Anda di halaman 1dari 2

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Guru Besar, guru-guru serta rakan-rakan

sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah ‘Faedah Menabung’.

Hadirin sekalian,

Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang perbelanjaan untuk keperluan pada


masa hadapan. Sebagai contoh, kita boleh mengumpul lebihan wang perbelanjaan seharian
untuk disimpan di bank sebagai tabungan kita. Wang tabungan yang kita simpan itu bolehlah
kita gunakan untuk pelbagai perkara yang penting pada masa hadapan.

Hadirin sekalian,

Antara faedah menabung adalah dapat membantu kita pada masa diperlukan. Contohnya
kita boleh menggunakan wang tabungan tersebut untuk membeli barang keperluan sekolah. Ini
tentu dapat mengembirakan ibu bapa kita terutamanya jika waktu itu mereka kekurangan wang
dan sebagainya.

Selain itu, menabung juga akan memupuk amalan berjimat-cermat. Kita akan
merancang perbelanjaan agar sebahagian wang perbelanjaan dapat disimpan. Ini akan
menjadikan kita berjimat-cermat dan sentiasa berwaspada agar wang tidak dibelanjakan sesuka
hati.

Hadiri yang dihormati sekalian,

Menabung juga membolehkan kita membantu orang lain. Contohnya, kita boleh
meminjamkan sebahagian wang simpanan untuk bayaran yuran sekolah adik jika pada masa
itu ibu bapa kita memerlukannya. Ini akan mengeratkan tali persaudaraan kerana membantu
mereka ketika dalam kesusahan.

Setakat ini sahajalah syarahan saya pada pagi ini. Akhir kata, saya menyeru kepada
rakan-rakan supaya menjadikan amalan menabung sebagai amalan hidup kerana banyak
faedah yang boleh kita peroleh daripada amalan ini.

Sekian, terima kasih.


Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Guru Besar, para hakim yang arif lagi bijaksana,
guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Selamat pagi dan salam sejahtera saya ucapkan.

Pada pagi yang mulia ini, saya ingin menyampaikan syarahan yang bertajuk "Membaca
Amalan Mulia".

Sikap membaca perlu dipupuk sejak kecil lagi. Melalui bacaan dapat meningkatkan ilmu
pengetahuan. Ini kerana kebanyakan orang yang maju dan berjaya adalah terdiri daripada
mereka yang minat membaca. Justeru, tanamlah sikap suka membaca dalam kalangan kita
semua.

Sebenarnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mewujudkan sikap ini. Ibu
bapa seharusnya menjadikan amalan ini sebagai kegiatan harian mereka. Apabila anak-anak
melihat ibu bapa mereka sering membaca secara tidak langsung minat mereka turut terpahat.

Hadirin yang budiman,

Buku-buku yang baik perlu dibaca bagi meningkatkan ilmu yang terkandung di
dalamnya. Buku-buku ini akan dapat membentuk peribadi yang mulia berdasarkan nilai-nilai
murni yang terdapat dalam bacaan tersebut.

Selain itu, membaca juga dapat mengisi masa lapang tanpa menghabiskan masa dengan
sesuatu yang tidak berfaedah dan sia-sia.

Akhir kata, saya ingin menyeru kepada semua kawan bahawa jadikan membaca ini satu
amalan seharian. Melalui bacaan, kita dapat menambah dan memperluaskan ilmu pengetahuan
yang sedia ada.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai