Anda di halaman 1dari 7

AKADEMI PENGAJIAN MELAYU,

UNIVERSITI MALAYA,

KUALA LUMPUR.

FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU

JXEA 1104

TAJUK : HIKAYAT PARANG PUTING

NAMA : NURUL HUSNA BINTI AZMI

NO.MATRIK : JEA080106

PENSYARAH : DR. AMRAN MUHAMMAD


PENGENALAN

Karya-karya Melayu klasik merupakan warisan bangsa Melayu yang amat

bernilai dan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Hal ini demikian kerana,

manuskrip asalnya bertulis tangan dengan huruf Jawi yang kemas dan cantik selain

penggunaan gaya bahasanya yang indah dan tersendiri. Walaupun ayatnya panjang dan

sukar difahami namun ia mengandungi pemikiran dan peradaban bangsa Melayu yang

penuh dengan nilai-nilai murni dan pengajaran yang baik. Hikayat merupakan salah satu

hasil karya penulis zaman dahulu dan terdapat juga cerita yang dikemukakan adalah

peristiwa yang pernah berlaku dan bukan imaginasi penulis semata-mata. Namun ada

juga sesetengah penulisan berdasarkan peristiwa yang benar tetapi ditokok tambah

supaya lebih menarik.


PETIKAN HIKAYAT PARANG PUTING

Hatta, tiadalah berapa lamanya Tuan Puteri Cahaya Khairani pun hamillah.
Maka Dewa Laksana Dewa pun terlalulah amat sukacitanya dan bertambah-tambah
kasihnya akan isterinya itu, tiadalah dilalui sebarang kehendak isterinya itu, diturutnya.

Selang beberapa hari lamanya maka tuan puteri pun genaplah bulannya. Maka
tuan puteri pun berputeralah seorang perempuan, terlalulah baik parasnya, seperti
bidadari rupanya, gilang-gemilang cahaya mukanya seperti bulan purnama empat belas
haribulan, demikianlah rupanya.

Maka terlalulah kasih baginda akan anakanda baginda itu. Maka dinamai oleh
baginda akan anak baginda itu Tuan Puteri Langgam Cahaya, timang-timangan Dewa
Laksana Dewa. Maka dipeliharanya dengan sepertinya serta dengan inang pengasuhnya
bersuka-sukaan di keinderaan.

Telah beberapa lamanya maka Tuan Puteri Langgam Cahaya pun besarlah
mangkin baik rupanya. Maka sangatlah dikasihi oleh baginda kedua laki isteri akan
anakanda baginda itu. Maka duduklah baginda bersuka-sukaan laki isteri seperti adat
dahulu kala. Maka Tuan Puteri Langgam Cahaya pun bermain-main sehari-harian ke
dalam taman mengambil bunga-bungaan dan buah-buahan dengan segala inang
pengasuhnya. Demikianlah sehari-hari pergi bermain di taman bunga itu.

Sebermula maka adalah seorang dewa bernama Mambang Segara Indera. Maka
Mambang Segara Indera itu pun turunlah ia di tepi kolam dekat taman penglipurlara.

Maka pada ketika itu maka Tuan Puteri Langgam Cahaya pun pergilah dengan
segala inang pengasuhnya berma in ke taman itu. Maka serta sampai maka tuan puteri
pun naiklah ke atas Balai Gading itu duduk dihadap oleh segala inang pengasuhnya.
Maka dayang-dayang itu pun pergilah memungut bunga-bungaan masing-masing kepada
kesukaannya. Maka ia bawa dipersembahkan kepada Tuan Puteri Langgam Cahaya.
Maka tuan puteri pun dengan segala inang pengasuhnya duduklah masing-masing
mengentas bunga yang berbagai-bagai rupanya. Maka duduklah tuan puteri dengan
bermain di taman itu dengan segala dayang-dayang bersuka-sukaan.
SINOPSIS HIKAYAT PARANG PUTING

Hikayat ini mengisahkan Puteri Langgam Cahaya yang merupakan puteri

kesayangan Dewa Laksana Dewa dan Puteri Cahaya Khairani telah dibuang ke dunia

oleh ayahandanya kerana baginda telah mengandung akibat sihir yang dikenakan oleh

Mambang Segara Indera ke atasnya. Baginda telah melahirkan seorang putera di hutan.

Mereka hidup dalam kedaifan sehinggalah puteranya itu membawa tuah.

Puteranya yang dikenali sebagai budak miskin mendapat teman yang terdiri

daripada ular, helang dan tikus putih. Persahabatan mereka menarik perhatian orang

ramai dan hasilnya, budak miskin mendapat pelbagai hadiah. Budak miskin telah

dijadikan anak angkat oleh syahbandar negeri itu yang mengagumi keistimewaannya.

Manakala, raja negeri itu tidak mempunyai anak, baginda telah berkaul bersama

permaisuri baginda di Pulau Cahaya Purnama. Dalam perjalanan pulang, baginda ditahan

oleh seekor naga air. Baginda telah berjanji jika mendapat anak perempuan, anak itu akan

menjadi isteri naga dan jika anak lelaki, akan dijadikan sahabat.

Baginda telah mendapat anak perempuan yang sangat cantik. Baginda tidak dapat

memenuhi janjinya sehingga mengeluarkan tawaran untuk membunuh naga tersebut.

Anak-anak raja yang tidak berpuas hati dengan kejayaan budak miskin cuba

menyerangnya, tetapi tewas kerana budak miskin mempunyai kesaktiaannya dan juga

pertolongan ayahnya. Budak miskin akhirnya dapat berkahwin dengan Tuan Puteri

Mengindera Sehari Bulan. Budak miskin dikenali sebagai Mambang Dewa Keinderaan
dan bondanya berkahwin dengan ayahandanya, Mambang Segara Indera setelah

dipersetujui oleh Dewa Laksana Dewa dan Tuan Puteri Cahaya Khairani.

KAJIAN HIKAYAT DARI SUDUT FALSAFAH

Falsafah utama yang dapat saya lihat dalam hikayat ini ialah kasih sayang. Suami

isteri yang saling mengasihi akan berusaha untuk mengekalkan rumah tangga mereka

daripada penceraian. Dalam Hikayat Parang Putting turut menggambarkan falsafah kasih

sayang antara Dewa Laksana Dewa dengan Puteri Cahaya Khairani yang memiliki paras

rupa yang cantik, berbudi bahasa dan baik hati serta tiada yang setanding dengannya.

Rasa kasih dan sayang Dewa Laksana Dewa terhadap isterinya semakin bertambah

apabila isterinya hamil sehinggakan baginda sanggup menuruti kehendak isterinya itu.

Selain itu, dalam Hikayat Parang Puting turut membicarakan falsafah cinta akan

alam sekeliling. Alam sekeliling yang indah dapat menenangkan jiwa selain menjadi satu

alat untuk menghiburkan hati kerana pada zaman dahulu kurang permainan untuk

dimainkan oleh anak-anak raja. Perkara ini digambarkan dalam hikayat apabila Tuan

Puteri Langgam Cahaya bersama dayang-dayangnya bermain-main di taman yang

dipenuhi bunga-bungaan dan buah-buahan. Tuan Puteri Langgam Cahaya pula seorang

yang sangat mencintai alam sekitar. Baginda sentiasa menerima pelbagai jenis bunga

yang menjadi kesukaan dayang-dayangnya. Mereka sering kali memetik bunga di taman

bersama-sama.

Falsafah seterusnya yang terdapat dalam Hikayat Parang Puting ialah kepercayaan

kepada konsep dewa dewi . Hikayat Parang Puting merupakan salah sebuah karya yang

dihasilkan pada zaman Hindu bertapak di Alam Melayu. Hikayat ini lebih memberatkan
tema pengagungan dewa dewi. Mereka dikatakan tinggal di kayangan yang terletak di

awangan dalam keadaan yang serba lengkap. Mereka turut dikatakan mempunyai

kesaktian tersendiri. Menurut kepercayaan masyarakat terdahulu, para dewa dewi ini

berbeza dengan manusia di dunia dan kedudukannya lebih tinggi daripada raja-raja dan

mereka menganggap dewa dewi itu adalah tuhan mereka. Tambahan lagi, pengaruh

Hindu sangat ketara dalam penggunaan nama. Sebagai contoh, Dewa Laksana Dewa dan

Mambang Segara Indera.

PENUTUP

Hikayat Parang Puting ini menceritakan kehidupan masyarakat zaman dahulu

iaitu sebelum kedatangan Islam yang mempercayai dewa dewi, kesaktian dan

penggunaan sihir. Hikayat ini diberi nama Hikayat Parang Puting kerana parang

tersebutlah yang menolong budak miskin(watak utama) semasa berperang dengan musuh.

Parang tersebut dapat mengubah saiz dan dikatakan boleh terbang dengan sendirinya dan

menetak serta membunuh musuh-musuh budak miskin. Parang puting inilah yang

menjadi pelindung kepada budak miskin walaupun budak miskin juga mempunyai

kesaktian. Begitulah ceriteranya parang puting yang diambil menjadi tajuk kepada

hikayat ini.

BIBLIOGRAFI

Rogayah A.Hamid & Etty Zalita Zakaria.(2007). Hikayat Parang Putting. Inti sari Karya

Klasik Jilid 1. Selangor Darul Ehsan. Dawama Sdn. Bhd.


Jamilah Haji Ahmad.(1980). Hikayat Parang Puting. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan

Pustaka.

Pa’Darus.(1961). Hikayat Parang Puting. Penang. Sinaran Bros.

http://en.wikipedia.org/wiki/List_of_Hikayat

Anda mungkin juga menyukai