Anda di halaman 1dari 2

Ibu bapa merupakan dua insan yang banyak berjasa bagi memastikan kejayaan anakanak dalam kehidupan.

Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh anak-anak


untuk membalas jasa ibu bapa mereka.
Kisah Si Tanggang yang semakin mewarnai berita tempatan jelas menunjukkan
rapuhnya ikatan kekeluargaan pada zaman ini. Contohnya, kisah seorang ibu disembelih
oleh anak kerana enggan memberikan wang sebanyak RM10 memberikan tamparan hebat
kepada masyarakat betapa anak-anak zaman ini semakin luntur nilai kemanusiaannya.
Keadaan ini tidak boleh dipandang enteng dan anak-anak perlu disedarkan betapa
besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa terhadap mereka sejak kecil.
Walaupun pengorbanan itu dilakukan tanpa mengharapkan balasan, namun sebagai anak
kita wajar memberikan yang terbaik buat ibu bapa kita terutamanya ibu kerana syurga di
bawah telapak kaki ibu.
Walau siapa pun kita, sama ada golongan korporat atau golongan marhain,
perkara yang paling penting kita lakukan sebagai seorang anak dalam menzahirkan
penghargaan terhadap ibu bapa kita adalah dengan menghormati mereka. Tutur
kata yang sopan dan berhemah pasti membuatkan ibu bapa kita berasa bangga
mempunyai anak-anak yang berbudi pekerti. Sekalipun kita tidak bersetuju dengan
pandangan atau tindakan ibu bapa kita, kita perlu menanganinya dengan cara yang paling
lembut. Apatah lagi terhadap ibu bapa yang semakin mudah terusik lantaran usia yang
semakin meningkat. Jelas bahawa memberikan layanan kelas pertama merupakan
langkah paling utama untuk menghargai ibu bapa.
Tidak dinafikan bahawa anak-anak pada zaman ini terlalu sibuk dengan kerjaya
masing-masing. Namun, kita perlu mencuba sedaya mungkin untuk meluangkan masa
bercuti bersama ibu bapa. Jika ibu bapa tinggal di kampung, luangkanlah masa hujung
minggu di kampung. Secara tidak langsung, hubungan anak-anak kita akan lebih rapat
dengan datuk dan nenek mereka. Kegembiraan pasti akan terpancar di wajah ibu bapa
kita jika kita bertanya khabar secara bersemuka berbanding dengan hanya bercakap di
telefon. Ibu bapa pasti akan rasa dihargai jika kita sanggup meluangkan masa bersama
mereka walaupun dalam masa yang singkat.
Sejak muda, ibu bapa telah banyak berusaha untuk menyediakan segala keperluan kita.
Ibu bapa yang bertanggungjawab sanggup melakukan apa saja asal kemahuan kita
dipenuhi. Maka, setelah kita bekerjaya, hulurkanlah sebahagian daripada hasil titik
peluh kita kepada ibu bapa. Wang yang kita hulurkan selalunya tidak dibelanjakan
sepenuhnya oleh ibu bapa kerana perbelanjaan hidup yang semakin sederhana. Ibu bapa
boleh menggunakan wang tersebut untuk bersedekah dan melakukan amal jariah. Bukan
nilai yang diukur oleh ibu bapa kita tetapi jika itu kita lakukan setiap bulan, ibu bapa
akan rasa bahagia kerana anak-anak mengenang jasa mereka.

Semakin berusia ibu bapa kita, semakin merosot kesihatan mereka. Justeru, jika ibu bapa
kita diuji dengan penyakit, gunalah peluang yang ada untuk berbakti dengan menjaga
mereka. Mungkin itulah bakti terakhir kita terhadap ibu bapa. Jagalah mereka dengan
penuh kasih sayang dan keikhlasan. Sebagaimana mereka sanggup bersengkang mata
dalam sabar ketika kita sakit dulu, begitulah yang sepatutnya kita lakukan sekarang
sebagai bukti kita juga menyayangi ibu bapa. Sediakanlah rawatan terbaik yang kita
mampu untuk ibu bapa kita. Perhatian dan kasih sayang yang kita tunjukkan ketika
mereka sakit pasti akan meredakan kesakitan yang ditanggung.
Ibu bapa tiada galang gantinya. Pengorbanan dan kasih sayang mereka sebenarnya tidak
dapat dibayar kerana terlalu tinggi nilainya. Renungkanlah susah payah seorang ibu
mengandung selama sembilan bulan dalam debaran menanti kelahiran seorang cahaya
mata, kemudiannya mencurahkan sepenuh kasih sayang dan perhatian sehingga si anak
boleh berdikari. Bayangkanlah betapa risaunya seorang ayah apabila tidak dapat
menyediakan keperluan si anak sehingga sanggup menggunakan tenaga empat keratnya
melebihi kudrat semata-mata demi anak. Maka, sebagai anak, hargailah ibu bapa
sebelum nasi menjadi bubur.

Anda mungkin juga menyukai