Anda di halaman 1dari 9

TILAPIA MERAH

PEMBIAKAN DAN PENTERNAKANNYA


Siti Norita Mohamad

[2011]

PENGENALAN

Terdapat beberapa spesies tilapia yang telah digunakan secara meluas bagi tujuan
penternakan di seluruh dunia. Spesies tilapia yang terdapat di Malaysia biasanya lebih
dikenali berdasarkan warnanya iaitu tilapia hitam, merah dan biru. Tilapia merah hibrid
adalah merupakan kacukan Oreochromis mossambicus X O. niloticus. Tilapia merah
hibrid telah diternak secara intensif oleh penternak di Malaysia bagi pasaran domestik
kerana ia lebih digemari (Gambar 1a). Jika penternakan dilakuan bagi tujuan
mendapatkan fillet, pada kebiasaannya ikan tilapia hitam atau tilapia nilo akan
digunakan.

Gambar 1: a) Tilapia merah, b) Tilapia Nilo (Oreochromis niloticus)

PEMILIHAN DAN PENYEDIAAN INDUK IKAN

Proses kacukan tilapia biasanya berlaku secara semulajadi tanpa penggunaan


hormon. Untuk mempercepatkan kematangan induk tilapia, minyak sotong boleh
disemburkan pada makanan. Ini bertujuan untuk membekalkan kandungan lemak tak
tepu yang diperlukan bagi pembentukan telur. Induk betina yang matang boleh dikenali
dengan abdomen yang kembung, mengembang dan berwarna merah jambu
kemerahan pada genital papillanya serta liang genitalnya telah terbuka sepenuhnya.
Ikan tilapia seberat 25 g telah dijumpai matang dan boleh menghasilkan anak. Tetapi
pada kebiasaannya ikan tilapia berzaiz 100-200 g dipilih sebagai induk kerana lebih

mudah untuk membezakan jantinanya. Bahan pewarna seperti methylene blue kerap
digunakan semasa proses pengenalpastian jantina. Bahan ini apabila disapukan pada
organ pembiakan ikan akan menghasilkan perbezaan yang jelas di antara induk jantan
dan betina (Gambar 2).

genital papilla

anus

Liang
urogenital

Ikan jantan

genital papilla

anus

oviduct

liang kencing

Ikan betina

Gambar 2: Perbezaan di antara organ pembiakan jantan dan betina

PROSES KACUKAN

Proses kacukan boleh dilakukan samada di dalam tangki atau kolam. Kadar
kemasukan induk jantan dengan induk betina yang biasa digunakan adalah, 1 nisbah 3
atau 1 nisbah 4. Ini bermaksud jika terdapat 10 ekor induk jantan digunakan, sebanyak
30 atau 40 induk betina akan diletakkan bersama. Induk betina yang hendak digunakan
hendaklah telah matang kerana induk jantan biasanya adalah sangat aggresif apabila

matang. Jika induk betina yang belum matang diletakkan bersama induk jantan pada
nisbah 1 : 1, ia akan menyebabkan kematian induk betina. Untuk mengelakkan induk
betina terluka semasa tindakan agresif induk jantan, kadangkala proses pemotongan
bibir akan dilakukan. Ini biasanya dilakukan dalam kajian untuk pembiakbaik genetik
ikan.

Bagi memudahkan proses pemungutan anak secara berjadual, hapa-hapa


bersaiz kecil bolehlah dibuat di dalam kolam tanah (Gambar 3). Pemeriksaan boleh
dilakukan samada seminggu sekali atau 2 minggu sekali. Jika induk ikan diganggu
terlalu kerap, ia akan melepaskan telur yang belum cukup matang. Telur yang belum
cukup matang berwarna kekuningan dan hanya lebih kurang 30% sahaja telur akan
berjaya menetas menjadi anak. Jika telur berwarna oren dikeluarkan, peratus hidup
anak adalah lebih tinggi iaitu lebih dari 90% (Gambar 4). Untuk proses kacukan
dilakukan, pada kebiasaannya hanya 2 ekor induk akan diletakkan di dalam kawasan
berkeluasan 1 m2. Sebagai contoh, jika keluasan hapa adalah 12 m2 bermakna terdapat
24 induk keseluruhan yang terdiri daripada 18 ekor betina dan 6 ekor jantan.

Gambar 3: Hapa-hapa yang digunakan untuk proses kacukan

Gambar 4: Telur matang yang telah mempunyai mata

PROSES PEMBIAKAN

Kesemua spesies tilapia adalah dari jenis ikan yang membuat sarang untuk
bertelur. Induk jantan akan membuat sarang di dasar kolam tanah. Jika tangki simen
atau fiberglass digunakan kita boleh melihat kawasan berbentuk bulatan kecil yang
telah dibersihkan. Proses persenyawaan telur berlaku di dalam sarang (Rajah 5a). Telur
yang matang akan dilepaskan oleh induk betina sebelum disenyawakan oleh induk
jantan. Selepas disenyawakan induk betina akan mengambil telur dengan pantas dan
mengeramkan di dalam mulut. Telur akan dieram selama beberapa hari (lebih kurang 2
minggu) sebelum ia menetas. Jika proses pembiakan dijalankan di dalam tangki,
sarang tiruan perlu disediakan. Pada kebiasaanya batu bata akan digunakan untuk
membentuk sarang (Rajah 5b ). Induk yang mengeramkan telur akan sentiasa berada
di dalam sarang. Induk tersebut tidak akan makan selama mana telur atau anak berada
di dalam mulutnya. Ini mempengaruhi kadar tumbesaran induk betina yang mana
adalah lebih rendah daripada induk jantan. Selain itu, kebanyakan tenaga mereka juga
akan disalurkan bagi proses pembentukan telur. Anak ikan akan berenang bebas keluar
dari mulut induk betina apabila ia telah lengkap terbentuk. Tilapia akan mengawan lebih
kurang setiap 30 hari sepanjang tahun. Tetapi ini bergantung kepada nilai nutrisi yang
diterima dan persekitaran ternakan. Seekor induk tilapia merah boleh menghasilkan
sebanyak 500 hingga 1600 anak ikan setiap kali bertelur.

Gambar 5: a) Sarang untuk bertelur di kolam tanah, b) sarang artificial di dalam tangki
fiberglass

PROSES ASUHAN BENIH

Telur yang dilepaskan atau dikeluarkan secara paksa (Gambar 7a) sebelum
anak ikan terbentuk dengan lengkap perlu di letakkan di dalam tempat khas (incubator).
Incubator tersebut perlu bertindak bagi membekalkan udara yang mencukupi
sepertimana ia berada di dalam mulut induk betina. Incubator boleh di reka sendiri
menggunakan bahan yang mudah di dapati. Gambar 6 menunjukkan beberapa jenis
incubator yang digunakan semasa proses penetasan telur. Anak ikan yang baru
menetas tidak perlu diberi makan selagi ia masih mempunyai telur kuning
(yolka)(Gambar 7b). Yolka bertindak membekalkan makanan kepada anak ikan. Kirakira 3 hingga 4 hari yolka akan hilang sepenuhnya dan anak ikan perlu diberi dengan
makanan yang sesuai. Makanan hidup yang bersaiz kecil adalah yang paling sesuai
diberikan seperti rotifer (Gambar 8a). Rotifer terdapat dengan banyaknya di dalam air
hijau. Rotifer tidak dapat dilihat dengan mata kasar sebagai individu tunggal. Jika ia
terdapat dalam kuantiti yang banyak, ia boleh dilihat seperti satu lapisan berwarna
coklat yang berada di permukaan air pada waktu pagi. Jika ternakan dilakukan di dalam
kawasan tertutup (kurang pendedahan pada cahaya matahari), makanan berupa serbuk
bolehlah digunakan. Makanan ini hendaklah mempunyai kadar protein yang tinggi (40%
ke atas) supaya dapat menyamai kandungan protein yang terdapat pada makanan
hidup. Pemberian makanan yang tidak sesuai akan menyebabkan kadar hidup anak
ikan yang rendah.

Gambar 6: Beberapa jenis incubator yang digunakan oleh penternak

Gambar 7: a) Telur dikeluarkan dari mulut induk, b) anak ikan yang telah bebas
berenang

Gambar 8: a) Rotifer, b) rotifer membentuk lapisan berwarna coklat di permukaan air

KAEDAH PENTERNAKAN

Terdapat banyak kaedah yang telah dipraktiskan untuk penternakan ikan tilapia
antaranya ialah all-male (kesemua jantan), mixed-sex (campuran jantan dan betina),
monokultur dan polikultur dengan ikan lain. Saiz ikan jantan adalah lebih besar dan
mempunyai kadar tumbesaran yang lebih tinggi berbanding ikan betina. Ini
menyebabkan ramai penternak cuba menternak ikan tilapia kesemua jantan. Beberapa
kaedah telah dicuba untuk mendapatkan ikan tilapia kesemua jantan dengan cara
pemilihan manual, penggunaan hormon untuk mengaruh perubahan seks (sex reversal)
dan kaedah pemilihan genetik. Tilapia mudah membiak dengan sendirinya sehingga
kerap terjadi proses inbreeding (kacukan sesama sendiri yang mempunyai hubungan
kekeluargaan). Inbreeding akan menyebabkan anak-anak yang dihasilkan mempunyai
kadar tumbesaran serta kadar hidup yang rendah. Oleh kerana ikan tilapia mudah
membiak, satu lagi cara untuk mengelakkan proses inbreeding ialah dengan
meletakkan ikan pemangsa seperti keli dan haruan dalam kolam ternakannya. Ikan
pemangsa akan memakan anak ikan yang baru lahir.

Pelbagai sistem penternakan yang telah digunakan bergantung kepada


kawasan, kos dan jenis tanah. Sistem tangki lebih sesuai digunakan bagi kawasan yang
terhad dan untuk penternakan secara kecil-kecilan atau bagi kegunaan sendiri (Gambar
9). Dalam keadaan sumber air yang terhad, sistem tangki kitaran semula air paling
sesuai digunakan. Pengunaan tangki boleh meningkatkan kadar tebaran ikan (antara
20-50 ekor/m2) kerana ia biasanya dibekalkan dengan sistem pengudaraan yang baik.
Kadar tebaran ikan tilapia bagi penternakan di kolam adalah lebih rendah iaitu di antara
5-15 ekor/m2 (Gambar 10). Bagi ternakan ikan di sangkar, kadar aliran air perlu
ditentukan terlebih dahulu. Ini akan menentukan jumlah ikan yang akan diternak.

Gambar 9: Tangki penternakan tilapia

Gambar 10: Kolam dan sangkar penternakan tilapia

KESIMPULAN

Penternakan ikan tilapia mempunyai potensi untuk dilakukan kerana beberapa


ciri yang terdapat pada ikan ini seperti mudah untuk diternak, mempunyai harga
pasaran yang tinggi, cepat membesar dan boleh membiak secara semulajadi.

Anda mungkin juga menyukai