Anda di halaman 1dari 3

1

Bahagian A
Masa : 45 minit
Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan faedah-faedah berekreasi kepada
masyarakat. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Mengekalkan kecergasan

Membentuk sikap positif


FAEDAH-FAEDAH REKREASI
Memupuk hubungan kekeluargaan

Contoh karangan pelajar


Harum sudah cempaka hiasan,
Berpuput semilir laungan jiwa,
Aktiviti riadah pencetus wawasan,
Pastinya lahir nusa wibawa
Pantun di atas jelas mengetengahkan kepada kita betapa pentingnya aktiviti riadah.
Mengapakah aktiviti riadah kembali diperhangatkan dan menjadi polemik perbualan
masyarakat? Marcapada ini,seiring dengan era globalisasi yang penuh dengan cabaran ini,
masyarakat kita sering berlumba-lumba mengejar unsur kemewahan. Tanggapan kekayaan
merupakan kunci kepada segala kesenangan sudah sebati dalam kehidupan mereka
sehingga mereka alpa akan kepentingan aktiviti riadah yang menjadi salah satu amalan
dalam mempraktikkan gaya hidup sihat. Sesungguhnya, aktivit rekreasi dan riadah yang
boleh didefinsikan sebagai segala kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang untuk
menyihatkan tubuh badan dan fikiran merupakan elemen yang penting dalam menjayakan
segala aktiviti dalam kehidupan seharian kita. Oleh itu, kita perlu mempunyai kesedaran
terhadap kepentingan mengamalkan aktiviti riadah dan rekreasi sebelum nasi menjadi
bubur.
Pertama, aktiviti riadah dan rekreasi boleh menyihatkan tubuh badan kita. Hal ini
demikian kerana apabila kita beriadah,kadar lemak yang terkumpul di dalam badan manusia
boleh dikurangkan. Contohnya, kita boleh berjoging pada waktu lapang,terlibat dalam aktiviti
senamrobik atau berkayak dan sebagainya. Tambahan lagi, jantung dapat mengepam darah
dengan lancar. Secara tidak langsung, pelbagai penyakit seperti penyakit jantung, kencing
manis dan darah tinggi dapat dihindarkan secara total .Dalam konteks ini, berekreasi dan
beriadah adalah penting supaya badan kita sihat dan otak kita cerdas bak kata peribahasa
Melayu, badan cergas otak cerdas.Oleh itu,kita perlu menjadikan aktiviti riadah dan
rekreasi sebagai agenda harian agar kesihatan badan yang hakiki dapat dinikmati kerana
mencegah lebih baik daripada merawat.

Menyingkap daripada sudut perspektif lain, aktiviti riadah yang dilakukan pada setiap
minggu mampu menjadi pemangkin untuk mengurangkan tekanan dalam diri
seseorang.Bayangkan jika individu terbabit perlu bekerja selama 60 jam dalam 5
hari,bukankah mereka akan mula mengalami tertekan? Kepenatan,keletihan dan beban
kerja yang memberatkan akan menyebabkan mereka menunjukkan simptom-simptom
tekanan seperti mudah marah,letih,lesu dan tidak bersemangat. Hal ini demikian akan
menyebabkan prestasi mereka sama ada di tempat kerja mahupun sekolah mengalami
kemerosotan dan mengundang pelbagai impak negatif seperti mendapat teguran daripada
pihak atasan,dilucutkan jawatan dan sebagainya. Dengan aktivitinya riadah,hal ini akan
membolehkan kita melakukan aktiviti yang kita gemar. Hal ini menjadi cara yang efektif untuk
menghiburkan kita. Kita dapat melupakan beban yang ditanggung dan menjadi lebih
bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu, wajarlah aktiviti riadah dipraktikkan
dalam kehidupan kita untuk mengurangkan tekanan yang dialami.
Sementelahan pula, melakukan aktiviti riadah turut memberi peluang kepada kita
untuk mengeratkan hubungan antara keluarga mahupun taulan. Hal ini dapat menjadi
medium ke arah pembentukan keluarga sakinah.Misalnya, pada hujung minggu, seisi
keluarga boleh turun padang untuk melakukan aktiviti riadah bersama-sama sama ada di
taman atau padang. Bukan itu sahaja, ahli keluarga boleh berkongsi pandangan ,pendapat
dan masalah sepanjang masa mereka bersama-sama. Dengan itu,setiap ahli keluarga boleh
memahami antara satu sama lain seterusnya merapatkan jurang antara mereka.
Keseronokan melaukan aktiviti riadah juga akan lebih dinikmati dengan adanya orang yang
disayangi di sisi kita. Dalam hal ini kita akan menjadi lebih bersemangat dan bersungguhsungguh untuk melakukan aktiviti riadah. Oleh itu, hubungan kekeluargaan yang erat dapat
dilahirkan dengan melakukan aktiviti riadah.
Selain itu,aktiviti beriadah juga dapat membentuk integrasi kaum. Marcapada ini,kita
acap kali melihat pelbagai aktiviti riadah yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum
khususnya aktiviti yang berkaitan dengan Program Latihan Khidmat Negara. Contohnya
aktiviti berkayak,mendaki gunung dan meluncur. Kondusi ini akan memanifestasikan elemen
kesepakatan dalam kumpulan masing-masing. Sesungguhnya, muafakat merupakan inti
kepada perpaduan.Setiap ahli akan bersatu ibarat kata peribahasa Melayu, serumpun
bagai serai,selubang bagai tebu. Hal ini dapat menjadi medium yang efektif bagi
menyatukan kaum sekali gus membina semangat perpaduan. Oleh hal yang demikian,aktiviti
riadah yang melibatkan unsur kerjasama ibarat aur dan tebing dapat menjadi wahana ke
arah pembentukan integrasi kaum.
Dalam fasa itu, kebaikan aktiviti beriadah yang dapat dinikmati ialah mengelakkan
remaja daripada terlibat dalam masalah sosial. Hal ini demikian kerana masa lapang remaja
dapat diisi dengan aktiviti yang menghiburkan dan menyeronokkan kerana masa itu emas.
Masa senggang seorang remaja agak banyak kerana tidak perlu menanggung
tanggungjawab seperti orang dewasa. Seandainya masa lapang itu tidak dipenuhi secara
bijaksana,remaja akan terjerumus untuk mendorong diri melakukan aktiviti yang kurang
berfaedah seperti melepak,bermain komputer tanpa batasan dan berbual-bual kosong ibarat
menghitung bulu kambing. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti riadah,mereka tidak akan
melakukan aktiviti yang kurang berfaedah kerana telah merasai keseronokan aktiviti riadah,
bak kata peribahasa Melayu sambil menyelam minum air. Oleh itu, remaja dapat
menghindarkan daripada terlibat dalam masalah sosial dengan melakukan aktiviti riadah.
Secara tuntas,kita perlu mencapai kesedaran yang tinggi dalam usaha mengamalkan
aktiviti riadah dan rekreasi. Semua pihak perlu berganding bahu ibarat aur dengan tebing
bagi menanamkan kesedaran dalam diri masyarakat mengenai kepentingan aktiviti riadah

dan rekreasi dalam kehidupan seharian bagi melahirkan generasi masa hadapan yang sihat
seterusnya menjadi penyumbang kepada kemajuan negara.
Disediakan oleh: Khairunnisak bt Hassni,Ida Nur Izzaty bt IKhwan Goh,Siti Hawa bt Mahfar
dan Nur Baiti Bt Mohd.Aini (5 Sc 1)

Anda mungkin juga menyukai