Anda di halaman 1dari 7

KAJIAN PERUNDANGAN DALAM

PENGURUSAN HAL EHWAL MURID


Pengenalan
1. Perundangan dalam pengurusan sekolah merupakan satu aspek yang seharusnya diketahui oleh semua
pengurus sekolah. Tambahan pula kebelakangan ini, suasana masyarakat yang semakin terpelajar dan peka
dengan situasi di sekolah telah mendedahkan pengurus dengan dakwaan mahkamah. Kejahilan pengurus
mengenai undang-undang menjadikan banyak tindakan dan perkara dilakukan tanpa mengikut prosedur dan
peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan juga pihak-pihak lain. Dokumendokumen perundangan yang berkaitan perlu diketahui bagi mengelakkan tindakan mahkamah diambil.
Dewasa ini dalam masyarakat yang semakin canggih dan kompleks, tanggungjawab yang dibebankan ke
atas pengurus telah menjadi semakin rumit dan mencabar. Oleh kerana pengurus pendidikan mempunyai
peranan yang bitara dalam masyarakat iaitu membangun manusia, sudah tentulah tanggungjawab dan
amanah yang terpaksa ditanggung adalah besar.
Dakwaan mahkarnah terhadap sekolah dan pendidik sudah menjadi perkara biasa. jika dibuka akhbar boleh
dikatakan saban hari, ada saja berita yang memuatkan perkara seperti ini dilaporkan.
2. Golongan pendidik wajar mengetahui sedikit sebanyak hal-hal yang berkaitan dengan perundangan supaya
kita boleh melaksanakan tugas kita di sekolah dengan lebih selesa dan yakin. Kejahilan pengurus mengenai
aspek perundangan adalah antara satu faktor yang dikenal pasti sebagai punca sekolah dan guru sering
didakwa.
Pengertian Undang-Undang
3. Undang-undang memberikan pengertian yang berbeza bagi setiap orang. Karl Marx sebagai contohnya
menyatakan bahawa undang-undang adalah "alat yang digunakan oleh golongan kapitalis menguasai dan
memeras kelas bawahan".
4. Definisi lain yang lebih positif yang digunakan dalam konteks kita di sekolah ialah "alat yang menghalang
seseorang melakukan sesuatu secara bebas". Sehubungan itu, pihak sekolah biasanya menggubal peraturan
untuk menjadikan murid-murid patuh dan akur dan akhirnya menjadi warga negara yang berguna.

Mengapa Sekolah Mudah Didakwa?


5. Oleh kerana sekolah berperanan mendidik dan membangun manusia untuk hidup dan memberikan
sumbangan positif kepada masyarakat dan negara. Suasana sekolah yang kaya dengan pelbagai ragam dan
tingkahlaku manusia, baik guru mahupun muridnya sudah pasti mengundang pelbagai interpretasi berbeza.
Suatu kesalahan yang dilakukan oleh pelajar dan diambil tindakan oleh pihak sekolah dengan. mengenakan.
dendaan. tertentu mungkin disalah ertikan oleh ibu bapa sebagai deraan atau penghinaan kepada anak
mereka.
6. Perbezaan dalam persepsi dan interpretasi seperti inilah yang menjadikan sekolah mudah didakwa. Bagi
pihak sekolah pula., jika tindakan. yang diambil tidak bertepatan. dengan prosedur dan peraturan yang
ditetapkan sudah tentu akan mengundang pelbagai masalah.
Bagaimana Melindungi Sekolah Daripada Didakwa
7. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyediakan pelbagai buku panduan dan surat-surat
pekeliling ikhtisas daripada masa ke masa dengan tujuan memperingatkan. pengurus sekolah dengan
pengetahuan dan peraturan yang jelas dalam melaksanakan sesuatu tindakan. Pengetahuan dan kefahaman
mengenai perkara ini amat penting dalam mengurus dan. mentadbir aspek hal ehwal. murid.
8. Pihak sekolah dan guru-guru seharusnya sentiasa merujuk semua dokumen yang dikeluarkan supaya ianya
selaras dengan tindakan. yang dilaksanakan. Adalah menjadi tanggungjawab sekolah memastikan setiap
dokumen ini ada dalam simpanan dan menyebarluas kepada sernua warga sekolah. Peringatan-peringatan
seharusnya dibuat dengan kerap kepada sernua warga sekolah mengenai perkara-perkara terbaru berkaitan
dengan guru dan peraturan. Mesyuarat dan ruang-ruang yang sesuai boleh digunakan bagi tujuan ini.
9.

Kepentingan mengetahui aspek-aspek perundangan merupakan satu kemestian dewasa ini kerana guru
sebagai penjawat awam mempunyai tanggungjawab melindungi dan menghormati hak setiap individu yang
ada di sekolah. Guru juga mempunyai tanggungjawab menjadikan mereka sebagai manusia berguna dan
kadangkala ada masanya kita bertindak melampaui bidang yang dibenarkan. Pengetahuan dan. kesedaran
mengenai undang-undang akan. berupaya menghalang guru daripada melakukan. perkara yang
bertentangan dengannya.

Tanggung Jawab Sekolah Kepada Pelajar


10. Secara umumya bila mana murid-murid berada di dalam kawasan pagar sekolah, tanggungjawab menjaga
mereka akan terserah kepada pihak sekolah. Menurut istilah perundangan ini disebut sebagai 'in loco
parentis' yang membawa maksud 'sebagai ganti ibu bapa'. Dalam ertikata lain pihak sekolah mempunyai
tanggungjawab secara langsung bagi memastikan murid-murid diselia dan dilindungi.
11. Tanggungjawab melindungi murid-murid yang disebut sebagai 'the duty of care' merupakan
tanggungjawab melindungi mereka daripada risiko yang boleh dijangka mendatangkan mudarat. Dalam erti
kata lain melakukan sesuatu atau tidak melakukan sesuatu yang boleh dilihat sebagai mendatangkan
kecederaan kepada murid-murid. Darjah tanggungjawab yang terbeban ke atas bahu guru tidak sama bagi
semua keadaan dan bergantung kepada faktor-faktor berikut:
(a)

Bilangan pelajar yang diselia;


Semakin ramai murid semakin rendah tahap
tanggungjawab menyelia oleh guru

(b)

Keadaan aktiviti yang dilakukan;


Aktiviti yang berbahaya memerlukan penyeliaan yang
lebih berbanding dengan yang kurang bahaya.

(c)

Umur dan kemahiran yang ada;


Guru di sekolah rendah mempunyai darjah
tanggungjawab yang lebih besar berbanding dengan guru
di sekolah menengah

(d)

Keadaan alatan yang disediakan;


Alatan yang uzur dan boleh mendatangkan masalah jika
Digunakan, ia perlu diselia dengan bijaksana oleh guru;

(e)

Ketrampilan dan kemampuan pelajar; dan


Aktiviti yang memerlukan ketrampilan tinggi
memerlukan lebih penyeliaan berbanding dengan aktiviti biasa. Kamampuan murid
yang berbeza juga mesti diambil kira.

(f)

Faktor lain yang berbeza mengikut keadaan.

12. Istilah 'boleh mendatangkan mudarat atau bahaya' merupakan satu istilah yang boleh diinterpretasi dalam
pelbagai bentuk oleh mahkamah. Oleh kerana itu adalah menjadi tanggungjawab sekolah bertindak secara
proaktif dan penuh hemah bagi mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku.
Guru Dan Bilik Darjah
13. Apabila murid-murid berada di dalam bilik darjah, tanggungjawab 'the duty of care' akan terletak di atas
tanggungjawab guru berkenaan. Oleh kerana itu, adalah menjadi tanggungjawab guru memastikan pelajar
sentiasa diselia dan diperhatikan supaya tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Insiden guru
meninggalkan kelas atas urusan tertentu dan meninggalkan murid tanpa diawasi adalah merupakan perkara
yang perlu diberikan perhatian serius. Sebarang perkara yang tidak diingini berlaku semasa ketiadaan guru
akan mendedahkan sekolah kepada dakwaan.
14. Peralatan di dalam bilik darjah yang boleh mendatangkan bahaya kepada pelajar hendaklah diberikan
perhatian. Suis elektrik yang pecah dan terdedah, kipas yang bergoyang-goyang ketika digunakan, kerusi
meja yang tajam dan tidak terurus perlu diberikan perhatian oleh guru dan semua staf sekolah yang ada.
Sebarang perkara yang boleh mendatangkan mudarat mesti dihapuskan sama sekali di sekolah. Di samping
itu, jenis-jenis tanaman yang ditanam di kawasan sekolah haruslah sesuai dan tidak beracun. Sebarang
perkara yang boleh mendatangkan bahaya mestilah dihapuskan daripada kawasan sekolah.
15. Di samping perkara di atas, adalah amat mustahak guru-guru yang terlibat dalam aktiviti lasak dan
berbahaya seperti sukan tertentu dan aktiviti perkhemahan mendapat latihan secukupnya sama ada secara
kursus dalaman atau dihantar berkursus di luar. Sebagaimana yang berlaku dalam kes Zazlin Zahira
Kamaruzaman melawan Kerajaan Malaysia yang tercedera semasa kelas muzik, antara hujah hakim yang
menyebelahi pihak defendan ialah faktor guru yang mengajar adalah guru terlatih melalui banyak kursus
yang dilalui. Justeru itu, bagi guru-guru yang bukan opsyen mengajar subjek-subjek tertentu seperti
Kemahiran Hidup dan Sains perlu diberikan latihan dan bimbingan menyelia pelajar semasa kerja amali
atau latihan menggunakan alatan bahaya.
16. Tanggungjawab guru di sekolah secara kasarnya boleh dibahagikan kepada empat perkara utama iaitu:
(a)

Mendidik;
Kebebasan dalam menentukan cara/kaedah, kurikulum, strategi pengajaran dan pembelajaran dan
lain-lain.

(b)

Mengekalkan persekitaran yang sesuai


Kuasa mernastikan bilik darjah aman dan sesuai untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran;

(c)

Mengekalkan tahap kesihatan dan keselamatan


Kuasa untuk memastikan kesihatan dan keselamatan pelajar serta staf
lain terlindung

(d)

Menjaga harta benda awarn di sekolah


Guru mempunyai kuasa untuk membuat tindakan bagi menyelamatkan
harta benda sekolah

Tanggungiawab Sivil Sekolah


17. Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, sekolah dan guru-guru mempunyai tanggungjawab secara
langsung terhadap keselamatan murid-murid di sekolah. Oleh kerana itu, sekolah perlu mengambil
tindakan proaktif dalam mengurus isu-isu berkaitan, termasuklah mengambil langkah meminimakan risiko
dan mengenalpasti sebarang keadaan yang mendatangkan bahaya. Kecuaian dalam melaksanakan
tanggungjawab ini mungkin boleh mendedahkan sekolah kepada dakwaan.
18. Murid-murid atau. pihak lain yang berkaitan akan mengambil tindakan mahkarnah dengan mendakwa
pihak sekolah gagal menyelia pelajar secukupnya atau sekolah gagal mengambil langkah berjaga-jaga.
Murid-murid yang masih kecil tidak seperti orang dewasa tidak mampu memikirkan bahaya sesuatu
tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan masalah atau kecederaan.
19. Bahagian seterusnya akan membincangkan aspek tort berkaitan dengan kecederaan murid akibat kecuaian
melaksanakan tanggungjawab. Beberapa kes sebenar akan dikaji untuk mengetahui kelemahan dan
kekuatan sekolah dalam menghadapi dakwaan.
Undang-undang Tort dan Cuai (Negligence)
20. Undang-undang tort diwujudkan sebagai cara untuk mengubati atau membayar ganti rugi kepada individu
yang mendapat kerugian akibat perbuatan seseorang. lanya bersandarkan kepada prinsip bahawa setiap
individu bertanggungjawab terhadap apa-apa tindakan yang mencederakan pihak lain. Undang-undang tort
adalah saman sivil yang digunakan bagi melindungi hak orang lain yang dicerobohi.
21. Terdapat dua kategori tort iaitu 'intentional tort' dan cuai (negligence).

(a)

Intentional tort membawa erti kesalahan yang dilakukan terhadap orang lain dengan niat untuk

mendatangkan kecederaan. Satu bentuk kesalahan jenis ini ialah serangan (assault) dengan tujuan
mencedera

atau mendatangkan ketakutan pada pihak lain. Jika serangan bersifat kontak

peribadi/fizikal ia dinamakan sebagai battery. Dalam menentukan kesalahan bagi tort jenis ini,
mahkamah biasanya melihat sejauh mana tindakan guru berkenaan mempunyai unsur berlebihan
dan tidak berpadanan dengan kesalahan yang dilakukan. Dalam hal ini, mahkamah akan melihat
umur pelajar berkenaan, alat yang digunakan jika ada dan beratnya kesalahan yang dilakukan
oleh pelajar.
(b)

Tort cuai (negligence) pula membawa erti melakukan sesuatu yang biasanya tidak dilakukan oleh

manusia yang waras dalam sesuatu keadaan. Ia juga membawa erti tidak melakukan sesuatu yang
sepatutnya dilakukan oleh manusia waras dalam sesuatu keadaan. Dakwaan cuai hanya boleh berjaya jika
pihak plaintif boleh membuktikan pihak defendan telah berlaku cuai. Ini boleh dilakukan jika plaintif
boleh membuktikan empat ciri di bawah wujud iaitu defendan:

mernpunyai tanggungjawab yang diktiraf undang-undang melindungi plaintif (duty to protect);

gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam melaksanakan tanggungjawabnya (failing to


exercise a reasonable standard of care)

terdapat kaitan antara sebab dan akibat yang terjadi (proximate cause)

wujud musibah dan kerugian pada pihak plaintif (actual injury)

22. Pihak defendan pula boleh menolak dakwaan cuai jika perkara di atas tidak berlaku atau kemalangan
bersifat 'contributory negligence'. Maksud contributory negligence ialah keupayaan plaintif mengetahui
risiko akibat daripada tindak tanduk atau perbuatannya. Di samping itu juga, prinsip risiko yang boleh
dijangka (ex-hypothesi atau foreseeable risk) boleh digunakan oleh pihak defendan bagi menolak dakwaan
cuai. Kedua-dua prinsip ini walau bagaimana pun masih tertakluk kepada beberapa pertimbangan seperti
umur.
Tindakan Disiplin dan Perundangan
23. Bagi kes-kes yang melibatkan pelaksanaan hukuman penggantungan dan pembuangan sekolah secara
automatik ia melibatkan prinsip keadilan asasi atau natural justice (dikenali sebagai sebagai due process di
Amerika Syarikat) yang mensyaratkan sebelum hukuman dibuat, perkara berikut diberikan perhatian:

(a) Prosedur yang tepat, dan


(b) Hukuman yang tepat
24. Bagi memastikan prosedur yang tepat digunakan setiap pelajar yang bakal dikenakan tindakan disiplin
hendaklah diberitahu akan setiap kesalahan dan tindakan disiplin yang akan diambil terhadapnya. Di
samping itu, dia juga berhak untuk mengemukakan keterangan bela diri. Dan berhak merayu kepada pihak
yang sewajamya. Prinsip a man is innocence until proven guilty perlu ada pada setiap penguatkuasa
hukuman. Hak-hak yang dinyatakan ini mestilah diikuti bagi setiap pelanggaran disiplin yang dilakukan.
25

Komponen paling penting dan utama dalam prinsip natural justice ialah prinsip audi alteram palteram
iaitu mendengar orang yang terlibat (to give the hearing to the party affected). Proses ini bukanlah proses
pendengaran biasa, tetapi pendengaran. yang adil supaya hukuman yang dikenakan adalah wajar dan
mengambil kira semua faktor yang relevan. Faktor ini sebenarnya merupakan satu perkara paling penting
dalam proses mengadili salahlaku pelajar.

26. Satu perkara yang perlu diambil perhatian ialah mengenai kehadiran pengadu kes (yang biasanya guru
disiplin atau guru kelas) sebagai ahli panel jawatankuasa disiplin atau penghurai kes. Kehadiran ini akan
memberikan satu keadaan prasangka dan bakal mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat. Larangan
kehadiran sipengadu kes semasa pendengaran kes disiplin telah diperingatkan oleh mahkamah tinggi dalam
kes Rohana Ariffin & Anor vs Universiti Sains Malaysia [1989] 1 MLJ 487.
27. Walau pun sekolah mempunyai kuasa menghukum, adalah dicadangkan agar setiap pelajar yang baru
terlibat dengan masalah disiplin diberikan kaunseling dan. khidmat nasihat yang secukupnya
bersama-sama dengan ibubapa/penjaga sebelum hukuman dikenakan.
Penutup
Dakwaan mahkamah dan proses yang berkaitan merupakan satu pengalaman pahit buat sekolah, pelajar dan
ibubapa. Justeru itu, segala tindakan. yang diambil oleh sekolah hendaklah berdasarkan peraturan sedia ada.
Kegagalan mematuhi prosedur dan peraturan, sudah pasti mengundang masalah kepada sekolah dan pengurusan.

MD SUKRI BIN DARUS


PPD Petaling, 2007

Anda mungkin juga menyukai