Anda di halaman 1dari 3

Latihan 3: (Dimensi Keluarga)

Ibu bapa merupakan dua insan yang banyak berjasa bagi memastikan kejayaan anak-anak dalam kehidupan.
Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh anak-anak untuk membalas jasa kedua-dua ibu bapa
mereka.

Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga
seorang ibu. Situasi sebeginilah yang sedang berlaku pada zaman ini. Ibu bapa ditinggalkan hidup
merempat di jalan oleh anak anak yang tidak berperikemanusiaan. Mereka sanggup menghantar ibu bapa
mereka ke rumah orang tua-tua dalam keghairahan mengejar kemewahan dan kemajuan materialisme. Kita
seharusnya ingat bahawa si ibu yang telah mengandungkan kita selama sembilan bulan sepuluh hari dan
membawa kita ke muka bumi ini. Si bapa pula telah bersengkang mata untuk mencari nafkah bagi
membesarkan kita. Mereka sanggup mengetepikan kegembiraan mereka semata-mata untuk membahagiakan
kita. Bagi mereka, kesusahan yang dilalui oleh mereka tidak bererti apa-apa sekiranya anak- anak mereka
hidup bahagia. Oleh itu, kita perlu menghargai dan membalas jasa ibu bapa kerana mereka merupakan insan
yang paling penting dalam hidup kita. Tanpa ibu bapa, siapalah kita? Persoalannya, apakah langkah-
langkah yang dapat diambil oleh anak-anak untuk membalas jasa kedua-dua ibu bapa mereka?
Sebagai seorang anak yang taat, kita seharusnya menghormati kedua-dua ibu bapa kita. Apabila usia
sudah lanjut, ibu bapa mudah tersinggung dengan apa-apa yang diperkatakan oleh anak- anak. Dalam hal
ini, kita seharusnya menjaga pertuturan dan pengucapan kita apabila berbual dengan ibu bapa agar mereka
tidak berasa tersisih. Menurut pujangga sekiranya engkau tidak menghormati ibu bapamu, maka suatu hari
nanti, anak-anakmu tidak akan menghormatimu. Sekiranya kita menghormati ibu bapa kita dan sentiasa
bersopan santun dengan mereka, mereka akan merasakan bahawa diri mereka disayangi dan dihargai.
Sebagai contoh, ketika kita berjalan di hadapan orang tua kita, kita seharusnya tunduk sebagai tanda hormat.
Hal ini menunjukkan bahawa kita sentiasa bersikap merendah diri di hadapan ibu bapa kita. Ibu bapa hanya
mengharapkan diri mereka dihormati sejajar dengan usia mereka. Kita janganlah sesekali menyakitkan hati
ibu bapa kerana kesedihan dan kekecewaan mereka boleh memusnahkan kita dalam sekelip mata. Kita harus
mengambil iktibar daripada kisah Si Tanggang dengan ibunya agar tidak menerima nasib seperti Si
Tanggang yang bertukar menjadi batu akibat sumpahan ibunya. Anak yang derhaka tidak akan mendapat
keredaan Allah kerana menyakiti hati ibu bapa merupakan kesalahan yang tidak boleh dimaafkan. Oleh itu,
wajarlah kita menghormati ibu bapa untuk membahagiakan mereka.
Di samping itu, kita juga perlu menjaga ibu bapa kita yang sudah uzur. Kita janganlah bersikap
seperti kacang lupakan kulit setelah memperoleh kesenangan dengan menghantar mereka ke rumah orang
tua. Hal ini kerana mereka telah membesarkan dan menjaga kita dengan baik sehingga kita berjaya dalam
hidup . Oleh itu, kita perlu menjaga ibu bapa kita sehingga mereka menemui ajal mereka. Falsafah Cina ada
menyebut menyimpan seorang tua di dalam rumah umpama kita memiliki suatu barang yang amat
berharga. Ibu bapa yang sudah tua mengharapkan anak- anak mereka ada bersama-sama mereka kerana
mereka tiada tempat bergantung melainkan kita. Kitalah menjadi tempat mereka
mengadu, menangis, bergembira dan berkongsi segala perasaan mereka. Hal ini kerana hubungan yang
terjalin antara seorang ibu dengan anaknya ialah hubungan yang ditentukan oleh Tuhan di dunia dan
akhirat. Selain itu, kita juga perlu menyediakan segala keperluan dan permintaan ibu bapa kita. Pada usia
yang semakin lanjut, mereka mudah lupa tentang apa-apa yang diperlukan oleh mereka. Dalam hal ini, kita
perlu menyediakan segala keperluan ibu bapa kita seperti makanan, pakaian, tempat tinggal yang selesa dan
ubat-ubatan. Ada ketikanya, ibu bapa berasa segan untuk meminta sesuatu daripada kita sebagai anak kerana
mereka merasakan bahawa hal ini akan membebankan kita. Kita seharusnya ingat bahawa suatu ketika
dahulu, ibu bapa kita telah menyediakan segala keperluan untuk kita tanpa diminta. Mereka sanggup
memakai pakaian yang lama untuk membeli pakaian yang baharu untuk kita. Oleh itu, kita harus menjaga
segala keperluan ibu bapa kita bagi membalas segala penat lelah mereka. Ulama ada mengatakan bahawa
seseorang yang tidak mendapat keredaan ibu bapa tidak akan mencium bau syurga. Sekiranya kita gagal
menjaga kebajikan ibu bapa kita, maka kita telah melakukan dosa. Jelasnya, kita harus melaksanakan
kewajipan kita sebagai anak yang saleh dengan menjaga ibu bapa kita dengan baik.
Selain itu, kita juga harus belajar bersungguh-sungguh untuk menggapai kejayaan dalam pelajaran.
Setiap ibu bapa mengharapkan anak- anak mereka agar berjaya dalam hidup. Mereka sanggup bertungkus
lumus demi menyekolahkan kita agar kita hidup senang pada kemudian hari. Dalam hal ini, kita seharusnya
berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai kejayaan untuk membalas jasa ibu bapa kita. Kita janganlah
membiarkan hasrat ibu bapa kita berkecai seperti kaca terhempas ke batu. Hal ini akan meletakkan ibu bapa
kita dalam keadaan yang sedih sekiranya kita gagal menunaikan hasrat mereka. Mereka tidak mengharapkan
wang ringgit daripada kita tetapi hanya mendoakan agar kita menjadi insan yang berilmu dan berguna serta
dipandang mulia oleh masyarakat. Ibu bapa akan berasa bangga dan gembira apabila melihat anak- anak
mereka memperoleh segulung ijazah. Kita juga tidak harus melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak
sihat. Kita harus mengikuti jalan yang betul untuk menjaga perasaan ibu bapa kita. Meraka sudah tentu akan
berasa sedih sekiranya melihat kita melakukan aktiviti yang tidak sihat. Tegasnya, kita harus belajar
bersungguh-sungguh agar pengorbanan ibu bapa kita tidak menjadi sia- sia.
Seterusnya, kita perlu meluangkan masa bersama-sama ibu bapa kita. Walaupun sibuk dengan
kerjaya, kita harus meluangkan masa untuk bergaul dan beramah mesra dengan mereka. Apabila semakin
tua, ibu bapa kita mudah diselubungi perasaan kesunyian. Pada ketika inilah, mereka memerlukan teman
untuk berbual-bual. Kita seharusnya menemani mereka ketika mereka berasa sunyi dan sepi. Memang tidak
dapat dinafikan apabila telah berkerjaya, kita lebih banyak menghabiskan masa dalam kerjaya. Namun
begitu, pada masa lapang, kita perlu menziarahi mereka dan berbual-bual dengan mereka. Kita juga perlu
bergurau senda dengan mereka untuk menghiburkan hati mereka. Ilmuwan Islam ada menyatakan
sekiranya kita lupa akan jasa ibu bapa, maka kita juga telah lupa akan diri kita. Bagi anak-anak yang
tinggal berjauhan, mereka boleh berhubung dengan ibu bapa mereka melalui telefon. Ketika berbual dengan
mereka, kita perlu menggunakan pertuturan yang bersopan dengan mereka agar tidak menggores perasaan
mereka. Bukan itu sahaja, kita juga boleh membantu ibu bapa kita melakukan kerja-kerja rumah untuk
meringankan beban mereka. Sebagai contoh, kita boleh membantu ibu kita untuk memasak, mencuci
pakaian, mengemas rumah dan sebagainya. Jelasnya, komunikasi yang baik antara anak-anak dengan ibu
bapa dapat menjamin keharmonian keluarga.
Sejajar dengan konteks perbicaraan, kita juga perlu menyambut sesuatu perayaan bersama-sama ibu
bapa kita. Kita perlu ingat bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu bapa. Menjelang musim
perayaan, kita perlu balik ke kampung untuk menyambut sesuatu perayaan. Ketika musim perayaan, kita
dapat meluangkan masa yang lama bersama-sama mereka. Kita juga perlu meraikan Hari Bapa dan Hari Ibu
sebagai tanda menghargai jasa mereka. Dengan itu, ibu bapa kita akan merasakan bahawa diri mereka
dihargai kerana kita sudi mengadakan majlis untuk mereka . Malah, kita juga boleh mengadakan majlis
sempena ulang tahun perkahwinan ibu bapa kita. Melalui majlis sebegini, ibu bapa kita dapat mengimbau
kembali kenangan manis mereka sewaktu muda. Walaupun ibu bapa kita sudah tua, kita juga boleh
menyambut hari jadi mereka. Masa itu emas, jikalau kita meluangkan masa untuk ibu bapa kita dalam
mengadakan majlis khas untuk mereka, masa itu bagaikan permata, lebih mahal daripada emas. Bukan itu
sahaja, kita juga perlu meraikan kejayaan kita bersama- sama ibu bapa kita. Hal ini kerana kejayaan itu
sebenarnya hasil titik peluh ibu bapa kita. Walaupun sudah berkahwin, kita perlu memberikan keutamaan
kepada ibu bapa kita kerana jasa mereka tidak ternilai.
Akhir sekali, kita perlu mendoakan kesejahteraan hidup ibu bapa kita di dunia dan di akhirat. Doa
kita akan termakbul sekiranya permintaan kita ikhlas. Bayangkanlah sekiranya ibu bapa kita telah meninggal
dunia, adakah kita akan berpeluang untuk melihat mereka semula? Maksud Al-Quran ada menyatakan
Dan ucapkanlah doa : Wahai Tuhanku, kasihanilah kedua-dua ibu bapaku, sebagaimana mereka mendidik
dan mengasihani aku sewaktu aku kecil. Oleh itu, kita harus berdoa agar ibu bapa kita dikurniakan dengan
kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur. Bagi ibu bapa yang sudah meninggal, kita juga boleh berdoa
agar mereka ditempatkan bersama-sama orang-orang yang mulia. Setiap anak digalakkan membaca ayat-
ayat suci al-Quran untuk disedekahkan kepada arwah ibu bapa mereka. Orang India pula akan mengadakan
upacara sembahyang pada setiap ulang tahun kematian ibu bapa mereka. Bagi masyarakat Cina, mereka
akan menyembah roh arwah ibu bapa dan nenek moyang mereka pada setiap Tahun Baru Cina dengan
melawati kubur orang tua mereka. Dalam hal ini, setiap agama menyeru kepada bangsanya untuk berdoa
agar roh ibu bapa mereka tenteram.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa anak-anak harus melaksanakan
kewajipan mereka dengan menjaga ibu bapa dengan baik. Selagi ibu bapa kita hidup di muka bumi ini, kita
perlu memenuhi segala permintaan dan hajat mereka sebagai tanda menghargai pengorbanan mereka. Hal ini
kerana apabila mereka sudah tiada di dunia, kita tidak berpeluang melakukan sesuatu bagi membalas jasa
kedua-dua orang tua kita. Ketika itu, kita akan menyesal namun pepatah menyatakan bahawa sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh itu, marilah kita menyahut slogan Sayangilah
Ibu Bapa kita dan berbakti kepada ibu bapa kita agar hidup diberkati. Firman Allah SWT yang
bermaksud Sesungguhnya orang-orang yang mulia ialah orang- orang yang tida melakukan
dosa. Kita janganlah melakukan dosa dengan menyakitkan hati ibu bapa kita. Tegasnya, setiap insan harus
mendukung kewajipan sebagai anak yang soleh dan solehah serta melaksanakan kewajipan tersebut dengan
baik agar hidup diberkati.

Anda mungkin juga menyukai