Anda di halaman 1dari 1

FAEDAH MENABUNG

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis.Guru Besar, guru-guru serta rakan-rakan sekalian.
Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah Faedah Menabung.
Hadirin sekelian,
Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang perbelanjaan untuk keperluan
pada masa hadapan. Sebagai contoh, kita boleh mengumpul lebihan wang perbelanjaan
seharian untuk di simpan di bank sebagai tabungan kita. Wang tabungan yang kita simpan itu
bolehlah kita gunakan untuk pelbagai perkara yang penting pada masa hadapan.
Hadirin sekelian,
Antara faedah menabung ialah dapat membantu kita pada masa diperlukan.
Contohnya menggunakan wang tabungan tersebut untuk membeli barang keperluan sekolah.
Ini tentu dapat mengembirakan ibu bapa kita terutamanya jika waktu itu mereka
kekurangan wang dan sebagainya.
Selain itu, menabung juga akan memupuk amalan berjimat-cermat. Kita akan
merancang perbelanjaan agar sebahagian wang perbelanjaan dapat disimpan. Ini akan
menjadikan kita berjimat-cermat dan sentiasa berwaspada agar wang tidak dibelanjakan
sesuka hati.
Di samping itu, menabung boleh mengelakkan kita daripada terlepas sesuatu peluang
baik yang muncul tanpa diduga. Contohnya, kita dapat membeli buku idaman yang jarang-
jarang ditemui dengan menggunakan wang simpanan. Ini tentu mengembirakan kita kerana
memperoleh apa yang sudah lama diidamkan sedangkan pada masa itu ibu bapa kita mungkin
kurang mampu untuk membelinya.
Hadiri yang dihormati sekelian,
Amalan menabung juga dapat mengelakkan pembaziran. Orang yang menabung akan
lebih berhati-hati ketika berbelanja kerana mereka telah membuat perancangan awal
menguruskan wang perbelanjaan mereka. Ini sudah pasti mengelakkan pembaziran kerana
hanya berbelanja untuk perkara-perkara yang betul-betul perlu sahaja.
Seterusnya, menabung juga membolehkan kita membantu orang lain. Contohnya, kita
boleh meminjamkan sebahagian wang simpanan kita untuk bayaran yuran sekolah adik jika
pada masa itu ibu bapa kita memerlukannya. Ini akan mengeratkan tali persaudaraan kerana
membantu mereka ketika dalam kesusahan.
Setakat ini sahajalah syarahan saya pada pagi ini. Akhir kata, saya menyeru kepada
rakan-rakan supaya menjadikan amalan menabung sebagai amalan hidup kerana banyak
faedah yang boleh kita diperolehi daripada amalan ini.
Sekian, Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai