Anda di halaman 1dari 11

1.

0 PENDAHULUAN
Sejarah adalah sesuatu peristiwa penting yang benar-benar berlaku pada masa lampau.
Sejarah memerlukan bantuan displin ilmu lain untuk memastikan keobjektifannya. Sumber
sejarah terbahagi kepada empat bahagian iaitu sumber primer, sumber skunder, sumber
lisan dan juga sumber arkeologi. Sumber primer adalah sumber yang asal atau asli yang
masih belum diolah. Sumber skunder pula adalah sumber yang telah diolah daripada sumber
primer dan rakamannya berbentuk penulisan dokumen yang ditulis oleh sejarawan sendiri.
Sumber lisan merupakan sumber yang diperoleh daripada ingatan oarang sumber yang
telah mengalami sejarah ataupun menerima penceritaan sejarah tersebut dan dirakamkan
secara lisan hasil penceritaan orang sumber tersebut. Sumber sejarah yang terakhir pula
adalah sumber daripada tinggalan sejarah. Sejarawan mentafsirkan sejarah bedasarkan
kajian terhadap bahan tinggalan melalui proses cari gali.
Kajian yang dijalankan bedasarkan sumber lisan mempunyai kekurangan dari segi
keobjektifannya kerana terdapat tokok tambah dalam penceritaan peristiwa sejarah tersebut.
Sumber lisan merupakan sumber yang digunakan untuk melengkapi sumber dokumen.
Namun hasil kajian sumber lisan yang baik bergantung kepada kerjasama yang diberikan
oleh orang sumber serta soalan-soalan yang diberikan oleh sejarawan kepadanya. Masalah
sumber lisan ini adalah ia bergantung kepada tahap ingatan pencerita tersebut dan tidak
semestinya pelaku sejarah tersebut mampu untuk mengingati perkara yang telah dilaluinya
pada suatu ketika dulu dengan jelas. Kajian sejarah melalui sumber lisan boleh dilakukan
terhadap peristiwa sejarah yang tidak direkodkan seperti kajian terhadap peranan individu
dalam mempengaruhi pembangunan ekonomi di sesuatu kawasan. Saya telah melakukan
kajian berkenaan dengan ayah kepada moyang saya yang telah berhijrah dari Indonesia ke
Tanah Melayu untuk menambah baik kehidupannya dengan membuka kawasan penempatan
baru di situ.
Proses mencari sumber lisan ini telah dijalankan dengan menemuramah cicit dan
anak kepada tokoh tersebut. Sumber yang dijumpai hanyalah sumber lisan yang berada di
tahap penuturan dan penyebaran ataupun tradisi lisan. Tahap perkembangan sumber lisan
terbahagi kepada tiga bahagian iaitu sumber lisan bedasarkan fakta atau peristiwa yang
diperoleh daripada keterangan proto ataupun keterangan asal si pelaku sejarah, tahap saksi
mata iaitu sumber lisan daripada orang yang memerhatikan peristiwa sejarah tersebut
ataupun bersama-sama merasai peristiwa sejarah tersebut dan akhir sekali adalah tahap
sumber yang diperturunkan secara tradisi kepada keturunan dan generasinya. Sumber lisan
yang dikaji oleh saya berada di tahap ketiga iaitu tahap sumber yang diperturunkan secara
turun temurun kerana orang sumber yang ditemuramah saya mengatakan bahawa dia
1

mendapat cerita daripada ayah, pakcik serta atoknya. Kajian sumber lisan saya mempunyai
skop kajian terhadap peranan Modirono dalam membangunkan kampung.
2.0 LATAR BELAKANG MODIRONO
Modirono merupakan anak kepada Proyodiwongso yang berasal dari Demak yang terletak di
kawasan Jawa Tengah, Indonesia. Beliau dilahirkan pada tahun 1869. Kawasan Demak ini
sering dikaitkan dengan satu kawasan perjuangan wali songo dan wali-wali tersebut turut
membangunkan masjid Demak dan bermulalah era pembangunan Kesultanan Demak pada
ketika itu dan masjid ini dikatakan satu tiangnya dibina daripada lebihan kayu yang diketam
yang dipanggil tatal disusun menjadi tiang serta atap yang dibina daripada kerak nasi. Antara
mitos lain pada zaman tersebut sewaktu perang Indonesia pada tahun 1945 seperti bom
yang dijatuhkan Belanda bertukar menjadi labu, dan askar Belanda diserang tabuan sewaktu
ingin menyerang Indonesia. Cerita-cerita tersebut tidak dapat dikenalpasti kesahihannya dan
cerita-cerita yang disebarkan ini adalah untuk menunjukkan kehebatan wali songo menerajui
Kesultanan Demak.
Modirono dilahirkan dalam keluarga Islam dan nama sebenar beliau adalah Rapan
bin Proyodiwongso. Adik beradik beliau tidak dapat dikenal pasti bilangannya namun beliau
dipercayai mempunyai abang ataupun kakak yang lebih tua darinya yang berada dalam
situasi yang dipanggil apit bangkai. Situasi apit bangkai ini adalah apabila adiknya mati dan
abangnya atau kakaknya pun telah mati. Kedatangannya ke Tanah Melayu adalah dalam
sekitar tahun 1909 dengan menaiki kapal api dari Demak. Isteri beliau bernama Nasiah binti
Ngtrono dan memiliki tiga orang anak lelaki serta seorang anak perempuan. Beliau
mempunyai seorang abang ipar yang bernama Ilias. Abang ipar Modirono, Ilias telah terlebih
dahulu menetap di Tanah Melayu. Modirono telah mengahwini adik kepada Ilias iaitu Nasiah
binti Ngtrono semasa di Demak dan mempunyai empat orang anak sebelum beliau berhijrah
ke Tanah Melayu. Anak lelaki beliau adalah Rasiman, Giman dan Samri @ Salleh serta
anak perempuannya pula bernama Marsinah.
Modirono berasal daripada keluarga yang agak susah namun masih mampu untuk
menyara hidupnya dan tidak terlampau miskin. Modirono telah tiba di Tanah Melayu pada
sekitar tahun 1909 bersama ahli keluarganya di kawasan Rengit dan mula membuka
penempatan di kawasan Benut. Kawasan tersebut dipanggil Parit Madirono sempena
namanya. Beliau telah menjadi ketua kampung di situ. Anak-anaknya kemudian telah
berpindah ke kampung lain yang berdekatan situ kecuali anak perempuannya yang paling
bongsu, Marsinah yang masih menetap di kampung tersebut sehingga meninggal dunia dan
keturunannya masih menetap di kawasan perkampungan tersebut. Anaknya yang pertama,
Rasiman berhijrah ke Kampung Jambi, Rengit. Anak lelaki keduanya, Giman pula berhijrah
2

ke Kampung Parit Salleh, Benut dan anak lelakinya yang ketiga, Samri pula berpindah ke
Kampung Parit Mansor, Benut. Mereka semua telah memulakan hidup sendiri dan menyara
keluarga masing-masing.
Beliau mempunyai beberapa ilmu yang diamalkan sejak dari Kepulauan Jawa yang
membantu beliau dalam kehidupan seharian dan menjadikan beliau seorang ketua kampung
yang berwibawa. Ilmu-ilmu yang dimiliknya jika dilihat pada masa kini terdapat beberapa ilmu
yang boleh disifatkan sebagai ilmu hitam ataupun ilmu yang bercanggah dengan ajaran
agama Islam. Antara ilmu yang dimiliki oleh beliau adalah seperti ilmu penggerun, ilmu
menjinakkan haiwan yang buas dan ganas, dan ilmu sapu angin serta beliau turut memiliki
tiga ekor harimau belaan yang boleh dikira sebagai harimau ghaib ataupun harimau
jelmaan1. Ilmu penggerun yang dimiliki beliau dikatakan sangat hebat sehinggakan
penduduk di kampung tersebut tidak berani untuk melintasi kawasan perumahannya jika
terlihat susuk tubuhnya di hadapan rumahnya ketika beliau sedang menajak rumput atau
melakukan sebarang aktiviti di luar rumahnya. Perasaan gerun yang wujud turut
membuatkan penduduk kampung mempunyai rasa hormat terhadap beliau selaku ketua
kampung seperti apa yang disampaikan oleh Wak Wageh selaku penduduk kampung itu
sendiri.2
Selain itu ilmu menjinakkan haiwan liar ini di gunakan beliau kerana kawasan penempatan
yang dibuka adalah dari kawasan hutan yang merupakan habitat haiwan liar. Turut
diceritakan oleh Shuib, kejadian yang berlaku pada suatu hari ketika seekor kerbau liar telah
masuk ke dalam rumahnya dan beliau telah berjaya memujuk kerbau tersebut untuk keluar
daripada rumahnya. Ilmu penjinak haiwan liar ini turut digunakan sewaktu beliau menaiki
sampan untuk menjual hasil hutan ke kawasan bandar Benut. Sungai benut pada masa itu
mempunyai banyak buaya dan kebanyakan buayanya lebih besar dari sampan jalurnya.
Namun buaya tersebut mampu untuk dijinakkan dan disuruh menyelam semula ke dalam air
agar tidak mengganggu beliau. Pengangkutan air merupakan laluan yang utama
menghubungkan kampung pada masa itu. Ilmu ini sangat membantu beliau dalam urusan
hariannya untuk ke mana-mana sahaja.
Ilmu sapu angin adalah ilmu yang dikatakan mampu membuatkan seseorang itu
berjalan dengan pantas. Ilmu ini turut terkenal di Tanah Jawa dan dipanggil ilmu lipat bumi.
Ilmu ini mampu membuatkan pengamalnya untuk berjalan sepantas angin tanpa disedarinya
sendiri. Tempoh masa perjalanan yang diambil adalah lebih singkat berbanding biasa
1 Azlin bin Shuib, Rengit, 20/3/15, 10pm.
2 Ibid.
3

walaupun pengamalnya dilihat berjalan seperti biasa. jika sesiapa yang mengikut pengamal,
mereka haruslah mengikut dengan rapat agar tidak terkeluar daripada kesan ilmu tersebut.
Jika berjalan bersama dan leka walaupun seketika, pengikut akan jauh ketinggalan di
belakang. Modirono turut mempunyai kebolehan untuk menyakiti orang lain tanpa melalui
sentuhan. Jika beliau marah dengan seseorang, beliau akan mengambil bekas tapak kaki
orang tersebut dan melemparkannya ke dalam sungai. Bekas tapak kaki yang ada di tanah
gambut akan digenggam dan dilemparkan tanah tersebut ke dalam sungai. Orang tersebut
akan menghidapi sakit pinggang dan jika tidak bertemu dengannya dan meminta maaf maka
sakit tersebut tidak akan sembuh3.
Harimau belaan Modirono tidak pernah mengusik dan memakan orang atau penduduk
kampung di situ. Lembu yang dibela oleh beliau turut tidak diusik oleh harimau tersebut.
Harimau ini mungkin terdiri daripada sejenis jin. Penurunan harimau ini adalah secara
automatik kepada anak lelaki pertama pemilik tersebut. Pernah diceritakan bahawa
Modirono pernah menurunkan ilmu ini kepada cucu lelakinya yang pertama, anak kepada
Rasiman iaitu anak lelakinya yang pertama bernama Yus bin Rasiman dengan
menggunakan pisang. Beliau menyuruh Yus memakan pisang yang disuapkan olehnya.
Harimau ini merupakan haiwan yang menjaga kampung daripada sebarang ancaman dan
diceritakan bahawa harimau ini diberi makan bertih jagung. Harimau ini boleh hilang secara
tiba-tiba dan muncul semula dalam bentuk maujud. Pada bulan Muharram harimau tersebut
berada di bawah rumahnya. Harimau belaan ini turut mampu diserahkan oleh pemiliknya
kepada sesiapa yang diingini olehnya.
Ilmu-ilmu yang dimiliki oleh beliau ini adalah merupakan salah satu ilmu yang
diturunkan secara turun-temurun dari pengasas ilmu tersebut. Terdapat beberapa amalan
yang perlu dilakukan untuk menguatkan tenaga dalaman yang berunsur spiritual seperti
keyakinan terhadap alam ghaib dan keyakinan terhadap kewujudan kuasa alam semula jadi
serta yang paling penting adalah keyakinan terhadap pemilik segala kelebihan dan
kekuasaaan. Ilmu-ilmu ghaib ini terbahagi kepada beberapa jenis seperti ilmu ghaib yang
diceritakan secara turun temurun mengenai wali songo di Demak yang membina Masjid
Demak dalam satu malam, serta kehebatan mereka menukar bom menjadi labu dan tentera
Belanda yang diserang tabuan dan banyak lagi perkara-perkara aneh yang berlaku dengan
bantuan daripada makhluk ghaib. Kehebatan yang ditonjolkan daripada wali songo adalah
contoh ilmu ghaib yang bermanfaat dan ilmu ghaib yang menyesatkan adalah seperti ilmu
sihir yang digunakan untuk menghancurkan hidup orang lain demi kepentingan diri sendiri
seperti ilmu santau yang mampu membuatkan orang yang disantau menderita seumur hidup.
3 Shuib bin Rasiman, Rengit 19/3/15, 9pm.
4

Beliau telah pergi menunaikan haji pada sekitar tahun 1952 atau 1953. Setelah
hampir 60 tahun beliau menetap di Kampung Parit Madirono, akhirnya beliau telah
menghembuskan nafas yang terakhir pada sekitar tahun 1966 dan telah dikebumikan di
tanah perkuburan berhampiran Masjid Jamek Parit Madirono pada hari Jumaat pada waktu
pagi. Usianya pada ketika itu dalam lingkungan 90-an atau mungkin secara tepatnya pada
umur 97 tahun. Namun kubur beliau tidak dapat dikesan lagi kerana tanda nisan pada kubur
tersebut telahpun hilang ataupun rosak. Tanda nisan yang diperbuat daripada kayu tersebut
dipercayai telah rosak sewaktu banjir besar yang berlaku di kawasan tersebut pada sekitar
tahun 60-an ataupun tahun 70-an. Tanda nisan tersebut telah dihanyutkan dan kawasan
perkuburan tersebut telah rosak. Kawasan kubur beliau pada kali terakhir yang dikenal pasti
adalah di hadapan mimbar Masjid Jamek Kampung Parit Madirono tersebut Namun binaan
jalan dan tambahan binaan masjid baru telah menyebabkan kuburnya semakin sukar
dikesan. Kesemua anak-anak Modirono telah meninggal dan kini yang tinggal hanyalah
generasinya yang ketiga.
3.0 PENGHIJRAHAN
Penghijrahan Modirono ataupun Rapan ke Tanah Melayu dipercayai telah berlaku beberapa
kali namun fakta yang masih dapat diingati dengan jelas adalah berlaku pada 1909..
Sebelum itu, Modirono telah datang ke Tanah Melayu secara persendirian ketika Rasiman
berusia 9 tahun bersama isterinya secara persendirian dengan menaiki sampan yang
diperbuat daripada kayu balak besar yang telah dikorek bahagian tengahnya untuk
membentuk seperti kuali atau lesung4. Beliau telah mendayung dari Kepulauan Jawa untuk
tiba ke Tanah Melayu dengan berbekalkan ilmu yang ada. Di Tanah Melayu beliau telah
bertemu dengan abang iparnya, Ilias dan membuka penempatan sementara. Kemudian
beliau mungkin kembali semula ke Kepulauan Jawa dan datang semula ke Tanah Melayu
dengan menaiki kapal api dan membayar separuh daripada tambangnya pada tahun 1909
bersama keluarga dan rakan-rakannya yang lain5.
Beliau telah menaiki kapal api dari Demak dan berlabuh di Singapura sebelum menyambung
semula perjalanannya dengan menaiki tongkang ke Sungai Rengit. Kehadirannya disambut
mesra oleh abang iparnya Ilias dan telah berkenalan dengan Husin di Kampung Parit Latif.
Beliau telah menetap secara sementara di Kampung Parit Latif, Rengit sebelum mula
mencari kawasan baru untuk dijadikan kawasan penempatan di Benut. Setelah melalui
Sungai Kluang di Rengit, beliau telah berpindah ke Benut bersama keluarga abang iparnya.
4 Saniah bt Abdul Hamid, 21/3/15, 8am.
5 Shuib bin Rasiman, Rengit 19/3/15, 9pm.
5

Benut pada ketika itu merupakan sebuah pelabuhan yang boleh dimasuki oleh kapal-kapal
kecil dan terdapat jeti-jeti kapal di tanjung Benut. Beliau telah menelusuri Sungai Benut,
Sungai Kluang dan Sungai Rengit serta kawasan-kawasan lain yang sesuai untuk dijadikan
kawasan petempatan baru.
Penghijrahan ke Tanah Melayu adalah kerana faktor tolakan daripada Kepulauan
Jawa serta beberapa lagi faktor penarik yang ada di Tanah Melayu. antara faktor penolak
yang menyebabkan Modirono mencari kehidupan baru di Tanah Melayu adalah disebabkan
keadaan hidupnya di Demak yang mungkin kurang baik serta keadaan keluarganya yang
berada di sana. Kakak atau abangnya yang menghadapi situasi apit bangkai menunjukkan
bahawa adik beradiknya telah berkurang disebabkan kematian mungkin mempengaruhi
Modirono

untuk

mengubah

kehidupannya

dan

berhijrah

ke

tempat

baru.

Cara

kedatangannya ke Tanah Melayu pada kali pertama adalah dengan secara persendirian dan
tidak terlibat dengan sebarang sistem seperti sistem yang diguna pakai oleh pihak penjajah.
Kemasukan orang Indonesia kebanyakannya adalah melalui cara persendirian pada ketika
itu kerana pihak penjajah tidak begitu berminat untuk membawa masuk rakyat Indonesia ke
Tanah Melayu. Faktor penolak yang mereka hadapi adalah dengan kezaliman pemerintahan
Belanda yang mengenakan pelbagai cukai serta keadaan di Demak yang mempunyai
pertambahan penduduk yang tidak seimbang dan menyebabkan kemiskinan dan
kemerosotan taraf hidup masyarakat di situ.
Faktor penarik yang boleh dikesan di Tanah Melayu adalah seperti abang iparnya
yang telah terlebih dahulu menetap di Tanah Melayu berbanding beliau. Keadaan abang
iparnya di Tanah Melayu telah menarik minat beliau untuk turut sama berhijrah ke Tanah
Melayu. Selain itu, peluang pekerjaan yang banyak di Tanah Melayu sewaktu pemerintahan
British di Tanah Melayu telah menarik bukan sahaja beliau malah beribu-ribu lagi imigran ke
Tanah Melayu. Kedatangan Modirono beberapa kali ke Tanah Melayu adalah bertujuan untuk
melihat sendiri suasana di Tanah Melayu. Keadaan di Tanah Melayu yang mempunyai
banyak kawasan yang belum diterokai telah menarik minat beliau untuk menetap di Tanah
Melayu. Hasrat beliau yang sejak dari mula ingin berhijrah untuk membuka penempatan
baru6 membuatkan beliau memilih Tanah Melayu yang lebih dekat dan masih lagi
mempunyai banyak kawasan yang belum diterokai berbanding di Kepulauan Jawa yang
sudah mula pesat dengan pertambahan penduduk.
Selain itu, kegiatan ekonomi yang hampir sama di Tanah Melayu dan Kepulauan Jawa
seperti mengusahakan getah dan kelapa menyebabkan Tanah Melayu menjadi tumpuan
penghijrahan. Persamaan dengan orang-orang Melayu di Tanah Melayu dari segi bahasa,
6Saniah bt Abdul Hamid, 21/3/15, 8am.
6

agama, adat resam dan sebagainya telah menyebabkan Modirono lebih selesa dan dapat
menyesuaikan diri dengan keadaan di Tanah Melayu dengan mudah. Namun keadaaan di
Tanah Melayu yang sedikit sebanyak berubah dari masa ke semasa dan kecenderungan
hidup berpindah randah membuatkan masyarakat di Tanah Melayu pada masa itu sentiasa
berpindah randah sebelum memilih satu kawasan yang sesuai untuk menetap. Kehidupan
berpindah randah membuatkan mereka mengamalkan ekonomi sara diri sebelum membuka
kampung di Benut. Keadaan Tanah Melayu yang aman dan stabil dari segi ekonomi, politik
dan sosial adalah antara punca penarik yang kuat untuk menarik minat beliau menetap di
Tanah Melayu.
4.0 PEMBUKAAN KAMPUNG
Kedatangan Modirono yang berhasrat untuk membuka kampung sejak daripada Kepulauan
Jawa telah tiba ke Tanah Melayu dan naik melalui Sungai Kluang dan kemudian ke Parit
Latif. Ketibaannya ke Tanah Melayu disambut oleh abang iparnya di Parit Latif. Kemudiannya
mereka bersama seorang rakan lagi yang bernama Husin telah menuju ke Sungai Jambi di
Benut dan menetap di sana buat sementara waktu. Setelah menjumpai penempatan yang
sesuai, Modirono kemudiannya bersama-sama dengan abang iparnya, Ilias dan kawannya
Husin telah meneroka kawasan di sekitar Benut untuk dibuka penempatan yang bermula
daripada kawasan hutan yang belum pernah diterokai oleh sesiapa. Mereka telah
membersihkan kawasan hutan tersebut untuk dijadikan kawasan perumahan. Pada awalnya
mereka telah mendirikan kawasan penempatan mereka sebelum menyambung meneroka
kawasan tersebut seluas mungkin. Mereka meneroka dan menjual tanah tersebut kepada
orang yang ingin menetap di kawasan tersebut.
Modirono telah memilih kawasan tersebut sebagai kawasan yang sesuai untuk
membangunkan perkambungan adalah kerana kawasannya yang berhampiran dengan
sungai. kawasan tersebut juga masih belum diterokai dan membolehkan beliau untuk
menjadi peneroka pertama kampung tersebut. Kawasan yang dipilih berdekatan dengan
sungai adalah kerana sungai tersebut mampu menjadi sumber air minuman dan kawasan di
lembah sungai merupakan kawasan pertanian yang subur. Kawasan pertanian yang subur
mampu untuk menjana pendapatan kampung untuk terus membangun dengan sumber
pertanian seperti penanaman pokok getah dan pokok kelapa. Selain itu, sungai merupakan
salah satu jalan perhubungan yang paling mudah dan pantas pada ketika itu kerana jalan
darat yang masih belum dibina untuk menghubungkan kampung-kampung dan bandar yang
berhampiran. Oleh itu, beliau telah memilih kawasan penempatan yang berdekatan dengan
sungai untuk memudahkan lagi proses perhubungan kampung tersebut dengan masyarakat

di perkampungan lain. Kawasan sungai juga memastikan saliran yang penting untuk
mengelakkan kawasan tersebut ditenggelami air.
Mereka bertiga telah berjaya meneroka kawasan hutan tersebut menjadi kawasan
penempatan yang mempunyai keluasan lebih kurang 100 ekar yang mempunyai panjang
sejauh hampir 2 kilometer7. Kawasan kampung di Johor adalah tertumpu kepada kawasan di
sepanjang sungai ataupun parit. Hal ini membuatkan hampir keseluruhan kampung disusun
secara memanjang berpandukan parit ataupun sungai yang berhampiran dengannya.
Kawasan-kawasan yang diteroka oleh mereka telah dibahagikan dan Modirono telah
mendapat kawasan seluas 20 ekar dan selebihnya diserahkan kepada abang ipar dan
kawannya. Modirono telah dilantik menjadi ketua kampung kerana usahanya yang berhijrah
dari Demak, Jawa Tengah semata-mata ingin membuka penempatan baru di kawasan
tersebut dan juga bedasarkan kredibiliti yang dimiliki olehnya dengan pelbagai ilmu dan
amalan yang diamalkan olehnya. Kawasan yang telah diteroka tersebut dinamakan
Kampung Sungai Madirono sempena nama Modirono dan sewaktu mendaftar nama
kampung tersebut, telah berlaku sedikit kesilapan dalam ejaan Modirono yang telah dieja
sebagai Madirono. Kampung tersebut terus dikenali sebagai Kampung Sungai Madirono
sehingga kini.
Pada zaman itu, sesiapa sahaja yang membuka kampung, mereka berhak meletakkan
nama mereka sebagai nama penempatan baru yang mereka buka. Sesiapa sahaja yang
rajin untuk meneroka berhak untuk mendapatkan tanah yang diusahakannya itu. Modirono
kemudiannya telah membahagikan bahagian tanahnya kepada anak-anaknya dan setelah
anaknya berpindah ke kampung lain, mereka telah menjualnya kepada sesiapa yang
berminat untuk membeli tanah. Tanah milik Giman telah dijual sewaktu Giman ingin
menunaikan haji. Modirono turut dihormati dan ditakuti dengan kegarangannya sehingga
cucunya sendiri takut akan kegarangannya itu. Jika cucunya terlambat bangun pada waktu
pagi, beliau akan menyepak tapak kaki dan menjerit memarahi cucunya. Kehebatankehebatan yang dimiliki oleh beliau disebabkan ilmunya sebenarnya telah menjadikan beliau
seorang ketua kampung yang disegani dan dihormati. Kegarangannya turut di warisi oleh
anak dan cucunya. Cucunya telah memarahi penduduk kampung apabila melihat papan
tanda Kampung Sungai Madirono telah dibenamkan ke dalam tanah sehingga papan tanda
tersebut menjadi rendah separas jalan. Perkara tersebut dianggap sebagai satu penghinaan
terhadap Modirono.
Pada awalnya selepas membuka kawasan penempatan, Modirono telah bersamasama membina surau sebagi pusat pembangunan masyarakat di perkampungan tersebut
7 Azlin bin Shuib, Rengit, 20/3/15, 10pm.
8

dan juga diguna pakai bagi tujuan aktiviti-aktiviti keagamaan seperti solat secara berjemaah
bagi penduduk di kawasan kampung tersebut. Surau yang dibina ini telah dinaik taraf dan
sentiasa di tambah baik sehinggalah kini surau tersebut telah menjadi Masjid Jamek
Kampung Sungai Madirono. Mereka juga telah membuat pakatan gotong-royong untuk
menjaga keamanan di sekitar kawasan kampung dan bersama-sama membangunkan
kampung tersebut. Pakatan gotong-royong ini terus dijalankan oleh ketua kampung yang
seterusnya selepas kematian Modirono sehingga kini. Pakatan gotong-royong yang dibina
adalah bukti yang menunjukkan hubungan mesra yang terjalin antara penduduk di kawasan
perkampungan tersebut seiring dengan adat dan budaya masyarakat yang menekankan
kepentingan untuk menghormati orang lain.
Pakatan gotong-royong yang ditubuhkan oleh Modirono ini telah menyediakan
sumber tenaga bagi aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam kampung tersebut seperti
kumpulan pemain kompang kampung, pesilat, pasukan pertunjukan seperti permainan kuda
kepang serta pasukan yang membantu menguruskan majlis-majlis di kawasan kampung
tersebut. Disebabkan kesemua anak lelaki Modirono telah berhijrah ke kawasan lain, ketua
kampung yang baru telah dipilih daripada keturunan Marsinah, anak perempuannya yang
terakhir. Kesan yang positif mengenai pembukaan kampung tersebut dapat dibuktikan
dengan sedikit perubahan gaya hidup Modirono yang mampu untuk berbelanja besar bagi
majlis pernikahan anaknya, Marsinah. Sewaktu beliau membeli barang belanja tersebut,
sampan yang dinaikinya telah terlungkup disebabkan banjir dan semua barang belanja
tersebut rosak dan tenggelam. Namun beliau masih berkemampuan untuk membeli semula
barangan yang telah rosak dan hilang.
Ekonomi yang diusahakan bagi membangunkan kampung tersebut adalah secara
ekonomi komersial dengan mengusahakan penanaman getah pada permulaannya.
Kemudiannya beliau turut mengusahakan penanaman pokok kelapa serta sumber-sumber
pertanian yang lain yang mampu hidup subur di kawasan tersebut serta mendatangkan
pulangan yang lumayan. Kesemua sumber-sumber yang telah diperoleh dihantar ke bandar
Benut untuk dijual dengan menggunakan sampan jalurnya melalui jalan sungai kerana Benut
merupakan satu kawasan pelabuhan kecil yang mempunyai ramai pelanggan dan terdapat
ramai peniaga-peniaga yang menjaja di sekitar pelabuhan tersebut. Pelabuhan tersebut
merupakan pusat bandar yang menghubungkan Benut dengan Selat Melaka. Ilmu-ilmu yang
dimiliki beliau membuatkan pembangunan kampung tersebut berjalan dengan baik.
Kewibawaan beliau selaku ketua kampung telah terbukti apabila berjaya menjaga keamanan
kampung tersebut yang telah diwujudkan sejak tahun 1909 dan telah melalui beberapa
zaman peralihan pemerintahan daripada pemerintahan British, pemerintahan Jepun, dan

pengambilan semula oleh British sebelum akhirnya Tanah Melayu merdeka dan membentuk
Persekutuan Tanah Melayu.
Penubuhan kampung ini dilihat sebagai satu usaha yang sangat membantu dalam
pembangunan di kawasan Rengit. Dengan pembinaan kampung di kawasan tersebut, Benut
telah mula membangun dan kemudian telah wujudnya pelbagai lagi kampung dan
penempatan seperti Sungai Pinggan, Sepah Beruang, Puteri Menangis, Parit Gantung dan
sebagainya. Kampung ini turut berangkaian dengan Kampung Parit Jambi, Kampung Parit
Serom dan Kampung Parit Salleh. Kampung Parit Madirono juga telah menjadi jalan altenetif
untuk menghubungkan daerah Pontian dan Batu Pahat pada masa kini melalui jalan darat.
Pembangunan yang pesat telah menjadikan Benut semakin maju. Penduduk di kampung
tersebut kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Jawa kerana pada awalnya Modirono
telah meneroka penempatan tersebut bersama-sama keluarga dan rakannya. Tanah tersebut
turut dibahagikan secara suka sama suka untuk bahagian masing-masing sebelum mereka
bersama-sama membangunkan petempatan tersebut dengan membina surau dan
kemudahan kampung yang lain. Pada zaman tersebut, setiap peneroka berhak ke atas
tanah yang diterokainya sendiri tanpa ada sebarang syarat. Aktiviti yang dijalankan oleh
penduduk kampung selain menanam pokok getah dan kelapa, mereka turut menangkap
hasil laut seperti udang galah di kawasan sungai yang berdekatan. Pelantikan Modirono
sebagai ketua kampung yang telah dipersetujui ramai adalah kerana kemampuannya untuk
menjaga kawasan perkampungan tersebut.
5.0 RUMUSAN
Modirono merupakan seorang tokoh yang datangnya dari Demak, Jawa Tengah untuk
memperbaiki kehidupannya. Beliau behijrah untuk mencari kawasan penempatan baru
bersama keluarganya dan menetap sementara di beberapa tempat di Tanah Melayu
sebelum membuka penempatannya sendiri di sebuah kawasan yang berhampiran dengan
sungai di Benut. Beliau mempunyai seorang isteri dan empat orang anak, tiga lelaki dan
seorang perempuan. Ketibaan Modirono di Tanah Melayu disambut oleh abang iparnya yang
terlebih dahulu menetap di Tanah Melayu. kemudiannya beliau bersama iparnya dan
seorang kawan bernama Husin telah berpindah ke Jambi Benut dan telah membuka satu
kawasan penempatan yang baru seluas 100 ekar dan dipanggil Kampung Sungai Madirono.
Keadaan kampung yang stabil pada ketika itu adalah dipercayai dengan bantuan
daripada haiwan peliharaannya yang berbentuk harimau sebanyak tiga ekor. Harimau ini
dipercayai merupakan jelmaan jin dan dibela oleh Modirono yang diterimanya secara turun
temurun daripada keluarganya ketika berada di Demak, Indonesia. amalan-amalan yang
sering diamalkan oleh Modirono memberikan kelebihan dalam kehidupan sehariannya
10

seperti amalan ilmu penjinak haiwan liar, ilmu penggerun dan juga ilmu sapu angin. Ilmu-ilmu
ini telah dipelajari di Jawa sebagai bekalan untuk berhijrah ke Tanah Melayu. Mereka telah
menetap di Tanah Melayu sehinggalah ke akhir hayat dan warisnya masih lagi terus menetap
di Tanah Melayu sehingga kini. Modirono telah meninggal dunia pada tahun 1966 pada usia
97 tahun.
Kehebatan dan kehandalan beliau telah membuatkan kampung tersebut tidak
mempunyai sebarang masalah walaupun ketika menghadapi zaman darurat. Beliau
merupakan seorang ketua kampung yang digeruni dan dihormati ketika hayatnya mungkin
juga disebabkan ilmu penggerun yang diamalkannya itu. Namun beliau tetap berjaya
memastikan kampung tersebut terus membangun dan kekal hingga ke hari ini.
Pembangunan yang dilakukan seperti surau telah pun dinaik taraf menjadi masjid dan
pakatan gotong-royong yang diperkenalkan masih lagi kekal ke hari ini dengan mengubah
menjadi satu jawatankuasa yang lebih bersistematik dan berdaftar iaitu Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Pembangunan kampung tersebut telah
membantu Benut dari segi pembangunan setelah wujudnya kampung-kampung yang lain
selepas kewujudan Kampung Sungai Madirono.

11

Anda mungkin juga menyukai