Anda di halaman 1dari 32

Karya Klasik: Hikayat Inderaputera - Ali Haji Ahmad

1.0 Pengenalan
Karya agung dalam konteks dunia Melayu boleh ditakrifkan sebagai karya yang nilainya
tahan zaman atau kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu Melayu.
Nilai yang dimaksudkan ialah nilai seni, nilai budaya, nilai ilmu dan pemikiran yang
terkandung dalam di dalam sesebuah karya, nilai pada teknik kepengarangan yang luar
biasa serta nilai bahasa yang tinggi dan indah, semuanya lahir dalam kesepaduan bentuk,
bahasa dan gaya penceritaan yang luar biasa. Maksud luar biasa pula dapat dilihat dan
dirasakan apabila kita mengkaji cara atau kaedah berfikir dan bercerita yang
digunakan, sama ada secara sedar, spontan, atau secara terancang, bagi menyampaikan
sesuatu ilmu, konsep, pandangan hidup, mesej dan lain-lain (Hassan Ahmad; 2005 dalam
Mohd Rashid Md Idris et al.).
Karya agung ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran,
pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa.
Karya ulung merupakan karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah
dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan bersama bangsa itu
sepanjang sejarahnya. Unsur mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan
semestinya hadir dalam sesebuah karya ulung. Selain itu, karya agung juga sebuah karya
yang dianggap oleh pelbagai institusi dan badan berautoriti sebagai karya yang
mencerminkan kehebatan sesuatu bangsa melalui amalan cara hidup, adat istiadat,
falsafah, budaya, dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan pembaca. Unsur
dalam karya ini merangkumi mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan di dalam
karya tersebut (Mohd Rashid Md Idris et al.: 2014).
Karya agung melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk
tradisi dan identitinya yang tersendiri. Tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-
bangsa yang lain dikenali melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan
oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala. Mereka yang mampu
meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan
petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi
tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini (Hassan Ahmad; 2005 dalam Mohd
Rashid Md Idris et al.).
Sesuatu karya untuk menjadi tonggak keintelektualan sesuatu bangsa pastinya
perlu berbentuk tulisan kerana melalui tulisan sahaja sesuatu karya dapat dikenal segala
maklumat yang terkandung di dalamnya, sekali gus menggambarkan kehebatan bangsa
tersebut. Mungkin asalnya karya itu dalam bentuk lisan tetapi melalui usaha-usaha yang
terkemudian, bahan-bahan lisan itu ditulis dan dibukukan bagi menjamin
kelangsungannya. Melalui tulisan, dapat dikenal keindahan bahasa yang digubah dan
jalinan fikir yang diungkap sehingga ke hari ini. Sesebuah karya kesusasteraan diangkat
sebagai karya agung berdasarkan ciri-ciri yang ada pada karya berkenaan. Namun,
perlu diingat bahawa tidak ada ukuran yang sejagat berkaitan ciri-ciri ini. Hal ini
demikian kerana setiap karya sastera lahir daripada tradisi, budaya dan tamadun yang
berbeza-beza. Penelitian ciri-ciri sesebuah karya kesusasteraan diangkat sebagai karya
agung Melayu dilihat dari beberapa aspek iaitu pemikiran dalam karya agung, estetika
dan kepengarangan karya agung, nilai budaya dan pandangan hidup serta nilai ilmu
dalam karya agung Melayu (Mohd Rashid Md Idris et al.; 2014).
Karya agung Melayu adalah cetusan akal fikiran Melayu yang luar biasa.
Keluarbiasaan akal Melayu ini pada dua tahap keupayaan mentalnya iaitu
keupayaannya berfikir secara kreatif melalui kaedah atau proses mental yang dapat kita
sebut kaedah metafora, yakni kaedah berfikir melalui perumpamaan, perbandingan,
kiasan dan tamsil ibarat, untuk menyampaikan sesuatu benda daripada alam nyata
sebagai analogi. Selain itu, kebolehan mentalnya untuk menyusun fikirannya dalam
bentuk pengungkapan yang sangat berstruktur. Terdapat banyak karya agung yang
mempunyai kehebatannya yang tersendiri antaranya ialah Hikayat Hang Tuah, Sejarah
Melayu, Hikayat Raja-raja Pasai, Tuhfat Al-Nafis, Hikayat Abdullah, Hikayat
Inderaputera, Misa Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa dan sebagainya.

2.0 Latar Belakang Hikayat Inderaputera


Hikayat Inderaputera, merupakan sebuah karya agung dalam kategori genre cerita lipur
lara Melayu yang sangat terkenal pada abad ke-17 dan ke-18. Sejumlah 30 naskhah
hikayat ini yang diketahui masih ada, terpelihara dan disimpan di perpustakaan negeri
Belanda, Britain, Jerman, Perancis, Belgium, Sri Lanka, Indonesia dan Malaysia.
Hikayat ini terdapat dalam beberapa versi iaitu versi Aceh, versi Jawa, versi Lombok,
versi Bugis, versi Cam dan versi Mindanao. Hikayat ini juga disebut dalam karya agung
Melayu yang lain, iaitu Bustan al-Salatin dan Sirat al-Mustakim karangan Nuruddin al-
Raniri, juga dalam Taj al-Salatin karangan Bukhari al-Jauhari. Pengarangnya tidak
diketahui dan ia adalah antara karya yang masih terselamat sehingga hari ini.
Teks hikayat ini telah dikaji oleh Dr. S.W. R. Mulyadi dalam tesis Doktor
Falsafahnya yang bertajuk Hikayat Indraputra: A Malay Romance. Terjemahan tesis ini
ke dalam bahasa Melayu diusahakan oleh Sidang Editor Yayasan Karyawan dan
diselenggara oleh Ali Haji Ahmad. Naskhah dasar yang digunakan dalam kajian ini
adalah MS I, naskhah tertua yang paling lengkap bertarikh 29 Rejab 1111 H bersamaan
dengan 20 Januari 1700 M. Satu salinan Hikayat Inderaputera terdapat dalam simpanan
Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Nombor Manuskripnya MS 37. Satu lagi salinan
terdapat di Universiti Leiden, The Netherlands/Belanda (Or 53 (formerly HS. 542),
Library of KITLV (Koninklijk Instituut voor Taal-, Land- en Volkenkunde, Leiden,
Belanda.)
Seorang sarjana, Dr. V.I Braginsky mengkaji hikayat ini dari segi unsur-unsur
Islamnya, selain mendapat data-data terbaharu. Beliau secara yang amat mendalam dan
meyakinkan melihat Inderaputera, watak utama dalam hikayat ini, sebagai seorang
pengembara sufi mencari kebenaran Ilahi. Beliau juga mengatakan bahawa Hikayat
Inderaputera ini mungkin dipengaruhi oleh sumber India (Gulshan-i `Ishq, dan
kesusasteraan Sufi) dan teks Melayu lain seperti Hikayat Cekel Waneng Pati dan Hikayat
Amir Hamzah.

3.0 Sinopsis Hikayat Inderaputera


Mengisahkan seorang Raja Bikrama Buspa mempunyai kerajaan yang amat besar,
Sementa Pura namanya. Isterinya, Tuan Puteri Jamjan Ratna Dewi, melahirkan seorang
bayi laki-laki yang amat elok parasnya dan diberi nama Inderaputera. Baginda meminta
ahli nujum melihat nasib puteranya itu. Menurut ramalan mereka, Inderaputera akan
menjadi raja yang penuh kebesaran, tetapi malangnya dia akan berada bersama-sama
ayahandanya hanya selama tujuh tahun sahaja.
Pada suatu hari, Raja Bikrama Buspa dan anaknya Inderaputera menonton
pertunjukan pandai emas dan pandai kayu. Pandai kayu membuat ikan dan dibubuh di
dalam pasu, lalu berpantun dan berselokalah ikan itu. Kemudian pandai emas pula
menunjukkan kebolehannya dengan membuat merak daripada emas. Merak itu
disimpan oleh Raja Bikrama pada talam emas dan perak. Merak itu pun menyanyi
seraya dengan bangganya memuji kecantikan dirinya. Ketika itu Inderaputera pun
turun dari pangkuan ayahandanya lalu mendekati merak itu. Dengan tidak disangka-
sangka merak itu menyambar Inderaputera dan menerbangkannya ke udara.
Merak emas menerbangkan Inderaputera ke sebuah negeri dan menjatuhkannya
ke sebuah kebun kepunyaan Nenek Kebayan. Apabila Nenek Kebayan pulang dari
menjual bunga dia terlihat seorang kanak-kanak sedang duduk di bawah sepohon
delima. Dia bertanya tentang diri anak itu. Inderaputera pun berceritalah akan nasib
untungnya. Nenek Kebayan memelihara Inderaputera dengan penuh kasih sayang.
Apabila orang bertanyakan mengenai kanak-kanak itu, dia mengatakan yang
Inderaputera itu anaknya. Orang-orang yang melihatnya pun sayang kepadanya.
Pada suatu hari Inderaputera dibawa berjual bunga ke rumah Perdana Menteri.
Melihat keelokan pekerti dan paras kanak-kanak itu Perdana Menteri berasa kasih
kepadanya lalu meminta untuk memelihara kanak-kanak itu. Pada mulanya Nenek
Kebayan menolak permintaan itu tetapi setelah beliau merayu bersungguh-sungguh dia
pun dibenarkan memelihara budak itu pada sebelah pagi sahaja, manakala pada waktu
malam dia akan tinggal bersama-sama Nenek Kebayan. Dalam pemeliharaan Perdana
Menteri, Inderaputera menjadi semakin bijak dan membesar dengan perkasa.
Diceritakan kemudiannya bahawa Inderaputera berkhidmat kepada Raja
Syahian untuk menemui Berma Sakti di Gunung Mali Kali untuk mendapatkan ubat
bagi memperoleh anak. Dalam perjalanan itu binatang-binatang buas berhimpun
menemui Inderaputera. Mereka meminta perlindungan daripada putera raja itu
daripada menjadi mangsa musuh mereka. Inderaputera juga bertemu dengan tengkorak
yang menceritakan peri adanya raksasa dan dialah kelak yang akan membunuh raksasa
itu. Inderaputera mendaki sebuah gunung dan menemui raksasa yang amat ajaib dan
dengan ketangkasannya, Inderaputera berjaya menewaskan raksasa itu. Dia kemudian
meneruskan perjalanannya. Berdekatan dengan Padang Darsal, Inderaputera
terserempak dengan dua pihak yang sedang berperang antara satu sama lain.
Inderaputera menyebelahi pihak Nobat Rum Syah melawan jin kafir, hinggalah dia
memperoleh kemenangan. Nobat Rum Syah menjemput Inderaputera ke negerinya dan
mengahwinkannya dengan Puteri Jamjan Dewi Gemala Ratna.
Inderaputera meneruskan perjalanannya hingga sampai ke Tasik Semenda Jin.
Di situ dia berjaya menyelamatkan diri daripada ditindih oleh seorang peri. Peri itu
ditawannya tetapi dia memohon dilepaskan dengan janji akan memberi Inderaputera
Geliga Mayan Bedi yang boleh mengeluarkan angin, ombak, dan sebagainya. Di sini juga
Inderaputera menemui Puteri Ratna Gemala Nehran anak Maharaja Syah Tokan.
Sewaktu Ratna Gemala Nehran sedang mandi bersama-sama dayang-dayangnya di
dalam sebuah tasik, Inderaputera telah mengambil baju puteri tersebut. Baju itu
dikembalikannya setelah puteri itu berjanji akan memberinya gemala hikmat miliknya
yang tersimpan di atas kemuncak mahligainya.
Inderaputera menaiki tabak tuan puteri untuk naik ke kayangan. Apabila tiba di
Padang Belantara Hairani, Inderaputera menoleh ke belakang. Akibatnya dia terjatuh
di padang itu. Dari jauh dia terlihat istana Puteri Seri Ratna Gemala Nehran yang
terletak di mercu gunung berapi. Dia pun mendaki gunung itu dan masuk ke istana.
Apabila tiba di balairung dia terpaksa berhadapan dengan seekor gajah tetapi gajah itu
dapat ditewaskannya. Kemudian dia membunuh seekor harimau, seekor singa, seekor
badak, seekor naga berkepala tujuh, seekor geroda, dan seekor raksasa.
Tunang Puteri Ratna Gemala Nehran, Raja Dewa Lela Mengerna, tersalah
sangka apabila melihat puteri sedang berbual-bual mesra dengan Inderaputera. Dia
menghimpunkan askarnya lalu menuju ke istana puteri itu. Dia mencabar Inderaputera
supaya keluar berperang. Inderaputera menyeru jin, peri serta hulubalang keluar dari
gemala hikmatnya. Berlakulah pertempuran hebat antara kedua-dua pihak. Berita
peperangan itu akhirnya sampai ke telingan Nobat Rum Syah. Dia pun membawa
askarnya menolong Inderaputera. Tetapi kemudiannya salah sangka berakhir dan
Inderaputera diterima sebagai teman yang mulia dan dijamu dengan penuh hormat.
Jin Tamar Buga amat murka kepada Inderaputera kerana membunuh anaknya,
Tamar Jalis. Dia membalas dendam dengan menyambar Inderaputera dan cuba
membuangkannya ke dalam Laut Kalzum. Walau bagaimanapun, Inderaputera berjaya
membunuh Tamar Buga. Tiba-tiba dia teringat kepada Tuan Puteri Ratna Gemala
Nehran, tetapi jin gemala hikmat memberitahunya bahawa negeri puteri tersebut telah
jauh ditinggalkan oleh mereka. Inderaputera meminta jin itu menerbangkannya melalui
gunung berapi itu. Jin itu sanggup membawanya dengan syarat Inderaputera tidak
meminta air.
Semasa mereka sedang melalui gunung berapi itu Inderaputera berasa dahaga
yang amat sangat sehingga tidak dapat dia menahan diri daripada meminta air. Apabila
dia berbuat demikian dia pun terjatuh di tepi Tasik Bahrul Asyikin yang amat cantik.
Puteri Seganda Cahaya Iram yang ditemui oleh Inderaputera memberinya sebuah
cembul ajaib yang boleh menjelmakan mahligai. Setelah itu dia menuju ke gua
perbendaharaan Raja Baharum Tabak yang dijagai oleh seekor ular yang amat besar.
Ular tersebut dapat dibunuh oleh Inderaputera. Dari salah sebuah bilik dia menemui
seekor kuda hijau bernama Janggi Gerdana dan dari kepala ular diperolehnya bedi
Zahar yang boleh menghidupkan orang yang telah mati. Kemudian dia beredar ke
mahligai Puteri Cendera Lela Nur Lela sebelum meneruskan perjalanannya.
Dipendekkan cerita, Inderaputera dapat menemui Berma Sakti yang memberinya
sekuntum bunga tanjung dan berbagai-bagai hikmat. Dia kemudiannya kembali ke
negeri Raja Syahian. Setelah makan sayur bunga tanjung kepunyaan Inderaputera,
permaisuri hamil. Setelah genap bulannya, permaisuri pun melahirkan seorang bayi
perempuan yang diberi nama Tuan Puteri Mengindera Seri Bulan yang amat cantik
parasnya. Apabila puteri itu meningkat dewasa ramailah putera raja yang datang
berhamba diri bagi tujuan meminang puteri. Ditakdirkan puteri jatuh sakit dan tiada
siapa yang berjaya mengubatinya sehinggalah Raja Syahian membuat pengumuman
untuk mengahwinkan anaknya dengan sesiapa yang berupaya menyembuhkan penyakit
tuan puteri itu. Pada ketika inilah muncul Inderaputera yang selama ini berada jauh
setelah dibuang kerana fitnah para pembesar negeri. Dengan mudah Inderaputera
menyembuhkan penyakit puteri itu. Ini membuat menteri-menteri dan anak-anak raja
dengki kepadanya, lalu dia dibunuh tetapi dapat dihidupkan semula oleh isteri-isterinya.
Cerita berakhir dengan perkahwinan Inderaputera dan Tuan Puteri Mengindera Seri
Bulan.

4.0 Pemikiran dalam Hikayat Inderaputera


Pemikiran menurut Mohd. Rashid Md. Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang
Jaya Hj. Rohani (2014: 69) bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan
pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan
signifikan. Di samping itu, setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri memilih
bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan
permata karya. Sehubungan dengan itu, setiap karya agung yang dihasilkan memiliki
pemikirannya yang tersendiri. Hal yang sama juga dimiliki oleh Hikayat
Inderaputera. Hikayat ini juga mempunyai pemikiran atau mesej-mesejnya yang
tersendiri yang ingin disampaikan oleh pengarang.
Antara pemikiran yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera ialah pengaruh
Hindu dalam masyarakat. Dalam masa yang sama, pengarang bijak menyesuaikannya
dengan ajaran Islam yang pada waktu itu masih lagi kuat pengaruh Hindunya. Hal ini
dapat dilihat dalam bab “Mencari Ubat Beranak”. Inderaputera telah diarahkan oleh
Raja Syahian untuk pergi mencari ubat beranak bagi diberikan kepada isterinya yang
tidak dapat mengandung atau dalam erti kata lainnya, mandul. Walau bagaimanapun,
perjalanan untuk mencari ubat tersebut amatlah sukar sehinggakan Nenek Kebayan
mengatakan bahawa Inderaputera sengaja dipilih dan diarahkan untuk melakukan
amanah tersebut, hanya untuk membunuhnya. Namun begitu, Inderaputera yang
digambarkan sebagai seorang yang taat beragama mengatakan bahawa baginda
berserah diri kepada Allah akan perihal keselamatan dirinya. Hal ini dapat dibuktikan
sebagaimana berikut:
“Hatta maka Inderaputera pun sampailah ke rumah Nenek Kebayan, “Hai cucuku, dari
mana tuan hamba beroleh pakaian yang indah-indah?”
Maka sahut Inderaputera itu, “Disuruhkan oleh Raja Syahian pergi kepada Berma Sakti
henda minta ubat beranak.”
Maka kata Nenek Kebayan, “Wahai cucuku, sahaja hendak dibunuhnya. Di mana
akan sampai ke sana kerana tempatnya itu terlalulah amat sukar.”
Maka ujarnya oleh Inderaputera, “Hai nenekku, serahkan hamba kepada Tuhan
Yang Maha Besar.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 17)

Selepas itu, Inderaputera pun masuklah ke dalam hutan belantara dan meredah
segala macam bahaya demi mendapatkan ubat beranak tersebut. Sewaktu dalam
perjalanan mendapatkan ubat tersebut, baginda telah bertemu dengan sekawan
binatang liar yang meminta perlindungan daripadanya untuk berlindung daripada
musuh mereka yang merupakan seekor raksasa yang berada di Gunung Indera
Kila. Raksasa tersebut telah memakan dan membunuh ramai orang dan meninggalkan
tengkorak-tengkorak manusia yang dimakannya di atas gunung tersebut. Hal ini dapat
dibuktikan dalam petikan berikut:
Maka ujar Inderaputera, “Hai tengkorak, tuan hambakah yang berseru-seru akan
hamba tadi?”
Maka ujar tengkorak itu, “Bahkan.”
Maka Inderaputera pun berkata-kata.” Maka mengapa tuan hamba memanggil hamba?”
Maka ujarnya tengkorak itu, “Ampun tuanku hai Inderaputera, inilah tengkorak yang
takluk kepada ayah tuan hamba itu. Sebermula adapun tatkala hamba daripada
menghantar ufti kepada ayahanda tuanku itu, maka hamba pun sesat melarat lalu
sampailah di gunung, beberapa hari hambanya di sini tiada makan dan tiada minum dan
seketika maka hamba berhenti. Maka seorang raksasa daripada atas gunung itu
merupakan dirinya seperti seorang perempuan membawa suatu pedang pada
tangannya. Maka ia datang kepada hamba. Maka ujarnya, ‘Hai orang muda, ambil
olehmu pedang ini’ Maka pada bicara patik ini manusia juga gerangannya ini. Baharu
hamba hendak ambil pedang itu, maka diparangkannya pada hamba. Maka hamba pun
matilah, lalu dimakannya hamba.”
Maka kata Inderaputera, “Adapun yang kasih tuan hamba itu sebenarnyalah, tetapi
Tuhan juga yang memeliharakan kita.”
Maka kata tengkorak itu, “Mudah-mudahan dipelihara Tuhan juga tuan hamba.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 18-19)

Berdasarkan petikan di atas, dapatlah dilihat pengaruh kepercayaan Hindu


tersebut, iaitu semasa berlakunya dialog antara tengkorak dan Inderaputera. Penganut
agama Hindu mempercayai adanya jiwa dalam setiap makhluk, termasuklah tengkorak
ini yang boleh bercakap. Tengkorak tersebut menceritakan kronologi cerita yang
menyebabkannya menjadi tengkorak kepada Inderaputera. Di akhir perbualan mereka
pula, pengarang bijak memasukkan unsur agama Islam, iaitu kepercayaan sebagai
seorang yang beragama Islam yang wajib mempercayai dan meyakini bahawa Allahlah
yang sentiasa melindungi hamba-Nya.
Seterusnya, pemikiran yang ingin diketengahkan oleh pengarang dalam Hikayat
Inderaputera ini adalah tentang ketinggian darjat seorang raja. Hal ini dapat dicerminkan
dalam bab “Bota yang Makan Manusia”. Inderaputera yang merupakan putera kepada
Maharaja Bikrama Buspa dan Tuan Puteri Jamjam Ratna Dewi sangat disanjung tinggi
dan dihormati oleh sekalian rakyatnya serta raja-raja yang lain. Berikut merupakan
petikan kisah yang menggambarkan ketinggian darjat baginda sebagai seorang raja:
Setelah adalah tiga hari lagi perjalanan daripada negeri Semanta Beranta itu maka
terdengarlah warta Inderaputera itu sudah datang maka Raja Talela Syah pun
menghimpunkan sekalian rakyat bala tenteranya menyuruhkan membaiki singgahsana dan
menghiasi pengadapan dan menyuruh berbuat khemah akan Inderaputera dan segala anak
raja-raja kepada suatu padang hampir negeri Semanta Beranta itu. Maka Inderaputera
pun datanglah kepada empat persangga bumi jauhnya. Maka Raja Talela Syah pun
menitahkan
Syahran Darkas dan Indera Jilani dan segala anak raja-raja dan Perdana Menteri serta
hulubalang sekalian pergi mengalu-alukan Inderaputera…”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 141-142)

Berdasarkan petikan kisah di atas, dapatlah dilihat dan dibuktikan bahawa


Inderaputera sangat dihormati dan disanjung sebagai seorang raja. Baginda diraikan
dan dialu-alukan dengan penuh adat dan istiadat oleh sekalian rakyat, bahkan raja-raja
yang lain juga turut menyambut kedatangannya dengan penuh gilang-gemilang.
Ketinggian darjat atau martabat seorang raja juga digambarkan dalam hikayat
ini apabila kedatangannya, iaitu Inderaputera ditunggu-tunggu oleh semua orang
sehinggakan Maharaja Talela Syah sendiri tertanya-tanya dan tertunggu-tunggu akan
kehadirannya ke negeri baginda apabila diberitakan kedatangan Inderaputera. Baginda
bahkan bertanya kepada Indera Jilani sebanyak sembilan kali untuk memastikan orang-
orang yang dilihatnya itu ialah Inderaputera atau sebaliknya. Hal ini demikian kerana,
kelapan-lapan orang yang terawal dilihatnya sangat gah dan sesuai jika dikatakan
sebagai seorang raja disebabkan oleh kehebatan yang dipamerkan oleh mereka semasa
memasuki negeri Maharaja Talela Syah tersebut. Walau bagaimanapun, ternyata orang
kesembilan yang diketemuinya paling hebat di antara lapan orang yang terawal
sebelumnya, dan itulah Raja Inderaputera yang ditunggu-tunggunya. Hal ini dapat
dilihat dalam petikan kisah di bawah:
Maka di bawah payung itulah Inderaputera datang mengenderai di atas kudanya yang
bernama Janggi Gerdana. Maka pelana kudanya itu daripada emas sepuluh mutu yang
bertatahkan ratna mutu manikam dan pakaiannya terlalu indah-indah serta
menyandangkan pedangnya yang beremas dan pada kanannya Inderaputera itu Dikar Alam
dan dari kirinya itu Dikar Agus dan di hadapannya itu Dikar Kilat dan di belakangnya Dikar
Seruna. Maka segala hulubalang itu memakai pakaian gemala hikmat dan rakyatnya pun
demikian juga sekalian itu mustaidlah dengan alat senjatanya dan ada memakai zirah
berbagai-bagai warnanya. Kalakian maka Inderaputera pun berjalanlah diiringkan oleh
segala bala tenteranya sekalian.
Maka, titah Maharaja Talela Syah, “Hai anakku Indera Jilani, bunyi apakah
ini? Maka tidakku pernah dengar seperti demikian itu”
Maka sahut Indera Jilani, “Ya Tuanku Syah Alam, inilah Inderaputera anak
Maharaja Bikrama Buspa.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 146)

Selain itu, pemikiran yang terdapat dalam hikayat ini adalah tentang keberanian
seorang raja. Inderaputera merupakan seorang putera raja yang sangat berani serta
gagah perkasa. Hal ini dapat dilihat apabila baginda mampu mengalahkan dengan
senangnya seekor raksasa yang bernama Gheragas yang digeruni oleh semua orang. Hal
ini dapat dibuktikan sebagaimana berikut:
“Hai Gheragas, bangunlah engkau supaya kupenggalkan kepalamu dari badanmu itu.”
Maka Gheragas itu pun berbalik. Maka segala anak raja-raja itu pun dahsyatlah hadir
memegang senjatanya itu masing-masing. Maka sampailah tiga kali Inderaputera berseru-
seru. Maka terdengarlah oleh Gheragas itu suara manusia. Maka ia pun membukakan
matanya. Maka dilihatnya Inderaputera terdiri di sisinya itu. Maka dihembusnya
Inderaputera dengan suaranya itu seperti halilintar bunyinya. Maka Inderaputera pun
bertempik seraya diparangnya Gheragas itu penggal dua lalu rebah mati.
Maka Inderaputera pun berseru-serukan segala anak raja-raja itu katanya, “Hai tuan-tuan
sekalian, marilah tuan hampir ke mari kerana Gheragas ini sudahlah ia mati.”

(Hikayat Inderaputera, Halaman 148)


Antara contoh lain yang menunjukkan keberanian seorang raja lagi adalah
apabila Inderaputera dengan beraninya turun ke lapangan bagi melawan sendiri utusan
Raja Gherantar Syah yang ingin membunuh baginda. Meskipun hulubalang-
hulubalangnya menawarkan diri, Inderaputera tetap bertegas ingin melawannya sendiri
kerana menurutnya, Raja Gherantar Syah menginginkan dirinya, bukan orang
lain. Maka, baginda pun pergi ke Padang Belanta Ajaib tersebut untuk bertemu dengan
musuhnya tersebut dengan tangan kosong kerana menurutnya, orang tersebut bukanlah
lawannya. Hal ini dapat dibuktikan daripada petikan kisah berikut:
“Maka titah Inderaputera, “Sabarlah engkau hai saudaraku, biarlah aku masuk ke medan
itu pada hari ini kerana ia berseru-seru akanku. Adapun hari ini pengantin hambalah akan
perang itu tetapi insya-Allah Tuhan Yang Maha Mulia, akulah melawan Raja Gherantar
Syah itu dengan tiada bersenjata kerana ia itu bukannya lawanku.”
Setelah itu maka kata Inderaputera pada tuan putero, “Hai adinda, tinggallah tuan
dahulu, kakanda hendak pergi melawan Raja Gherantar Syah ke Padang Belana Ajaib itu.”
Setelah demikian itu maka Inderaputera pun naiklah ke atas kudanya Janggi Gerdana
lalu pergi ke tengah padang itu. Seketika lagi maka didengar oleh Raja Gherantar Syah
bunyi guruh petir dengan kelam-kabut. Maka dilihat oleh Raja Gherantar Syah seperti kilat
keluar daripada mahligai tuan puteri itu. Hatta maka Inderaputera segera menghampiri
akan kudanya lalu ditangkapkannya Raja Gherantar Syah itu. Maka disuruh oleh
Inderaputera taruh pada Dikar Agus dekat mahligai itu. Syahadan maka dilihat oleh segala
hulubalang itu tiba-tiba Raja Gherantar Syah tatkala bunyi guruh halilintar petir kilat
kelam-kabut itu. Maka dengan seketika itu juga Raja Gherantar Syah itu pun ghaiblah,
tinggal kudanya di tengah padang itu. Maka segala hulubalang dan rakyat itu pun habislah
hairan seraya membuangkan senjatanya lalu pergi mengadap Raja Gurjanis
mempersembahkan segala hal-ehwalnya itu.

(Hikayat Inderaputera, Halaman 123)

Pemikiran yang selanjutnya dalam Hikayat Inderaputera ini adalah kesaktian


ataupun disebut juga sebagai mitos. Aspek kesaktian merupakan aspek terbesar yang
digunakan untuk menggarap jalan cerita Hikayat Inderaputera ini. Aspek ini pula
kebanyakannya diguna dan dimiliki oleh golongan bangsawan, khususnya kerabat
diraja. Hal ini dapat dibuktikan melalui cara yang digunakan oleh isteri Inderaputera
untuk menghidupkan baginda yang pada awalnya telah mangkat.
“Hatta maka mayat itu pun sampailah ke rumahnya Perdana Menteri; kerana hikmat sudah
zahirlah yang membunuh Inderaputera itu. Setelah itu maka dibawanya masuk ke dalam
kelambu oleh tuan puteri yang ketiga itu lalu dibubuhnya hikmat Bedi Zahar itu kepada
tubuh Inderaputera itu. Maka dengan ditolongi oleh Tuhan Yang Maha Besar akan
Inderaputera pun hiduplah…”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 206)

Di samping itu, unsur kesaktian atau mitos ini dapat juga dilihat dalam bab
“Diterbangkan oleh Jin”. Inderaputera telah diterbangkan oleh jin ke Tasik Bahrul
‘Asyikin disebabkan ketidakpatuhannya yang meminta air dalam perjalanan untuk ke
mahligai Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran. Sebelum memulakan perjalanan,
baginda sudah diingatkan agar tidak meminta air di sepanjang perjalanan, sekiranya
baginda melanggar syarat tersebut, maka baginda akan jatuh ke Tasik Bahrul
‘Asyikin. Unsur mitos ini dapat dilihat melalui ciri fizikal tasik itu sendiri yang terlalu
cantik dan luar biasa kejadiannya.
“…Maka Inderaputera pun sampailah ke Tasik Bahrul ‘Asyikin dan dilihatnya tasik itu
rumputnya daripada kuma-kuma dan pasirnya daripada emas urai dan gersiknya itu
daripada kapur barus dan lumpurnya itu daripada kasturi dan batunya itu daripada permata
yang indah-indah. Syahadan pada tengah tasik itu ada suatu pulau bernama Biram Dewa
seperti gajah rupanya sebab itulah maka dinamai Pulau Biram Dewa itu.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 74)

Selain itu, unsur mitos ini juga dapat dilihat dalam bab “Bertemu Ayah
Bonda”. Pelbagai persiapan yang telah dibuat oleh Maharaja Bikrama Buspa untuk
menyambut kepulangan anakandanya tersebut. Antaranya ialah pertunjukan yang luar
biasa dan di luar batas kemampuan manusia biasa. Hal ini dapat dilihat dalam petikan
di bawah:

“Kalakian maka Raja Dewa Lela Mengerna pun melontarkan bajunya ke dalam laut itu
menjadikan sebuah kapal belayar terlalu amat indah rupanya. (Maka) dilihat oleh Nobat
Rum Syah terlalu indah-indah itu. Maka ia pun melontarkan bajunya ke udara. Maka
menjadilah mega. Maka mega itu pun jatuh ke laut. Maka menjadi sepohon kayu
beraksa. Maka seketika lagi maka Raja Puspa Pandai pun memanah ke udara. Maka anak
panah itu pun menjadi hujan (air mawar dari udara) dan segala isi negeri itu pun hairan
melihat akan kelakuan itu.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 228)

Kekayaan seorang raja juga merupakan salah satu pemikiran atau mesej yang
ingin disampaikan oleh pengarang. Raja digambarkan sebagai seorang yang sangat kaya
dan mewah. Hal ini dapat digambarkan ketika kepulangan Inderaputera ke negeri
asalnya, iaitu Sementa Puri yang disambut dengan penuh gilang-gemilang oleh ayahanda
serta rakyatnya. Hal ini dapat dilihat dalam petikan di bawah:
“Alkisah maka diceterakan orang yang empunya cetera ini bahawa selama Maharaja
Bikrama Buspa menjamu segala anak raja-raja yang berserta dengan Inderaputera itu
adalah kira-kira empat puluh hari empat puluh malam lamanya itu, makan dan minum
duduk bermain-main bersuka-sukaan. Maka Paduka Syah Alam pun memberi persalin
akan segala Buspa pun membuat akan pancapersada di tengah padang sembilan belas
pangkat bertiang gading dan bersendi-sendi akan emas dan berumbai-umbaikan mutiara.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 226)

Berdasarkan petikan hikayat di atas, dapatlah dilihat kekayaan Maharaja


Bikrama Buspa yang merupakan ayahanda kepada Inderaputera. Baginda telah
mengadakan jamuan selama 40 hari dan 40 malam demi menyambut kepulangan
anakandanya. Selain itu, baginda juga telah menyiapkan pelbagai persiapan untuk
menyambut kepulangan Inderaputera. Antaranya adalah seperti berikut:
“Syahadan berkemuncakkan sebuah gemala. Maka terlalu amat indah-indah dan beberapa
intan yang mulia-mulia terkena pada panji-panji persada itu. Maka diperbuat oleh Raja
Dewa Lela Mengerna di atas pancapersada itu ada sebuah hikmat seperti naga empat ekor
rupanya terlalu indah-indah sekali akan rupanya. Arkian maka diperbuat pula oleh Nobat
Rum Syah di atas pancapersada itu seekor kuda tujuh kepalanya terlalu indah-indah
perbuatannya. Maka setelah lengkaplah segala kelengkapan itu maka diperbuat pula oleh
segala anak raja-raja yang di Padang Anta Berahi itu suatu jempana itu terlalulah indah-
indah rupanya. Maka tuan puteri dan Inderaputera pun beraraklah pada pancapersada itu
lalu pula pada jempana berjala-jala akan baiduri dan kedua pangkat daripada nilam
dikarang dan ketiga pangkat daripada pualam dan keempat pangkat daripada mutiara
dikarang dan kelima pangkat daripada intan dikarang dan keenam pangkat daripada
permata dikarang dan ketujuh pangkat daripada zamrud dikarang.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 226)

Seterusnya, kebijaksanaan seorang raja. Kebijaksanaan merupakan antara


aspek utama yang perlu dimiliki oleh seorang raja untuk mengangkat nilai dan
martabatnya di mata rakyat terutamanya dalam hikayat seperti ini. Justeru, aspek ini
dapat dilihat dalam Hikayat Inderaputera ini apabila baginda menggunakan strategi
menyembunyikan baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran yang ketika itu sedang
mandi di Tasik Semenda Jin demi mendapatkan gemala hikmat.
“Maka Inderaputera pun terlalulah sukacita hatinya menengar kata Tuan Puteri Seri Ratna
Gemala Nehran. Maka kata Inderaputera, “Hai saudaraku, jikalau ada dengan
sungguhnya kasih saudaraku akan hamba ada suatu gemala hikmat yang di atas kemuncak
mahligai tuan puteri itu. Maka kakanda pohonkan supaya hamba pulangkan baju
itu.”

(Hikayat Inderaputera, Halaman 40)

Sebelum baginda mendapatkan gemala hikmat tersebut, baginda terlebih dahulu


mendapatkan sebiji lagi geliga hikmat yang lain daripada seekor peri yang berada di
dalam sebuah tasik. Baginda telah berpura-pura tidur sewaktu peri tersebut datang
kepadanya. Sebaik sahaja peri tersebut menghampirinya, baginda segera melompat
seraya menangkap rambut peri tersebut. Bagi melepaskan dirinya, peri tersebut telah
bersetuju untuk memberikan Inderaputera suatu geliga hikmat, iaitu Mayan Bedi yang
mampu mengeluarkan angin, ombak, kilat atau petir halilintar dengan cara menyeru
namanya. Hal ini sebagaimana berikut:
“Hatta seketika lagi maka keluarlah peri daripada tasik itu. Maka berombak-ombaklah
airnya itu. Maka dilihat oleh Inderaputera peri itu datang kepadanya. Maka ia pun
tidurlah. Maka peri itu datanglah menghampiri akan Inderaputera. Maka Inderaputera
pun ingat. Maka baharu hendak ditindihnya itu, maka Inderaputera pun melompat seraya
menangkap akan rumbut peri itu.
Maka berkata Inderaputera, “Sekarang ini matilah engkau hai celaka.”
Maka peri itu pun berkata, “Hai orang muda, lepaskanlah rambutku peri ini, apa
kehendakmu aku berikan kepadamu.”
Maka kata Inderaputera, “Sungguhkah engkau hendak memberi barang
kehendakku ini?”
Maka sahut peri itu, “Sungguhlah hamba beri.”
Maka kata Inderaputera, “Apa yang engkau hendak berikan kepadaku ini?”
Maka berkatalah peri itu, “Ada suatu geliga, Mayan Bedi namanya. Jika tuanku
mahu, kuberikan. Adapun gunanya jikalau hendak mengeluarkan angin dan ombak atau
kilat atau petir halilintar citalah namaku dan tambangkan geliga itu, nescaya barang
kehendak tuan jadilah.” Maka Inderaputera pun melepaskanlah rambut peri
itu.

(Hikayat Inderaputera, Halaman 30)

Pemikiran terakhir yang pengarang bawakan adalah mengenai keelokan paras


rupa golongan bangsawan. Golongan bangsawan dalam hikayat ini digambarkan
sebagai seorang yang sangat elok paras rupanya, khususnya golongan raja-raja. Hal ini
dapat dilihat sebagaimana berikut yang memaparkan kesempurnaan rupa paras Tuan
Puteri Cendera Lela Nur Lela:
“Maka berkata bayan seraya menghamparkan sayapnya, katanya, “Ya tuanku anak raja
indera, tahukah tuanku akan Tuan Puteri Cendera Lela Nur Lela di Padang Anta Berahi
di atas mahligai yang keemasan bertatahkan ratna mutu manikam. Adapun parasnya itu
terlalu elok durjanya dan rambutnya laksana cincin dituang, dahinya seperti seri bulan dan
keningnya seperti bentuk taji, dan matanya seperti bintang timur, dan hidungnya itu laksana
kuntum melur da telinganya seperti telepok layu, dan pipinya seperti pauh dilayang dan,
bibirnya itu seperti pati dicarik, dan giginya itu seperti delima merekah dan lidahnya itu
laksana kembang seroja dan dagunya itu seperti lebah bergantung, dan lehernya itu laksana
kumbah dilarik, dan bahunya itu seperti sampiran, dan lengannya itu laksana destar gulung
dan jarinya itu seperti duri landak dan dadanya itu umpama lengkung pelangi. Susunya itu
seperti telur burung, dan pinggangnya bunga setangkai, dan pahanya seperti paha belalang
dan betisnya laksana batang padi, dan sikapnya seperti merak mengigal.”

(Hikayat Inderaputera, Halaman 90)

Selain itu, Inderaputera turut digambarkan mempunyai rupa paras yang elok
yang diibaratkan umpama bulan purnama yang gilang-gemilang cahayanya.
“Hatta maka kelihatanlah seperti bulan purnama gilang-gemilang cahaya mukanya
itu. Maka Raja Talela Syah pun hairan melihat rupanya Inderaputera itu.

(Hikayat Inderaputera, Halaman 146)

Secara keseluruhannya, Hikayat Inderaputera ini mempunyai pemikiran yang


sangat terkesan daripada kepercayaan ajaran Hindu yang sekali-sekala diselitkan oleh
pengarang dengan unsur-unsur Islam. Sehubungan dengan itu, hampir keseluruhan
hikayat ini diselitkan unsur-unsur mitos bagi memperlihatkan kehebatan watak
utamanya, iaitu Inderaputera.

5.0 Falsafah dalam Hikayat Inderaputera


Falsafah dimaksudkan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai
ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu yang lain (Kamus Dewan Edisi
Keempat, 2010). Ilmu yang dimaksudkan tersebut adalah pengetahuan yang amat luas
kepada sesuatu bentuk hakikat yang mendasari kepada semua ilmu berkaitan dengan
hal tersebut. Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et al. (2016), falsafah bermaksud
cinta kepada ilmu dan kebenaran. Berfalsafah pula ialah mencari kebenaran dari
kebenaran untuk kebenaran.
Tujuan falsafah adalah untuk mencari kebenaran tentang sesuatu permasalahan
dengan cara berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat. Sesuatu perkara itu akan
menjadi persoalan falsafah apabila ia tidak dapat diselesaikan melalui kaedah dan
pengamatan sains. Persoalan falsafah juga biasanya melibatkan perkara-perkara yang
abstrak seperti persoalan konsep dan ideologi. Secara rumusannya, falsafah merupakan
suatu pemikiran yang amat mendalam dan menyeluruh terhadap sesuatu perkara dalam
usaha mencari kebenaran.

5.1 Kepentingan Falsafah


Falsafah mempunyai kepentingan yang tersendiri. Antaranya ialah seperti di bawah:
i) Menjadi Panduan dan Landasan dalam Membuat Keputusan
Dalam membuat sesuatu keputusan, seseorang itu perlulah mempunyai pendirian
berdasarkan falsafah yang dipegang tanpa dipengaruhi oleh orang lain. Keputusan yang
dibuat juga harus memenuhi keperluan falsafah seseorang.
ii) Mempunyai Kefahaman yang Mendalam dan Sistematik
Falsafah membantu seseorang memahami apa yang sedang berlaku dalam pelajaran.
Seseorang yang ingin menceburi sesuatu bidang perlu menguasai bidang yang ingin
diceburinya sedalam-dalamnya bagi membolehkan mereka berfikir secara mendalam
dan sistematik tentang isu-isu intelek, asas pendidikan, dan kehidupan manusia.
iii) Stabil dan Bersifat Tetap
Falsafah adalah sebagai panduan buat seseorang. Seorang guru misalnya harus bersifat
tekal terhadap apa-apa yang berlaku dalam atau di luar bilik darjah. Jika guru kerap
kali menukar dan mengubah isi pelajaran, keadaan ini mungkin akan mengelirukan para
pelajar.

5.2 Falsafah Teologi Islam (Ketuhanan)


Menurut Theologi Surakarta (2013), istilah teologi Islam terdiri dari dua pengertian
tersendiri, iaitu teologi dan Islam. Apabila keduanya diketahui pengertian secara
komperhensif kemudian dikaitkan satu sama lain maka lahirlah pengertian yang utuh
tentang Teologi Islam secara jelas dan argumentatif. Islam dalam aspek teologi Islam
adalah agama yang menuntut sikap ketundukan dengan penyerahan dan sikap pasrah,
disertai sifat batin yang tulus, sehingga perkara penting yang terkandung dalam Islam
ada dua iaitu pertama berserah diri, merendahkan diri serta taat sepenuh hati dan kedua
masuk dalam al-Salam, iaitu selamat sejahtera dan damai hubungan yang harmonis.
Falsafah teologi secara mudahnya merupakan sebuah bidang yang
membincangkan falsafah mengenai ketuhanan. Berdasarkan karya agung iaitu Hikayat
Inderaputera, falsafah teologi ini jelas ditonjolkan oleh watak-watak yang wujud dalam
hikayat tersebut seperti Inderaputera, Nobat Rum Syah, Raja Bikrama Buspa, Raja
Syahian dan ramai lagi. Watak-watak tersebut jelas mengamalkan ajaran agama Islam,
patuh serta percaya dengan kewujudan Allah. Inderaputera mengatakan kepada Nobat
Rum Syah bawa dia tidak layak menerima pujian kerana segala pujian itu hanyalah
kepada Allah dan bukan kepada hambanya. Selain itu, Raja Bikrama Buspa juga
percaya bahawa sebagai hamba hanya kepada tuhan tempat memohon pertolongan. Hal
ini jelas dibuktikan apabila putera baginda dibawa lari oleh seekor merak emas, baginda
tidak lagi berada di istana tetapi duduk di dalam masjid dan berdoa kepada Allah supaya
melindungi dan mengembalikan puteranya iaitu Inderaputera. Baginda yakin bahawa
seorang hamba perlu bergantung sepenuhnya kepada kekuasaan Allah.
Peristiwa tersebut terbukti melalui petikan berikut:
"… Maka ujar Nobat Rum Syah, "Hai saudaraku Inderaputera, bahawa dunia sampai
akhirat tuan hamba jadi saudaralah kepada hamba kerana tuan hamba menolong hamba
menghapuskan kemaluan hamba kerana tiada adat daripada dahulu kala daripada nenek
moyang hamba, jin kafir ke mari pada tempat hamba memberi makan kudanya, sebab inilah
akan hamba maka jadi hamba berperang dengan Tamar Jalis itu. Maka sekarang saudara
hamba yang menghapuskan malu hamba itu." Maka ujar Inderaputera, " Pujian itu hanya
Tuhan sarwa sekalian alam juga, dan hamba ini sehingga jadi sebab juga."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 25)

"… Adapun diceretakan oleh orang yang empunya cereta ini bahawa selama Inderaputera
diterbangkan oleh merak emas itu maka Paduka Syah Alam pun tiada di dalam istananya
lagi. Hanya baginda duduk dalam masjid dengan segala pendeta juga meminta doa akan
anakanda baginda itu Inderaputera…"
(Hikayat Inderaputera, Halaman 222)

5.3 Falsafah Etika


Falsafah etika membincangkan falsafah berkaitan moral yang memberikan tumpuan
kepada tingkah laku individu dalam kehidupan. Menurut Seri Lanang Jaya Hj. Rohani
et al. (2016), etika ialah pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Secara
jelasnya, etika bermaksud satu ukuran dan piawaian yang digunakan untuk
membezakan kelakuan seseorang sama ada baik atau buruk, menyenangkan atau tidak
menyenangkan. Jadi falsafah etika atau moral ialah satu cabang ilmu falsafah yang
secara khusus membincangkan perkara yang dikatakan tingkah laku yang baik dan
tingkah laku yang buruk dan turut membincangkan hal-hal moral, adab dan nilai dalam
tingkah laku manusia.
Berdasarkan Hikayat Inderaputera, terdapat tingkah laku baik dan tingkah laku
buruk yang diceritakan dalam karya tersebut. Hikayat tersebut menceritakan kisah
manusia dan jin. Watak-watak yang dipegang oleh manusia kebanyakannya mempunyai
tingkah laku yang baik, manakala watak jin pula terbahagi kepada dua iaitu jin Islam
dan jin kafir. Jin Islam merupakan jin yang mempunyai tingkah laku baik manakala jin
kafir mempunyai tingkah laku yang buruk. Tingkah laku baik yang ditunjukkan oleh
Inderaputera adalah baginda sanggup menolong sesiapa sahaja yang berada dalam
kesusahan dan seorang yang mengenang jasa. Peristiwa tersebut dapat dilihat melalui
petikan berikut :
"…Maka dilihat oleh Inderaputera Perdana Menteriduduk masyghul itu maka fikir
Inderaputera di dalam hatinya, ' Kerana Perdana Menteri itu banyak kasihnya padaku akan
pekerjaan ini di atas batu kepala Perdana Menteri juga tertanggung. Jikalau demikian
baiklah nyawaku akan balasnya.' Setelah sudah fikirnya itu maka Inderaputera pun berkata
pada Perdana Menteri, "Ya Tuanku Perdana Menteri janganlah tuan hamba bercinta lagi.
Adapun hambalah pergi ke sana kepada Berma Sakti itu."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 14)

Sementara itu, tingkah laku yang buruk jelas ditonjolkan oleh watak jin kafir
yang bernama Tamar Jalis. Tamar Jalis tanpa meminta izin telah membawa kudanya
makan di kawasan Nobat Rum Syah. Peristiwa tersebut dapat dilihat dalam petikan
berikut:
"… Seketika berkata maka Tamar Jalis pun datanglah dengan segala kaumnya dan
bertemu dengan Nobat Rum Syah. Maka kata Nobat Rum Syah, "Hai Tamar Jalis, ke mana
engkau datang dengan segera ini?" Maka sahut Tamar Jalis," Aku hendak memberi makan
kudaku pula pada tempat ini." Setelah didengar oleh Nobat Rum Syah maka kata Nobat
Rum Syah," Tiada patut demikian. Perintah ini daripada nabi kita dahulu pada tempatnya
juga ada dengan masing-masing."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 23)

5.4 Falsafah Bahasa


Menurut Von Humboldt, iaitu seorang sarjana Jerman, bahasa didefinisikan sebagai
sintesis bunyi (Mohd Rashid Md Idris, 2012: 8). Melalui pentakrifan yang dibuat dapat
dinyatakan kesimpulan bahawa bahasa adalah satu medium yang diguna pakai oleh
masyarakat untuk menyampaikan konsep atau lebih tepat lagi untuk berkomunikasi
antara satu sama lain. Namun demikian, penggabungan kedua-dua elemen ini dapat
membawa kepada sesuatu bentuk pengetahuan yang lebih unggul.
Menurut Hashim Hj, Musa (1996), bidang falsafah terbahagi kepada dua
bahagian, iaitu falsafah linguistik dan falsafah bahasa. Pembicaraan tentang falsafah
linguistik merangkumi kepada cakupan dasar falsafah dalam konsep dan istilah
linguistik. Hal ini merujuk kepada penelitian tentang kaedah dan amalan yang
digunakan oleh ahli-ahli linguistik deskriptif dalam disiplin mereka (Mohd Rashid Md
Idris, 2012: 9). Bagi falsafah bahasa pula, aspek ini meneliti dan memeriksa berasaskan
falsafah pengetahuan yang dipanggil conceptual knowledge atau ilmu dalam bentuk
konsepsi, yang wujud dalam fikiran secara ilmu (knowledge), logik dan sebagainya. Oleh
hal yang demikian, dapat dirumuskan bahawa falsafah bahasa merupakan bidang yang
menelusuri tentang sesuatu aspek bahasa dengan menggunakan konsep pengetahuan dan
penggunaan dasar yang lebih mendalam bagi mencari kebenaran dalam setiap aspek
yang ingin dikaji.
Berdasarkan karya agung yang dikaji iaitu Hikayat Inderaputera, pengarang
menggunakan pelbagai jenis gaya bahasa bertujuan untuk menyampaikan sesuatu
maklumat kepada pembaca. Antaranya ialah gaya bahasa hiperbola, simile serta turut
menggunakan ayat yang panjang dan meleret-leret. Contoh ayat yang panjang dan
meleret-leret adalah seperti berikut:
"… Maka Inderaputera pun menyembah seraya berbangkit lalu mengunuskan pedangnya
seraya melompat menggertakkan kudanya lalu dipermain-mainnya terlalu indah lakunya
bermain-main itu seperti merak mengigal di atas talam…"
(Hikayat Inderaputera, Halaman 201)

5.5 Falsafah Kekuasaan


Falsafah kekuasaan juga turut terdapat dalam karya agung Melayu. Kekuasaan ini
membawa makna kepada pengaruh yang dimiliki oleh seseorang khususnya pemerintah
atau golongan raja. Falsafah kekuasaan dalam sesebuah karya agung selalunya ialah
melibatkan kuasa seorang raja dan pemerintah. Hal ini demikian kerana kedudukan raja
merupakan kedudukan yang tertinggi dalam sistem organisasi sosial sebuah kerajaan
khususnya zaman dahulu. Oleh itu, kuasa raja amat besar dan raja merupakan seorang
yang sangat berpengaruh. Berdasarkan Hikayat Inderaputera, pengarang jelas
memperlihatkan kekuasaan golongan raja dan pemerintah sama ada dalam bangsa
manusia atau jin serta dewa. Selain itu, kekuasaan tersebut turut diperkuatkan lagi
dengan kesaktian yang dimiliki oleh golongan tersebut. Kekuasaan yang dimiliki oleh
Inderaputera dapat dilihat dalam petikan berikut:
"… Maka ujar oleh Malik Zainab, ' Hai orang muda, jika ada kasihan tuan hamba akan
hamba orang yang miskin ini berilah air itu keluar balik seperti sedia kala. Maka hamba
taruh perjanjian dengan tuan hamba. Jika berair kolam ini seperti dahulu, maka hamba
dengan segala harta hamba ini semua sekali pulang akan tuan hamba."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 104)
"…Sebermula maka tersebutlah perkataan Inderaputera tatkala ia berjalan seorang dirinya
hendak pergi ke rumah Nenek Kebayan. Maka Inderaputera pun dibunuh oleh anak raja-
raja yang kesepuluh orang itu. Maka Inderaputera pun matilah. Setelah sudah mati lalu
diambil oleh anak raja-raja itu cembul yang berisi gemala. Maka anak raja-raja itu pun
segeralah kembali. Hatta maka isteri Inderaputera ketiganya keluarlah dari dalam cembul
mutiara itu. Maka lalu ia memakai cara laki-laki. Maka keluarkannya Bedi Zahar itu. Maka
lalu disapukannya tubuh Inderaputera itu. Maka ia pun hiduplah dengan tolong Tuhan
Yang Maha Besar."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 201)
6.0 Nilai Budaya dan Pandangan Hidup dalam Hikayat Inderaputera
Nilai merupakan satu konsep yang dijadikan asas oleh masyarakat untuk melihat ,
mengukur atau membuat pilihan terhadap sesuatu perkara, darjat, mutu, kualiti dan
taraf perilaku dan benda mengenai seseorang atau kelompok orang sebagai baik,
berharga dan bernilai.
Budaya pula adalah suatu cara hidup yang berkembang dan dimiliki bersama
oleh sebuah kelompok orang, serta diwariskan dari generasi ke generasi. Budaya
terbentuk dari banyak unsur yang rumit, termasuklah sistem agama dan politik, adat
istiadat, bahasa, perkakas, pakaian, bangunan, dan karya seni. Jadi, budaya adalah
elemen yang membezakan manusia daripada hidupan lain. Istilah budaya banyak
digunakan dalam bidang antropologi. Budaya berasal daripada perkataan Sanskrit, iaitu
buddayah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi
pekerti atau akal manusia. Budaya dalam pengertian biasa ialah suatu cara hidup
manusia dan membawa makna yang sangat luas. Dengan prinsip bahawa budaya itu
dicipta oleh manusia, maka budaya itu perlu dan dihasilkan oleh manusia itu sendiri bagi
keperluan hidup.
Dari sudut etimologi, perkataan “budaya” berasal dari akar kata yang tersusun
daripada dua perkataan yang terpisah iaitu “budi” dan “daya”. Kalimah “budi” bererti
cahaya atau sinar yang terletak di dalam batin manusia. Perkataan “daya” bertalian
dengan upaya, iaitu usaha, keaktifan manusia melaksanakan dengan anggotanya apa
yang digerakkan oleh budinya. Manakala dari pandangan Inggeris, istilah budaya
disebut culture berasal dari perkataan latin colere yang bermaksud menyedia dan
mengerjakan tanah atau menanam.
Oleh itu, nilai budaya dapat disimpulkan sebagai nilai-nilai yang disepakati dan
tertanam dalam suatu masyarakat, organisasi, dan lingkungan masyarakat. Nilai budaya
itu juga menjadi acuan tingkah laku sebahagian besar anggota masyarakat yang
bersangkutan, berada dalam alam fikiran mereka dan sukar untuk diterangkan secara
rasional.
Pandangan hidup pula merupakan suatu pendapat atau ketetapan yang dijadikan
pegangan , pedoman, arahan dan petunjuk hidup dan suatu konsep yang dimiliki oleh
masyarakat atau komuniti tertentu , bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan
segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Nilai budaya dan
pandangan hidup yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera dapat dilihat dalam dua
aspek, iaitu aspek adat resam dan juga sikap masyarakat yang terdapat dalam hikayat
tersebut.

6.1 Adat Resam


6.1.2 Adat Perkahwinan
Adat istiadat perkahwinan bagi putera atau puteri adalah menjadi satu upacara rasmi
bagi raja dan kerajaan. Sememangnya adat perkahwinan akan disambut meriah dengan
penuh adat istiadat dari zaman kuno lagi. Terdapat unsur-unsur kebudayaan dalam
perkahwinan yang berjalan mengikut peringkat dan adat resam. Adat ini dimulakan
dengan adat meminang dan adat berjaga-jaga selama empat puluh hari empat puluh
malam. Setelah selesai adat berjaga-jaga itu barulah diadakan majlis akad nikah.
Sambutan perkahwinan Diraja disambut dengan meriah sekali.
Sebagai contoh ketika majlis perkahwinan Raja Dewa Lela Mengerna dengan
Nabat Rum Syah. Mereka dihiaskan dengan pakaian yang serba keemasan bertatahkan
permata.
Demikian setelah sudah lengkap maka Raja Dewa Lela Mengerna pun dihias orang dengan
pakaian serba keemasan bertatahkan mutu manikam. Maka terkembanglah payung
kerajaan dan berdirilah segala panji-panji yang keemasan dan cogan alamat kerajaan pun
terdirilah. Maka Inderaputera dan Nabat Rum Syah memacu segala gajah dan kuda,
seketika dipacukan kudanya mengatur segala tunggul dan panji-panji. Maka berbunyilah
segala bunyi bunyian, gendang, gong, serunai, nafiri, terlalu
ramai.

(Hikayat Inderaputera, Halaman 68)

6.1.2 Adat Menjamu Hidangan Diraja


Dalam Hikayat Inderaputera ini, kita dapat melihat bagaimana adat menjamu hidangan
diraja. Mereka begitu mengutamakan tetamu dengan menyediakan hidangan makanan,
minuman dan mengedarkan piala yang bertatahkan ratna mutu manikam. Sirih juga
merupakan salah satu makanan keutamaan bagi golongan diraja. Semasa menjamu
hidangan juga, para tetamu dihiburkan dengan nyanyian dan alat muzik tradisional.
Antara contoh petikan teks adat menjamu hidangan diraja dalam Hikayat
Inderaputera adalah seperti berikut:
"…Maka Inderaputera pun memberi hormat kepada tuan puteri seraya duduk di atas
peterana yang keemasan, diadap oleh segala bidadari dan segala dayang- dayang.
Maka karas emas yang bertatahkan ratna mutu manikam itu pun disuruh tuan puteri
diunjukkan oleh bidadari itu kepada Inderaputera seraya berkata, “Santaplah tuanku
sirih.”
Maka disambut oleh Inderaputera lalu dimakannya. Maka hidangan nasi pun diangkat
oranglah ke hadapan Inderaputera dan Tuan Puteri Kemala
Ratnasari…"

(Hikayat Inderaputera, Halaman 51)

6.1.3 Adat Berpakaian Orang Besar


Pakaian juga melambangkan adat dan budaya masyarakat dalam Hikayat Inderaputera.
Cara berpakaian orang besar dalam Hikayat Inderaputera kebanyakannya mereka
dipakaikan pakaian yang serba keemasan, bertatahkan ratna mutu manikam ( permata
). Cara berpakaian sangat penting bagi memberi kehormatan kepada orang-orang yang
tertentu. Contoh petikan teks adat berpakaian orang besar dalam Hikayat
Inderaputera adalah seperti berikut:
"Setelah genap harinya maka Tuan Puteri Jumjum Ratnadewi pun dihias dengan
selengkapnya pakaian ser(i)ba keemasan, bertatahkan ratna mutu manikam. Maka rupa
Tuan Puteri Jumjum Ratnadewi pun bercahaya-cahaya, gilang-gemilang seperti bulan
purnama empat belas hari. Bermula maka Inderaputera pun dihias oleh Nabat Rum Syah
dengan berpakaian selengkapnya serba keemasan, bertatahkan ratna mutu
manikam."

(Hikayat Inderaputera, Halaman 29)


Apabila adanya adat berpakaian orang besar, hal ini menunjukkan bahawa
golongan pemerintah mempunyai tahap kebesarannya. Sikap dan pandangan hidup
mereka banyak dipengaruhi dengan tradisi pemakaian diraja. Jadi, sebahagian besarnya
cara berpakaian mereka yang dilengkapi keemasan bertatahkan ratna mutu manikam.
Ia sangatlah bersesuaian dengan pangkat seseorang dalam negara.

6.1.4 Adat Memberi Persalinan


Adat persalinan ini diadakan kepada utusan. Persalinan merupakan pakaian akan
diberikan kepada utusan mengikut darjat dan gelaran. Maka terserlah gambaran yang
jelas tentang budaya dan pandangan hidup masyarakat dalam Hikayat
Inderaputera situasi ini dapat digambarkan melalui petikan teks di bawah:
"Setelah sudah maka Raja Mujtadar Shah memberi persalin pakaian keemasan akan
Inderaputera, dan Nabat Rum Syah, dan segala raja-raja dengan segala menteri dan
hulubalang, abantara sekalian semuanya diberi persalin. Setelah antaranya berapa hari,
maka Nabat Rum Syah pun bermohonlah kepada Raja Mujtadar Syah hendak pulang ke
negerinya."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 69)

6.1.5 Adat Menyembah Raja


Raja merupakan tunggak utama dalam sistem pemerintahan. Mengikut adat
menyembah raja, seseorang hendaklah duduk atau bertelekukan lutut sebelah kanan
dan kaki kiri dijelepokkan. Istiadat yang dilakukan oleh pembesar menandakan hormat
dan taat setia kepada raja. Situasi di bawah telah menunjukkan adat menyembah raja:
"Maka Raja Dewa Lela Mengerna dan Nabat Rum Syah pun menyembah Raja Gohar
Hinis. Maka disambut baginda seraya dipermuliakan dengan seribu kemuliaan kedua anak
raja itu, maka didudukkannya di atas kerusi yang keemasan. Maka sirih pada jorong emas
pun dibawa oranglah ke hadapan anak raja kedua
itu."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 137)
Jadi, apabila adanya adat menyembah raja, maka masyarakat pada zaman itu
sangat berpegang pada pandangan hidup tidak boleh menderhakai raja. Waad
merupakan kontrak sosial antara Raja Shahian dengan perdana menteri, segala menteri-
menteri dan rakyat. Jika waad dilanggar, maka pelbagai bencana akan menimpa. Oleh
itu, wujudnya perkara tulah dan daulat. Waad merupakan suatu kontrak atau
perjanjian antara golongan pemerintah dengan rakyat. Terkandung pelbagai perjanjian
yang bertimbal balik. Contohnya, rakyat tidak menderhaka dan raja juga tidak boleh
menzalimi rakyat. Rakyat tidak boleh menderhaka dan perlu taat kepada raja.
Perjanjian ini dapat membuatkan rakyat tunduk patuh kepada raja dan sekiranya tidak
patuh, mereka akan ditimpa bencana. Perkara ini selaras dengan ajaran Islam, iaitu
rakyat perlu taat dan patuh kepada raja selagi mana perintah raja tidak bertentangan
dengan syariat.
Sebagai contoh petikan menunjukkan permintaan Raja Syahian yang meminta
perdana menteri, segala menteri dan rakyat mencari seseorang yang sanggup ke Berma
Sakti bagi mendapatkan ubat beranak. Walaupun permintaan ini agak sukar dan
membahayakan seseorang itu untuk sampai ke Berma Sakti namun perdana menteri
terpaksa akur dengan perintah raja. Sekiranya mereka tidak memenuhi permintaan
raja, mereka akan dihukum bunuh.
"Maka segala menteri dan hulubalang masing-masing pulang ke rumahnya, maka hari pun
malamlah. Setelah esok harinya maka Raja Syahian pun keluar diadap orang di atas
sehinggasana kerajaan diadap segala menteri dan hulubalang dan rakyat sekalian, maka
titah baginda kepada segala menteri, “Hai segala menteriku, sekarang apa bicaramu
sekalian; baik kamu carikan aku akan ubat beranak karena sangat hasyratku hendak
beranak.”
"Maka sembah segala menteri, “Ya tunku Syah Alam, patik sekalian mohonkan ampun
kepada ke bawah duli tuanku; patik minta janji empat puluh hari patik bicarakan seperti
hasyrat Syah Alam itu.”
"Maka titah baginda, “Baiklah, kunanti seperti katamu itu, jikalau tiada, nescaya kamu
sekalian
kubunuh.”

(Hikayat Inderaputera, Halaman 12)

6.1.6 Adat Kelahiran


Situasi yang menggambarkan semasa menyambut kelahiran Inderaputera, iaitu putera
Raja Bikrama Bispa. Raja juga telah meminta orang memalu bunyi-bunyian seperti adat
segala raja-raja berputera.
"Hatta berapa lamanya Raja Bikrama Bispa dalam kerajaan, maka isteri Raja Bispa yang
bernama Tuan Puteri Jumjum Ratnadewi pun hamillah. Setelah berapa lama antaranya
genap bulannya pada ketika yang baik, pada empat belas hari bulan ketika dini hari maka
tuan puteri pun menyakit hendak beranaklah seorang laki-laki terlalu amat baik rupanya
seperti matahari baharu terbit, gilang-gemilang rupanya.
Setelah demikian maka baginda pun terlalu amat sukacita melihat anakanda baginda itu.
Maka raja pun menyuruh orang memalu bunyi-bunyian seperti adat segala raja-raja
berputera. Demikianlah maka dinamai akan anakanda itu
Inderaputera."

(Hikayat Inderaputera, Halaman 4)

Kelahiran merupakan saat-saat yang penting dalam kehidupan berkeluarga. Oleh


itu, sikap dan pandangan hidup mereka sangat mementingkan zuriat sebagai pewaris
takhta terutamanya dengan kelahiran anak lelaki. Kelahiran harus ditandai dengan
upacara adat. Contohnya, apabila bayi dilahirkan, diadakan adat segala raja-raja
berputera seperti memalu bunyi-bunyian. Selain itu, sebagai tanda kesyukuran Raja
akan mengeluarkan sedekah seperti memberi emas dan perak kepada fakir dan miskin.

6.2 Sikap Masyarakat


6.2.1 Kemesraan.
Nilai ini dapat dilihat dalam watak Nenek Kebayan yang melayan Inderaputera seperti
anak sendiri meskipun tidak pernah mengenalinya sebelum ini.
“Maka ujar inderaputera “Akulah anak raja bikrama Buspa dan namaku
inderaputera. Adapun sebabnya kemari ini diterbangkan oleh merak emas. Dan segala hal
ehwal sekaliannya diceritakan. Maka ujar nenek kebayan, Mahukah cucuku duduk
bersama hamba? Baiklah nenekku: ke mana lagi hamba hendak membawa diri hamba
lagi."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 5-6)

6.2.2.2 Kasih sayang.


Nilai budaya kasih sayang dapat dilihat menerusi watak Nenek Kebayan yang terlalu
kasih kepada Inderaputera sehingga tidak membenarkan Inderaputera tinggal bersama
Perdana Menteri.
“Setelah sudah maka kata perdana menteri, “hai nenek kebayan, biarlah inderaputera
itududuk di sini. Maka ujar nenek kebayan, Ya Tuanku Perdana Menteri, seketika pun tiada
dapat patik bercerai dengan cucunya hamba.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 7-8)

6.2.3 Menghormati orang tua.


Pengarang menerapkan nilai ini sebagai pegangan hidup masyarakat dalam Hikayat
Inderaputera menerusi perwatakan Nobat Rom Shah yang meminta keizinan daripada
ayah dan bondanya sebelum keluar mengembara.
“Maka Nobat Rom Shah pun pergi bermohon kepada ayah bondanya pula. Maka ujarnya.
“Hai anakku suatu pekerjaanmu janganlah lupakan akan Tuhan yang Maha Besar.” Maka
Nobat Rom Shah pun mnyembah kaki ayah bondanya lalu ia berjalan dengan segala
hulubalang menterinya dan rakyat bala tenteranya sekalian dan beberapa lamanya
sampailah ia ke padang Belantara Hairani.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 52)
7.0 Kepengarangan dan Estetika dalam Hikayat Inderaputera
Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. (2004), kepengarangan merupakan aspek
keperibadian yang dicapai oleh pengarang iaitu kemuncak kejayaan seseorang
pengarang. Bagi menghasilkan teks yang unggul dalam mencipta sifat keperibadian
masing-masing, pengarang haruslah mempunyai prinsip keperibadian yang tersendiri.
Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md. Idris (2016),
mentakrifkan kepengarangan sebagai satu mekanisme dan kaedah pengarang berkarya
sehingga membentuk kekuatan dan jati diri seseorang pengarang itu. Kepengarangan
terbina daripada aspek pengolahan iaitu pengarang berusaha mencipta teks yang
mempunyai pembaharuan atau melanggar apa yang telah sedia ada. Seterusnya,
pengarang beristiqamah dengan penciptaannya sehingga memiliki kepengarangannya
sendiri (Mana Sikana, 2004 dalam Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah
dan Mohd Rashid Md. Idris, 2016).
Menurut Rahman Shaari (2001), estetika bermaksud nilai keindahan dalam
sesebuah karya sastera. Nilai yang dimaksudkan berkaitan dengan perasaan manusia
dan subjektif sifatnya. Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah dan Mohd
Rashid Md. Idris (2016) pula mentakrifkan estetika berhubung dengan aspek keindahan,
iaitu yang terdapat pada struktur, pengolahan dan teknik penulisan. Estetika
kebiasaannya dikaitkan dengan gaya bahasa dan teknik keindahan. Gaya bahasa atau
teknik mengindahkan bahasa digunakan oleh pengarang supaya pengolahannya
kelihatan lebih menarik dan lebih difahami maknanya dan memberi kesan emosi kepada
pembaca. Estetika atau gaya bahasa ialah cara menggunakan kata-kata dalam
menyampaikan buah fikiran dan perasaan seseorang penulis.

7.1 Kepengarangan dalam Hikayat Inderaputera


Terdapat beberapa unsur kepengarangan yang telah ditonjolkan oleh pengarang kepada
pembaca. Antaranya ialah kepengarangan unsur mitos, unsur ketuhanan, unsur
keperwiraan dan unsur istana.

7.1.1 Unsur Mitos


Hikayat Inderaputera banyak mengandungi unsur khayalan dan mitos seperti unsur
ghaib, kekuasaan yang dimiliki oleh perwira dan banyak lagi. Unsur mitos merupakan
unsur yang penuh dengan kesaktian dan magis. Unsur mitos digunakan oleh pengarang
bagi menunjukkan kelebihan dan kekuasaan yang ada dalam diri seorang perwira.
Antara unsur mitos yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera ialah unsur ghaib. Unsur
ghaib dijadikan unsur kekuasaan yang dimiliki oleh individu yang membolehkannya
hilang dari pandangan mata. Individu yang memiliki kuasa ghaib ini dianggap luar biasa.
Contohnya:
"Maka Tamar Jalis pun ghaib ke udara seribu kesakitan dirasanya daripada sangat darab
perang, Inderaputera itu ia datang menolong Nobat Rom Syah."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 22)

Selain itu, dalam Hikayat Inderaputera terdapat juga mitos unsur kuasa yang
tidak mungkin dimiliki oleh manusia. Dalam dunia sebenar, apabila tubuh badan
manusia cedera maka akan mengeluarkan darah. Namun dalam hikayat ini apabila
manusia dicederakan, tubuh badannya akan berasap dan mengeluarkan api. Contohnya:

"Setelah itu maka Raja Dewa Mengerna pun memanah Inderaputera berasap keluar api
memancar-mancar ke udara dan Inderaputera pun memanah Raja Dewa Lela Mengerna.
Maka kena tubuhnya demikian juga keluar api memancar-mancar."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 54)

Pengarang banyak menyelitkan unsur-unsur mitos yang tidak logik dan tidak
dapat diterima oleh akal manusia tetapi unsur mitos ini juga telah menjadikan jalan
cerita hikayat ini lebih menarik dan kelihatan hidup.

7.1.2 Unsur Ketuhanan


Pengarang memperkenalkan watak utama iaitu Inderaputera sebagai seorang
pengembara yang mencari kebenaran Ilahi. Dalam pengembaraan, beliau tidak pernah
lupa akan kekuasaan Tuhan. Dalam setiap perkara yang dilakukan, Inderaputera
sentiasa menyebut dan mengingati bahawa setiap kejadian berlaku dengan keizinan
daripada Tuhan. Sebagai contoh:
"…Maka ujarnya oleh Inderaputera, “Tuhan Yang Mahabesar yang telah menghidupkan
tuan-tuan sekalian itu tetapi hamba ini menjadi sebabnya juga.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 90)

Berdasarkan petikan di atas, Inderaputera mempunyai kuasa untuk


menghidupkan orang yang telah mati. Kuasa yang dimiliki tidak menjadikan
Inderaputera sebagai seorang yang bongkak dan bangga diri, malah Inderaputera
bersikap rendah diri apabila mengakui bahawa kejadian yang berlaku adalah dengan
izin Tuhan Yang Maha Besar dan dia hanyalah sebagai perantaraan.

7.1.3 Unsur Keperwiraan


Pengarang juga banyak memperlihatkan unsur keperwiraan dalam watak utama,
Inderaputera. Keistimewaan dalam diri Inderaputera terserlah semenjak beliau masih
kecil lagi sehingga dewasa. Kekuatan dan kekuasaan yang dimiliki oleh Inderaputera
membolehkannya membunuh seekor raksasa sedangkan tubuh raksasa adalah lebih
besar berbanding tubuh manusia. Contoh tersebut dapat dilihat berdasarkan petikan di
bawah:
"Maka Inderaputera pun bertempik seraya diparangnya Gherakas itu penggal dua lalu
rebah mati."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 93)

Selain memperlihatkan unsur keperwiraan, pengarang turut menyelitkan kisah


masyarakat dan golongan atasan yang amat menyanjung seorang wira yang berjaya
melepasi pelbagai rintangan serta sentiasa memberikan bantuan terhadap golongan yang
memerlukan pertolongan. Unsur keperwiraan yang dimiliki oleh Inderaputera disenangi
oleh semua orang. Malah, ada pihak yang menghantarkan perutusan untuk meminta
pertolongan. Contoh tersebut dapat dilihat berdasarkan petikan di bawah:
"Maka segala mereka itu pun hairan melihat kelakuan Inderaputera membunuh Gherakas
itu yang amat hairan. Maka Raja Talela Syah pun segeralah datang memeluk mencium
akan Inderaputera."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 140)

7.1.4 Unsur Istana


Hikayat Inderaputera merupakan cerita yang mengisahkan tentang kehidupan golongan
raja. Hikayat Inderaputera banyak memperlihatkan penggunaan bahasa istana. Bahasa
istana merupakan bahasa yang sangat lembut dan berlapik. Penggunaan bahasa ini
dapat mengindahkan lagi jalan cerita kehidupan golongan raja. Hikayat
Inderaputera terdiri daripada Inderaputera sebagai anak raja dan juga watak-watak lain
yang terdiri daripada golongan istana. Bahasa istana digunakan dalam pertuturan
seharian mereka kerana bahasa ini merupakan bahasa rasmi golongan istana. Bahasa
istana yang digunakan dalam Hikayat Inderaputera dapat dilihat berdasarkan contoh
berikut:
"…Maka baginda pun menyuruhkan empat orang menteri mengalu-alukan anak raja
kedua itu. Maka menteri itu pun bertemulah dengan Raja Dewa Lela Mengerna dan Nobat
Rom Syah serta ia memberi hormat kepada kedua orang anak raja itu seraya berkata,
“Segeralah tuan hamba dipersilakan oleh baginda.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 122)

Dalam ayat di atas, bahasa istana yang digunakan ialah baginda dan tuan hamba.
Seterusnya, pengarang juga menonjolkan unsur kemewahan dan kekayaan golongan
raja-raja dan juga golongan istana. Kekayaan yang dimiliki oleh golongan ini
ditunjukkan dalam ayat di bawah:

"… Inderaputera pun berjalanlah pula pada selapis pagar jala-jala itu daripada tembaga
suasa dan pintunya itu daripada emas sepuluh mutu dan berbagai-bagai pula perbuatannya
yang indah-indah rupanya."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 40)
Dalam ayat di atas, unsur istana ditonjolkan melalui kemewahan yang dimiliki
oleh golongan raja. Pengarang telah menonjolkan kemewahan melampau yang dimiliki
golongan raja sehinggakan pintu pagar istana turut dibina dengan menggunakan
tembaga dan emas yang tinggi nilainya. Kemewahan dan kekayaan yang melampau ini
mustahil dapat dilihat di dunia nyata.

7.2 Estetika atau Gaya Bahasa


Terdapat beberapa unsur estetika atau keindahan iaitu gaya bahasa yang cuba
diketengahkan oleh pengarang kepada pembaca. Antaranya ialah gaya bahasa simile,
personifikasi, anafora, antitesis, oksimoron, aliterasi dan asonansi.

7.2.1 Simile
Simile merupakan perbandingan terus, iaitu membandingkan dua hal yang pada
hakikatnya berlainan tetapi dengan sengaja kita menganggapnya sama. Perumpamaan
ini secara jelas mengungkapkan sesuatu perbandingan atau persamaan dengan
menggunakan unsur-unsur perlambangan dan ditandai dengan bak, laksana, seperti,
bagai, laksana, umpama dan sebagainya. Antara contoh penggunaan gaya bahasa simile
dalam Hikayat Inderaputera adalah seperti berikut:
"Maka diperbuat oleh pandai kayu itu seekor ikan terlalu indah-indah rupanya seperti rupa
ikan yang benar."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 6)

"Maka ujar bayan itu, “Tiadakah ghairat hari tuanku mendengar khabar Tuan Puteri
Ratna Serigading, timang-timangannya Tuan Puteri Cenderalela Nurlela di Padang Anta
Berahi di atas mahligai yang keemasan bertatahkan mutu manikam, terlalu elok rupanya,
rambutnya seperti cincin dituang, dahinya bagai sehari bulan, keningnya bagai ditaji
dibentuk, matanya bagai timur, hidungnya bagai kuntum melur, telinganya bagai telepok
layu, pipinya bagai pauh dilayang, bibirnya bagai pati dicarik, giginya bagai delima
merekah, lidahnya bagai cerana diupam, dagunya bagai awan bergantung, lehernya bagai
kumba dilarik, bahunya bagai bahu wayang, lengannya bagai panah dibentur, jarinya bagai
duri landak, susunya bagai telur burung, dadanya bagai antaran hanyut, pinggangnya
bagai tangkai bunga, pahanya bagai paha belalang, betisnya bagai bunting padi, tapaknya
bagai dua jari hujung”."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 96)

"Maka kata bayan itu, ‘Patut sekali dengan tuanku, seperti bunga kembang sekaki,
kembangnya tidak nirmala lagi."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 96)

7.2.2 Personifikasi
Menurut Corbett dan Connors dalam Abu Hassan dan Mohd Rashid Md Idris (2012),
personifikasi bermaksud menerangkan objek bukan manusia dengan sifat manusia.
Personifikasi juga ditakrifkan sebagai sesuatu yang memberi unsur manusia atau benda
hidup kepada bukan benda hidup atau tidak bernyawa. Contohnya:
"Maka ikan kayu itu pun tertawa dan berenang dalam air itu, berpantun dan berseloka."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 6)

"Maka dilihat baginda terlalu ajaib indah-indah rupanya merak itu. Maka ditaruh baginda
di atas talam emas, maka merak itu pun mengigal di atas talam itu seraya berpantun dan
berseloka."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 7)

7.2.3 Anafora
Menurut Corbett dan Connors dalam buku Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md
Idris (2012) juga, anafora merujuk kepada pengulangan perkataan yang sama atau
sekumpulan perkataan pada permulaan klausa yang berurutan. Anafora digunakan bagi
menghasilkan kesan emosi yang kuat. Contohnya adalah seperti berikut :
"Maka ia pun berjalan pula beberapa melalui hutan dan padang. Maka Inderaputera pun
bertemu dengan binatang berbagai-bagai rupanya."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 78)

7.2.4 Antitesis
Menurut Umar Junus dalam buku Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris (2012),
antitesis boleh ditafsirkan sebagai bentuk peletakan dua ayat atau kata yang
bertentangan dalam kedudukan berdampingan. Contohnya perkataan ayah dan bonda
yang membawa maksud berbeza tetapi diletakkan secara berdampingan dalam ayat.
Begitu juga tuan dan hamba serta makan dan minum.
"Maka Inderaputera mengucap syukur akan dirinya dan minta doa kepada Allah Ta’la
akan ayah bondanya."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 20)

“… tahukah akan tuan hamba jauhnya mahligai Tuan Puteri itu..”


(Hikayat Inderaputera, Halaman 67)

“…dihadap oleh segala menteri hulubalang dan bala tenteranya sekalian dengan makan
minum…”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 83)
7.2.5 Paralelisme
Paralelisme merujuk kepada kesamaan struktur dalam pasangan atau siri kata-kata,
frasa-frasa atau klausa-klausa yang berhubungan (Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid
Md Idris, 2012). Berdasarkan contoh di bawah, dapat dilihat wujudnya kesamaan
struktur bagi contoh pertama yang menyenaraikan pelbagai jenis alat muzik, manakala
contoh dua pula menyenaraikan pelbagai jenis binatang.
“… bunyi-bunyian pun berbunyilah daripada harebab, kecapi, dandi, muri, serdam,
mendali, kopak, ceracap,bangsi."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 91)

“ … maka kelihatanlah tenteranya kera dan beruk dan lontong dan kongkang dan kerkah
dan siamang itupun berlompatan ...”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 118)

7.2.6 Aliterasi
Aliterasi merupakan sejenis gaya bahasa pengulangan bunyi konsonan yang sama pada
awal kata dan yang berturutan waima dalam puisi tradisional, puisi moden, prosa
tradisional, prosa moden waima kreatif atau bukan kreatif. Penggunaan gaya bahasa
dalam Hikayat Inderaputera boleh dilihat berdasarkan contoh-contoh berikut:
“Apa ketupat padi Dang Nilam,
Temu-temu parang lengkuas,
Apa ubat hati yang dendam,
Sukar bertemu makanya puas,”

“Ke padang rimba raya,


Kumbang menyeri pekan sutera,
Kepada pemandangan sahaya,
Sedang akan isteri Inderaputera.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 121)
Berdasarkan contoh tersebut, gaya bahasa pengulangan aliterasi dapat dilihat
dalam pengulangan huruf ‘t’ dan ‘m’ dalam beberapa perkataan.
7.2.7 Asonansi
Asonansi adalah gaya bahasa pengulangan bunyi vokal yang sama pada setiap baris atau
pada setiap ayat yang biasanya secara berturutan supaya memperoleh kesan tertentu
waima dalam puisi tradisional, puisi moden, prosa tradisional, prosa moden sama ada
kreatif ata bukan kreatif. Penggunaan gaya bahasa asonansi dalam Hikayat
Inderaputera boleh dilihat berdasarkan contoh-contoh berikut:
Utar-utar di atas pintu,
Sarung keris sudah dirapat,
Orang sukar sahaja begitu,
Orang arif maka mendapat.

Telak empelas di dalam padi,


Menteri duduk berdagang gelang,
Tidaklah belas hati tuan puteri,
Melihat dagang terulang-ulang.
(Hikayat Inderaputera, Halaman 97)

Berdasarkan contoh tersebut, gaya bahasa pengulangan asonansi dapat dilihat


dalam pengulangan huruf ‘a’ dan ‘e’ dalam beberapa perkataan.

8.0 Nilai Ilmu dalam Hikayat Inderaputera


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), perkataan nilai merujuk kepada darjat,
kualiti, mutu dan taraf. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau
yang buruk dan betul atau salah. Oleh itu, nilai bukan sahaja merupakan satu standard
bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak
sesuatu perlakuan manusia. Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) juga memberikan
definisi terhadap ilmu sebagai pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin
dan lain-lain. Oleh itu dapat dikatakan bahawa ilmu adalah hal yang berkaitan kerana
pemerolehan ilmu itu dan usaha kita menyebarkannya kepada orang lain dalam bentuk
pelbagai maklumat.
Terdapat beberapa jenis nilai ilmu yang dapat dilihat dalam karya agung
Melayu Hikayat Inderaputera, antaranya:

8.1 Ilmu Perdukunan


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), dukun membawa maksud orang yang
mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional dengan bacaan
jampi serapah. Manakala perdukunan pula membawa maksud berubat cara kampung
atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun. Ilmu dukun ini dikatakan
mengandungi tiga unsur iaitu unsur yang pertama disebut sebagai kaahin iaitu si
pendukun, kedua ialah mutakaahin iaitu peminta atau pesakit yang berjumpa dukun
dan yang terakhir ialah mahkuun iaitu kepada siaoa dukun itu ditujukan.
Menurut Neil Turnbull (1999:32), dukun merupakan titik hubungan ghaib antara
dunia roh dengan dunia manusia. Kelompok orang istimewa yang mampu membaca dan
menggunakan bahawa ghaib dari dunia roh ini dikenal sebagai dukun. Kepercayaan
masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah berbentuk animisme. Mereka
beranggapan perkara-perkara atau benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Oleh
itu wujudlah pemujaan atau penyembahan terhadap benda-benda seperti batu, pokok,
sungai, gunung dan lain-lain. Hanya dukun, pawang dan ahli nujum sahaja dikatakan
mampu melakukan perkara ini. Tindakan ini dianggap berperanan untuk
mengembalikan keadaan seperti asal.
Dalam Hikayat Inderaputera, Inderaputera telah berkhidmat kepada Raja
Syahian untuk menemui Berma Sakti di Gunung Mali Kesna untuk mendapatkan ubat
bagi memperoleh anak. Hal tersebut telah menyebabkan golongan istana mempercayai
kehebatan dukun ini. Raja Syahian percaya dukun yang berada di atas Gunung Mali
Kesna dapat memberikan ubat kepada baginda untuk memperoleh anak. Disebabkan
keinginan baginda yang terlalu tinggi dan mendesak, baginda mengarahkan mana-mana
rakyatnya yang sanggup ke gunung berkenaan untuk mengambil ubat walaupun
dikatakan tiada orang mampu pulang dengan selamat.
"Maka ujar perdana menteri, “Ada hamba mendengar daripada nenek moyang hamba
tatkala itu hamba lagi kecil, ada diwartakan orang pada Gunung Mali Kesna namanya, ada
seorang maharesi bertapa pada gunung itu bernama Berma Sakti. Baginda itu terlalu amat
sakti, jika ada raja-raja sakit atau hendak beranak maka pergi menyuruh kepada baginda
itu minta ubat, nescaya sembuh sakitnya dan beroleh anak...”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 13)

Berma Sakti telah memberikan bunga tunjung putih kepada Inderaputera,


kemudian Inderaputera menyerahkan kepada Raja Syahian sebagai ubat memperoleh
anak. Kesaktian bunga tunjung putih dapat dilihat setelah permaisuri memakan sayur
bunga tunjung putih itu, kemudian permaisuri Raja Syahian telah hamil.
"Maka Raja Syahian pun masuk ke dalam istana. Maka setelah berapa lamanya maka
permaisuri pun hamillah. Maka Raja Syahian pun terlalu sukacita melihat permaisuri
hamil itu."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 187)

Selain itu, Inderaputera juga dikatakan dapat menyembuhkan pelbagai penyakit.


Inderaputera telah diberi sehelai kain sutera puri oleh Dewi Lakpurba ketika berada
sebuah negeri. Inderaputera diajar cara menggunakan kaun sutera tersebut untuk
mengubat orang sakit.
"Maka kata Dewi Lakpurba kepada Inderaputera, “Hai cucuku, suatu pun tiada pemberiku
kepada cucuku, hanyalah kain sutera ini juga. Adapun penggunaannya kain ini, jikalau
ada orang sakit payah, jikalau hancur sekalipun tubuhnya, maka kain ini ditudungkan
kepada tubuh orang sakit itu. Maka disiram dengan air mawar, nescaya sembuh sakitnya
orang itu.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 193)

Ketika puteri kepada Raja Syahian iaitu Tuan Puteri Mengindera Sari Bunga
jatuh sakit, Inderaputera telah mengubatinya dengan menggunakan kain sutera itu.
Ternyata Tuan Puteri sembuh. Sudah ramai dukun yang dibawa ke istana untuk
mengubat penyakit yang dihadapi oleh Tuan Puteri Mengindera Sari Bunga tetapi
semuanya hampa. Raja Syahian telah memberi kebenaran untuk menjadi menantunya
bagi sesiapa yang dapat memberi ubat kepada puterinya itu. Kehadiran Inderaputera
telah memberi sinar baharu kepada Raja Syahian untuk melihat puterinya sembuh.
Sekaligus Inderputera dikahwinkan dengan Tuan Puteri Mengindera Sari Bunga hari
selepasnya.
"Maka Inderaputera pun masuklah ke dalam tirai peraduan Tuan Puteri Mengindera Sari
Bunga. Maka Tuan Puteri Mengindera Sari Bunga pun membuka matanya … Maka
Inderaputera pun mengeluarkan kain sutera puri. Maka dilihat oleh Raja Syahian kain
sutera puri itu terlalu halus rupanya seperti air embun."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 196)
8.2 Ilmu Firasat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), firasat adalah pengetahuan mengenai
tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib
seseorang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat. Terdapat
juga golongan istana yang menggunakan ahli nujum sebelum kedatangan Islam atau
tahap-tahap awal kemasukannya. Peranan ahli nujum agak berbeza dengan bomoh. Dia
lebih kepada membuat ramalan. Ahli nujum dapat mengetahui kelemahan dan kekuatan
orang lain selepas membuat tilikan terhadap sesuatu, antaranya berdasarkan nama,
haru atau ketika.
Dalam Hikayat Inderaputera banyak mempamerkan ilmu firasat. Antaranya
ketika kelahiran Inderaputera, putera kepada Maharaja Bikrama Bispa dan Tuan Puteri
Jumjum Ratradewi. Ahli nujum pada ketika itu dititahkan oleh baginda untuk menilik
nasib kebesaran yang bakal diperoleh Inderaputera.
"Maka segala ahlunnujum pun melihat nujumnya dan menggerakkan kepalanya. Maka
sembah segala ahlunnujum, “Ya tuanku Syah Alam, terlalu sekali berbahagia paduka
anakanda itu dan memangku kerajaan yang maha besar. Adapaun tujuh tahun juga paduka
anakanda itu dapat bersama-sama dengan tuanku. Kemudian dari itu bercerailah paduka
anakanda dengan tuanku, beberapa paduka anakanda itu melihat kekayaan Allah
Subhanahu wa Ta’ala Tu(h)an yang Maha Tinggi; dan jangan paduka anakanda itu tuanku
beri bermain binatang, karena sebab paduka anakanda bermain binatang itu jadi beroleh
bencana, bercrai dengan duli
tuanku.”

(Hikayat Inderaputera, Halaman 4)

Ahli nujum biasanya akan meramal nasib seseorang menggunakan cara tertentu.
Biasanya ramalan ahli nujum mudah dipercayai dan diyakini akan berlaku walaupun
nasib seseorang itu buruk. Sebagai contohnya dapat dilihat melalui petikan
dalam Hikayat Inderaputera seperti berikut:

"… karena baginda sangat memeliharakan pesan ahlunnujum; dan jika baginda diadap
segala raja-raja dan menteri hulubalang sekalian pun anakanda itu tiada bercerai dengan
baginda.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 5)

Berdasarkan contoh petikan di atas, ramalan ahli nujum terhadap nasib


Inderaputera itu memang tepat. Inderaputera telah diterbangkan oleh seekor burung
merak tanpa dapat dihalang oleh sesiapa pun. Peristiwa ini dapat dilihat daripada
petikan teks hikayat.
"… maka Inderaputera disambar oleh merak itu dibawanya terbang. Maka Inderaputera
pun ghaiblah dengan seketika itu daripada mata Maharaja mikrama Bispa dan mata orang
banyak."
(Hikayat Inderaputera, Halaman 7)
8.3 Ilmu Agama
Dalam zaman klasik, ilmu yang paling menonjol ialah ilmu agama Islam. Hal ini dapat
difahami kerana apabila Islam mula diperkenalkan kepada umat Melayu yang
memerlukan pengembangan ajaran Islam dalam segala sudut yang berkaitan dengan
kehidupan dunia dan akhirat bangsa Melayu, selaras dengan kesepaduan yang
ditekankan oleh Islam, iaitu hubungan dengan Tuhan (hablum min Allah), hubungan
sesama manusia bahkan dengan makhluk lain (hablum min al-nas).
Berdasarkan Hikayat Inderaputera, Maharaja Bikrama Bispa amat menekankan
soal agama kepada puteranya, Inderaputera ketika Inderaputera kecil. Inderaputera
sudah tahu mengaji ketika berumur tujuh tahun lagi.
"Hatta setelah berapa lamanya maka anakanda baginda Inderaputera pun besarlah, maka
disuruhkan baginda kepada mualim disuruh ajar mengaji. Setelah berapa lamanya kira-
kira tujuh tahun umur Inderaputera, maka Inderaputera pun tahulah mengaji Qur’an…"
(Hikayat Inderaputera, Halaman 5)

Inderaputera digambarkan sebagai seorang umat Islam yang soleh, ingat kepada
Allah, baik sewaktu dia menikmati keindahan ciptaan-Nya, mahupun dalam saat-saat
dia terancam bahawa. Nilai Islam dimasukkan dalam perwatakan Inderaputera untuk
menggambarkan keindahan Islam.
"Maka hairanlah Inderaputera melihat segala yang indah-indah itu. Maka beberapa pula
puji Inderaputera kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala…"
(Hikayat Inderaputera, Halaman 53)

“… Atas patiklah melawan segala menteri itu dengan anak raja-raja sekalian itu dengan
tolong Tuhan Yang Kuasa.”
(Hikayat Inderaputera, Halaman 226)

9.0 Kesimpulan
Kesimpulannya, Hikayat Inderaputera merupakan kelangsungan daripada pengaruh
Hindu terhadap kesusasteraan Melayu. Perwatakan, tema dan plotnya menunjukkan
dasar kreativiti pemikiran yang masih kuat berkhayal terhadap alam nyata dan alam
dongeng yang disatukan. Keistimewaan Inderaputera yang dapat berkomunikasi dan
bergerak di pelbagai pelosok alam ini adalah berpunca dari world view daripada
serpihan kepercayaan Hindu yang antaranya memaparkan unsur-unsur sakti dan
inkarnasi.
Walau bagaimanapun, karya ini juga sudah disisipkan dengan unsur-unsur
kemelayuan seperti unsur nenek kebayan, unsur Islam seperti penggunaan nama-nama
Islam dan unsur memuji kebesaran Tuhan. Sungguhpun begitu, penyisipan unsur-unsur
Melayu dan Islam sukar memadamkan kekentalan nilai-nilai Hindunya.

BIBLIOGRAFI
Abu Hassan Abdul, PhD. (2013). Modul BMK 30043 Seni Mengarang. Tanjung Malim:
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Abu Hassan Abdul dan Mohd Rashid Md Idris. (2012). Nota Kuliah Semester 1
2012/2013.
Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2010). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Hassan Ahmad. (2007). Hikayat Inderaputera. Kuala Lumpur: Global Printers Sdn.
Bhd.
Neil Turnbull. (1999). Filsafat. Indonesia : Penerbit Erlangga.

Nik Hassan Basri Nik Abd Kadir. (2007). Komsas Pegangan Teras Keterampilan. Kuala
Lumpur : Icon Region Sdn. Bhd.
Mohd Rashid Md Idris, Abd. Rahman Napiah dan Seri Lanang Jaya Rohani.
(2014). Karya Agung Melayu. Tanjung Malim : Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mohd Rashid Md Idris (2012). Teori Falsafah Bahasa (Teori Rashid). Perak:
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mohd Rashid Idris, Siti Khairiah Mohd Zubir & Abdullah Yusof. (2004), Nilai Estetika
dalam Pantun. Tanjong Malim: Emeritius Publications.

Rahman Shaari. (2001), Bimbingan Istilah Sastera. Kuala Lumpur: Utusan Publications
& Distributors.

Raja Ali Haji. (2000). Hikayat Inderaputera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Theologi Surakarta. (2013). Pengertian Teologi Menurut Islam. Diperoleh pada 23


April 2016 daripada
https://theologisurakarta.wordpress.com/2013/07/08/pengertian- teologi-menurut-
islam.

Anda mungkin juga menyukai