Anda di halaman 1dari 4

Biodata Mokhtar Dahari

Mokhtar Dahari dilahirkan pada 13 November 1953 di Setapak, Kuala Lumpur, hasil
perkahwinan Dahari Abeng dan Maimon Sadikin. Beliau mendapat pendidikan awal di
Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan (1960-1965) dan Victoria Institution (1966-1970).
Ketika beliau berusia 15 tahun, Mokhtar telah dihadiahkan sepasang but bola yang hanya
berharga RM15 oleh ayahnya selepas menduduki Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 1968 atau
lebih tepat dipanggil LCE pada ketika itu.
Beliau amat menghargai pemberian itu sambil berkata: Kasut but yang diberi oleh ayah saya
hanya berharga RM15, tetapi ia amat bermakna dalam kerjaya bola sepak saya.
Dengan kasut itulah beliau menempa nama sebaris dengan wira-wira bola sepak negara
sebelumnya seperti Datuk Ghani Minhat dan Arthur Koh.
Pada tahun 1971, Mokhtar telah mula mewakili pasukan Selangor dalam saingan Piala
Burnley. Beliau juga pernah menyertai beberapa kelab bola sepak antaranya Kelab Sultan
Sulaiman, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Talasco dan Kwong Yik Bank.
Beliau telah berkahwin dengan Tengku Zarina Tengku Ibrahim dan dikurniakan tiga orang
anak iaitu Mohamad Redza, Nur Azera dan Nur Arina. Salah seorang anaknya, Mohamad
Redza, juga mengikuti jejak langkah ayahnya apabila pernah mewakili negeri Selangor.
Mokhtar merupakan pemain yang memiliki bakat semulajadi yang mengangkat imej
Malaysia setaraf dengan jaguh bola sepak dunia. Paling ketara adalah dikancah Pestabola
Merdeka yang menjadi gelanggang beliau mempamer taring dan kehebatannya menembusi
gawang lawan.
Pada usia 23 tahun, Mokhtar yang lebih terkenal dengan jolokan SuperMokh diiktiraf
Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah dia
dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1976.
Gelaran SuperMokh yang diterimanya itu juga adalah kerana kehebatannya menjaringkan
banyak gol sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak. Beliau juga telah mewakili
Malaysia selama 13 tahun iaitu dari 1972 hingga 1985.
Kelebihan dimiliki SuperMokh banyak dengan sepakan deras bak peluru menjadi elemen
penting hinggakan tiga jari bekas penjaga gol negara, mendiang R. Arumugam, pernah patah
ketika cuba menampannya. Malah penyerang ternama negara ini juga bijak dalam membaca
gerakan lawan dan meloloskan diri dari kawalan pertahanan pihak lawan.
Mokhtar telah membuat penampilan di padang bola sebanyak 167 kaps (penampilan),
menjaringkan 117 gol dalam saingan Piala Malaysia dan 125 gol antarabangsa.
Mokhtar merupakan seorang pemain yang sangat gigih ketika latihan, sejak di bangku
sekolah lagi dia tidak pernah jemu berlatih sehingga sudah sebati dengan dirinya.

Ketika berada dalam skuad kebangsaan, Mokhtar masih gigih berlatih apabila gemar
mengawal bola sambil mengelecek tiang-tiang kecil sebelum melepaskan tendangan kencang
ke gawang yang kosong untuk menajamkan kuasa pemusnah yang ada pada dirinya.
Malah beliau juga tidak suka diganggu ketika latihan apatah lagi mengaitkan kemasyuran
dirinya di padang dengan kehidupan peribadi hingga menjadikan beliau seorang idola paling
diminati.

Perjalanan karier SuperMokh


Karier Mokhtar sebagai pemain bola sepak bermula pada 1970 di mana ketika itu beliau telah
terpilih untuk mewakili Selangor ke pertandingan bola sepak bawah 18 tahun Majlis Sukan
Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Turut bermain bersamanya ketika itu adalah Santokh
Singh dan Reduan Abdullah.
Mokhtar yang juga dikenali dengan gelaran SuperMokh merupakan penyerang yang amat
berbahaya apabila melepaskan rembatan.
Pada tahun 1971, Mokhtar telah mewakili Selangor dalam pertandingan Piala Burnley
(sekarang Piala Razak) di Kuching Sarawak. Perlawanan pertama menentang Kedah dan
beliau berjaya menjaringkan gol pertamanya pada perlawanan itu.
Pada tahun 1972, buat pertama kalinya beliau beraksi untuk pasukan utama Selangor dalam
perlawanan persahabatan menentang kelab Hitachi dari Jepun pada Februari. Pada bulan
April beliau turun dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pertama dalam kariernya
menentang Perak dan bermain di posisi sayap kiri.
Beliau menjaringkan gol pada minit ke-29 hasil umpanan Rahim Abdullah untuk membantu
Selangor menang 3-0. Dalam tahun yang sama, beliau telah mewakili Malaysia buat pertama
kalinya dalam Piala Jakartaraya (Piala Kemerdekaan Jakarta) pada bulan Jun.
Mokhtar juga telah bermain bersama skuad Malaysia di pra Piala Dunia di Seoul pada tahun
1973. Beliau juga telah bermain dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka menentang
Kuwait dan menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1. Mokhtar juga telah membantu
Selangor mengekalkan Piala Malaysia dengan menewaskan Terengganu 2-1 dalam
perlawanan akhir.
Pada tahun 1974, Mokhtar telah mencipta rekod peribadinya sebagai penjaring gol terbanyak
dalam satu perlawanan antarabangsa apabila menjaringkan lima gol sekaligus ketika
menentang Filipina di Sukan Asia di Tehran, Iran sekaligus membantu negara memenangi
pingat gangsa.
Karier Mokhtar memuncak pada tahun 1975 apabila beliau mewakili pasukan Malaysia
menentang pasukan gergasi England, Arsenal F.C. Dalam perlawanan tersebut Malaysia telah
menewaskan Arsenal 2-0 di mana kedua-dua gol tersebut dijaringkan oleh Mokhtar. Selepas
perlawanan itu, Mokhtar khabarkannya telah menerima tawaran dari pasukan Arsenal untuk
bermain dengan mereka.
Mokhtar terus mempamerkan kehebatannya apabila menjaringkan dua gol untuk membantu
Selangor menewaskan Singapura 3-0 dan sekali gus muncul sebagai juara Piala Malaysia
bagi kali ke-19. Malah beliau telah mendapat kaps Malaysia ke-100 ketika menentang Jepun

di Pestabola Merdeka. Mokhtar juga telah mendapat kecederaan lutut ketika mewakili PKNS
menentang Pemuda Umno di peringkat suku akhir Piala FAM. Beliau terpaksa menjalani
pembedahan lutut di Hospital Universiti.
Pada tahun 1977, setelah pulih daripada kecederaan lutut beliau kembali beraksi mewakili
PKNS menentang Kilat dalam Liga Perdana Selangor. Beliau juga membantu Selangor mara
ke perlawanan akhir Piala Malaysia.
Lebih membanggakan, beliau telah menjaringkan satu gol ketika Malaysia menewaskan
Thailand 2-0 pada perlawanan akhir untuk pingat emas Sukan Sea pertama beliau. Mokhtar
telah menerima Anugerah Olahragawan Kebangsaan 1976 di atas kejayaannya itu.
Bagaimanapun, aksi SuperMokh yang tidak dapat dilupakan oleh para peminatnya ialah
apabila beliau berjaya menjaringkan gol penyamaan ketika menentang England B yang pada
ketika itu di bawah bimbingan Bobby Robson pada tahun 1978. Perlawanan tersebut berakhir
dengan keputusan 1-1.
Pada tahun yang sama juga, beliau telah memenangi Piala FAM pertamanya bersama PKNS
malah turut membantu Selangor bangkit dari ketinggalan 2-0 kepada Singapura untuk
menang 4-2 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.
Pada tahun 1979, Mokhtar buat pertama kalinya mengetuai barisan Selangor selepas
mengambil alih jawatan ketua pasukan daripada Soh Chin Aun lalu mengekalkan kejuaraan
Piala Malaysia selepas menang 2-0 ke atas Singapura. Buat pertama kali juga, rentangan
sepanduk tertulis Super Mokhtar gelaran yang kekal hingga kini, terpampang di Stadium
Merdeka. Bagaimanapun, Mokhtar telah membuat kejutan apabila mengumumkan
persaraannya dalam arena bola sepak antarabangsa pada tahun yang sama.
Tetapi, pada tahun berikutnya Mokhtar menarik balik keputusan persaraan antarabangsa
untuk beraksi di Pestabola Merdeka di mana Malaysia muncul naib johan selepas tewas
kepada Maghribi dalam perlawanan akhir.
Pada tahun 1981, Mokhtar telah menerima kad merah pertama dan terakhir dalam kariernya
ketika menentang Singapura dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia. Kad
merah tersebut dilayangkan oleh pengadil Othman Omar. Kegagalan Malaysia di
pertandingan pra Piala Dunia di Kuwait mendorong Mokhtar mengumumkan persaraannya
pada peringkat antarabangsa buat kali kedua.
Mokhtar telah mengetuai pilihan Selangor menentang Boca Juniors yang diketuai oleh Diego
Maradona dalam satu perlawanan persahabatan pada tahun 1982. Selangor tewas 2-1.
Pada tahun 1985, Mokhtar kembali menyarung jersi negara ke pertandingan pra Piala Dunia
di Seoul menentang Korea Selatan di mana Malaysia tewas 2-0 dan beliau mengumumkan
persaraannya di peringkat antarabangsa untuk kali ketiga dan terakhir.
Timbalan Menteri Kebudayaan Bulgaria, Ivan Tokadjien teruja melihat lukisan wajah lagenda
pemain bola sepak Malaysia, Mokhtar Dahari, ketika melawat ke Galeri Seni Negara, Kuala
Lumpur.
Pun begitu, beliau masih meneruskan kariernya dalam pertandingan domestik. Ketika
bermain bersama Selangor pada tahun 1986, beliau telah membantu Selangor menjadi juara

Piala Malaysia menewaskan Johor 6-1 pada perlawanan akhir. Beliau juga telah diumumkan
sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir tersebut. Mokhtar akhirnya mengumumkan
persaraannya dari bola sepak peringkat negeri dan menghadiahkan jersi nombor 10 miliknya
kepada Raja Muda Selangor.
Tetapi, seperti masa-masa yang lalu dan atas desakan peminat, Mokhtar menarik balik
persaraannya untuk mewakili Selangor semusim lagi. Pada tahun 1988, Mokhtar telah bersara
dari bola sepak peringkat negeri dan menyertai Kwong Yik bank, kehadirannya membawa
kelab itu menjadi juara Liga Dunhill Selangor.
Mokhtar disahkan menghidap penyakit Mascular Dystrophy pada tahun 1989 dan berlepas ke
London untuk mendapat rawatan lanjut, namun pulang ke Malaysia tanpa sebarang
perubahan.
Pada hari Khamis, 11 Julai 1991, Mokhtar Dahari telah meninggal dunia pada jam 8.25 pagi
di Pusat Perubatan Subang Jaya, akibat penyakit yang dihidapinya itu.

Anda mungkin juga menyukai