertanyakan namanya.
Namaku Seteru, jawabnya.
Sungguh buruk nama itu! seru sahabat. Siapa yang menamakan
engkau?
Ibu bapa akulah, dan semua memanggilku Seteru. Apa yang boleh
kubuat? Namamu siapa?
Sahabat, dia menjawab.
Sahabat dan Seteru setuju mengembara bersama. Mereka terus
menunggang sehingga sampai di sebuah mata air yang sungguh
jernih. Pada waktu tengahari mereka pun berhenti makan.
Oleh sebab kita mengembara bersama, eloklah kita berkongsi
makanan. Tak payahlah kedua-dua kita membuka beg pelana. Kita
mulakan dengan bekalan engkau dahulu. Setelah ia habis nanti, kita
makan pula hak aku, kata Seteru. Sahabat memikirkan cadangan itu
sungguh baik. Dia pun membuka beg pelananya lalu berkongsi
makanan dan minumannya dengan Seteru. Mereka terus memakan
bekalan Sahabat dan mengembara selama beberapa hari lagi sehingga
bekalan itu habis.
Tibalah masanya bagi Seteru berkongsi bekalannya dengan Sahabat.
Tetapi apabila sampai waktu makan, Seteru membawa makanannya
jauh sedikit lalu makan seorang diri. Sahabat tidak berkata apa-apa
kerana dia pemalu dan sopan orangnya. Tetapi beberapa waktu
kemudian dia berasa sangat lapar dan terlalu lemah. Dia pun berkata
kepada Seteru, Kita telah berkongsi makanan. Engkau telah makan
aku punya tapi sekarang tidak mahu pula berkongsi hak engkau
dengan aku.
Aku orang bijak, jawab Seteru. Perjalanan kita mungkin jauh. Jika
aku berkongsi bekalanku dengan engkau, cepatlah ia habis nanti. Kita
akan sama-sama lapar. Jika aku simpan bekalan itu untukku sendiri,
selamatlah aku.
Kalau begitulah sikap kau,tak usahlah kita mengembara bersama
lagi, kata Sahabat.
Bila sampai di satu persimpangan di hadapan, mereka pun berpisah.
Sahabat terus menunggang beberapa lama dan apabila malam tiba,
dia sampai di sebuah kilang lama. Dia melepaskan kuda di kawasan
rumput di situ. Kemudian dia masuk ke kilang kosong itu untuk
bermalam. Sampai di dalam dilihatnya sebongkah batu yang besar
melindungi suatu sudut. Dia pun memanjat untuk berlindung di
sebalik batu. Dia tidur berbantalkan beg pelananya.
Tiba-tiba dia terjaga kerana terdengar bunyi suara. Dia meninjau dari
atas batu itu. Dalam dalam cahaya bulan tiu dia ternampak seekor
singa, harimau, serigala dan musang. Dia berasa ngeri apabila
didengarnya singa berkata, Aku tercium bau manusia! Tetapi
harimau menjawab, Mana ada manusia yang berani masuk ke kilang
ini. Kemudian serigala menambah, Orang yang keras semangat saja
berani masuk ke tempat berpenunggu macam ini. Musang
menyokong dan berkata, Janganlah bimbang. Kita boleh bercerita
seperti biasa.
Mari kita bercerita tentang segala rahsia yang kita tahu, singa
mencadangkan.
Aku tahu satu rahsia yang sangat hampir dengan kita, harimau
memulakan. Dalam kilang ini tedapat banyak tikus yang telah
mengumpulkan banyak wang emas. Di waktu malam dalam bulan
terang, mereka membawa harta itu dan mengaturnya di atas
bumbung. Kemudian dalam cahaya bulan itu mereka menari dan
bermain-main dengan emas yang berkilau-kilau itu. Mereka akan
menyimpan wang emas itu ke dalam lubang mereka yang gelap
sebaik-baik saja pagi tiba.
Sampailah giliran serigala pula. Aku tahu ada seorang raja
mempunyai puteri yang telah gila, katanya. Puteri itu bertambah
kurus dari sehari ke sehari. Dia hanya dapat dipulihkan dengan sejenis
rumput. Seorang gembala ada menanamnya dan memberi biri-birinya
makan akar rumput ini. Biri-birinya adalah yang paling sihat di negeri
ini! Jika sedikit akar itu dimasak dengan susu, ia akan
menyembuhkan penyakit gila puteri itu.
Kini musang pula bercerita tentang rahsianya. Aku tahu ada sebuah
istana lama lebih kurang sebatu dari kilang ini. Di bawahnya ada
sebuah mata air yang jernih dan sedap rasanya yang sudah lama
tersumbat dengan keledak dan kotoran. Di zaman lampau, semasa
airnya masih mengalir keluar, ada sebuah kebun bunga dan buah-
buahan yang sungguh indah. Sekarang tanah di situ sudah gersang.
Setelah selesai, binatang-binatang itu balik ke tempat masing-masing.
Apabila Sahabat telah yakin yang mereka sudah pergi, dia pun keluar
dari tempat persembunyiannya kerana hendak memastikan sama ada
cerita harimau tadi betul atau tidak. Dia naik ke atas bumbung kilang
dan dalam cahaya bulan itu didapatinya banyak wang emas berkilau-
kilauan. Di atasnya banyak tikus sedang menari dengan gembiranya.
Sahabat pun melontar seketul batu kecil untuk menakutkan mereka.
Dengan serta-merta mereka lari masuk lubang masing-masing. Dia
pun mengisi sakunya dengan wang emas. Kemudian dia mengambil
kudanya lalu menunggang ke kampong yang paling dekat untuk terus
bermalam.
Pagi esoknya dia pergi ke pinggir kampong itu. Dia bertemu dengan
seorang gembala yang sedang duduk di tengah-tengah kumpulan biri-
birinya yang gemuk dan sihat itu. Dia teringat akan cerita serigala
semalam, lalu dia pun mendapatkan gembala itu dan meminta sedikit
akar rumput yang istimewa itu. Pada mulanya gembala itu tidak mahu
memberinya tetapi apabila Sahabat menawarkannya wang emas yang
diperolehinya dari tikus itu, dengan senang hati gembala itu
memberikan akar rumput yang ajaib dan sukar dicari itu.
Sahabat terus pergi ke kota tempat tinggal puteri yang sakit itu
tinggal. Semua orang kelihatan muram dan sedih. Mereka
menceritakan cerita yang sama yang didengarnya dari serigala.
Apabila dia menyatakan bahawa dia boleh mengubat puteri itu,
mereka mengingatkannya jika dia gagal, dia akan dihukum bunuh.
Sahabat tidak gentar. Dia pergi ke istana dan terus dibawa kepada
tuan puteri. Dia meminta sedikit susu. Setelah memasaknya dengan
akar tadi, dia memberi tuan puteri itu minum. Beberapa jam
kemudian, mukanya berseri-seri dan dia telah sihat serta riang
semula.
Semua orang dalam negeri itu sungguh gembira. Tuan puteri dan
Sahabat jatuh cinta lalu berkahwin. Raja yang kebetulan tidak
mempunyai putera ingin menabalkan Sahabat menjadi Raja Muda,
tetapi Sahabat ada rancangan yang lebih baik.
Dia membawa isterinya ke tempat runtuhan yang didengarnya dari
musang dahulu. Di sana dia menggali mata air yang jernih dan lazat
itu. Kemudian dibinanya sebuah rumah yang sungguh cantik. Dalam
masa beberapa tahun sahaja, tempat itu bertukar menjadi taman yang
paling indah pernah dilihat di dunia ini.
Pada suatu hari dalam musim bunga Sahabat bersiar-siar dalam
taman bersama isteri dan anak-anaknya. Dilihatnya ada seorang
penunggang kuda jauh di sana. Apabila bertambah dekat, Sahabat
dapati orang itu ialah Seteru, rakan mengembaranya dahulu. Seteru
bertanya bagaimana Sahabat menjadi begitu kaya. Sahabat pun
memberitahu seluruh ceritanya. Oleh kerana iri hati dengan kekayaan
Sahabat, Seteru memutuskan hendak pergi ke kilang lama itu sendiri.
Mungkin dia akan mendapat rahsia baru dari binatang-binatang di
situ dan menjadi kaya seperti Sahabat.
Dia pergi ke kilang lama itu dan bersembunyi di sebalik batu di sudut.
Tidak berapa lama kemudian, singa, harimau, serigala dan musang
pun masuk ke situ, tepat sebagaimana kata Sahabat. Seteru cukup
puas hati. Kini, tentu dia akan mendapat berita baik. Aku tercium bau
manusia! seru singa. Tentu orang yang mendengar dulu tu, kata
harimau. Binatang-binatang lain telah mengetahui bahawa wang emas
tikus telah dicuri orang. Mereka sedar dahulunya singa memang betul
apabila ia menyatakan ada bau manusia di kilang itu. Boleh jadi dia
bersembunyi, celah serigala pula. Mari kita cari, musang
mencadangkan.
Dalam sekejap masa sahaja mereka jumpa Seteru mencangkung di
balik batu. Binatang-binatang itu menariknya keluar lalu
mengoyakkannya dan membahagikannya kepada empat bahagian.
Kemudian mereka makan bahagian masing-masing.
Demikianlah tamatnya riwayat hidup Seteru. Sahabat pula hidup
aman damai bersama tuan puteri selama-lamanya.
Cerita Rakyat Asia. 1993. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pengajaran

1. Jadilah orang yang jujur.

2. Jangan putus asa. Rezaki ada di mana-mana.

3. Elakkan dari cakap tak serupa bikin.

4. Usaha tangga kejayaan.

Anda mungkin juga menyukai